SURAH AL-BAQARAH : AYAT 238-239

PERINTAH MENJAGA SOLAT DENGAN SEMPURNA, SOLAT AL-WUSTA & HUKUM SOLAT KHAUF.

Full video : https://youtu.be/FhLBBcBtWRw?si=qxGuY9dwJCRs5urI

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 238 sehingga ayat 239 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t bawa perintah menjaga solat dengan sempurna.
  3. Kemudian Allah sebut satu solat iaitu solat al-wusta {ٱلصَّلَوٰةِ ٱلْوُسْطَىٰ}, apakah ia kita akan lihat nanti.
  4. Diikuti dengan hukum solat khauf (صلاة الخوف) iaitu solat ketika ketakutan & darurat; wajib ditunaikan juga dengan caranya yang tertentu.
  5. Kesimpulannya- yang penting solat itu tidak gugur dalam apa jua keadaannya.
    Dalam perang, dalam banjir, majlis kahwin semuanya kena solat!

Ingat: Islam itu mudah tetapi jangan mempermudah-mudahkan Islam.

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t sebut beberapa hukum dalam perkara ibadat, muamalat & perhubungan antara suami isteri (kekeluargaan).

ii- Kemudian di akhir ayat, seruan agar bertaqwa kepada Allah, ingatlah bahawa Allah Maha Mengetahui semua keadaan hamba-Nya apakah mereka berbuat baik atau khianat terhadap wanita yang dibawah jagaannya.

Allah juga nyatakan bahawa segala perbuatan kamu itu akan dibalas di Akhirat kelak.

Allah juga sebut taqwa, yang merupakan kesedaran beragama yang terletak dalam hati & jiwa manusia.

iii- Sebagaimana uslub gaya al-Quran; setiap ayat yang Allah sebut hukum- di akhir ayat Allah akan sebut siapa Allah!

Allah bawa sifat-Nya- Allah Maha Berkuasa, Allah boleh ambik tindakan ke atas kamu, maka kamu jangan malas-malas, jangan cari pasal dan buat tak tentu pasal!

iv- lalu datang ayat ini, perintah untuk menjaga solat di celah-celah hukum & isu kekeluargaan.

Kerana selepas ini datang pula hukum keluarga.

Ia sebagaimana ayat doa di celah ayat puasa, hikmah orang puasa sebagai orang yang mustajab doa, maka jangan lupa kamu untuk berdoa.

Ini kerana mungkin punca besar perbalahan suami isteri, porak-peranda rumah tangga, rosaknya sistem kekeluargaan kerana mereka tidak menjaga solat dengan sempurna!

Mungkin mereka solat tetapi tidak betul-betul menjaganya, kerana orang yang jaga & sempurna solatnya lain dia punya adab & akhlak.

  1. Maka Allah bawa ayat solat ini celah ayat keluarga kerana manusia ini sangat berhajat kepada peringatan, nasihat tentang hubungan dengan Allah, lebih-lebih lagi apabila berlaku masalah seperti perceraian!

Maka semaklah balik hubungan kita dengan Allah, mungkin ada kepincangan & kekurangan yang menyebabkan rosaknya juga hubungan kita sesama manusia juga!

AYAT 238- {PELIHARALAH KAMU (KERJAKANLAH DENGAN TETAP DAN SEMPURNA PADA WAKTUNYA) SEGALA SEMBAHYANG FARDU, KHASNYA SEMBAHYANG WUSTA (SEMBAHYANG ASAR), DAN BERDIRILAH KERANA ALLAH (DALAM SEMBAHYANG KAMU) DENGAN TAAT DAN KHUSYUK.} (AL-BAQARAH 2:238)

  1. Allah s.w.t memerintahkan dalam ayat ini supaya kita orang Islam jaga solat fardhu secara umumnya.

Yakni kerjakan dengan tetap, jaga waktunya, sempurnakan rukun, fardhu, adab, syarat, sunat dan semua yang berkaitan.
Jika rukun saja tidak ada sunat, baca laju itu satu kepincangan yang agak berat!

  1. Ulama’ tafsir kata ayat ini datang di celah-celah hukum & isu kekeluargaan (iddah orang bercerai) untuk mengingatkan manusia tentang hubungannya dengan Allah!

Maka sesiapa yang ada masalah rumah tangga, masalah kekeluargaan semak balik hubungan kita dengan Allah!

3. Kata ulama’, Syeikh Daud al-Fatani rhm. dalam Kitab Musolli:
Solat ini ada kepala, ada tubuh & ada bulunya!

i- yakni tidak ada rukun seumpama tak ada kepala- tak sah.

ii- tubuh ada tetapi anggota cacat- sunat-sunat ab’adh tak buat.

iii- sunat ada tetapi tak buat pula sunat hai’ah, sunat yang tidak sempurna maka ia umpama manusia lelaki tidak berbulu!
Tidak sempurna juga.

4. Kemudian Allah bawa pesan khas untuk jaga solat Wusta- solat tengah { ٱلصَّلَوٰةِ ٱلْوُسْطَىٰ}.

Ramai ulama’ mengatakan ia adalah Solat Asar! Ia adalah satu solat yang amat besar penjagaannya kerana disebut khas dalam ayat ini serta sebagaimana beberapa hadis.

5. Hadis-hadis tentang kelebihan solat Asa:

i- riwayat Sayyidina Ali r.a, katanya: Ketika peperangan Ahzab Rasulullah S.A.W bersabda:

لَمَّا كَانَ يَوْمُ الأَحْزَابِ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَلَأَ اللَّهُ بُيُوتَهُمْ وَقُبُورَهُمْ نَارًا، شَغَلُونَا عَنِ الصَّلاَةِ الوُسْطَى حَتَّى غَابَتِ الشَّمْسُ.
Maksudnya: “Semoga Allah memenuhkan rumah dan kubur mereka dengan api, mereka membuatkan kita sibuk sehingga tidak sempat melakukan solat al-Wusta (Asar) sehingga terbenamnya matahari.” [HR al-Bukhari (2931) dan Muslim (627)]

ii- Sabda Rasulullah s.a.w:

  • أنَّ رَسولَ اللَّهِ ﷺ قالَ: ((الذي تَفُوتُهُ صَلاةُ العَصْرِ، كَأنَّما وُتِرَ أهْلَهُ ومالَهُ)) الراوي: عبدالله بن عمر • البخاري، صحيح البخاري

“Sesiapa yang tertinggal solat asat samalah seperti dia kehilangan seluruh ahli keluarganya dan harta.” [HR Bukhari]

iii- diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
‏ صَلاَةُ الْوُسْطَى صَلاَةُ الْعَصْرِ
Maksudnya: “Solat Wusta adalah solat Asar,” [HR at-Tirmizi (182), Ahmad (20129)].

6. Kemudian Allah perintahkan lagi: Berdirilah kerana Allah dalam solat kamu dengan taat dan khusyuk.

Yakni dirikan solat dengan khusyuk, jaga tamakninahnya, diam jangan bergerak banyak, bacalah segala zikir sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. berdirilah untuk solat ikhlas kerana Allah dengan taat & khusyuk!

Ulama’ juga kata ayat ini menunjukkan wajib untuk berdiri dalam solat fardhu jika mampu.
Ia salah satu rukun solat!
Orang yang mampu berdiri dia tidak ada hak untuk duduk- jika duduk juga tidak sah solatnya!

7. Munasabah hukum ini sebagaimana dalam hadis riwayat daripada Zaid bin Arqam r.a, katanya:

إِنْ كُنَّا لَنَتَكَلَّمُ فِي الصَّلاَةِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يُكَلِّمُ أَحَدُنَا صَاحِبَهُ بِحَاجَتِهِ، حَتَّى نَزَلَتْ: {حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ، وَالصَّلاَةِ الوُسْطَى، وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ}، فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ.

Maksudnya: “Sungguh kami pernah bercakap ketika sedang solat pada zaman Nabi S.A.W, hingga ada antara kami yang berbicara kepada sahabatnya tentang keperluannya, sehingga kemudian turunlah ayat:
“حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ، وَالصَّلاَةِ الوُسْطَى، وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ”
Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat Wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.” [al-Baqarah: 238] Setelah itu, kami diperintahkan untuk diam (ketika solat).
[HR al-Bukhari (1200) dan Muslim (539)].

8. Ibnu Kathir rhm. berkata: Hadis ini menimbulkan perbincangan ulama’:
i- solat difardhukan semasa di Makkah & larangan bercakap juga semasa di Makkah lagi! Sedangkan ayat ini turun di Madinah? Macamana kita nak satukan antara dua cerita ini?

ii- berkata ayat ini memang turun di Madinah & hadis Zaid tadi sahih juga. Ini kerana semasa di Madinah ada segelintir umat Islam yang baru masuk Islam, mereka tidak tahu dan bercakap ketika solat, maka ayat ini turun menjelaskan hukum larangan bercakap dalam solat!

iii- ada juga ulama’ kata hukum ini turun dua kali- di Makkah sekali larang kemudian di Madinah pula.

Tetapi Ibnu Ktahir kata pendapat pertama lebih sahih! Ayat larangan itu sekali saja turun.

AYAT 239- {DAN JIKA KAMU TAKUTI (SESUATU BAHAYA) MAKA SEMBAHYANGLAH SAMBIL BERJALAN ATAU BERKENDERAAN, KEMUDIAN APABILA KAMU TELAH AMAN SENTOSA, MAKA HENDAKLAH KAMU MENGINGATI ALLAH (DENGAN MENGERJAKAN SEMBAHYANG SECARA YANG LEBIH SEMPURNA), SEBAGAIMANA ALLAH TELAH MENGAJAR KAMU APA YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA.} (AL-BAQARAH 2:239)

  1. Allah kata apabila kamu berada dalam keadaan takut {فَإِنْ خِفْتُمْ}- dalam bahaya seperti perang dan seumpamanya, kamu boleh solat setakat yang kamu mampu tunaikannya!
  2. Tidak boleh sengaja tinggalkan solat dengan niat nak qadhanya kecuali orang yang tertidur, hilang ingatan (seperti pengsan/gila) dan lupa.
  3. Munasabah ayat:
    i- apabila Allah s.w.t perintahkan hamba-Nya jaga solat, sempurnakan hukum-hakam solat.

ii- maka dalam ayat ini Allah katakan ketika kamu tidak dapat sempurnakan solat seperti dalam ketakutan (perang dan lain-lain)- maka Allah ringankan hukumnya.

Solat tetap kena solat- tetapi boleh dirikan solat dalam keadaan bagaimana sekalipun tetapi tetap kena solat!
Solat tidak gugur dalam apa jua keadaanpun!

4. Kemudian apabila kamu telah aman {فَإِذَآ أَمِنتُمْ}- hendaklah kamu mengingati Allah, solat semula dengan sempurna sebagaimana yang kamu telah diajar.

Solat khauf ini hanya dalam keadaan darurat! Jika telah hilang sebab tidak boleh lagi!

5. Kedua ayat ini dengan jelas menyatakan ibadat solat amat diberati & diutamakan- tidak boleh meninggalkan solat dalam apa jua keadaan kerana solat itu tiang agama & pokok keimanan kita kepada Allah.

6. Oleh itu wajiblah umat Islam sentiasa memelihara & mengerjakan solat samada dalam masa sakit atau ketakutkan mengikut bagaimana cara yang diajar Allah s.w.t & Rasulullah s.a.w.

Ada solat takut (khauf) biasa, ada yang ketika bersangatan takut (شدّة الخوف).

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 238- {Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya)}-

Allah kata jagalah solat; ada ayat lain kata tunaikan solat, dirikan solat dan seumpamanya!

Bukan sekadar buat – tetapi jagalah segala rukun, fardhu, wajib dan segala sunatnya! Jangan tidak buat.

Jika kita tidak solat; kita adalah manusia yang lemah tidak bermaya kerana hubungan kita dengan Allah s.w.t telah terputus di saat kita sedar, di saat kita masih ingat!

Kita wajib jaga solat dengan sempurna, segala yang fardhu & terutamanya solat wusta iaitu solat Asar!

Insya’ Allah AAM dalam usaha untuk susun ringkasan kepada Kitab Munyatul Musolli karangan Syeikh Daud rhm.

  1. Ayat 239- {Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan}- ayat ini menjadi dalil bahawa fardhu solat tidak gugur sama sekali dalam apa jua keadaan.

Tidak harus kamu tinggalkan solat kerana apa sebab sekalipun!
Sakit atau darurat perang tetapi kena solat.

Cuba fikir- apalah daruratnya? sibuk kenduri anak berbanding dengan peperangan?

Malangnya masyarakat hari ini apabila masuk hospital menjadi lesen untuk tidak solat!

Berapa ramai pesakit yang menjadikan sakit itu sebagai alasan tidak dapat solat.
Ini diakui oleh staff hospital sendiri, bukan setakat pesakit tetapi yang lebih malangnya ada penunggu pesakit itu juga tidak solat????

Apakah hikmah solat tidak gugur walaupun dalam keadaan darurat, terdesak & sakit yang begitu berat?

Jawapan: Kerana solat itu memperingatkan hamba-Nya bahawa Allah itu yang berkuasa atas segala sesuatu.

Bila kita solat kita berhubung dengan Allah, kita tahu Allah yang beri kita sakit ini, bala & bencana ini, kesusahan ini dan Dia juga yang berkuasa angkat semuanya ini daripada kita!

Allah beri kita penyakit & ujian untuk kita sedar jika terlalai & lagha.

Kerana apa Allah sebut dua kali? I
ni kerana:

i- pertama kamu kena lakukan solat buat solat {حَـٰفِظُوا۟ عَلَى ٱلصَّلَوَٰتِ} yakni jaga solat yang fizikal!

ii- kemudian Allah sebut {dan solat wusta- ٱلصَّلَوٰةِ ٱلْوُسْطَىٰ} itulah solat yang terbaik!

Solat yang terbaik ialah solat yang khusyuk sempurna, cukup segala rukun & sunat, perbuatan & bacaannya, solat dengan Ikhlas yakni jaga pula batin solat!

Setiap kalimah, setiap patah ayat yang Allah sebut dalam al-Quran- walaupun nampak sama & berulang; tetapi semuanya jika ditadabbur mengandungi maksud & hikmah yang tersendiri & khas!

Tiada benda tulo (sama) dalam al-Quran yang diulang tanpa memberi faedah yang tersendiri.

  1. Beza antara dua penggunaan kalimah dalam ayat ini:

i- {فَإِنْ خِفْتُمْ}- ketika kamu takut- ketika (in-إِنْ) menunjukkan sesuatu yang jarang-jarang berlaku.
Takut tidak berlaku selalu, seperti takut banjir hanya pada musim tengkujuh.

ii- { فَإِذَآ أَمِنتُمْ}- apabila kamu sudah aman- ini kerana perkataan apabila (iza-إِذَآ) menunjukkan benda yang biasa berlaku, sentiasa atau sering berlaku.

Ayat ini memberi khabar gembira kepada kaum muslimin bahawa selagi akan datang pertolongan Allah s.w.t; kamu akan hidup dalam keadaan aman, takutnya sekejap, aman & selamatnya lama.

  1. Ayat 239- {Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan,}- jika kamu takut, solatlah dalam keadaan berjalan atau berdiri.

Alhamdulillah, ini menunjukkan luasnya rahmat Allah s.w.t kepada hamba-Nya.

Agama ini mudah, jangan sesiapa yang nak keraskan (susahkan) agamanya dia akan tewas!

Semua urusan kemudahan ini (solat khauf, jamat, qasar dan lain-lain)- adalah rukhsah yang Allah beri kepada hamba-Nya.

Ingatlah agama ini mudah – solat khauf, jamak & qasar-semuanya dibuat untuk kemudahan kamu (من التيسير)- tetapi ingat; jangan bermudah-mudah- tak solat terus apabila sakit atau susah!

Untuk pemahaman lanjut tentang agama ini mudah boleh ikuti kuliah:
https://www.youtube.com/playlist…

  1. Ayat 239- {kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.}-

Ulama’ kata ayat ini menunjukkan bahawa manusia ini lemah, banyak kekurangan, asal manusia juga jahil sehinggalah Allah ajar kepada kita ilmu barulah kita menjadi pandai!
Bila pandai jangan pula jadi sombong!

Inilah ilmu tentang Allah, tentang Rasul, tentang kehidupan semuanya diajar oleh Allah s.w.t!

Maka jangan lupa salah satu ilmu yang kita kena belajar ialah ilmu tadabbur al-Quran.

Antara buku yang diusahakan oleh AAM hasil kuliah tafsir & tadabbur ringkas al-Quran:

Wa Absyiru.
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Alhamdulillah tamatlah dulu kuliah untuk siri kita hari ini! Semoga kita semua mendapat manfaat & faedahnya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.