Surah Al-Furqan : Ayat 45-54

Allah S.W.T Sebut 5 Tanda Atas Kewujudan-Nya, Dapat Disaksikan Dengan Mata Sendiri; Bayang, Malam & Siang, Angin & Hujan, Laut Masin & Tawar Dan Kejadian Manusia Dari Air.💎

♥ Live Pagi Rabu 18 Zulhijjah 1442H = 28/07/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Furqan (10) Ayat [45-54]♥

Full video: https://fb.watch/70kSJ23jpC/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t bawa ayat-ayat al-Quran yang mengandungi 5 dalil/tanda kewujudan dan kekuasan-Nya yang boleh dilihat dengan pandangan mata biasa sahaja.
  2. Yang Dapat Disaksikan Dengan Mata Sendiri, iaitu: Bayang, Malam & Siang, Angin & Hujan, Laut Masin & Tawar Dan Kejadian Manusia Dari Air.
  3. Ini adalah selepas Allah s.w.t ceritakan tentang golongan yang berpaling tidak mahu mengikut dakwah dan seruan para rasul dan nabi. Ianya agar orang yang beriman lebih mantap iman dan teguh akidahnya.
  4. Supaya manusia memerhati akan tanda ini lalu berfikir akan dalil kewujudan dan kekuasan Allah s.w.t, bukan seperti haiwan yang tidak berakal.

🌺*Ayat 45- {Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? – bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu;}
(Al-Furqaan 25:45)

  1. Dalil pertama: Tidakkah kamu melihat antara tanda kekuasaan Allah itu adalah bayang-bayang yang terbentang luas, bergerak dan berubah mengikut pergerakan matahari.
  2. Bayang ini dikira muncul sejak dari terbit fajar sehingga naik matahari, suasana gelap ini dianggap sebagai bayang untuk dunia seluruhnya.
  3. Kemudian bila syuruq-naik matahari maka hilang bayang dunia lalu muncul bayang benda-benda di atasnya.
  4. Matahari itu sebagai tanda atau dalil yang menunjukkan perubahan bayang-bayang, pertukaran malam dan siang serta perubahan musim.

🌺*Ayat 46- {Kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada Kami, dengan beransur-ansur.}
(Al-Furqaan 25:46)

  1. Bayang-bayang ini Allah tarik atau hilangkan secara beransur-ansur- contoh antara matahari terbit dengan syuruq hanyalah dalam masa 15 minit. Kemudian bayang kegelapan dunia ini pun hilang, lalu dunia menjadi cerah.
  2. Yasiran ( يَسِيرًا ) bermaksud perlahan-lahan, sedikit demi sedikit dan tersembunyi.
  3. Ulama’ berkata maksud bayang ini ada beberapa:
    i- dari terbit fajar sehingga terbit matahari.
    ii- atau malam itu keseluruhannya, gelapnya adalah satu bayang. Panjang dan pendeknya tempoh waktu siang dan malam juga bergantung kepada musim.
    iii- atau bayang bagi setiap objek yang berubah mengikut pergerakan matahari.

🌺*Ayat 47- {Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.}
(Al-Furqaan 25:47)

  1. Dalil yang kedua; kejadian pertukaran malam dan siang.
  2. Malam dijadikan sebagai faedah:
    i- seolah pakaian لِبَاسًا yang melindungi dunia ini dengan kegelapannya.
    ii- untuk manusia tidur bagi memberi kerehatan سُبَاتًا kepada badan.
    *yakni pada adatnya malam untuk manusia berehat tidak bekerja, tetapi pada hari ini ada yang kerja shift- frontliners yang menjaga keselamatan dan kesihatan dan lain-lain- kita doakan keselamatan, kesihatan dan kebaikan untuk mereka semua insya’ Allah.
  3. Siang pula dijadikan sebagai waktu untuk manusia keluar bekerja, mencari rezeki dan segala urusan dunia lain yang diluar rumah biasanya.
  4. Rasulullah s.a.w mengajar kita agar berdoa sebelum tidur:
    بِسْمِكَ اللّٰهُمَّ اَمُوْتُ وَاَحْيَا
    Maksudnya: “Dengan menyebut nama-Mu ya Allah, aku mati dan aku hidup.”
    Serta doa apabila bangun tidur:
    اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ اَحْيَانَا بَعْدَمَآ اَمَاتَنَا وَاِلَيْهِ النُّشُوْرُ
    Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah kami mati (membangunkan dari tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan.”

🌺*Ayat 48- {Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci,}
(Al-Furqaan 25:48)

  1. Dalil ketiga; Allah s.w.t hantar angin yang bertiup membawa berita gembira bahawa hujan akan datang.
  2. Lalu turunlah dari langit air hujan yang bersih lagi suci. Maka jika kita dapat manfaatkan air hujan ini untuk kegunaan harian atau simpanan, ia adalah satu faedah yang besar juga sebagai mensyukuri nikmat Allah s.w.t.
  3. Ayat ini menunjukkan Allah s.w.t berkuasa menghidupkan bumi yang mati ini dengan memilih air hujan untuk turun di mana yang dikehendaki-Nya.
  4. Pengalaman di Saudi: Orang Badwi di pedalaman (padang pasir) apabila lama hujan tidak turun, mereka minta Kerajaan isytiharkan agar diadakan solat sunat minta hujan (istisqa’) supaya hujan turun. Alhamdulillah Allah sudah cipta takungan semulajadi bagi air hujan ini di padang-padang pasir, yang seolah menjadi tangki air kepada mereka untuk digunakan dalam tempoh yang lama.

🌺*Ayat 49- {Untuk Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati, serta memberi minum air itu kepada sebahagian dari makhluk-makhluk Kami, khasnya binatang ternak yang banyak dan manusia yang ramai.}
(Al-Furqaan 25:49)

  1. Antara faedah dan fungsi air hujan yang banyak:
    i- menghidupkan dengan air itu bumi yang mati,
    ii- serta memberi minum air itu kepada sebahagian dari makhluk-makhluk, khasnya binatang ternak yang banyak dan manusia yang ramai.
  2. Hujan merupakan salah satu rahmat yang diturunkan dari atas langit oleh Allah S.W.T kepada sekalian hamba-Nya. Ia juga disifatkan sebagai salah satu keberkatan yang membawa bersamanya kebaikan yang banyak.

🌺*Ayat 50- {Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur.}
(Al-Furqaan 25:50)

  1. Hujjah-hujjah ini sudah banyak kali dibawa di dalam al-Quran kepada manusia untuk mereka berfikir dan ingat kepada Allah s.w.t.
  2. Tetapi malangnnya masih ramai lagi yang kufur dan tidak bersyukur dengan nikmat Allah s.w.t.
  3. Hadis- Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w solat subuh bersama sahabat di Hudaibiyah pada tahun ke 6H. Pada malam itu hujan turun. Rasulullah s.a.w lalu berpaling dan bertanya kepada para sahabat: “Tahukah kamu apa yang diwasiatkan oleh Allah S.W.T kepadaku? Jawab sahabat: Tidak, hanya Allah dan Rasul-Nya yang tahu. Lalu Baginda S.A.W bersabda, maksudnya:
    “Sebahagian di antara hamba-hamba-Ku pagi hari ini ada yang beriman kepada-Ku dan ada yang kafir. Adapun orang yang mengatakan, “Kami diberi hujan berkat kemurahan dan rahmat Allah,” maka dia adalah orang yang beriman kepada-Ku dan kafir kepada bintang-bintang. Adapun orang yang mengatakan, “Kami diberi hujan oleh bintang ini dan itu,” maka orang itu kafir kepada-Ku dan percaya kepada bintang-bintang.” [HR Bukhari & Muslim].

🌺*Ayat 51- {Dan kalau Kami kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi amaran.}
(Al-Furqaan 25:51)

  1. Jika Allah s.w.t mahu mengutuskan seorang rasul bagi setiap negeri pasti saja boleh dilakukan, maka tugas dakwah Rasulullah s.a.w akan menjadi lebih ringan.
  2. Tetapi tidak demikian, maka bersabarlah wahai Rasulullah s.a.w, tugasmu sebagai Rahmatan lil-‘Alamin untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh makhluk di alam ini.
  3. Dari Jabir bin Abdullah r.a, bahwasanya Rasulullah s.a.w bersabda, “Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Aku diberi kemenangan dengan kegentaran (musuh) sejauh perjalanan satu bulan dan bumi dijadikan untukku sebagai tempat sujud dan bersuci. Maka siapa saja dari umatku yang mendapati waktu solat, hendaklah ia melaksanakan solat. Juga dihalalkan untukku harta rampasan perang yang tidak dihalalkan untuk seorang pun sebelumku. Aku juga diberi syafaat, dan seorang Nabi itu diutus kepada kaumnya secara khusus, sedangkan aku diutus kepada manusia seluruhnya.” [HR Bukhari & Muslim].

🌺*Ayat 52- {Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.}
(Al-Furqaan 25:52)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya jangan bertolak ansur dengan orang kafir yang menentang dalam dakwah menegakkan agama Allah.
  2. Lawanlah mereka dengan hujjah-hujjah al-Quran yang benar serta berjuang bersungguh-sungguh menghadapi tentangan mereka.
  3. Yakni keinginan utama orang-orang kafir ialah agar Rasulullah s.a.w meninggalkan tugasnya menyampaiakn dakwah.

🌺*Ayat 53- {Dan Dia lah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit; serta Ia menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya.}
(Al-Furqaan 25:53)

  1. Tanda keempat: antara tanda kekuasaan Allah s.w.t ialah kejadian laut dan sungai.
  2. Antara keajaibannya:
    i- Allah s.w.t mengalirkan dua laut berdampingan, tetapi berbeza duanya, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan yang satu lagi masin lagi pahit;
    ii- serta Ia menjadikan antara kedua-dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran keduanya.
  3. Air yang tawar lagi menyegarkan itu terdapat di sungai-sungai, mata air-mata air dan telaga, manakala air yang masin, pahit dan sukar untuk diminum itu terdapat di lautan yang luas, laut-laut yang berhubungan dengannya dan laut-laut yang tenang tidak mengalir.
  4. Keajaiban ini sudah banyak dikaji dan diwar-warkan oleh para saintis Barat, tetapi malanglah manusia yang hanya mengkajinya dengan mata kepala sahaja tetapi tidak masuk ke dalam hati mereka dan beriman mengakui kekuasaan Allah s.w.t.

🌺*Ayat 54- {Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).}
(Al-Furqaan 25:54)

  1. Dalil yang kelima: Allah s.w.t mencipta manusia asalnya dari air (mani).
  2. Lalu Allah s.w.t menjadikan mereka zuriat berketurunan dan menjalin hubungan kekeluargaan melalui melalui perkahwinan iaitu mertua-menantu. Satu lagi ialah mahram melalui hubungan penyusuan.
  3. Allah s.w.t sebut nasab keturunan yang mahram ini ada 7 pertalian dalam firman-Nya dalam surah An-Nisa’; ayat 23.
  4. Firman Allah s.w.t: { Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.} (An-Nisaa’ 4:23)
  5. Lalu ingatlah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t itu berkuasa menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Alhamdulillah lengkap sudah perbincangan kita tentang dalil atau tanda kewujudan dan kekuasan Allah s.w.t.
  2. Kita sebagai seorang hamba Allah yang beriman wajib memerhatikan kepada ayat-ayat yang boleh dilihat dengan mata (manzhurah – منظورة ) atau ayat-ayat yang kita baca (maqru’ah – مقروءة ) dalam al-Quran yang menunjukkan kepada dalil-dalil ini.
  3. Dalam siri ini Allah s.w.t membawa 5 tanda atau dalil yang boleh dilihat dengan mata kepala biasa akan kewujudan dan kekuasaan Allah s.w.t.
  4. Lima (5) dalil ini ialah:
    i- Bayang,
    ii- Malam & Siang,
    iii- Angin & Hujan,
    iv- Laut Masin & Tawar,
    v- Kejadian Manusia Dari Air.
  5. Cukuplah ianya bagi hati yang terbuka dan otak yang berfikir untuk menambahkan kefahaman, menguatkan iman, mantapkan aqidah serta mempertingkatkan ibadat.
  6. Semoga kita mati dalam husnul-khatimah dan layak menjadi ahli syurga yang diidam-idamkan, insya’ Allah.

Wallahu a’lam.