SURAH AL-BAQARAH : AYAT 246-248

BANI ISRAIL MINTA LANTIK RAJA, TOLUT DIPILIH SEBAGAI KETUA & TABUT DIKEMBALIKAN TANDA KERAJAAN SAH.

Full video : https://youtu.be/KFPHRQP394Q?si=9scZPV2GDomygO7V

MUQADDIMAH:

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 246 sehingga ayat 248 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang Bani Israil minta dari nabi mereka (Samuel) supaya melantik seorang raja yang akan memimpin mereka keluar dari penindasan.
  3. Maka Allah s.w.t seorang pemuda yang gagah perkasa bernama Tolut dipilih sebagai ketua. Tetapi mereka tidak puas hati pula!
  4. Antara tanda kebenaran Kerajaan Tolut adalah pilihan Allah ialah Tabut (peti) dikembalikan kepada bani Israil.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah perintahkan orang beriman supaya berperang.
    Kemudian diceritakan tentang sekumpulan manusia yang ramai lari keluar kerana tidak mahu berperang.

Lalu dinyatakan dua sebab utama binasa manusia iaitu penakut & bakhil!
Allah nyatakan juga bahawa jika kamu lari kerana takut mati pun kamu akan mati juga di mana-mana.

ii- lalu Allah nyatakan kisah tentera Tolut ini. Peperangan perlu strategi; antaranya ialah pemimpin atau panglima perang yang kuat & bijak!
Jika kuat saja tetapi bodoh atau bijak tetapi lemah fizikal tidak akan berjaya!

AYAT 246- {TIDAKKAH ENGKAU KETAHUI (WAHAI MUHAMMAD), TENTANG (KISAH) KETUA-KETUA DARI BANI LSRAIL SESUDAH (WAFATNYA) NABI MUSA, KETIKA MEREKA BERKATA KEPADA SEORANG NABI MEREKA: “LANTIKLAH SEORANG RAJA UNTUK KAMU, SUPAYA BOLEH KAMI BERPERANG (BERSAMA-SAMA DENGANNYA) PADA JALAN ALLAH” NABI MEREKA MENJAWAB: “TIDAKKAH HARUS, JIKA KAMU KELAK DIWAJIBKAN BERPERANG, KAMU TIDAK AKAN BERPERANG?,” MEREKA BERKATA: “MENGAPA PULA KAMI TIDAK AKAN BERPERANG PADA JALAN ALLAH, SEDANG KAMI TELAH DIUSIR DARI KAMPUNG HALAMAN KAMI, DAN (DARI) ANAK-ANAK KAMI?” MAKA APABILA PERANG ITU DIWAJIBKAN ATAS MEREKA, MEREKA MEMBELAKANGKAN KEWAJIPAN ITU, KECUALI SEBAHAGIAN KECIL DARI MEREKA. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN ORANG-ORANG YANG ZALIM.} (AL-BAQARAH 2:246)

  1. Allah s.w.t menceritakan lagi kepada Rasulullah s.a.w tentang kisah yang berlaku pada bani Israil selepas ketiadaan Nabi Musa a.s beberapa dekad.
  2. Mereka meminta daripada seorang nabi mereka untuk dilantik seorang ketua yang dapat memimpin mereka dalam peperangan & pemerintahan negara, untuk mengubah nasib daripada ditindas & kezaliman musuh!

Mengikut riwayat Israiliyat nabi mereka ini bernama Samuel (صمويل).
Ini kerana dalam peperangan atau pemerintahan satu negara perlukan seorang ketua atau raja yang dapat memimpin mereka!

  1. Apabila mereka minta begitu, Nabi mereka yang sudah tahu feel perangai mereka bani Israil ini berkata: “Betulkah permintaan kamu ini? Nanti jika kamu diwajibkan berperang, kamu tidak akan pergi berperang?”
  2. Mereka menjawab lagi dengan yakin dan semangatnya: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedangkan kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan dari anak-anak kami?”
  3. Tetapi apabila Allah perintahkan perang itu diwajibkan atas mereka, mereka lari, membelakangkan kewajipan itu.

Mereka minta tetapi apabila Allah suruh mereka lari pula!
Kebanyakan daripada mereka penakut lemah tidak berdaya kecuali sebahagian kecil dari mereka yang ikhlas berjuang.

  1. Beginilah uslub al-Quran- selepas dibawa satu hukum yang berat & serius- ia akan bawa satu kisah supaya manusia ambil iktibar dari kisah orang yang terdahulu!

Allah juga bawa beberapa tanda dalam al-Quran yang menunjukkan kekuasaan-Nya untuk menghidupkan semula orang yang telah mati.

  1. Pada akhir ayat Allah mengatakan bahawa ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

Kenapa pula mereka dikatakan orang zalim sedangkan mereka orang yang ditindas jika ikut ceritanya?

8. Ini kerana zalim itu ada dua kategori:
i- zalim dan jahat- menindas orang lain yang lemah.

ii- zalim kepada diri sendiri dengan kufur kepada Allah, ini kerana Syirik adalah kezaliman yang paling besar!

AYAT 247- {DAN NABI MEREKA PULA BERKATA KEPADA MEREKA: “BAHAWASANYA ALLAH TELAH MELANTIK TALUT MENJADI RAJA BAGI KAMU. MEREKA MENJAWAB: “BAGAIMANA DIA MENDAPAT KUASA MEMERINTAH KAMI SEDANG KAMI LEBIH BERHAK DENGAN KUASA PEMERINTAHAN ITU DARIPADANYA, DAN IA PULA TIDAK DIBERI KELUASAN HARTA KEKAYAAN?” NABI MEREKA BERKATA:” SESUNGGUHNYA ALLAH TELAH MEMILIHNYA (TALUT) MENJADI RAJA KAMU, DAN TELAH MENGURNIAKANNYA KELEBIHAN DALAM LAPANGAN ILMU PENGETAHUAN DAN KEGAGAHAN TUBUH BADAN”. DAN (INGATLAH), ALLAH JUALAH YANG MEMBERIKAN KUASA PEMERINTAHAN KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA; DAN ALLAH MAHA LUAS (RAHMATNYA DAN PENGURNIAANNYA), LAGI MELIPUTI ILMUNYA.} (AL-BAQARAH 2:247)

  1. Lalu Nabi mereka berkata kepada mereka bahawa Allah telah menerima permintaan mereka dengan melantik Tolut sebagai raja & pemimpin mereka!
  2. Bani Israil yang banyak karenah, keras kepala terus tidak puas hati kerana Tolut adalah orang kampung biasa, bukan keturunan bangsawan, seorang yang miskin tiada harta- bukan seperti mereka yang memiliki segalanya!
  3. Nabi mereka menasihati mereka akan dengar kata & menerimanya kerana:

i- Allah yang pilih Tolut untuk menjadi raja.

ii- Allah juga memilihnya kerana Tolut ini seorang yang amat luas ilmunya serta gagah perkasa.
Besar tegap tubuhnya serta bijak akalnya- dua kriteria yang penting untuk seorang raja & panglima perang.

Tolut kuat dari sudut jiwa iaitu ilmu & kuat dari sudut fizikal iaitu tubuh badan yang gagah & kuat!

  1. Sekali lagi Allah mengingatkan bahawa Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya!

Allah beri mereka peluang untuk berkuasa- ada orang yang baik adil & ada penguasa yang zalim & tidak baik!

Kuasa pemerintahan itu bukan boleh dipusakai tetapi ia adalah orang yang terpilih!
Allah bagi peluang untuk dia memimpin.

  1. Yakni apabila Allah pilih seseorang menjadi pemimpin kita terimalah tetapi jika dia buat perkara yang zalim & mungkar, kuat maksiat kita tidak redha.

Jika dalam sistem demokrasi kita boleh lawan dengan tukar mereka, ubah undi kepada yang lain!

  1. Allah juga nyatakan bahawa Dia Maha Luas rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya, lagi meliputi ilmu-Nya.

AYAT 248- {DAN NABI MEREKA, BERKATA LAGI KEPADA MEREKA: “SESUNGGUHNYA TANDA KERAJAAN TALUT ITU (YANG MENUNJUKKAN BENARNYA DARI ALLAH) IALAH DATANGNYA KEPADA KAMU PETI TABUT YANG MENGANDUNGI (SESUATU YANG MEMBERI) KETENTERAMAN JIWA DARI TUHAN KAMU, DAN (BERISI) SEBAHAGIAN DARI APA YANG TELAH DITINGGALKAN OLEH KELUARGA NABI-NABI MUSA DAN HARUN; PETI TABUT ITU DIBAWA OLEH MALAIKAT. SESUNGGUHNYA PERISTIWA KEMBALINYA TABUT ITU MENGANDUNGI SATU TANDA KETERANGAN BAGI KAMU JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BERIMAN”.} (AL-BAQARAH 2:248)

  1. Nabi mereka memberitahu lagi bahawa antara tanda kebenaran pemilihan Tolut ini adalah dari Allah dengan kembalinya Tabut kepada mereka bani Israil.
  2. Tabut ini adalah satu peti keramat bagi bani Israil yang mengandungi beberapa barang peninggalan Nabi Musa a.s & nabi Harun a.s yang telah dirampas oleh pihak musuh.

Katanya ada cebisan lembaran Taurat yang ditulisan atas lembaran kertas yang diperbuat dari daun papirus.

Perkataan (paper) iaitu kertas dalam bahasa Inggeris diambil daripada perkataan papirus iaitu bahan penulisan Mesir silam inilah, yang dijalin daripada pokok papirus.

  1. Peti ini dibawa datang oleh malaikat yang mengambilnya dari musuh mereka- kerana tidak mungkin manusia biasa untuk merampasnya kembali.
    Tabut ini akan memberi kententeraman jiwa kepada bani Israil jika menerimanya!
  2. Peristiwa kembalinya Tabut kepada Tolut ini adalah satu tanda kebenaran Kerajaan Tolut yang dipilih Allah jika kamu orang yang beriman!
    Kamu bani Israil nak terima atau tidak- itulah hakikatnya yang tidak dapat ditolak lagi tanda atau bukti yang Allah bawa.

PENUTUP & FAEDAH:

  1. Ayat 246- {Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa,}- kisah ini adalah apa yang berlaku kepada bani Israil iaitu pada zaman Nabi Samuel a.s dan munculnya Nabi Daud a.s.

Kisah ini juga untuk menggalakkan mereka berperang!
Untuk berjihad kena lalui ujian & proses tarbiyah.

Proses tarbiyah ini penting, jika orang yang tak ada tarbiyah diberi jawatan, dia akan mudah melompat & lari meninggalkan perjuangannya!

Tarbiyah ini ada macam-macam yang penting dapat menguatkan ketahanan jiwa.

Bani Israil gagal dalam ujian ini kerana jiwa mereka lemah- mereka penakut, mudah lari & bakhil! Takut kepada mati & tamak kepada harta.

Kerajaan ini bukan dengan sebab pusaka semata-mata.
Kena ada kekuatan jiwa, kena ada ilmu & kemahiran dalam pentadbiran.

Kata Ibnu Abbas r.a kenapa Allah pilih Tolut:

i- kerana dia orang yang paling tegap & hebat penampilan fizikalnya di kalangan bani Israil.
Dia dinamakan Tolut kerana badannya tinggi (طويل).

ii- ilmunya juga luas & tinggi! Dia seorang yang bijak akalnya.

  1. Faedah kedua: Mana-mana negara, pertubuhan & organisasi mesti ada ketua yang dilantik & dipilih.

Jika tidak ada ketua akan pincang & tidak dapat bergerak. Ketua pula mestilah seorang yang layak & mampu memikul tugas!

Bila ada pemilihan pastilah akan berlaku perebutan & perbalahan!

Orang yang nakkan jawatan & gila nak jadi ketua akan buat apa saja untuk menjatuhkan saingannya!
Sanggup memburuk, memfitnah, melemparkan tuduhan palsu!

Bahkan gila lagi ada yang berkata: Untuk jadi ketua dia masuk neraka pun tak apa; asal boleh jadi ketua!

Bani Israil ini kerana mereka susah nak pilih siapa yang layak- mereka pergi jumpa Nabi mereka untuk minta kepada Allah!
Tetapi mereka ini bila Allah pilih mereka tidak puas hati & banyak komen pula!

Nak pilih ketua kena ada dua kriteria tadi- barulah akal yang waras dapat menerimanya!

Tetapi akal yang ikut nafsu tidak akan puas hati selagi tidak dipilih orang yang dia sokong walaupun tidak layak!

Walaupun dihantar malaikat tetap tidak akan terima!

  1. Ayat 246- {Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka.}- setiap perjuangan pasti ada ujian yang harus ditempuh!
    Orang yang betul-betul ikhlas dalam perjuangan amat sedikit.

Apabila nak berjuang atau nak masuk medan dakwah kita kena buat persediaan mental selalu bahawa kita akan melalui jalan yang sukar- yang penuh dengan halangan & rintangan!

Terutamanya jika kita masuk dalam medan dakwah, nak menegakkan agama, yang nak menentang kemungkaran, menyuruh kepada kebaikan, nak menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w, pastilah lebih besar halangan dan rintangan yang menanti di depan!

Ya Allah lindungilah kami dari kejahatan orang yang merancang kejahatan, penyebar fitnah, tuduhan jahat & segala jenis keburukan!

  1. Ayat 247- {Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan.}-

Allah pilih Tolut kerana dia mempunyai kelayakan yang sepatutnya sebagai seorang raja & panglima perang.

Untuk menjadi pemimpin tentera seseorang itu mestilah:

i- kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan.
ii- dan kegagahan tubuh badan.

Setiap tempat atau jawatan mempunyai kriterianya tertentu!

Pemimpin nak tadbir negara kena pandai politik, bijak strategi & ilmu pentadbiran bukan pandai bercakap sahaja.

Orang nak jadi imam kena hafaz ayat-ayat al-Quran dan bersuara sedap, nak jadi cikgu kena mahir ilmu yang nak diajar, minat kanak-kanak dan seumpamanya.

Yang peliknya sekarang ini buka pusat tahfiz, pusat pendidikan tetapi tidak mempunyai keahlian & kepakaran dalam ilmu yang di ajar.

Kerana itu jika nak hantar anak ke sekolah & pusat pengajian, siasat dulu kemudian pilihlah yang tebaik dan meyakinkan dari sudut ilmu & agamanya!

  1. Ayat 248- {mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.}- yakni semua tanda yang Allah bawa ini akan cukup menjadi dalil & ayat Allah bagi orang yang beriman!

Makin tinggi keyakinan kita kepada Allah semakin mantap iman kita!

Makin mantap iman kita makin kuat kita sayang & amalkan Sunnah nabi s.a.w.
Apabila dengar Sunnah Nabi s.a.w kita tidak akan lari & amalkannya!

Teguran mesra- trend yang tak berapa kena sekarang ini:

i- selepas solat fardhu bacalah zikir selepas solat seperti yang diajar oleh Nabi s.a.w sehingga habis.
Zikir yang warid dari Nabi s.a.w ada lebih kurang 10 bacaannya.

ii- bukan lepas solat isya terus baca al-Mulk, tinggal zikir yang ma’thur, kerana al-Mulk disuruh baca oleh Rasulullah s.a.w sebelum tidur bukan di masjid selepas solat isya terus!

Kalau nak baca juga di masjid boleh tapi selepas selesai zikir dulu.

Kalau betul nak selamat dari azab kubur, bacanya sebelum tidur sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w dan tadabbur serta menghayati isi kandungannya.
Ini tidak zikir selepas solat pun tertinggal.

Makin mantap iman seseorang makin kuat dia amal Sunnah Rasulullah s.a.w.
Makin kuat kita belajar, makin tinggi darjat keimanan kita kepada Allah s.w.t. & Rasulullah s.a.w.

Alhamdulillah tamatlah dulu siri kuliah tafsir kita bagi cerita Tolut siri pertama dalam surah al-Baqarah ini, Insya’ Allah esok siri kedua.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.