SURAH AL-BAQARAH : AYAT 234-235

HUKUM IDDAH WANITA KEMATIAN SUAMI DAN BERIHDAD, BERKABUNG & LARANGAN MEMINANGNYA DALAM TEMPOH IDDAH.

Full video : https://youtu.be/a-mGvbosWH4?si=lG9d8hS0TrEBMknm

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 234 sehingga ayat 235 bagi surah al-Baqarah.
    Ia adalah surah yang kedua dalam juzuk yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan pula hukum iddah bagi wanita yang kematian suami. Terdapat dua hukum ke atasnya iaitu iddah (عدة) dan berkabung atau berihdad (احداد).
  3. Ihdad ini ialah berkabung mengenangi suami yang telah tiada. Tempoh rasminya bagi wanita yang tidak hamil ialah 4 bulan 10 sehari.
  4. Allah juga menyatakan larangan meminang seorang wanita dalam tempoh iddahnya.
    Bagi dia ruang untuk muhasabah diri, kesedihan berpisah dengan suami, mengenang akan suaminya dan seumpamanya.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan iddah wanita yang diceraikan iaitu; tiga kali suci bagi yang ada haidh, 3 bulan bagi yang tiada haidh.
    Juga isu ibu ada anak yang diceraikan, dia kena jaga & beri susu anaknya dengan baik & tanggung-jawab bagi suami beri nafkah.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t bawa satu lagi jenis iddah iaitu iddah wanita yang kematian suami.

Satu lagi iddah ialah bagi isteri yang tidak pernah disentuh oleh suaminya kemudian diceraikan, akan datang.

AYAT 234- {DAN ORANG-ORANG YANG MENINGGAL DUNIA DI ANTARA KAMU, SEDANG MEREKA MENINGGALKAN ISTERI-ISTERI HENDAKLAH ISTERI-ISTERI ITU MENAHAN DIRI MEREKA (BERIDAH) SELAMA EMPAT BULAN SEPULUH HARI. KEMUDIAN APABILA TELAH HABIS MASA IDAHNYA ITU MAKA TIDAK ADA SALAHNYA BAGI KAMU MENGENAI APA YANG DILAKUKAN MEREKA PADA DIRINYA MENURUT CARA YANG BAIK (YANG DILULUSKAN OLEH SYARAK). DAN (INGATLAH), ALLAH SENTIASA MENGETAHUI DENGAN MENDALAM AKAN APA JUA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:234)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menjelaskan satu lagi jenis iddah iaitu hukum tentang iddah (tidak boleh kahwin lain) & ihdad (tidak boleh berhias) seorang wanita yang kematian suaminya.
  2. Seorang wanita yang kematian suami WAJIB menjalani tempoh iddah selama: 4 bulan 10 hari.
    Ayat al-Quran menyebut dengan jelas & nyata tentang tempoh iddah ini. Ini ialah iddah wanita yang tidak hamil.
  3. Bagi wanita hamil, lain pula tempohnya, sebagaimana firman Allah s.w.t ini:

}وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ{

{Wanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.} [At-Taalaq: (4)]

Walaupun sesingkat mana tempoh dia melahirkan anak selepas kematian suami, tetap dikira selesai iddahnya walaupun sehari atau sejam!
Ayat in memberi kata putus & hukum yang jelas.

  1. Hadis yang diriwayatkan daripada al-Miswar bin Makhramah:

أَنَّ سُبَيْعَةَ نَفَسَتْ بَعْدَ وَفَاةِ زَوْجِهَا بِلَيَالٍ فَجَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَتْهُ أَنْ تَنْكِحَ، فَأَذِنَ لَهَا، فَنَكَحَتْ.

“Subai’ah al-Aslamiyah R.A anha telah melahirkan anak pada beberapa malam selepas kematian suaminya.
Subai’ah menemui Nabi S.A.W dan meminta izin untuk berkahwin, Baginda S.A.W membenarkannya lalu berkahwin.” [HR al-Bukhari (5320)].

  1. Kemudian selepas habis tempoh iddahnya tersebut, maka tidak menajdi kesalahan baginya untuk kembali hidup seperti wanita biasa tiada lagi ihdad dengan syarat perhiasan yang lulus Syara’ dan boleh berkahwin lain!

Atau wali yang menjaga tidak salah lagi untuk membenarkannya berkahwin lagi.

  1. Yakni ke atas wanita yang kematian suami dia kena menjalani dua hukumnya:

i- iddah- tempoh tidak boleh berkahwin lain iaitu selama 4 bulan 10 hari. Ada haidh atau tidak sama saja- kecuali yang hamil.

ii- ihdad- yakni tidak boleh berhias- memakai barang kemas, bercelak mata apatah lagi bermekap, memakai pakaian yang menarik perhatian, berwangi-wangian dan apa saja perkara yang membawa kepada berhias.
Juga sepanjang tempoh ihdad itu- 4 bulan 10 hari juga.

iii- tidak boleh keluar daripada rumah yang dia tinggal bersama suami semasa hidup.

  1. Menghabiskan tempoh iddah di rumah didiami bersama suami dulu lebih sesuai dengan keadaan perempuan yang sedang berkabung untuk menyelamatkan daripada fitnah.

i- Perempuan diharuskan keluar dengan alasan mendesak seperti ke klinik, membeli barang keperluan atau ke tempat kerja- bagi yang perlu bekerja.

ii- Jika tugasnya boleh dilakukan pada siang hari, maka tidak harus baginya memilih untuk bertugas pada waktu malam kerana pada waktu malam boleh menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah.

  1. Setelah selesai iddah, wanita itu boleh menentukan kehidupan yang mematuhi garisan undang-undang Allah S.W.T serta syariat agama.

Dia diharuskan menghiaskan dirinya mengikut syarat dibenarkan kepada wanita Islam, boleh menerima pinangan dan berkahwin dengan sesiapa yang disukainya.

  1. Dalil ihdad: Larangan ini adalah berdasarkan hadis daripada Ummu `Atiyyah al-Ansariyyah r.a. katanya:

كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، وَلاَ نَكْتَحِلَ وَلاَ نَتَطَيَّبَ وَلاَ نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ، وَقَدْ رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ أَظْفَارٍ، وَكُنَّا نُنْهَى عَنِ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ

“Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan kematian suami yang dibenarkan berkabung selama empat bulan 10 hari.

Kami tidak dibenarkan bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik, berseri melainkan ‘asb (sejenis pakaian perempuan Arab).
Ketika mandi setelah suci daripada haid, kami dibenarkan menggunakan sedikit minyak wangi. Kami juga dilarang untuk mengiringi jenazah.”
(HR al-Bukhari (307) dan Muslim (938))

  1. Hanya untuk kematian suami saja boleh berkabung lama ini, manakala untuk kematian orang lain samada bapa, adik beradik atau anak sendiri pun hanya selama 3 hari saja, jangan lebih.
  2. Dalilnya: Hadis yang diriwayatkan oleh Zainab binti Abi Salamah puteri Ummu Salamah r.a yang menceritakan,

Aku masuk menemui (ziarah) UM Ummu Habibah r.a ketika bapanya Abu Sufyan meninggal dunia, kemudian dia meminta wangi-wangian lalu dia menyentuhnya, (sesama wanita saja) kemudian berkata: ….

Kisah selanjutnya Zainab menceritakan:

“Aku masuk menemui (ziarah) UM Zainab binti Jahsh r.a ketika saudaranya meninggal dunia, kemudian dia meminta wangi-wangian lalu dia menyentuhnya, (sesama wanita saja) kemudian berkata:

Aku tidak memerlukan wangi-wangian ini, bagaimanapun aku dengar Rasulullah S.A.W bersabda ketika di atas mimbar:
Tidak harus berkabung bagi wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat melebihi tiga hari kecuali terhadap suaminya yang diwajibkan selama empat bulan 10 hari.” [HR Bukhari].
Yakni paling maksima 3 hari saja.

  1. Dalil tidak boleh bercelak yakni berhias lagi:

Zainab r.a tadi meriwayatkan lagi:
Aku pernah mendengar ibuku, Ummu Salamah, bercerita:
Seorang perempuan menghadap Rasulullah s.a.w dan berkata:
“Wahai Rasulullah, anak perempuan saya telah ditinggal mati suaminya, dan sekarang ia sakit mata. Bolehkan kami mencelaknya?”
Rasulullah s.a.w menjawab: “Tidak boleh.”
Dua atau tiga kali perempuan itu bertanya, dan Rasulullah s.a.w sentiasa menjawab: “Tidak boleh”.
Seterusnya Baginda bersabda:

إِنَّمَا هِيَ أَرْبَعَةُ أَشْهُرٍ وَعَشْرٌ

“Masa berkabung perempuan hanya empat bulan sepuluh hari.” [HR Ibnu Majah].

  1. Ringkasan iddah bagi tempoh wanita yang yang kematian suami:

i- Iddah wanita yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari sama ada masih haid mahupun sudah menopause (putus haid).

ii- Iddah wanita yang mengandung ialah selepas melahirkan anak sama ada bercerai hidup mahupun mahupun bercerai mati.

Iddah wanita mengandung yang kematian suami bergantung pada tempoh selepas kelahiran anaknya sama ada tempohnya panjang mahupun pendek.

  1. Kesimpulan antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh wanita dalam iddah ialah:

i- Haram menerima pinangan lelaki ajnabi secara jelas.

ii- Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi berdasarkan ijma’.
Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.

Firman Allah Taala;

وَلَا تَعْزِمُوا عُقْدَةَ النِّكَاحِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ
“Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis iddah yang ditetapkan itu.”(Surah al-Baqarah 235)

iii- Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.

Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

iv- Sabda Rasulullah s.a.w kepada Furai’ah r.a, seorang sahabat wanita yang kematian suaminya:
امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ
“Tinggallah di rumahmu sehingga selesai masa iddahmu.” [HR Abu Daud no. 2300, al-Tirmizi no. 1204, al-Nasa’i no. 3530 dan Ibn Majah no. 2031].

Ingat- anak-anak; jangan ambil ibu bawa tinggal ke rumah kamu, tetapi kamulah yang kena balik temani ibu menjalani iddahnya di rumah peninggalan suaminya yang telah pergi itu.

  1. Dan ingatlah, Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan. Maka janganlah melakukan sesuatu yang Allah larang atau berniat untuk melakukannya!

AYAT 235- {DAN TIDAK ADA SALAHNYA BAGI KAMU TENTANG APA YANG KAMU BAYANGKAN (SECARA SINDIRAN), UNTUK MEMINANG PEREMPUAN (YANG KEMATIAN SUAMI DAN MASIH DALAM IDAH), ATAU TENTANG KAMU MENYIMPAN DALAM HATI (KEINGINAN BERKAHWIN DENGAN MEREKA). ALLAH MENGETAHUI BAHAWA KAMU AKAN MENYEBUT-NYEBUT ATAU MENGINGATI) MEREKA, (YANG DEMIKIAN ITU TIDAKLAH SALAH), AKAN TETAPI JANGANLAH KAMU MEMBUAT JANJI DENGAN MEREKA DI DALAM SULIT, SELAIN DARI MENYEBUTKAN KATA-KATA (SECARA SINDIRAN) YANG SOPAN. DAN JANGANLAH KAMU MENETAPKAN DENGAN BERSUNGGUH-SUNGGUH (HENDAK MELAKUKAN) AKAD NIKAH SEBELUM HABIS IDAH YANG DITETAPKAN ITU. DAN KETAHUILAH SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUI APA YANG ADA DALAM HATI KAMU, MAKA BERINGAT-INGATLAH KAMU AKAN KEMURKAANNYA, DAN KETAHUILAH, SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA PENYABAR.} (AL-BAQARAH 2:235)

  1. Munasabah dengan ayat yang sebelumnya:

i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t nyatakan bahawa tempoh iddah bagi wanita yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari.

Tidak boleh berhias, keluar rumah & berkahwin lain. Untuk berkahwin dalam iddah ini adalah haram.

ii- tetapi dalam ayat ini Allah nyatakan boleh kamu nyatakan keinginan kamu itu secara sindirin sebagai isyarat untuk menandanya. Sekadar kiasan dengan cara yang sopan & beradab.

  1. Allah katakan lagi bahawa Dia tahu apa keinginan yang ada dalam hati kamu!

Maka tidak mengapa untuk menandakan keinginan untuk meminang perempuan yang masih dalam iddah dengan bahasa sindiran atau bahasa kiasan yang sopan dan bermaruah.

Bukan guna bahasa yang tidak baik apatah lagi lucah & kotor. Kiasan sekadar supaya dia atau walinya faham bahawa si lelaki ini ada niat.

3. Jangan secara rasmi masuk meminang dengan bawa hadiah & hantaran!

Atau berhubung dengan perempuan itu sendiri dengan cara sekarang ini- bermesej- whatsapp dan sebagainya.

  1. Kerana Allah telah membawa hukum yang jelas dalam ayat bahawa adalah haram untuk meminang atau menyatakan hasrat secara lansung (direct) kepada wanita dalam iddah untuk berkahwin dengan mereka selepas ini!
  2. Yakni semasa dalam iddah untuk meminang atau hanya berunding tentangnya saja adalah tidak boleh, apatah jika bernikah semasa dalam iddah pastilah nyata HARAM!
    Sebelum iddah berunding pun tidak boleh!
  3. Allah kata dia tahu apa yang ada dalam hati kamu, yang kamu suka & berkenan kepada wanita itu, kamu akan menyebutnya atau pendam dalam hati kamu.

Tetapi sabarlah dulu- jangan pinang atau nyatakan secara terang-terangan- biar dia menjalani iddahnya dengan tenang dan baik!

Bak kata pepatah tidak akan lari gunung yang dikejar.

  1. Jadi apabila kita tahu yang Allah tahu apa yang ada dalam hati kamu; maka berhati-hatilah, jagalah perbuatan kamu, ingat & takutilah akan kemurkaan Allah!
  2. Serta ketahuilah juga, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar, jika kamu tersilap, Dia tidak ambil tindakan segera ke atas kamu!
    Allah beri peluang untuk kamu bertaubat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 234- {Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.}- ini adalah hukum iddah bagi wanita yang kematian suami yang tidak hamil iaitu selama 4 bulan 10 hari.

Jika wanita hamil kena pasang dengan ayat di atas tadi pula: [At-Taalaq: (4)]

Ayat ini juga membatalkan hukum yang awalnya tempoh iddah bagi wanita kematian suami ialah setahun, firman Allah s.w.t:

{Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.} (Al-Baqarah 2:240)

Iddah adalah tempoh masa bagi perempuan untuk tidak menikah lagi dan tidak keluar rumah kecuali kalau ada uzur syarie, untuk mengetahui kekosongan rahimnya dari janin, atau untuk berkabung atas meninggalnya suami.

Iddah perempuan yang ditalak adalah tiga quru’ (3 kali suci dari haidh), sedangkan iddah perempuan yang ditinggali mati suaminya (dan ia tidak hamil) adalah empat bulan sepuluh hari; adapun yang hamil, iddahnya adalah sehingga anaknya lahir.

Meskipun kelahiran itu terjadi sesaat setelah si suami meninggal.
Perempuan tidak boleh berkabung atas kematian selain suami (misalnya anak, saudara, ayah, atau kerabat lainnya) lebih dari tiga hari.

  1. Ayat 234- {hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.}- ayat ini datang dalam uslub bahasa cerita (khabar) bukan uslub arahan (perintah).

Ini kerana cerita adalah perkara ini telah berlaku. Jika arahan adalah untuk benda akan datang.

Bermakna telah tetap, telah sempurna arahan bahawa wanita itu mesti tahan dirinya selama 4 bulan 10 hari untuk jaga hak suami & jaga hati & perasaan kaum keluarga & waris-warah.

4 bulah 10 hari adalah waktu yang mencukupi bagi tempoh bertenang bagi si wanita & kaum kerabatnya.

Perempuan beriddah perlu sabar dan bertenang, jangan keluar rumah, jangan berhias, jangan berwangi-wangian, jangan berniat nak kahwin lain lagi.

Dalam isu berhias mungkin boleh tahan lagi; tetapi tidak boleh keluar rumah terutamanya memerlukan ketahanan yang tinggi!

Kerana hatta untuk ke masjid atau keluar menghadiri majlis kuliah pun tidak boleh.

Apatah lagi pergi majlis kenduri atau musafir yang jauh seperti umrah atau haji, mesti ditangguhkan dulu sehingga habis iddahnya.

  1. Ayat 235- {Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).}-

Allah kata adalah tidak menjadi kesalahan dengan apa yang berlegar dalam kepala & hatikamu bahawa kamu berkenan akan wanita itu dan mahu meminangnya selepas ini!

Tapi jangan zahirkan dulu, sabar dulu sehingga iddahnya selesai- kata orang biar pecah di perut jangan pecah di mulut!

Kata ulama’ tadabbur: Waswas yang berada di dalam hati tidak diambil kira
{وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ};
kecuali telah keluar dari mulut!

Atau jika kamu nyatakan secara sindiran dengan baik…Driver baru nak mari dah tu!

  1. Ayat 234- {Hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.}- tempoh 4 bulan 10 hari ini tidak boleh dipertikai atau diminta tolak ansur lagi!

Ini kerana tempoh iddah 4 bulan 10 hari ini adalah arahan dari Allah, sebagai satu perintah beribadat kepada Allah.

Sama seperti bilangan rakaat solat, hanya Allah yang tetapkan & tahu hikmahnya.

Sebahagiannya kita boleh tahu jawapannya, ada juga yang hanya Allah yang tahu!

Untuk dapatkan buku yang bermanfaat ini sila ke:
Keindahan Islam.
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Manakala hikmah tempoh iddah selama 4 bulan 10 hari ini adalah:

i- untuk pastikan rahim wanita itu kosong, supaya orang lain tidak menyiram benih yang telah ditanam oleh orang lain.

ii- tidak boleh berhias kerana boleh menyebabkan lelaki lain terpikat kepadanya.

Juga untuk menjaga hak suami- isteri kena berhias ketika suami ada maka apabila suami tiada dia tidak boleh berhias lagi.

iii- dilarang keluar dari rumah itu selama 4 bulan 10, supaya senang nak jaga & kawalnya.

Serta supaya dia terasa besarnya kedudukan suami, tahu nikmat hidup & tinggal bersama suami di rumah tersebut.

Jika lepas meninggal terus dibawa keluar dari rumah itu maka seorang wanita tidak akan terasa sangat kesunyian & kesedihan kehilangan suami.

iv- Larangan dari meminang ketika iddah- kerana apabila sudah dipinang dia akan nak kahwin sedangkan dia dilarang daripada berkahwin lagi dalam tempoh tersebut!

Maka untuk menyekat perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t., maka dilarang juga daripada perkara yang membawa ke arahnya.

Cuma dibenarkan secara sindiran untuk menandanya.

Untuk penjelasan lanjut tentang hukum iddah & ihdad, berkabung dalam Islam boleh dengar kuliah-kuliah AAM berikut:
i- https://youtu.be/dwytAw6ejFA?si=RmbhRTI2r249x44S

ii- https://youtu.be/dwytAw6ejFA?si=RmbhRTI2r249x44S

iii- https://youtu.be/XQhavi5nvJM?si=HUh6mrQCE9RXAonT

Hati-hati dalam hukum berkabung dengan kematian ini, ikutlah SOP Syari’ah yang sepatutnya, bukan ikut adat!

Jangan sampai kita termasuk dalam kes perbuatan bid’ah tentang jenazah.

  1. Ayat 235- {Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah),}- penggunaan bahasa memainkan peranan penting dan memberi kesan yang berlainan.

Bahasa yang digunakan adakalanya:

i- kena guna bahasa kiasan atau sindiran seperti dalam kes pinangan ini.

Akan ada driver lepas ni, nanti ada orang tolong baiki rumah dan lain-lain.

ii- ada waktu kena direct- jangan guna kiasan nanti orang tak faham.

Contoh nak menyampaikan hukum Syari’ah- perbuatan ini haram jangan buat!

Seperti dalam kes cerai:

i- jika guna perkataan cerai atau talaq secara direct seperti: (aku cerai kamu!) tidak boleh ditakwil lagi atau mencari alasan/helah lagi walaupun si suami tidak mengaku & mengatakan tidak ada niat dalam hatinya!
Talaq sudah jatuh & sah!

ii- jika guna perkataan kiasan seperti: (aku hantar kamu balik ke rumah bapa kamu, kita dua sudah tidak ada apa-pa dan sebagainya) masih boleh ditakwil dan bergantung kepada niat si suami!

Semuanya kena ikut SOP Syari’ah, yang penting penggunaan bahasa yang baik & sopan sebagaimana yang sepatutnya.

Alhamdulillah tamatlah siri kita hari ini, bersambung esok tentang iddah wanita yang “janda berhias”, insya’ Allah.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.