SURAH AL-BAQARAH : AYAT 240-242

ASAL IDDAH KEMATIAN SETAHUN, WANITA YANG DICERAIKAN BERHAK MENDAPAT BELANJA & HUKUM ALLAH SANGAT JELAS.

Full video : https://youtu.be/IFlPK0SJqeQ?si=O_yEF8eOUg49pWgE

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 240 sehingga ayat 242 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan asal iddah kematian setahun.
  3. Serta wanita yang diceraikan berhak mendapat belanja atau saguhati (mut’ah). Belanja ini ikut kadar & keperluan yang ditinggalkan.
  4. Di akhir ayat Allah nyatakan bahawa hukum Allah itu sudah sangat jelas. Cuma manusia yang jerebu fikirannya memburukkan agama Islam & ajarannya.
  5. Munasabah ayat:
    i- ayat ini adalah pelengkap kepada ayat kekeluargaan- perkahwinaan & perceraian dalam surah ini sebelumnya.

Kemudian adalah celahan dua ayat tentang kepentingan menjaga solat. Kerana solat itu tiang agama, serta punca kebanyakan masalah adalah tidak menjaga solat dengan sempurna.

Jika orang yang benar-benar solat dia akan laksanakan undang-undang Allah ke atas dirinya, tidak aniaya & menzalimi wanita.
Ini antara hikmah & munasabah ayat.

ii- Inilah uslub al-Quran- apabila perbincangan tentang sesuatu isu atau hukum itu sangat panjang akan dibawa dicelahnya hukum lain yang ada kaitan juga dengannya.

Kerana kaiatannya dengan solat amat besar kerana punca perbalahan adalah kerana tidak solat!

Sebagaimana ayat puasa dicelah dengan doa kerana kaitan antara keduanya yang begitu dekat.

ii- maka pada hari ini disambung balik dengan hukum kekeluargaan iaitu khususnya tentang hukum asal iddah seorang wanita yang kematian suami iaitu selama setahun.

  1. Terbukti jelas kaitan & kesinambungan yang begitu jelas dan indah bahawa al-Quran adalah datang dari Allah s.w.t!

AYAT 240- {DAN ORANG-ORANG YANG (HAMPIR) MATI DI ANTARA KAMU SERTA MENINGGALKAN ISTERI, HENDAKLAH BERWASIAT UNTUK ISTERI-ISTERI MEREKA, IAITU DIBERI NAFKAH SAGUHATI (MAKAN, PAKAI DAN TEMPAT TINGGAL) HINGGA SETAHUN LAMANYA, DENGAN TIDAK DISURUH PINDAH DARI TEMPAT TINGGALNYA. KEMUDIAN JIKA MEREKA KELUAR (DARI TEMPAT TINGGALNYA DENGAN KEHENDAKNYA SENDIRI) MAKA TIDAKLAH KAMU BERSALAH (WAHAI WALI WARIS SI MATI) MENGENAI APA YANG MEREKA (ISTERI-ISTERI ITU) LAKUKAN PADA DIRI MEREKA DARI PERKARA YANG PATUT YANG TIDAK DILARANG SYARAK) ITU DAN INGATLAH, ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-BAQARAH 2:240)

  1. Allah s.w.t perintahkan kepada orang yang hampir mati atau tanda-tanda nak mati di kalangan orang Islam yang akan meninggalkan isteri untuk berwasiat kepada mereka yang akan ditinggalkannya.

Iaitu untuk memberi nafkah saguhati kepada isteri mereka dengan menyediakan makan, pakai dan tempat tinggal hingga setahun lamanya dengan tidak disuruh pindah.

  1. Yakni dia hendaklah berwasiat, berpesan kepada para wali warisnya yang ada agar jangan disuruh isterinya itu pindah keluar dari tempat tinggalnya sehingga setahun tempohnya.
  2. Si isteri bebas untuk memilih dengan kerelaannya samada:

i- untuk tinggal di dalam rumah suaminya itu selama setahun dan mendapat segala nafkah dari segi makan pakainya.
Para wali tidak boleh paksa mereka keluar atau halaunya!

ii- tetapi jika dengan kerelaanya sendiri si isteri (balu atau janda) itu pilih untuk keluar berpindah- wali waris si mati tidak boleh larang; tetapi putuslah pemberian nafkah & belanja.

  1. Majoriti ulama’ tafsir kata Ayat ini bacaan masih ada tetapi hukumnya telah dibatalkan dengan ayat 234 sebelum ini:

i- {Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.}- iaitu orang yang kematian suami hanya berkabung selama 4 bulan 10 hari bukan lagi setahun.
Dia juga mesti berihdad- tidak boleh berhias & keluar bebas dari rumah dalam tempoh itu.

ii-dari sudut pemberian nafkah (mut’ah) juga terbatal kerana seorang wanita yang kematian suami sudah akan menerima atau mewarisi pusaka dari si suami yang meninggal itu samada 1/4 atau 1/8 daripada harta suami.

Iaitu melalui ayat 12 surah An-Nisa’:
{Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu.}.

5. Maka tidak perlu bimbang lagi jika seorang suami meninggal dunia secara mengejut, si isteri itu sudah ada bahagian, tidak perlu lagi kepada wasiat kerana Allah sudah tetapkan kadarnya!

6. Dalam hak harta benda Allah tidak wakilkan pembahagian pusaka ini kepada malaikat, kepada Nabi tetapi Allah sendiri yang menetapkannya sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran apabila orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang pembahagian harta pusaka (kalalah):

{ يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ ٱللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِى ٱلْكَلَـٰلَةِ} –

{Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah).
Katakanlah: “Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu,} [An-Nisaa’: 176].

7. Maka berhati-hatilah kita, jangan pusing situ pusing sini atas nama hibah, wasiat atau sebagainya, semua jangan rempuh masuk nak tukar nak modified dalam hukum pensyari’atan yang telah Allah s.w.t tetapkan dengan jelas melaui nas al-Quran!

8. Hadis- Ketika nak kumpulkan & tulis al-Quran dalam satu Mushaf (Mushaf Uthmani);

Abdullah bin Az-Zubair r.a bertanya kepada Sayyidina Usman r.a tentang ayat ini kenapa kita nak kekalkan tulisannya, sedangkan hukumnya sudah dimansukhkan dengan ayat lain? Kenapa nak tulis juga?

Khalifah Uthman r.a menjawab:
Wahai anak saudaraku!
Aku tidak akan ubah apa yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. [HR Bukhari].

Ini kerana Rasulullah s.a.w sendiri yang meletakkan ayat-ayat itu pada tempatnya, tidak membuangnya.
Dan Baginda s.a.w mendapat panduan dari malaikat Jibril a.s yang dapat perintah dari Allah s.w.t.
Jika kena buang pastilah Baginda s.a.w akan buangnya dari awal lagi.

9. Kerana itu dalam al-Quran ini ada:
i- ayat yang dimansukh tetapi hukumnya masih ada, seperti hukuman rejam penzina muhsan.

ii- manakala ayat ini bacaannya masih ada tetapi hukumnya pula telah dimansukhkan.

10. Di akhir ayat Allah berpesan mengingatkan bahawa Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Yakni tidak siapa boleh langar perintah Allah ini, siapa yang langar maka dia telah menzalimi orang & akan menerima padah azabnya dari Allah s.w.t!

AYAT 241- {DAN ISTERI-ISTERI YANG DICERAIKAN BERHAK MENDAPAT MUT’AH PEMBERIAN SAGUHATI) DENGAN CARA YANG PATUT, SEBAGAI SATU TANGGUNGAN YANG WAJIB ATAS ORANG-ORANG YANG TAQWA.} (AL-BAQARAH 2:241)

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah sebut belanja isteri yang kematian suami setelah menyebut tentang nafkah isteri yang diceraikan dalam ayat sebelumnya.

Allah ulang ini untuk menguatkan undang-undang yang pertama & nak jadikan dia umum- semua isteri yang diceraikan berhak dapat nafkah!

ii- kemudian datang sekali dalam ayat ini bahawa para suami wajib memberikan kepada isteri yang diceraikan mut’ah- nafkah saguhati dari makan-minum, pakaian & tempat tinggal dengan baik.

  1. Maksudnya dengan baik ini {بِٱلْمَعْرُوفِ} adalah ikut keperluan isteri & kemampuan suami.
    Jika ada anak yang menyusu pastilah keperluan itu lebih lagi.
    Jangan membebankan & jangan terlalu bakhil!
  2. Jangan langgar hukum Allah ini, inilah hak para isteri yang diceraikan itu.
    Begitulah hukum & perundangan Islam itu begitu sempurna dan meliputi berkaitan dengan segala aspek kehidupan manusia!

قيل: من كثر اطلاعه قل اعتراضه

Siapa yang banyak belajar, mengaji & mengkaji maka kuranglah bantahannya.

  1. Apa yang menyebabkan banyak berlaku kecelaruan berlaku hari ini adalah kerana tidak belajar, tiada ilmu & maklumat yang jelas tentang agama!

Macamana nak cinta agama jika tidak belajar, macamana nak sayang al-Quran jika tidak baca & faham maknanya!

  1. Semoga tidak ada lagi anak orang Islam sendiri yang membantah hukum & undang-undang Allah- dengan mencari ilmu yang berkaitan maka akan faham maksudnya Kalam Allah ini!

AYAT 242- {DEMIKIANLAH ALLAH MENERANGKAN KEPADA KAMU HUKUM-HUKUMNYA SUPAYA KAMU MEMAHAMINYA.} (AL-BAQARAH 2:242)

  1. Begitulah Allah jelaskan hukumnya kepada kita agar kita faham, kita amal, kita akur & patuh kepada ketetapan Allah s.w.t.
    Kita buat apa yang Allah suruh & apa yang diajar oleh Nabi s.a.w.
  2. ia juga agar kita tidak mereka-reka perkara & ibadat dalam agama!
    Nak reka fesyen rekalah- tetapi dalam agama jangan sekali-kali!
  3. Kata ulama’ tafsir: Allah telah jelaskan semua hukumnya, ayat ini adalah satu penegasan, Semua hukum Allah adalah jelas, penuh dengan hikmah & kesempurnaa.
    Jangan komen ikut hawa nafsu kerana itu akan menghancurkan masa depan kamu, bawa kepada kerosakan yang yang lebih besar.

Apabila orang tidak tahu bercakapa akan lebih merosakakn daripada membina, jangan jadi seperti tikus membaiki labu- bertambahlah kerosakannya!

Begitulah apabila orang tidak tahu agama tetapi mahu komen tentang agama- akan merosakkan- maka sabar pergi mengaji dulu!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 240- {Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya,}- asal iddah orang yang kematian ini adalah setahun.

Yakni boleh berada di rumah suaminya yang mati, makan minum, pakai dan tinggal di situ selama yang dia selesa & mahu, dalam tempoh setahun.

Pihak wali pewaris tidak boleh halang- samada dia nak duduk penuh setahun atau nak keluar sebelum tempoh itu.

Tetapi jika dia mahu pindah atau keluar maka akan terputuslah kewajipan nafkah itu.
Pilihan di tangan si balu atau janda itu.

Kemudian Allah batalkan undang-undang ini dengan dengan diberi pusaka khas.

Kita belajar ayat & hukum ini kerana Allah s.w.t mahu kita sedar & tahu bahawa iddah bagi seorang balu itu sebelum ini adalah lebih berat daripada sekarang!

Yang 4 bulan 10 hari sekarang ini pun sudah bermacam soalan & alasan untuk keluarnya!

Inilah undang-undang biar kita rasa pendek kerana ada yang lebih lama & panjang sebenarnya.

Ada pandangan kedua: Ulama’ kata ia tidak dimansukhkan- iddah kekal selama 4 bulan 10 hari tetapi jika kamu nak lagi ambil belanja nafkah selama tujuh bulan lagi- kamu kena habiskan waktu berkabung di atas rumah itu lagi.

Tetapi majoriti ulama’ kata tidak begitu; ia telah dibatalkan terus dengan peraturan baru 4 bulan 10 hari.

  1. Ayat 240- {hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya,}- ayat untuk mut’ah saguhati untuk mereka yang diceraikan atau ditinggalkan mati.

Ulama’ kata ayat ini kekal tidak dibatalkan- mereka para balu & bekas isteri ini semua berhak mendapat nafkah & belanja selama setahun walaupun akan dapat wasiat!

Kecuali isteri yang dicerai sebelum disentuh- tidak dapat mut’ah kerana dia sudah dapat separuh daripada mahar asalnya.

Ini kerana pusaka itu bukannya akan dapat segera.
Memakan masa juga serta harta itu kena lalui proses dan hukumnya yang khas, seperti:

i- keluarkan dulu belanja untuk menguruskan mayat,
ii- bayar hutang si mati jika ada
iii- kemudian tunaikan wasiat
iv- baru dapat dibahagikan sebagai pusaka.

Inilah asas perbincangan.
Majoriti ulama’ kata mut’ah pemberian saguhati ini sunat & wajib bagi mazhab Syafei.

Apatah lagi jika wanita yang diceraikan- mereka tidak akan dapat pusaka- maka wajiblah untuk diberikan nafkah kepada mereka untuk tempoh itu sehinggalah dia mampu berdikari meneruskan semula kehidupan mereka selepas bercerai.
Apatah lagi yang ada anak kecil atau besar!

  1. Ayat 241- {Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.}-

Allah sebut tanggung-jawab mut’ah pemberian saguhati ini adalah hak ke atas orang yang bertaqwa.

Bila kita nak mewajibkan atau meminta sesuatu daripada seseorang itu kena gunakan ayat atau sifat-sifat yang dekat dan dapat melembutkan hati mereka untuk melakukannya.

Yakni para suami, jika kamu bertaqwa, kamu tidak akan langgar perintah Allah s.w.t ini!

Isteri yang kamu ceraikan itu adalah orang yang pernah kamu sayang, yang pernah hidup bersama dengan kamu dulu, cuma sekarang ini saja ada masalah.

Maka berikanlah hak mereka, nafkah & mut’ah yang Allah telah ajar & beri panduan ini dengan secara baik!

Isu semasa: (15hb Disember 2023)
Mahkamah Persekutuan telah memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang berkaitan menjenayahkan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang, kerana ia tidak berperlembagaan.

Ini satu keputusan yang buruk secara zahirnya- kita minta Allah selamatkan kita & keluarga daripada segala keburukan hasil pemikiran sekular ini!

Kerana itu Allah kata orang yang bertaqwa tidak akan langar SOP Syari’ah, dia tidak akan buat apa saja perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t!

  1. Ayat 240- {Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka}-

Allah kata tidak ada kesalahan bagi kamu wahai para wali, jika si isteri itu sendiri mahu keluar daripada rumah bekas suami mereka.

Melalui ayat ini ulama’ kata orang yang bertanggung-jawab atas para wanita adalah lelaki yang bertugas sebagai wali.

Wali diperlukan untuk jaga wanita, menolong wanita dalam membuat keputusan, iaitu wali yang ada pertimbangan & rasional.

Kerana itu juga wanita nak kahwin kena ada wali. Ini kerana wanita ini mudah tergoda, mudah koyak perasaannya juga.

Kerana itu wali perlu ada untuk memberi nasihat supaya ada check & balance dalam tindakan seseorang wanita itu.
Bukan kerana wanita tidak cerdik tetapi wanita memang tabiatnya mudah ikut perasaan.

  1. Ayat 242- {Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.}-

Allah telah nyatakan ayat-ayat keterangannya dengan lengkap dan sempurna!

Semua hukum Allah lengkap dan sempurna, ada nasihat, ada hikmah.
Maka jangan kita mudah dan pandai-pandai buat hukum & keputusan sendiri.

Orang yang berakal akan berfikir, mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Kerana itu Allah puji orang yang menggunakan akal yang waras untuk memilih dan membuat pertimbangan, untuk mencari kebenaran & perkara yang jelas, meninggalkan keburukan.

Kata ulama’ juga: Ayat ini juga mencela orang yang mencari hukum & perundangan yang lain dari yang telah Allah wahyukan ini!

Seolah-olah tidak jelas lagi apa yang Allah turunkan, seolah ulama’-ulama’ itu tidak faham apa yang Allah nak sampaikan!


PESANAN : Jika ada anak nak masuk sekolah menengah tahun ini jangan lupa untuk pilih sekolah yang ada asas agama, pengajian Islam atau al-Quran.

Jika anak layak nak pilih aliran sains pun pilihlah sekolah yang ada keduanya; sains & agama. Dia jadi doktor, jadi pilot dan apa saja, tetapi dalam masa yang sama dalam dadanya ada al-Quran, ada asas agama yang akan membimbing kehidupannya dunia Akhirat!

Akal memainkan peranan yang besar apabila dididik dengan baik dia akan melahirkan generasi yang beriman, bertaqwa kepada Allah, bijak dan bertanggung-jawab.

Alhamdulillah selesailah kuliah tafsir kita untuk hari ini, jangan lupa untuk dapat buku Keindahan Islam di:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Semoga Bermanfaat Kepada Pencinta Al-Quran!

Koleksi catatan tafsir yang lepas boleh dibaca di:
www.abuanasmadani.com