SURAH AL-BAQARAH : AYAT 268-270

SYAITAN MENAKUTKAN DENGAN KEFAQIRAN, HIKMAH ILMU BERMANFAAT & SEDEKAH DIKETAHUI OLEH ALLAH.

Full video : https://youtu.be/kpL4kHrJ2hw?si=8-9t69ep7mCU28dF

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 268 sehingga ayat 270 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa pekerjaan syaitan itu menakutkan manusia dengan kefaqiran jika mereka bersedekah, infaq fi-sabilillah.
    Sedekahlah kamu akan jadi faqir, papa kedana!
  3. Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia akan beri hikmah & ilmu bermanfaat; iaitu kefahaman tentang al-Quran & Sunnah.

Maka sesiapa yang dapat ilmu ini dia akan dapat kebaikan yang banyak- dan hanya orang yang cerdik iaitu (أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ) yang akan dapat hikmah & kebaikan ini!

  1. Ayat seterusnya Allah nyatakan bahawa jika kamu sedekah atau bernazar, semuanya diketahui oleh Allah & orang yang zalim tidak akan ditolong oleh Allah!
  2. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah beri galakan & arahan untuk bersedekah, infaq harta dengan hasil usaha kamu yang baik & elok.
    Jangan beri benda yang tidak baik & sudah tidak suka lagi.

ii- maka dalam ayat ini Allah bawa pula peringatan bahawa syaitan itu akan sentiasa menghasut & menakutkan kamu dengan kefaqiran jika kamu bersedekah.
Jangan sedekah- jika tidak kamu akan jadi miskin, faqir dan seumpamanya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 268- {SYAITAN ITU MENJANJIKAN (MENAKUT-NAKUTKAN) KAMU DENGAN KEMISKINAN DAN KEPAPAAN (JIKA KAMU BERSEDEKAH ATAU MENDERMA), DAN IA MENYURUH KAMU MELAKUKAN PERBUATAN YANG KEJI (BERSIFAT BAKHIL KEDEKUT); SEDANG ALLAH MENJANJIKAN KAMU (DENGAN) KEAMPUNAN DARIPADANYA SERTA KELEBIHAN KURNIANYA. DAN (INGATLAH), ALLAH MAHA LUAS LIMPAH RAHMATNYA, LAGI SENTIASA MELIPUTI PENGETAHUANNYA.} (AL-BAQARAH 2:268)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t memberi peringatan bahawa syaitan akan sentiasa menakut-nakutkan kamu dengan janji kemiskinan jika kamu bersedekah & berinfaq. Ini untuk membuatkan kamu tidak berani menderma & bertambah bakhil.
  2. Maka periksa diri kita sekarang bersedekah atau tidak?
    Jika tidak maknanya kita dah termakan hasutan syaitan itu!!

Jika nak beri juga beri sikit-sikit saja atau tunjukkanlah kepada orang dengan banngganya agar orang tahu kamu telah bersedekah!

  1. Syaitan juga akan sentiasa menghasut dan menggoda kamu untuk melakukan perbuatan keji & mungkar.

i- keji atau fahsya’ itu {ٱلْفَحْشَآءِ} perbuatan dosa peribadi, yang terlibat dengan maruah diri seperti zina liwat dan seumpamanya.

Tetapi fahsya’ dalam konteks ayat ini ulama’ sahabat Ibnu Abbas r.a tafsirkan dengan makna bakhil kerana ia lebih sesuai.

Ada juga ulama’ kata makna biasa iaitu semua maksiat lain.

ii- mungkar ialah semua perbuatan dosa maksiat, yang melawan perintah Allah atas dunia ini.

Sama seperti firman Allah s.w.t ini juga:

{ وَوَيْلٌۭ لِّلْمُشْرِكِينَ ٦ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ كَـٰفِرُونَ } –
{Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukanNya.
“Iaitu orang-orang yang tidak memberi zakat (untuk membersihkan jiwa dan harta bendanya) dan mereka pula kufur ingkar akan adanya hari akhirat”.} [Fussilat: 6-7].

i- Maknanya dari sudut zahir adalah: Neraka (وَيْلٌۭ) bagi orang kafir yang tidak tunaikan zakat. Sedangkan mereka orang kafir ini kalau tunai zakat pun tidak akan diterima kenapa pula kena tunaikan zakat juga???

ii- tetapi Ibnu Abbas r.a menterjemahkan perkataan zakat {ٱلزَّكَوٰةَ} itu dengan makna mengucap syahadah, yakni membersihkah diri (zakah) dari dosa syirik.

Kerana orang kafir tidak wajib ke atas mereka zakat, maka dalam konteks ayat ini- inilah terjemahan yang paling sesuai. Wallahu a’lam.

tetapi ingat bukan semua terjemahan ayat boleh ditakwil- hanya ikut tajuk & perbincangan ayat.

  1. Tetapi ingatlah; sedangkan Allah menjanjikan kamu dengan keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya yang besar bagi orang yang bersedekah dengan ikhlas fi-sabilillah.

Rezeki ini Allah yang beri, bukan dari syaitan. Allah suruh sedekah. Syaitan suruh bakhil!

Maka pilihlah nak ikut janji siapa!!!

  1. Nak jadi syaitan ini mudah saja- Awaslah permainan syaitan, mudah sekali untuk halang orang daripada buat kebaikan- daripada bersedekah & belajar al-Quran dan lain-lain ilmu agama!

Dia akan ajar untuk buat fitnah, tohmahan & gelaran yang akan menakutkan & menjauhkan orang ramai.

Kita minta perlindungan Allah dari kejahatan syaitan manusia & jin!

  1. Ingatlah sekali lagi bahawa Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
    Maka jika nak beri sedekah, infaq- berilah yang baik-baik, jangan beri yang buruk.
  2. Serta Allah s.w.t juga tahu apakah niat kamu semasa bersedekah itu!
    Maka perbetulkannya agar tidak sia-sia perbuatan sedekah kamu itu!

AYAT 269- {ALLAH MEMBERIKAN HIKMAT KEBIJAKSANAAN (ILMU YANG BERGUNA) KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT ATURAN YANG DITENTUKANNYA). DAN SESIAPA YANG DIBERIKAN HIKMAT ITU MAKA SESUNGGUHNYA IA TELAH DIBERIKAN KEBAIKAN YANG BANYAK. DAN TIADALAH YANG DAPAT MENGAMBIL PENGAJARAN (DAN PERINGATAN) MELAINKAN ORANG-ORANG YANG MENGGUNAKAN AKAL FIKIRANNYA.} (AL-BAQARAH 2:269)

  1. Allah juga akan memberikan ilmu yang berguna kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ada orang yang ada ilmu tetapi tidak memberi manfaat kepadanya!
  2. Contoh ada ilmu tetapi tidak manfaatkannya:
    Tahu kewajipan tutup aurat tetapi tidak jaga juga, tahu riba haram tetapi buat jua!

Maka ia menjadi ilmu yang sia-sia, tidak memberi manfaat kepadanya!
Tahu kelebihan saf depan tetapi tidak mahu penuhinya!

  1. Kerana itu sentiasalah kita berdoa dengan doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w ini:

اللَّهُمَّ انْفَعْنِي بِمَا عَلَّمْتَنِي وَعَلِّمْنِي مَا يَنْفَعُنِي وَزِدْنِي عِلْمًا الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ حَالِ أَهْلِ النَّارِ

Ertinya: “Ya Allah, Jadikanlah ilmu yang Engkau ajarkan kepadaku bermanfaat bagiku. Ajarkanlah kepadaku ilmu yang berguna untukku dan tambahkanlah kepadaku ilmu. Segala puji bagi Allah atas segala hal, aku berlindung kepada Allah dari keadaan dan segala hal yang dilakukan penghuni neraka”. (HR at-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Bazzar).

  1. Munasabah ayat:
    i- kita kena tahu bahawa semua perintah & arahan Allah mengandungi hikmah & tidak ada arahan yang sia-sia!

Ada yang kita boleh tahu ada yang tidak! Hikmah & rahsia Syari’ah ini ada manusia yang tahu, ada yang tidak!

ii- sesiapa yang tahu dia kena amalkan & maklumkan kepada orang lain.
Orang yang tahu tidak sama dengan yang tak tahu.
Orang yang tidak membaca tidak sama dengan yang membaca.
Manakala yang baca dan tahu & amalkannya maka itulah yang terbaik!

Boleh baca buku ini untuk tambah ilmu & manfaat:

KEINDAHAN ISLAM
https://dartaibah.com/?page_id=179…

  1. Sesiapa yang boleh hikmah, ilmu & pengetahun lalu beramal dengannya maka dia telah mendapat kebaikan yang banyak!
    Iaitu yang keluar dari kejahilan & kebodohan, dari tidak berfikir kepada berfikir, keluar dari kesesatan kepada ikut Sunnah Nabi s.a.w; maka itulah orang yang mendapat kebaikan yang banyak!

Ya Allah jadikan kami daripada golongan yang mendapat kebaikan yang banyak ini.

  1. Di akhir ayat Allah kata: Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya {أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰب}.
  2. Mereka inilah yang akan nafkahkan dirinya, tenaga, harta dan masanya untuk menegakkan agama Allah, menyampaikan ilmu kepada masyarakat dan mengamalkannya dalam kehidupan mereka!
  3. Alhamdulillah kita kata orang yang baik-baik, orang yang cerdik & diberi hikmah pun masih ada; maka kita yang diberi sekelumit ilmu kefahaman ini; kita beramallah dengan ilmu kita sebaik mungkin untuk mendapat manfaat darinya!

AYAT 270- {DAN (KETAHUILAH), APA SAHAJA YANG KAMU BELANJAKAN (DERMAKAN) ATAU APA SAHAJA YANG KAMU NAZARKAN MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUINYA DAN (INGATLAH), ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU TIDAK ADA SESIAPA PUN YANG DAPAT MENOLONGNYA.} (AL-BAQARAH 2:270)

  1. Ingatlah apa saja yang kamu belanjakan atau nazarkan; sesungguhnya Allah mengetahui-Nya!
  2. Munasabah ayat ini:
    i- nak infaq kena ikhlas, jangan menungkit menyakiti & beri yang terbaik bukan yang buruk! Inilah SOP sedekah.

ii- syaitan akan ganggu kerja infaq ini dengan janji kefaqiran.

iii- apa-apa yang kamu nafkah & nazarkan; Allah s.w.t tahu semuanya, kamu jangan cuba sembunyikannya, tipu atau kelentong.

  1. Sedekah dalam Islam terbahagi kepada dua:
    i- sedekah wajib iaitu zakat. Allah wajibkan kamu keluarkan 1/40 daripada harta kamu apabila cukup nisab (jumlahnya). Jika tak bayar neraka jawabnya.

ii- sedekah sunat- inilah galakan infaq fi-sabilillah yang ikhlas & ikut kemampuan masing-masing.

iii- satu lagi sedekah yang asalnya tidak wajib tetapi manusia itu memperwajibkan ke atas dirinya sendiri; iaitu NAZAR.
Nazar ini tidak dianjurkan dalam Syara’ tetapi dibenarkan.

  1. Nazar ini pula terbahagi kepada dua:
    i- nazar untuk buat maksiat & tidak ada faedah; tidak perlu dilakukan.

seperti bernazar jika dapat sesuatu nak berjalan sambil bertelanjang, nak jalan kaki 100km dan seumpama yang tidak beri manfaat.

Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya.
Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya. [Al-Bukhari (6696)]

ii- nazar untuk buat ketaatan kena buat.
Seperti jika berjaya atau dapat sesuatu; nak puasa, sedekah dan lain-lain.

  1. Sesungguhnya Allah mengetahui-Nya; ingatlah sesiapa yang bernazar tetapi dia masih tidak tunaikan- maka dia masih berhutang dengan Allah s.w.t!

Beritahulah dan pesan kepada waris tentang nazar ini. Maka jika tidak mahu cari kerja janganlah bernazar!

  1. Kerana itu Rasulullah s.a.w telah bersabda:

إِنَّ النَّذْرَ لاَ يُقَدِّمُ شَيْئًا وَلاَ يُؤَخِّرُ، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِالنَّذْرِ مِنَ البَخِيلِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya nazar itu tidak mendahulukan suatu ataupun mengakhirkannya, ia hanya dibuat oleh orang yang bakhil sahaja.” [HR al-Bukhari (6692)].

  1. Allah tutup ayat ini dengan mengingatkan bahawa orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya pada hari Kiamat kelak!
  2. Orang yang zalim dalam konteks ayat ini ialah:
    i- orang yang ada harta cukup nisab tidak keluarkan zakat,

ii- mampu & banyak harta tetapi tidak infaq bantu orang susah & miskin,

iii- bernazar tetapi tidak tunai.

iv- atau infaq pada tempat yang menyalahi Syari’ah seperti menjadi penaja kepada program maksiat & mungkar!

Serta semua kezaliman yang dilakukan atas dunia ini.

  1. Sebuah hadis riwayat daripada Jabir bin Abdullah, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
    “Tidaklah pemilik harta simpanan yang tidak melakukan haknya padanya (maksudnya tidak mengeluarkan zakatnya) kecuali harta simpanannya akan datang pada hari kiamat sebagai seekor ular jantan aqra’ (syuja’an aqra’- شُجَاعًا أَقْرَعَ) yang akan mengikutinya dengan membuka mulutnya.

Jika ular itu mendatanginya, pemilik harta simpanan itu lari daripadanya.
Lalu ular itu memanggilnya, “Ambillah harta simpananmu yang telah engkau sembunyikan! Aku tidak memerlukannya.” Maka ketika pemilik harta itu melihat, bahawa dia tidak dapat menghindar daripadanya, dia memasukkan tangannya ke dalam mulut ular tersebut. Maka ular itu memakannya sebagaimana binatang jantan memakan makanannya.” (HR Muslim II/684 no. 988).
Wal ‘iyazu billah.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 268- {Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut);}- syaitan janjikan sedekah dengan faqir, beri infaq miskin!

Ulama’ kata di depan kita hanya dua jalan sahaja:
i- jalan Allah; suruh zakat, derma, infaq & tunai nazar.

ii- jalan syaitan; suruh bakhil, jangan derma, jangan keluar zakat & jangan tunai nazar.

Jadi kita boleh faham dari ayat ini bahawa syaitan itu musuh kita, semua kebaikan dia nak sekat, semua kebajikan dia nak halang manakala semua kejahatan dia galakkan.

Yakni dalam ayat ini ada dua hasutan syaitan:
i- halang dari kebaikan- larangan syaitan.

ii- menyeru untuk buat kejahatan- permintaan syaitan.

Awas; sesiapa yang menghalang orang lain daripada berbuat kebaikan seperti infaq maka dia adalah saudara & spesis syaitan, jangan kita jadi saudara syaitan.

Begitu orang yang membazir & galakan untuk boros infaq harta di jalan maksiat & sia-sia juga saudara syaitan!

Sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
{Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.} (Al-Israa’ 17:27)

  1. Ayat 268- {Sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.}- ini pula janji & galakan Allah untuk orang bersedekah, ia adalah berlawanan dan sebaliknya dengan janji syaitan!

Kamu bersedekah Allah akan beri pahala, keampunan, limpah kurnia & rahmat-Nya!

Jangan runsing kamu tidak akan jadi miskin- bahkan Allah akan ganti & tambah harta kamu!

Maka dalam ayat ini apabila kita bersedekah- kita ambil & pegang dengan janji positif Allah:

i- sedekah kamu akan dapat keampunan & keredhaan Allah.

ii- kamu sedekah Allah akan ganti & gandakan harta kamu.

Orang tua buat analogi sedekah ini dengan air telaga- jika hari-hari kamu “kagha” timbanya, airnya akan bertambah banyak & jernih, jika dibiarkan ia hanya akan berlumut & tidak bertambah saja.

Kata ahli motivasi:
Jangan tunggu kaya untuk bersedekah; tetapi sedekahlah sehingga kamu menjadi kaya!

  1. Ayat 269- {Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya).}-

Allah akan beri hikmah kepada hamba-Nya yang dia pilih.

Makna hikmah: ilmu yang bermanfaat & akal yang bijak- tetapi jangan sombong & riya’, ada sedikit ilmu terus rasa hebat & bijak.

Ilmu yang bermanfaat itu akan mendekatkan seseorang hamba itu kepada Allah.
Dia akan bertambah tawadhuk & sedar dirinya.

Kata sebahagian ulama’ Islam: Sesiapa yang diberikan Allah ilmu boleh baca al-Quran, boleh tadabbur al-Quran; sepatutnya dia boleh kenal dirinya, siapakah aku!

Dalam al-Quran detail asal kejadiannya dari air mani yang hina.

Kamu jangan rendah diri kepada ahli dunia kerana dunianya. Yakni kerana dia kaya & berkuasa kita taat & ikutnya!

Sebanyak-banyak harta dunia yang kita dapat Allah telah nyatakan bahawa ia hanya sedikit & tidak bernilai di sisi Allah.

Tetapi sesiapa yang dapat ilmu & kefahaman al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w maka dia adalah orang yang mendapat kebaikan yang banyak!

Ya Allah kurniakan kami ilmu yang bermanfaat & kebaikan yang banyak!

Beza antara ilmu & harta:
i- harta; kita kena jaga dia. Makin banyak harta makin susah & sibuk kita!

ii- ilmu yang bermanfaat pula; makin banyak ilmu makin senang kita kerana dia akan jaga kita dalam tindak-tanduk akhlak.

Bukan kata kita tidak mahu terus harta; nak juga harta untuk kegunaan hidup atas dunia & infaq fi-sabilillah, tetapi biar berpada sumber yang halal, insya’ Allah!

  1. Ayat 268- {Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu}- dalam ayat ini digunakan perkataan syaitan janjikan kepada kamu {يَعِدُكُمُ}.

Syaitan janji buruk tentang infaq iaitu kemiskinan dan kepapaan.

Sedangkan biasanya perkataan janji ini (وعد) digunakan untuk janji baik dari Allah.

Sedangkan kalau janji buruk atau azab biasanya disebut (وعيد).

Tetapi dari segi bahasa & pengunaan umumnya ia boleh digunakan dua-dua, kena lihat kepada kontek perbincangan ayat.

Jadi Allah guna perkataan {يَعِدُكُمُ} ini sebagai perlian & sindiran- janji baik syaitan- apakah kamu nak percaya & ambil kiranya???

Hakikatnya kita tidak boleh percaya kepada janji syaitan kerana syaitan itu musuh manusia yang nyata!

Sebagaimana ayat al-Quran ini:
{فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ}-
Maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya;} [Al-Insyiqaaq 84:24]

Sedangkan khabar gembira (بشرى) adalah untuk perkara yang baik- tetapi dalam ayat ini Allah guna untuk azab sebagai satu sindiran dan pukulan perlian kepada orang kafir!

Inilah keindahan uslub ayat-ayat al-Quran yang penuh hikmah & mukjizat.

  1. Ayat 270- {dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.}- Sesiapa yang zalim, Allah tidak akan tolongnya!

Tetapi kenapa mereka orang zalim & kafir itu tetap menang, kaya & senang hidupnya?

Ingatlah itu bukan pertolongan & rahmat Allah tetapi istidraj- Allah nak beri peluang kepada mereka untuk menambah maksiat- wal ‘iyazu billah!

Ingatlah Allah tidak akan perkenankan doa orang yang zalim (الظالم) ke atas orang yang dizaliminya (المظلوم)!

Jika tidak ia bermakna Tuhan menolong golongan yang zalim!

Kerana itu jangan sekali-kali kita bersekongkol dengan orang yang zalim, kita akan menjadi orang yang zalim juga!

Firman Allah s.w.t:
{Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu). (Al-An’aam 6:129].

Tetapi ingat doa orang yang dizalimi, yang kena zalim (المظلوم)- doanya akan didengar Allah, pintu langit akan terbuka!

Sebuah syair yang menarik agar kita takut untuk berbuat zalim:

لا تَظلِمَنَّ إِذا ما كُنتَ مُقتَدِراً
فَالظُلمُ مَرتَعُهُ يُفضي إِلى النَدَمِ
تَنامُ عَينُكَ وَالمَظلومُ مُنتَبِهٌ
يَدعو عَلَيكَ وَعَينُ اللَهِ لَم تَنَمِ

Kamu jangan zalim kepada orang jika kamu berkuasa;
Kerana zalim itu akan membawa kepada penyesalan yang tidak berguna di Akhirat.

Sedang mata kamu tidur; orang yang zalim tidak tidur-
berdoa kepada Allah ke atas kamu; mata Allah juga tidak pernah tidur!*

أَتَهزَأُ بِالدُعاءِ وَتَزدَريهِ … وَما تَدري بِما صَنَعَ الدُّعاءُ
سِهامُ اللَيلِ لا تُخطِي وَلَكِن… لَها أَمَدٌ وَلِلأَمَدِ اِنقِضاءُ
فيُمسِكُها إذا ما شاء ربِّي… ويُرسِلُها إذا نفذ القضاءُ

Kamu jangan main-main dengan doa;
kamu tidak tahu apakah kuasa doa yang akan kena kepada kamu;
anak panah malam akan menembusinya!

(Syair ini terdapat di akhir Kitab Musolli; (Abu Anas ms 221).

Munyatul Musolli.
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Kerana itu jika ada orang yang menzalimi kita, sebar fitnah & tohmahan kepada kita, kita serahkan mereka kepada Allah untuk mengurus & membalasanya.

اللهم اكفنا شرهم.

Atas dunia kita tak saman; kita tunggu malaikat saman (panggilnya) di Akhirat kelak.

Jika kerana mengajar, mengajak manusia kembali kepada al-Quran & Sunnah ini dibenci- maka teruskanlah kita mengharapkan keredhaan & kebaikan dari Allah untuk dunia dan Akhirat.

Alhamdulillah tamatlah kuliah ringkas kita untuk hari ini, semoga Allah bantu kita menghadapi ujian & memberi kebaikan yang banyak.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.