Keadaan Golongan Kafir Dengan Sembahannya, Para Rasul Adalah Seorang Manusia & Tuntutan Kafir Minta Malaikat Dan Gugur Amalan Mereka.💎

♥ Live Pagi Jumaat 13 Zulhijjah 1442H = 23/07/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Furqan (05) Ayat [17-24]♥

Full video: https://fb.watch/6VLaxxL3-B/

🎀 Muqaddimah:

  1. Alhamdulillah hari ini 13hb Zulhijjah, kita berada pada hari Tasyriq yang ke-3, hari terakhir bagi pekerjaan haji di Mina bagi Jemaah Haji yang memilih untuk Nafar Thani; iaitu menambah untuk mabit (bermalam) di Mina satu malam lagi dan melontar Jumrah pada hari ini lalu selesai dan keluar. Yang nafar awal sudah keluar dari Mina sebelum Maghrib semalam (12hb).
  2. Bagi kita yang tidak Haji pula ialah hari terakhir untuk sembelih Korban sehingga maghrib hari ini.
  3. Inilah hari-hari yang Allah s.w.t sebut sebagai {Hari-hari yang diketahui..} yang mana kita digalakkan untuk banyak berzikir dan bertakbir kepada Allah s.w.t.
    Dan hari terakhir larangan berpuasa.
  4. Dalam siri ini kita masih lagi dalam juz ke-18, tetapi bila masuk ayat ke-21 surah al-Furqan ini, kita akan masuk Juz ke-19.
  5. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang keadaan orang kafir dan sesi soal-jawab dengan segala sembahan mereka.
  6. Allah s.w.t juga membatalkan dakwaan orang kafir yang meminta dihantar malaikat sebagai rasul dengan menegasakan bahawa semua nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutus-Nya sebelum Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia biasa juga.

🌺*Ayat 17- {Dan (ingatkanlah) hari Tuhan menghimpunkan mereka (yang kafir) dan makhluk-makhluk yang mereka sembah yang lain dari Allah, lalu Ia bertanya (kepada makhluk-makhluk yang telah dipuja dan disembah itu): “Kamukah yang menyesatkan hamba-hambaKu itu atau mereka yang sesat jalan?”}
(Al-Furqaan 25:17)

  1. Dan ingatlah pada hari Kiamat nanti, orang kafir akan dikumpul sekali bersama sembahan mereka.
  2. Kesinambungan dari ayat yang lepas Allah s.w.t katakan orang kafir akan diazab dalam api yang menjulang menyala. Dalam ayat ini pula dicetikan tentang perkumpulan mereka sebelum dimasukkan ke dalam neraka.
  3. Ulama’ kata dikumpulkan semua apa yang mereka puja dan sembah, segala berhala, manusia orang soleh, hatta malaikat dan nabi-nabi seperti Nabi Isa a.s dan Uzair. Mereka ini lalu ditanya: {“Kamukah yang menyesatkan hamba-hamba-Ku itu atau mereka yang sesat jalan?”}
  4. Maka mereka yang berakal itu akan menjawab dan menafikannya:
    Jawapan penafian Nabi Isa a.a apabila Allah s.w.t bertanya kepadanya:
    {Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? NabiIsa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.} (Al-Maaidah:116)
  5. Malaikat juga menjawab apabila ditanya:
    {Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Ia bertanya kepada malaikat: “Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu dahulu?”
    Malaikat menjawab: “Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami hubungi sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)”.} [Saba’: 40-41].
  6. Maka sudah terjawab dengan jelas, semuanya menafikan, hanya mereka penyembah itu sendiri yang mendakwa dan mereka semua itu.

🌺*Ayat 18- {Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan kami)! Sudah tentu tidak patut bagi kami mengambil sesiapa pun yang lain daripadaMu sebagai pelindung yang disembah (dan tidak patut juga kami menyeru orang menyembah kami); tetapi engkau (wahai Tuhan kami) telah melimpahkan kemewahan kepada mereka dan kepada datuk neneknya sehingga mereka lalai dan cuaikan ajaran agamaMu, dan menjadilah mereka kaum yang binasa”.}
(Al-Furqaan 25:18)

  1. Dalam ayat ini semua makhluk yang disembah tanpa hak itu setelah ditanya menjawab dan menegaskan bahawa: “Maha suci Allah bukan kami yang menyesatkan mereka, tetapi mereka sendiri yang sesat!”
  2. Puncanya kerana mereka sibuk mengikut hawa nafsu, serta mereka merasakan diri mereka dan datuk moyang mereka lagi kaya-raya, berkedudukan tinggi dan hebat lalu menolak dakwah yang dibawa oleh rasul Allah dan cuai tentang agama.
  3. Lalu jadilah mereka kaum yang binasa dan akan mendapat azab neraka yang pedih.

🌺*Ayat 19- {Maka (dikatakan pula kepada golongan itu): “Sesungguhnya mereka (yang kamu puja dan sembah) itu telah mendustakan dakwaan kamu (bahawa mereka yang menyesatkan kamu). Oleh itu, kamu semua tidak akan dapat menjauhkan azab seksa atau beroleh sebarang pertolongan”. Dan sesiapa yang berlaku zalim di antara kamu (wahai umat manusia, dengan kekufuran atau maksiat), Kami akan merasakannya azab seksa yang besar.}
(Al-Furqaan 25:19)

  1. Dalam ayat ini dikatakan pula kepada mereka para penyembah yang syirik itu; Bahawa semua apa yang disembah oleh kamu itu telah mendustakan dan menafikan dakwaan kamu bahawa bukan mereka yang menyesatkan kamu.
  2. Maka azab yang datang tidak dapat ditepis lagi, dan tiada siapa yang dapat membantu mereka.
  3. Maka sesiapa yang zalim dari segi akidah; kufur atau melakukan dosa dan maksiat, maka akan mendapat azab siksaan yang besar sebagai balasannya!!

🎀 Beberapa Faedah Ringkas dari ayat 17-19:

  1. Masing-masing yang disembah melepaskan diri dari dakwaan penyembah itu, bukan mereka yang menyuruh bahkan tidak redha pun dengan perbuatan itu. Maka mereka yang syirik itu tidak dapat melepaskan diri dan selamat dari pendustaan mereka.
  2. Jika yang berakal seperti malaikat dan manusia dapat bercakap, bagaimana sembahan yang kaku seperti batu kayu dan seumpamanya? Tiada yang pelik, kita sebagai orang yang beriman dan yakin bahawa Allah s.w.t yang Berkuasa untuk memberi manusia bercakap, anggota kaki-tangannya bercakap, maka bukanlah sesuatu yang pelik untuk semua benda batu kayu itu juga bercakap dengan kuasa-Nya juga.
  3. Contoh- Teknologi canggih zaman kita ini adalah satu manifestasi tentang apa yang dinyatakan tentang hari Akhirat/Kiamat. Jet, roket, kamera, rakaman video, video call, CCTV, telefon pintar dan banyak lagi gajet-gajet canggih, semuanya adalah gambaran supaya kita nampak dan hujjah ke atas kita untuk lebih beriman dan yakin tentang Hari Akhirat.
  4. Kata AAM عفا الله عنه وعن والديه: Makin tinggi, makin canggih teknologi yang direka-cipta oleh manusia, makin kuat hujjah Allah s.w.t ke atas kita kelak, nak berlepas diri untuk berdalih tidak boleh lagi!
  5. Semua ini sepatutnya menjadikan kita semakin takut untuk melakukan kejahatan dosa dan maksiat kerana Kuasa Allah s.w.t pastilah lebih canggih dan tidak terjangkau dek akal fikiran manusia yang lemah!
  6. Maka para pendakwah, imam-iman dan asatizah semua, jangan bagi ruang, buka pintu untuk orang membuat fitnah dan menambah dosa kerana kita. Fikir dulu apa kesannya kepada netizen yang berada di bawah sebelum buat atau kata/komen. Maka baiklah kita diam dan memikirkan apa yang akan kita bawa di hadapan Allah s.w.t nanti.

🌺*Ayat 20-{Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).}
(Al-Furqaan 25:20)

  1. Dalam ayat ni Allah s.w.t memberi semangat kepada Rasulullah s.a.w jangan hiraukan tentang hujjah dangkal orang kafir tentang sifat makan-minum dan berjalan di pasar dengan menegaskan bahawa semua utusan Allah s.w.t, nabi dan rasul-rasul sebelum Baginda juga adalah manusia biasa yang bersifat sedemikian.
  2. Semua itu, Allah jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain. Sifat biasa Rasulullah s.a.w itu adalah sebagai satu ujian kepada sesama manusia lain, samada mereka bersabar dan berjaya melepas ujian itu dari segi akidah, taqwa dan kesabarannya.
  3. Sebagaimana orang beriman menjadi ujian kepada kafir musuh Allah, begitu juga sebaliknya, kafir itu ujian untuk orang mukmin. Raja-raja menjadi ujian bagi rakyatnya, begitu juga sebaliknya. Wanita adalah ujian/fitnah bagi kaum lelaki, begitu juga sebaliknya. Orang kaya adalah ujian bagi orang miskin, begitu juga sebaliknya!!!
  4. Hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh ‘Iyadh bin Himar: Sabda Rasulullah s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman: “Sesungguhnya Aku bangkitkan kamu menjadi Rasul untuk menguji kamu juga untuk menguji manusia dengan dakwahmu. “[HR Muslim].
  5. Semua ini adalah kerana Allah s.w.t mahu melihat adakah kamu wahai Rasulullah s.a.w dan umatmu yang beriman, dapat bersabar menghadapi ujian itu.
  6. Dan ingatlah adalah Tuhanmu sentiasa Melihat akan keadaan makhluk-makhlukNya.
  7. Tamat Juz 18, ayat berikutnya kita akan masuk juz 19.

🌺*Ayat 21- {Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan menemui Kami: “Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita, atau kita dapat melihat Tuhan kita?” Demi sesungguhnya, mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-besarnya.}
(Al-Furqaan 25:21)

  1. Begitulah golongan yang tidak percaya kepada hari Akhirat tetapi berdegil serta berdalih dengan meminta agar malaikat turun untuk membenarkan Nabi Muhammad s.a.w atau Tuhan sendiri yang turun membenarkannya!!!
  2. Semua penolakan kebenaran ini puncanya kerana sifat sombong dan angkuh dalam diri mereka. Inilah kesombongan besar yang melampaui batas; contoh seperti firman yang mengaku tuhan.

🌺*Ayat 22- { (Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka akan berkata: “Semoga kita jauh – dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)”.}
(Al-Furqaan 25:22)

  1. Maka pada hari Kiamat dan selepas mati nanti pastilah mereka akan dapat berjumpa dan melihat malaikat yang mereka pinta-pinta itu, tetapi pada waktu itu malaikat akan datang membawa azab kepada mereka, bukan berita gembiara atau apa yang mereka pinta.
  2. Maka pada waktu itu barulah mereka akan berkata: “Semoga kita jauh – dijauhkan dari sebarang keadaan yang buruk!” Tetapi keburukan itulah yang berlaku.

🌺*Ayat 23- {Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.}
(Al-Furqaan 25:23)

  1. Pada hari Kiamat nanti, apa jua amal yang baik yang dilakukan oleh orang kafir di atas dunia dulu, akan sia-sia, tidak akan dikira dan berguna, kerugian dan terbuang seperti debu yang berkurangan.
  2. Ini samada amalan orang kafir yang tidak beriman JUGA amalan orang beriman TETAPI yang dibuat bukan kerana Allah, tidak ikhlas kerana Allah s.w.t juga yang tidak mengikut sunnah Nabi s.a.w.
  3. Kata ulama’, ini sebagaimana kafir Quraisy dulu yang menghitung kebaikan mereka seperti membina Ka’bah, Masjidil Haram, memberi makan Jemaah haji dan lain-lain,tetapi sayangnya semua itu sia-sia, walaupun mungkin Allah akan memberinya semasa di dunia seperti pangkat dan kekayaan harta, tetapi di Akhirat adalah seumpama debu yang berterbangan!

🌺*Ayat 24- {Ahli-ahli Syurga pada hari itu lebih baik tempat menetapnya, dan lebih elok tempat rehatnya.}
(Al-Furqaan 25:24)

  1. Manakala ahli syuga pula, dengan sebab amalan yang diterima. Allah s.w.t memberikan kepada mereka tempat menetapnya yang amat baik, dan lebih elok tempat rehatnya.
  2. Dua syarat/asas amalan seseorang itu diterima:
    i- Ikhlas kerana Allah s.w.t. DAN
    ii- bertepatan dengan ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Tidak ada ubat yang lebih baik bagi orang yang diberi ujian oleh Allah s.w.t kecuali KESABARAN! Kerana ia (sabar) itu akan menjadi penapis dan pelepas bagi dosa-dosa kita yang lalu.
  2. Sabar itu ada 3 peringkat:
    i- Sabar melakukan ketaatan.
    ii- Sabar meninggalkan larangan dan mengikut hawa nafsu.
    iii- Sabar dalam menghadapi kesusahan ujian.
  3. Allah s.w.t sudah tahu semua ini tetapi kenapa Dia memberikan juga ujian in? Untuk melihat siapa yang lulus dan gagal dalam ujian ini, kerana Allah nak balas apa yang kita telah lakukan lalu mengangkat darjat dan memberi pahala.
  4. Larangan agar kita jangan senang-senang mencari dan menunjuk kegagalan orang lain. Hanya Allah s.w.t yang berhak menentukan kejayaan atau kegagalan seseorang manusia.

Wallahu a’lam.