SURAH AL-BAQARAH : AYAT 278-281

STOP RIBA ATAU BERPERANG DENGAN ALLAH, TANGGUHKAN HUTANG ORANG SUSAH & SEMUA AMALAN AKAN DIBALAS.

Full video : https://youtu.be/NGiFuUCSdM8?si=fOBxgB9d-2X_XGLS

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 278 sehingga ayat 281 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t beri amaran untuk berhenti dari riba atau berperang dengan Allah.
  3. Allah juga bagi galakan untuk beri tangguh bayar hutang bagi orang yang susah, bukan tak mahu bayar tapi tangguhkan.
  4. Kemudian Allah nyatakan bahawa semua amalan akan dibalas dengan setimpal secara adil & telus.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah nyatakan larangan riba serta bagi yang sudah terjebak boleh ambil kembali kepala modalnya.

Tetapi ada yang silap faham seolah boleh teruskan ambil keuntungan dari riba yang lama cuma jangan buat riba yang baru!

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t potong terus salah-sangka itu, jika ada lagi saki-baki riba terus berhenti tutup akaun atau urusan riba itu terus!

Cuma boleh ambil kepala modal sahaja- faedah riba jangan ambil!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 278- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DAN TINGGALKANLAH (JANGAN MENUNTUT LAGI) SAKI BAKI RIBA (YANG MASIH ADA PADA ORANG YANG BERHUTANG) ITU, JIKA BENAR KAMU ORANG- ORANG YANG BERIMAN.} (AL-BAQARAH 2:278)

  1. Allah beri peringatan dan seruan kepada orang yang beriman dengan salah satu sifat yang ada kepada mereka!
  2. Iaitu jika kamu benar-benar beriman & bertaqwa kepada Allah: tinggalkanlah urusan yang ada riba, jangan menuntut lagi saki baki riba yang masih ada pada orang yang berhutang itu!
  3. Hanya ambil kepala modal sahaja iaitu duit asal kamu!

Contoh; orang itu berhutang 10ribu tetapi campur riba jadi 15 ribu, maka yang 10 ribu duit kamu itu boleh ambil tetapi yang baki 5 ribu adalah riba, jangan ambilnya atau jika telah terambil pulangkan dan yang baki hapuskannya!

AYAT 279- {OLEH ITU, KALAU KAMU TIDAK JUGA MELAKUKAN (PERINTAH MENGENAI LARANGAN RIBA ITU), MAKA KETAHUILAH KAMU: AKAN ADANYA PEPERANGAN DARI ALLAH DAN RASULNYA, (AKIBATNYA KAMU TIDAK MENEMUI SELAMAT). DAN JIKA KAMU BERTAUBAT, MAKA HAK KAMU (YANG SEBENARNYA) IALAH POKOK ASAL HARTA KAMU. (DENGAN YANG DEMIKIAN) KAMU TIDAK BERLAKU ZALIM KEPADA SESIAPA, DAN KAMU JUGA TIDAK DIZALIMI OLEH SESIAPA.} (AL-BAQARAH 2:279)

  1. Jika kamu masih keras kepala masih mahu meneruskan urusan transaksi yang ada riba- walaupun sudah dengar & tahu tentang perintah Allah mengenai larangan riba!
  2. Jika tak dengar kata juga masih tidak mahu berhenti maka ketahuilah; seolah-olah kamu telah isytiharkan perang dengan Allah & Rasul-Nya!
  3. Munasabah ayat ini:
    i- Sesiapa yang langgar perintah ketua pasti akan diambil tindakan.

ii- Maka sama dalam ayat ini Allah sudah larang & haramkan riba; jika kamu masih nak ambil riba, teruskan urusan yang ada riba; maka Allah s.w.t akan isytihar perang terhadap kamu!

Jika kamu berperang dan berlawan dengan Allah pastilah tidak akan ada kemenangan & keamanan bagi kamu!

  1. Ketahuilah kamu dan semua yang ambil riba ini; yakinlah bahawa Allah telah berjanji akan perangi kamu, juga Rasul-Nya akan perangi kamu!

Maka jika rasa keras kepala nak berperang dengan Allah jangan taubat & tinggalkan riba. Ambillah riba yang kamu dapat itu!

  1. Jika kamu bertaubat, maka hak kamu yang sebenar iaitu pokok atau modal asal harta kamu boleh ambil walaupun ia telah menjadi modal untuk riba sebelum ini.
    Yang riba, yang bukan duit asal kamu jangan ambil!
  2. Alhamdulillah ramai yang telah melabur duitnya pada tempat yang ada riba, apabila mendengar tafsir ayat al-Quran tentang riba ini- mereka sedar & takut mahu bertaubat & berhenti daripada riba!

Caranya untuk mengecam duit modal mereka kena periksa dan gunalah kira-kira yang sebaiknya!

  1. Allah janjikan bahawa dengan berbuat demikian yakni berhenti riba ini:

i- kamu tidak akan menzalimi orang lain; samada dengan ambil hartanya tanpa nak, rampas hartanya atau peras ugutnya!

ii- kamu juga tidak akan dizalimi- kerana orang lain pun tidak boleh ambil harta kita tanpa hak dengan undang-undang Syari’ah yang baik, telus & ketat ini!
Alhamdulillah, inilah indahnya Syari’ah Islam kerana ia datang dari Allah s.w.t.

  1. Pengharaman riba telah melalui beberapa peringkat dan proses, sama seperti pengharaman arak juga.

Ini kerana keduanya adalah amalan yang telah sebati dalam hidup orang Arab jahiliyah.
Maka perlukan cara yang penuh hikmah dengan sebaiknya.

  1. Kronologi pengharaman riba ada 4 peringkat juga:
    i- Peringkat pertama dengan isyarat jauh-jauh. Ini semasa di Makkah lagi.

Ini berdasarkan firman Allah ini:
{Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan (riba), supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan).} (Ar-Ruum 30:39)

Sama seperti arak- isyarat pertama: (Al-Nahl 16:67)

ii- peringkat kedua Allah s.w.t ceritakan tentang yahudi di Madinah yang haramkan riba sesama mereka tetapi mereka ambil riba dari orang lain.

Sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (An-Nisaa’ 4:161)

Dari segi arak pula peringkat kedua ialah ayat: (Al-Baqarah 2:219)

iii- ayat ketiga pengharaman riba yang berganda-ganda:

Firman Allah stw:
{Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.} (A-li’Imraan 3:130)

Sama dengan pengharaman arak peringkat ini: (An-Nisaa’ 4:43).

iv- datang ayat ini (Al-Baqarah 2:279), peringkat terakhir- pengharaman riba secara total- tinggalkan segala riba jika kamu beriman kepada Allah!

Sama dengan pengharaman arak peringkat ini: (Al-Maaidah 5:90).

AYAT 280- {DAN JIKA ORANG YANG BERHUTANG ITU SEDANG MENGALAMI KESEMPITAN HIDUP, MAKA BERILAH TEMPOH SEHINGGA IA LAPANG HIDUPNYA DAN (SEBALIKNYA) BAHAWA KAMU SEDEKAHKAN HUTANG ITU (KEPADANYA) ADALAH LEBIH BAIK UNTUK KAMU, KALAU KAMU MENGETAHUI (PAHALANYA YANG BESAR YANG KAMU AKAN DAPATI KELAK).} (AL-BAQARAH 2:280)

  1. Allah s.w.t ajar beri jalan: Jika orang yang berhutang itu tidak mampu untuk membayar hutang kamu kerana kesusahan & kemiskinan {ذُو عُسْرَةٍۢ}- berilah kepada mereka tangguh & tempoh sehingga mereka senang & mampu untuk membayarnya {إِلَىٰ مَيْسَرَةٍۢ}!

Apatah lagi jika hutang itu hutang yang ada riba- lepaskan terus jangan ambil lagi.

  1. Kemudian Allah kata lagi: Jika kamu terus sedekahkah yakni lepas & hapuskan hutang itu semua atau sebahagiannya, itulah sebaiknya.

Jika kamu tahu betapa besarnya pahala yang kamu akan dapati kelak, kamu pasti akan melakukannya!

  1. Hadis galakan untuk lepaskan hutang orang susah:

Adalah Abu Qatadah r.a cari orang yang berhutang dengannya sedangkan orang itu lari bersembunyi kerana tidak mampu! Kemudian dia dapat menjumpai orang itu yang kemudian merayu kepadanya bahawa dia susah tidak mampu nak bayarnya.

Abu Qatadah bertanya: Apakah kamu bercakap ini benar kerana Allah & Allah sebagai saksinya!
Abu Qatadah lalu berkata: “Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Sesiapa memberi tangguh kepada penghutangnya atau melupuskan pasti ditempatkan di bawah naungan ‘Arasy pada hari Kiamat.” (HR Ahmad)

ii- Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa mahukan doanya diperkenan Allah dan dihindarkan malapetaka, maka hendaklah dia membebaskan hutang daripada orang berhutang dan tidak mampu bayar hutangnya.” (HR al-Nasa’i)

iii- Dalam sebuah hadis diriwayatkan Abu Hurairah r.a, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meringankan sebuah kesusahan (kesedihan) seorang Mukmin di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada hari kiamat.

Sesiapa memudahkan urusan seseorang yang dalam keadaan sulit, Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat.

Sesiapa menutup aib seseorang, Allah pun akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa menolong hamba-Nya, selagi hamba tersebut menolong saudaranya.” (HR Muslim)

AYAT 281- {DAN PELIHARALAH DIRI KAMU DARI HURU-HARA HARI (KIAMAT) YANG PADANYA KAMU AKAN DIKEMBALIKAN KEPADA ALLAH. KEMUDIAN AKAN DISEMPURNAKAN BALASAN TIAP-TIAP SEORANG MENURUT APA YANG TELAH DIUSAHAKANNYA, SEDANG MEREKA TIDAK DIKURANGKAN BALASANNYA SEDIKITPUN.} (AL-BAQARAH 2:281)

  1. Ayat ini memberi motivasi kepada kita agar cepat membuat perintah Allah & segera terus meninggalkan larangan Allah!

Ayat ini Allah larang kita dari buat riba & tolong orang susah. Jika kita tolong orang susah, Allah akan permudahkan urusan kita di dunia & di Akhirat.

  1. Ulama’ tafsir kata ayat ini adalah ayat terakhir yang diturunkan dalam al-Quran, terdapat beberapa pendapat tentang waktunya:

i- Kata Ibnu Juraij: Ayat ini turun 9 malam sebelum Rasulullah s.a.w wafat kemudian tidak ada lagi ayat lain!
Ayat ini ayat motivasi & peringatan.

ii- Ibnu Jubir rhm pula kata 7 malam sebelum kewafatan!

Kita tidak kira khilaf tentang bila & berapa hari, apa yang pasti para sahabat meriwayatkan bahawa ia adalah ayat al-Quran yang terakhir yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w sebelum kewafatannya.

  1. Setiap dari kita akan mati & bertemu Allah s.w.t.
    Setiap kita juga akan berada di hadapan Allah untuk dihisab, yang baik atau yang buruk semua akan dibuka & dihitung diadil; serta pembalasan akan menanti!
  2. Marilah kita semua kembali ke jalan yang diredhai Allah sebelum kita kembali kepada Allah terus!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 278- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba.}- wahai orang yang beriman, bertaqwa & takutilah kepada Allah dengan meninggalkan riba!

Begitulah apabila mahu memerintahkan sesuatu hukum yang besar Allah buat seruan kepada orang yang beriman, kerana hanya orang beriman yang dengar kata & akan patut taat kepada perintah Allah s.w.t.

Maka dalam ayat ini ada 4 seruan dari Allah kepada kita:

i-Allah mulakan panggilan pertama kepada orang yang beriman.

ii- kemudian seruan agar bertaqwa kepada Allah. Hanya orang yang takut yang dengar kata.

iii- arahan untuk tinggalkan riba-
iv- jika kamu benar-benar beriman!

Maka sesiapa orang Islam yang tahu bahawa riba itu haram & Allah larangnya; tetapi masih terus buat urusan yang ada riba, tanya hatinya apakah dia beriman atau tidak!

Jika ada kemusykilan tentang pampasan dan seumpamanya apakah statusnya harus, halal atau haram- sila bertanya secara rasmi kepada pejabat mufti yang berdekatan.

Biar mereka yang bertanggung-jawab, jika harus boleh gunakan jika tidak halal mereka kena buat desakan & cadangan kepada Kerajaan & pihak berkuasa untuk sediakan alternatif sistem yang halal & patuh Syari’ah untuk mangsa-mangsa orang Islam yang susah ini.

Kita para ustaz & pendakwah biasa, jangan kita mendahului beri fatwa, jangan rempuh dalam perkara yang kita tidak jelas & boleh celarukan msyarakat.

Tetapi kita boleh buka minda, mendesak beri cadangan kepada pihak mufti & jabatan agama yang ada autoriti.

Allah s.w.t sebut kepada kita 4 arahan ini, jika kamu beriman tanya hati, tanya dhamir- kita ini mahu ke mana akhirnya!

  1. Ayat 278- {Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.}- tinggalkan semua saki baki yang masih ada walaupun yang telah lepas!

Ayat ini juga menunjukkan bahawa wajib kita tinggalkan segala bentuk sistem yang ada riba atau muamalatnya ribawai; walaupun telah diubah tukar modified kepada nama-nama yang lain seperti: dividen, bonus, bunga, faedah dan lain-lain.

Inilah mainan syaitan agar akal kita rasa ia adalah ringan & tidak salah!

Sama seperti rasuah: dipanggil duit kopi, duit minyak dan seumpamanya.

Arak pula minuman keras, zina- gejala sosial semua nak lari daripada makna asal.

Kerana itu wahai para pendakwah & penceramah; lafaz Syar’ie ini kita jangan tukar nama-nama asalnya seperti riba, rasuah, zina, arak, judi dan lain-lain- jika tidak orang tidak akan rasa takut mendengar dan melakukannya!

  1. Ayat 279- {Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya,}- maka jika kamu tak tinggalkannya juga kamu telah isytihar perang kepada Allah & Rasul-Nya.

Allah guna perkataan {حَرْبٍ} peperangan dengan perkataan umum iaitu (nakirah tanpa (ا & ل) untuk menunjukkan besarnya tajuk ini, agar kita rasa takut nak berperang dengan Allah!

Inilah rahsia dari sudut balaghah yang cukup indah iaitu salah satu perang dengan Allah adalah riba!

Juga perang dengan Rasul kerana Rasul-lah yang menyampaikan hukum ini kepada kamu; tetapi kamu yang degil, yang keras kepala tidak mahu dengar maka kamu telah isytihar perang dengan Allah & Rasul-Nya!
Maka kamu bertanggung-jawablah!

  1. Ayat 279- {Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.}- jika kamu bertaubat dari riba tetapi kamu masih boleh ambil kepala modal kamu yang asal.

Ayat ini menyatakan keadilan yang Allah s.w.t beri dalam muamalah transaksi antara manusia.Yakni modal asal kamu tidak akan terbakar hangus begitu saja.

Ambillah modal kamu letakkannya di tempat yang halal manakala yang haram itu hapuskan!

Kemudian Allah nyatakan jika orang itu susah, tak mampu nak bayar hutang asal apatah lagi nak bayar riba; maka jika kamu sedekahkan yakni halalkan hutang itu adalah lebih baik!

Ataupun jika kamu bakhil sayang tak mahu sedekah, kamu berilah tempohnya untuknya, beri tangguh untuk dia bayar hutanng itu sehingga dia mampu.

Kemudian Allah juga berfirman: {bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).}

Ulama’ tafsir ini kelebihan ilmu kerana itu Allah kata kalau kamu tahu!
Jika kamu tak tahu maka tak jadi apa, tidak memberi faedah.

  1. Ayat 281- {Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah.}- ayat ini adalah ayat sentap- ayat menyedarkan kita orang agar jangan terus lagha & lalai, jangan berani buat maksiat, jangan buat berani buat benda mungkar & tak baik.

Peringatan untuk para NGO yang mengguruskan harta derma orang ramai untuk bersikap telus.

Jangan berniaga dengan air mata orang miskin, jangan ambil kesempatan & keuntungan dari orang yang ditimpa ujian Allah.

Kita beri semua derma itu kepada orang yang berhak menerima, elakkan dari menggunakannya untuk tujuan peribadi apatah lagi ambil komisyen dengan peratus yang tinggi & tertentu jika tiada keperluan.

Ingat & takutilah akan huru-hara hari kiamat, yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah.

Kemudian kamu akan akan dibalas dengan semua yang kamu buat, yakni Allah kata kamu tidak akan dizalimi.
Jangan takut kerana undang-undang Allah s.w.t telus, adil & saksama.

Sekali lagi diminta kepada para jemaah untuk baca buku ini untuk memahami hikmat pengharaman riba juga:

Keindahan Islam.
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Alhamdulillah tamatlah untuk siri kuliah tafsir kita pada hari ini.

Mudah-mudahan kita selamat di dunia, aman di Akhirat, layak ke syurga, mendapat pertolongan & syafaat Nabi s.a.w pada hari Kiamat.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.