YAHUDI BENCI JIBRAIL, TUGAS JIBRAIL BAWA WAHYU & GOLONGAN FASIQ MENOLAK QURAN.

Full video : https://youtu.be/YK5T1R6ykUA?si=mfP7kj_qAtETTvRF

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah tafsir dalam surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang pertama. Ayat yang akan kita bincangkan hari ini adalah ayat 97 sehingga ayat 101.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan tentang Yahudi yang memusuhi & benci kepada malaikat Jibrail a.s.
    Padahal mereka tidak pernah jumpa malaikat pun!
  3. Mereka yahudi mendakwa Jibril banyak masalah seperti:

i- peperangan berlaku dengan sebabnya.

ii- Jibrillah juga yang menyekat mereka daripada beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w!

Lalu mereka isytihar bahawa mereka tidak mahu kepada Jibril, kerana itu tidak mahu beriman kepada Rasulullah s.a.w!

  1. Maka Allah s.w.t turunkan ayat ini dengan menyatakan sesiapa yang memusuhi Allah & para malaikatnya, Jibri & Mikail; maka Allah benci juga kepada mereka!
  2. Sebagaimana ilmu matematik aqidah yang kita belajar jika 6-1 sama dengan kosong!
    Yakni tidak percaya dengan salah satu sahaja rukun Iman dikira kufur & tidak beriman.
  3. Allah nyatakan bahawa tugas Jibrail bawa wahyu bukan bawa bencana & peperangan sahaja!
  4. Kemudian semua golongan yang membatalkan perjanjian dengan Allah s.w.t, menolak al-Quran & kebenaran, mereka dianggap sebagai golongan yang fasiq.

AYAT 97- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SESIAPA MEMUSUHI JIBRIL MAKA SEBABNYA IALAH KERANA JIBRIL ITU MENURUNKAN AL-QURAN KE DALAM HATIMU DENGAN IZIN ALLAH, YANG MENGESAHKAN KEBENARAN KITAB-KITAB YANG ADA DI HADAPANNYA (YANG DITURUNKAN SEBELUMNYA), SERTA MENJADI PETUNJUK DAN MEMBERI KHABAR GEMBIRA KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN”.} (AL-BAQARAH 2:97)

  1. Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk berkata kepada yahudi yang menyangka bahawa yang menyekat mereka daripada beriman adalah Jibril- bahawa sebenarnya mereka memusuhi Jibril adalah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah!
  2. Sabab nuzul ayat ini:

Hadis- Diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Abbas r.a, dia berkata, “Pernah datang kepada Rasulullah S.A.W. sekelompok kaum Yahudi dan mereka berkata:
“Wahai Abu Qasim! Ceritakanlah kepada kami beberapa hal yang kami tanyakan kepadamu, yang tidak akan mengetahui jawapannya kecuali seorang nabi”.

Kemudian Rasulullah S.A.W. menjawab: “Tanyakanlah oleh kamu apa saja sekehendak kamu. Akan tetapi janjikan kepadaku kehormatan dan apa yang diambil Ya’qub daripada keturunannya, iaitu jika aku ceritakan kepada kamu tentang sesuatu kemudian kamu mengenalinya (membenarkannya), kamu benar-benar akan mengikutiku dengan memeluk islam”.

Mereka menjawab: “Allah adalah saksinya!”
Jawab Rasulullah S.A.W : “Jikalau begitu, ajukan soalan”.

Kaum Yahudi itu berkata: “Ceritakan kepada kami tentang empat hal yang akan kami tanyakan.

Pertama:
Beritahu kami makanan apakah yang diharamkan Israil (Ya’qub) atas dirinya sebelum Taurat diturunkan?

Kedua:
Ceritakan kepada kami, bagaimana proses air mani lelaki (sperma) dan air mani perempuan (zigot), dan ceritakan bagaimana pertemuan keduanya boleh menentukan anak lelaki dan perempuan?

Ketiga:
Ceritakan kepada kami tentang nabi ummi ini dalam Taurat?

Keempat:
Siapakah malaikat yang menjadi wali (pelindung)?”.

Rasulullah S.A.W. kemudian menjawab: “Kamu berada dalam perjanjian dengan Allah. Jika aku mengkhabarkan kepada kamu jawapannya, apakah kamu akan benar-benar mengikutiku?”
Mereka pun memberikan perjanjian dan sumpahnya.

Rasulullah S.A.W. menjawab:
“Aku beritahukan kepada kamu, demi Allah yang telah menurunkan Taurat kepada Musa, apakah kamu tahu bahawa Israil mengidap satu penyakit yang kronik.
Dia lama dalam keadaan sakit sehingga dia menyatakan nazarnya.
Jika Allah menyembuhkannya daripada sakit, dia akan mengharamkan makanan dan minuman yang paling disukainya.
Makanan yang paling disukainya adalah daging unta dan minuman yang paling disukainya adalah susu unta”.
Mereka menyahut: “Ya Allah, Benar!”
Baginda menjawab: ” Ya Allah! Saksikanlah atas mereka”.

“Dan aku beritahukan kepada kamu, demi Allah yang tiada Tuhan kecuali Dia yang telah menurunkan Taurat kepada Musa, apakah kamu tahu bahawa air mani lelaki bersifat kasar, berwarna putih.
Sedangkan air mani perempuan (ovum) itu lembut, berwarna kekuning-kuningan.
Mana pun yang berada di posisi atas atau lebih banyak, maka ia akan mendapat anak dan boleh jadi kembar dengan izin Allah.

Apabila air mani lelaki (sperma) lebih banyak daripada air mani perempuan (zigot), maka anak yang akan dilahirkan ialah lelaki dengan izin Allah. Apabila sebaliknya di mana air mani perempuan (zigot) lebih banyak berbanding air mani lelaki (sperma), maka anak yang akan dilahirkan adalah perempuan dengan izin Allah”.
Mereka menyahut: “Ya Allah, Benar!”

Baginda menjawab: “Ya Allah! Saksikanlah atas mereka”.

Aku beritahukan kepada kamu, demi Allah yang telah menurunkan Taurat kepada Musa, “Apakah kamu tahu bahawa nabi ummi ini kedua matanya terpejam akan tetapi hatinya tidak pernah tidur”.
Mereka menyahut: “Ya Allah, Benar!”
Baginda menjawab: “Ya Allah! Saksikanlah atas mereka”.

Mereka berkata: “Sekarang kamu beritahukan kepada kami siapakah malaikat yang menjadi pelindungmu.
Jika jawapan terakhir ini benar, maka kami akan berkumpul denganmu dan tidak akan berpisah denganmu”.
Baginda menjawab: “Malaikat pelindungku adalah Jibrail, dan Allah tidak pernah mengutus seorang nabi pun kecuali Jibrail yang turun kepadanya”.
Mereka serentak berkata: “Jika begitu kami berpisah denganmu. Kalaulah yang menjadi malaikat pelindungmu selain Jibrail, pasti kami akan jadi pengikutmu dan membenarkan apa yang kamu bawa”.

Baginda bertanya: “Apakah yang menghalangi kamu untuk menbenarkannya?”.
Mereka menjawab: “Dia adalah musuh kami”.
Kemudian Allah S.W.T. menurunkan ayat 97 dan 98 surah Al-Baqarah.
[HR At-Tirmizi & Imam Ahmad]

Terdapat beberapa riwayat yang hampir sama dengan kisah ini.

  1. Yakni ayat ini turun adalah jawapan kepada yahudi yang mengatakan bahawa Jibril adalah musuh mereka!

Maka sesiapa yang memusuhi Jibril dengan alasan dia menyebabkan peperangan adalah tidak benar!
Jibril kerjanya ialah menurunkan wahyu ke atas hati Rasulullah s.a.w.

  1. Allah juga menyatakan bahawa antara tugas al-Quran yang diturunkan adalah:
    i- yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya).

ii- serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman

AYAT 98- {SESIAPA MEMUSUHI ALLAH (DENGAN MENGINGKARI SEGALA PETUNJUK DAN PERINTAHNYA) DAN MEMUSUHI MALAIKAT-MALAIKATNYA DAN RASUL-RASULNYA, KHASNYA MALAIKAT JIBRIL DAN MIKAIL, (MAKA IA AKAN DISEKSA OLEH ALLAH) KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH ADALAH MUSUH BAGI ORANG-ORANG KAFIR.} (AL-BAQARAH 2:98)

  1. Allah nyatakan dengan jelas bahawa sesiapa yang memusuhi Allah dengan tidak beriman kepada-Nya, serta memusuhi Malaikat-malaikat-Nya dan Rasul-rasul-Nya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail; mereka adalah musuh Allah & orang kafir yang akan mendapat siksaan Allah nanti!
  2. Sabab Nuzul ayat ini menurut riwayat Ibnu Abu Laila:
    Bahawa seorang yahudi berkata ketika bertemu dengan Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a:
    “Sesungguhnya Jibril yang disebut-sebut oleh sahabatmu itu (Rasulullah) adalah musuh kami”.
    Maka berkatalah Umar R.A: “Barangsiapa yang memusuhi Allah, Malaikat-Nya, para Rasul-Nya, Jibril dan Mikail, sesungguhnya Allah memusuhinya”.

Maka turunlah ayat 97 & 98 ini. bersesuaian dengan apa yang diucapkan Umar.
[Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim yang bersumber dari Abdurrahman bin Laila. Sumber ini saling menguatkan dengan yang lainnya.]

Inilah kelebihan Sayyidina Umar r.a yang mana beberapa pendapatnya telah dibenarkan oleh wahyu Allah s.w.t!

  1. Sesiapa memusuhi atau menolak satu daripada malaikat- kafir.
    Sesiapa yang memusuhi atau menolak satu daripada rasul- kafir!

Ini adalah matematik Aqidah & iman: sesiapa yang tolak walaupun salah satu sahaja daripada rukun iman atau rukun Islam maka dia dikira telah tidak beriman!

Apatah lagi menolak banyak atau kesemuanya! Wajib beriman dengan semuanya tidak boleh ambil separuh!

  1. Begitu juga matematik akhlak: Kawan yang kita baik & kenal lama dah- tiba-tiba ada satu kesalahan atau akhlak dia yang kita tidak suka, atau ada berbeza pendapat sikit dengan dia- terus kita declare putus hubungan dan tidak berkawan lagi dengan dia; ini adalah silap tata-kelola & akhlak!

Tolak apa yang kita tidak suka sahaja tentang seorang, jangan tolak kesemunya dengan menafikan atau tidak lihat kebaikannya yang lain yang dia ada.

AYAT 99- {DAN SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENURUNKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) AYAT-AYAT KETERANGAN YANG JELAS NYATA (AL-QURAN), DAN TIDAK ADA YANG AKAN MENGINGKARINYA MELAINKAN ORANG-ORANG YANG FASIK.} (AL-BAQARAH 2:99)

  1. Allah s.w.t turunkan al-Quran kepada Rasulullah s.a.w dengan jelas, ayatnya jelas, bukti keteranganya cukup nyata; maka orang yang menolak & mengingkari bukti yang sebegini jelas, dia adalah orang yang jahat & fasiq!
  2. Ingat ini adalah jahat aqidah & jahat kepada Allah walaupun sesama manusia mungkin dia amat baik & tidak berlaku khianat dan zalim kepada orang lain! Kita kena asingkan kejahatan dari sudut aqidah & dari sudut dengan orang.

AYAT 100- {PATUTKAH (MEREKA INGKARKAN AYAT-AYAT KETERANGAN ITU) DAN PATUTKAH TIAP-TIAP KALI MEREKA MENGIKAT PERJANJIAN SETIA, DIBUANG DAN DICABULI OLEH SEGOLONGAN DARI MEREKA? BAHKAN KEBANYAKAN MEREKA TIDAK BERIMAN.} (AL-BAQARAH 2:100)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t bawa lagi sifat buruk orang yahudi yang suka berjanji, menabur janji tetapi suka membatalkan perjanjian!

Inilah perangai yang sangat buruk & keji- kerana orang percaya dan menunggu-nunggu janjinya.

  1. Orang yang suka berjanji tetapi apabila Allah beri kuasa atau kemampuan, dia lupa janji, lupa kawan lalu mengkhianati janji itu!
  2. Ayat ini mencela & Allah nyatakan pelik perangai yahudi ini, mereka suka berjanji tetapi mudah-mudah membatalkan janjinya! Sedangkan perjanjian itu adalah satu perkara yang besar di sisi Allah.
  3. Inilah perangai yahudi dan perangai munafiq yang buruk, keji lagi jelek!
    Mereka tidak beriman kepada Allah & Rasul kerana itu mereka dengan mudah membatalkan segala perjanjian!
  4. Kita orang Islam yang beriman kepada Allah & Rasul, jangan sekali-kali meniru perangai mereka yang suka khianat & kelentong itu!
    Kerana orang mukmin tidak begitu.

AYAT 101- {DAN APABILA DATANG KEPADA MEREKA SEORANG RASUL DARI SISI ALLAH (NABI MUHAMMAD S.A.W), YANG MENGESAHKAN APA YANG ADA PADA MEREKA, SEBAHAGIAN DARI ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERIKAN KITAB ITU MELEMPARKAN KITAB ALLAH KE BELAKANG MEREKA, SEOLAH-OLAH MEREKA TIDAK MENGETAHUI (KEBENARANNYA).} (AL-BAQARAH 2:101)

  1. Apabila Allah s.w.t utuskan Rasulullah s.a.w (juga rasul-rasul sebelum ini) kepada kaum yahudi, yang bertepatan dengan apa yang ada dalam kitab Taurat tentang sifat & risalah Rasulullah s.a.w ini dan mereka pun berjanji mahu ikutnya!
  2. Tetapi apa yang terjadi apabila mereka mendapati Baginda s.a.w bukan dari bangsa yahudi bukan dari kalangan bani Israil seperti yang mereka harapkan??!
  3. Mereka terus menolak dan mendustakannya, tidak mahu ikut, campak Taurat yang mereka pegang- semata-mata perasaan hasad dengki itu!
    Yakni kaum yahudi buat tak tau, buat tak kenal- seolah tidak tahu ada dalam Taurat khabar gembira tentang kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w ini!
  4. Yakni kaum yahudi itu tidak beriman lansung kepada sebahagian kandungan Taurat yang menyebut tentang Rasulullah s.a.w & kebenarannya sebagai Pesuruh Allah.

Ini bermakna mereka telah melemparkan Kitab Allah ke belakang & menunjukkan kekufuran mereka!

  1. Kata ulama’ jika campak ke depan ada harapan nak ambil balik tetapi jika campak ke belakang- ma’as-salamah, sudah tamatlah tempohnya!
  2. Alhamdulillah kita dah kenal yahudi & sifat buruk mereka, maka kita berhati-hatilah dari sifat yang keji, jelek lagi bruk ini supaya kita tidak dilaknat oleh Allah s.w.t sebagaimana dilaknatnya bani Israil sehingga ke saat ini!
  3. Sehingga ke hari ini tidak habis lagi kezaliman & pengkhianat yang dibuat oleh yahudi ke atas umat Islam di Palestin.

Jika tidak mampu menolong cara lain hanya doa kita bacakan untuk mereka setiap masa, bukan hanya tggu qunut nazilah dalam solat!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Yahudi berani datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w dengan soalan untuk menguji & mencari alasan untuk tidak mahu ikut Nabi s.a.w!

Jadi ayat yang dibawa ini adalah beberapa siri alasan demi alasan puak Yahudi untuk tidak mahu beriman dengan Rasulullah s.a.w.

Antara dakwaan batil mereka ialah:
i- Yahudi kata beriman dengan Taurat, tetapi mereka tolak kitab yang lain. Maka kufurlah.

ii- mereka kata mereka anak kesayangan Tuhan, bangsa yang terpilih.

iii- seperti kisah dalam hadis tadi- dalam 5 atau 4 persoalan yang mereka tanya, mereka tolak untuk beriman kepada Malaikat Jibril yang
Jika dalam bahasa Melayu; malaikat Jibril seolah menjadi kambing hitam kepada yahudi yang tidak mahu beriman dengan Nabi s.a.w!

Jangan mencari kambing hitam untuk menolak ajaran agama dan cari sebab tidak mahu terima sesuatu kebenaran.

Dalam berdakwah kita kena berhikmah.

Para ustaz & mereka yang ada ilmu jangan gopoh untuk mengkritik sesuatu isu sebelum mengkaji & buat rujukan terlebih dahulu.
Jika tidak masyarakarat akan keliru & celaru, kita sendiri pun akan malu.

  1. Ayat 97- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah,}- kenapa Allah s.w.t turun ke atas hati?
    Sedangkan al-Quran itu turun kepada semua?

Kata ulama’: Ini kerana hati tempat atau bekas untuk menerima pemikiran, ilmu & makrifah. Sumber ilmu yang kita dapat adalah melalui hati yang ikhlas dan bersih.
Bila hati terima, maka akan terima jugalah yang lain-lain; kerana adalah hati raja seorang manusia, iaitu hati Nurani manusia!

Turunnya ke atas hati menununjukan teguh dan mantap sekali penerimaan & kefahaman Rasulullah s.a.w kepada al-Quran, kerana ia turun ke atas hati bukan kepada yang lain!

  1. Ayat 97- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah,}-
    Rasulullah s.a.w apabila mahu menerima wahyu al-Quran berubah keadaannya!

Jika Rasulullah s.a.w sedang berdiri Baginda akan duduk, jika sedang berada di atas unta, unta itu akan duduk juga!
Jika datangnya pada musim sejuk pun Baginda s.a.w akan berpeluh.
Ini kerana wahyu yang turun kepada Rasulullah s.a.w amat berat.

Pernah suatu ketika Rasulullah tertindih paha sahabat ketika wahyu turun dan sahabat itu menceritakan betapa dia berasa seolah akan tercabut nyawanya kerana terlalu berat rasanya.

Maka kata ulama’ tadabbur Rasulullah s.a.w apabila menerima al-Quran Baginda terima dengan sepenuhnya dengan berat- al-Quran masuk (installed) dalam hati Baginda dengan sempurna & lengkap, tanpa sebarang keraguan & kekurangan!

Tidak akan keluar lagi, melekat ke dalam hati lalu ia akan menjadi pengawal, pemandu, penuntun ke jalan yang benar!

Kerana itu kata orang; Pendakwah yang ikhlas, apabila dia menasihati orang dari hatinya maka ia akan mudah menusuk ke dalam hati orang yang mendengarnya.
Jika ia datang dari hati ia akan turun ke dalam hati juga & lekat disitu!

Jika tidak, hanya keluar dari mulutnya lalu melalui telinga dan keluar semula!

Mesti terbit dari hati guru yang suci & Ikhlas baru menjadi petunjuk hidayah yang melekat dalam hati muridnya pula!

  1. Ayat 101- {Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).}- yakni mereka menolak kebenaran yang ada dalam kitab Taurat- maka seolah mencampaknya ke belakang kerana tak mahu gunanya!

Orang yang tolak kebenaran yang ada dalam al-Quran & Sunnah nak ambil ajaran yang lain adalah lebih buruk dari orang jahil yang tak tahu apa, yang tiada ilmu!

Orang yang ada ilmu, tahu kebenaran tentang sesuatu itu tetapi mereka menolak & enggan ambil manfaat drainya adalah lebih dahsyat dan lebih buruk daripada orang yang memang tak tahu apa & tak ada ilmu!

Mereka faham & tahu, ada ilmu, tetapi mereka menolak kebenaran, tidak mengambil dan beramal dengan kebenaran ilmu al- Quran ianya lebih dahsyat dari orang yang jahil, sangatlah keji perbuatan itu, lebih keji dari yang tiada ilmu.

  1. Ayat 101- {Sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka.}-

Allah nak kuatkan lagi betapa mereka tidak mahu terima kebenaran yang ada dalam kitab itu, maka mereka campakkannya ke belakang!

Kata ulama’ tadabbur: jika campak ke depan ada harapan nak ambil balik semula kerana dia nampaknya tetapi jika campak ke belakang- ma’as-salamah, sudah tamatlah tempohnya, harapan untuk menerima kebenaran sudah jauh!

Sebagai kata penceramah di aats pentas:
Hari ini kita sudah bakar jambatan!

Ini bermakna dia tiada harapan lagi untuk menerimanya- ini kerana kalau campak di hadapan ada harapan lagi – tetapi jika letak di belakang tidak nampak terus- tamatlah harapan untuk menjadi orang yang baik, tamatlah harapan untuk menerima kebenaran!

Maka jika nak campak, campaklah di hadapan, jangan gopoh- slow-slow, jika nak lawan atau komen pun berhati-hati dan slow.
Jika tidak kita akan terpelanting tidak dapat menjawabnya nanti!

Maka segala benda yang jika tak suka, tak mahu terima hari ini, letak di hadapan dulu, agar kita nampak, lalu boleh kita tilik kita kaji dulu!

Jika tidak beramal hari ini pun esok lusa mungkin kita akan mengambilnya semula.

Tamatlah pengajian tafsir kita untuk hari ini, semoga Allah s.w.t melindungi kita semua dari sifat buruk yahudi & munafiq!

Lihat rakaman kuliah hari ni:
https://youtu.be/YK5T1R6ykUA?si=Umb3R8kCQ_TnaAQJ

Semoga Bermanfaat!