SURAH AL-HAJJ : AYAT 49-54

TUGAS NABI S.A.W MEMBERI KHABAR GEMBIRA (BASYIR) DAN PERINGATAN (NAZIR), GANGGUAN SYAITAN KETIKA NABI S.A.W MEMBACA AL-QURAN & KISAH AL-GHARANIQ YANG TIDAK BENAR.

Full video: https://youtu.be/3bm42IEPok0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas diceritakan bagaimana orang kafir yang gopoh dan meminta azab dengan sombongnya.
  2. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t ajar Rasulullah s.a.w untuk memberitahu bahawa azab itu bukan boleh diminta darinya. Kerana ia adalah di bawah kuasa Allah s.w.t.
  3. Baginda s.a.w kerja dan tugasannya hanyalah memberi keterangan dan amaran kepada manusia.
  4. Azab Allah itu bila tiba tiada bandingan dahsyat siksaannya.
  5. Ditegaskan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan mendapat keampunan dan limpah kurnia dari Allah yang Maha Pemurah.

AYAT 49- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “WAHAI SEKALIAN MANUSIA, AKU TIDAK LAIN HANYALAH SEORANG RASUL PEMBERI AMARAN YANG MENJELASKAN KETERANGAN-KETERANGAN KEPADA KAMU”.} (AL-HAJJ 22:49)

  1. Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk menyeru kepada seluruh manusia. Dalam al-Quran ini ada dua jenis ayat yang bersifat seruan:
    I- Ya ayyuhan-Nas- { يَاأَيُّهَا النَّاسُ } wahai sekelian manusia – ini adalah umat Nabi yang mahu diseru dan didakwah. Semua manusia samada yang belum beriman atau sudah.
    ii- Ya ayyuhallazina Aamanu – الَّذِينَ آمَنُوا يَاأَيُّهَا wahai orang-orang yang beriman, ini adalah umat yang telah menerima dakwah Nabi s.a.w.
  2. Ayat ini menyatakan tentang salah satu tugas Rasulullah s.a.w adalah sebagai pemberi amaran (nazir -( نَذِيرٌ yang menjelaskan keterangan-keterangan tanpa keraguan.

AYAT 50- {MAKA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH AKAN BEROLEH KEAMPUNAN DAN LIMPAH KURNIA YANG MULIA.} (AL-HAJJ 22:50)

  1. Allah s.w.t tegaskan lagi bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah kurnia dan kemuliaan dari Allah s.w.t Yang Maha Mulia.
  2. Syarat amal soleh: Ikhlas kerana Allah s.w.t dan mengikut ajaran Nabi S.a.w.

AYAT 51- {DAN (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG BERUSAHA MENENTANG DAN MEMBATALKAN AYAT-AYAT KETERANGAN KAMI, MEREKA ITULAH AHLI NERAKA.} (AL-HAJJ 22:51)

  1. Manakala orang yang sebaliknya iaitu bukan setakat tidak beriman, tetapi menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan dan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, mereka juga akan mendapat pembalasan yang setimpalnya.
  2. Iaitu akan menjadi ahli neraka dan kekal diazab di dalamnya.

AYAT 52- {DAN TIDAKLAH KAMI MENGUTUSKAN SEBELUMMU SEORANG RASUL ATAU SEORANG NABI MELAINKAN APABILA IA BERCITA-CITA (SUPAYA KAUMNYA BERIMAN KEPADA AGAMA ALLAH YANG DIBAWANYA), MAKA SYAITAN PUN MELEMPARKAN HASUTANNYA MENGENAI USAHA RASUL ATAU NABI ITU MENCAPAI CITA-CITANYA; OLEH ITU, ALLAH SEGERA MENGHAPUSKAN APA YANG TELAH DIGANGGU OLEH SYAITAN, KEMUDIAN ALLAH MENETAPKAN AYAT-AYATNYA DENGAN KUKUHNYA; DAN ALLAH MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-HAJJ 22:52)

  1. Setiap nabi dan rasul yang diutus itu sangat berharap dan mahu semua kaumnya beriman dengan agama Allah yang dibawanya.
  2. Tetapi syaitan itu sentiasa menganggu dan menghasut untuk mengagalkan usaha dakwah dan cita-cita mereka para nabi.
  3. Ada juga ulama’ tafsir kata maksudnya syaitan itu menganggu dan mengacau apabila Rasulullah s.a.w sedang membaca al-Quran. Samada untuk membuatkan orang salah dengar ayatnya, menganggu pendengaran dan fikirannya, atau mengacau fikiran mereka agar membenci dan tidak menyukainya.
  4. Tetapi bila ini berlaku Allah s.w.t yang Maha Berkuasa akan segera menghapuskan keraguan yang telah dibawa oleh Syaitan serta menetapkan ayat-ayat-Nya dengan kukuhnya.
  5. Maka janganlah Rasulullah s.a.w bersusah hati dan bimbang dengan gangguan mereka ini, kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
  6. Sebuah kisah yang masyhur, yang sebenarnya sebuah Kisah Palsu yang tersebar di Kalangan Umat Islam, terkenal dengan nama Kisah Al-Gharaniq (Berhala Yang Agung). الغُرَانِقُ

Kisahnya: Pada suatu masa Rasulullah s.a.w sedang duduk di salah satu tempat pertemuan orang-orang Quraisy, tiba-tiba Allah menurunkan ayat ini:
وَالنّجْمِ إِذَا هَوَىَ” Demi bintang yang terbenam” (QS. An-Najm: 1)
Baginda s.a.w terus membaca ayat tersebut sehingga firman Allah Ta’ala:
أَفَرَأَيْتُمُ اللاّتَ وَالْعُزّىَ * وَمَنَاةَ الثّالِثَةَ الاُخْرَىَ
“Maka apakah patut kamu (hai orang-orang musyrik) menganggap Al-Lata dan Al-‘Uzza dan Manah yang ketiga, yang paling terkemudian (sebagai anak perempuan Allah) ?” (QS. An-Najm: 19-20).

BERMULA KISAH TAMBAHAN YANG PALSU DISINI:
Apabila sampai pada ayat itu, dikatakan Rasulullah s.a.w tanpa sedar, lidahnya membaca kalimat yang diajar oleh syaitan seperti berikut :
تلك الغرانيق العلى، وإن شفاعتهن لترتجى
“Itulah tiga berhala (gharaaniq) pertama. Sesungguhnya syafa’at ketiganya sangat dinantikan”.
Lalu bila kaum Quraisy mendengar perkataan Baginda s.a.w tersebut, mereka langsung gembira. Sedangkan Rasulullah s.a.w meneruskan bacaan Al-Qur’annya sehingga ke akhir surah.
Ketika Baginda sujud di akhir ayat surah tersebut, semua orang yang hadir di tempat itu, baik muslim mahupun musyrik, ikut bersujud.
Orang-orang Orang-orang Quraisy pun bersurai dengan keadaan gembira atas kejadian tersebut. Mereka berkata,”Muhammad telah menyebutkan tuhan-tuhan kita dengan sebutan yang baik”.
Selepas itu Rasulullah s.a.w didatangi oleh Malaikat Jibril yang berkata: “Apa yang telah engkau buat? Mengapa kamu membacakan kepada manusia sesuatu yang tidak aku bacakan kepadamu (dan juga) bukan berasal dari Allah?”.
Rasulullah s.a.w pun merasa bersedih dan sangat takut. Maka Allah pun menurunkan ayat tersebut di atas (Al-Hajj: 52) (Fathul-Bayaan fii Maqaashidil-Qur’an IV/244-245).

Ramai para ulama’ telah membantah kisah tersebut dengan dalil-dalil ayat-ayat suci Al-Qur’an, dimana Allah s.w.t telah berfirman :

وَلَوْ تَقَوّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الأقَاوِيلِ * لأخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ * ثُمّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ
“Seandainya dia (Muhammad) mengada-adakan sebagian perkataan atas (nama) Kami, niscaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya” (Al-Haaqqah: 44-46).

وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىَ
“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut kemahuan hawa nafsunya”. 9An-Najm: 3).

Al-Bazzar berkata,”Aku tidak pernah menjumpai hadis ini diriwayatkan dari Rasulullah s.a.w dengan sanad yang tersambung”.

Al-Baihaqi berkata,”Kisah Gharaniq ini sama sekali tidak masuk akal dikira dari sudut pandangan naql. Sebab para perawi hadis tersebut adalah orang-orang yang banyak dikritik dan tidak dapat dipercayai”.

Imam Ibnu Khuzaimah berkata,”Sesungguhnya kisah Gharaniq ini termasuk dalam pembohongan yang diciptakan oleh orang-orang zindiq”.

Al-Qadli ‘Iyadh berkata dalam kitabnya Asy-Syifaa,”Sesungguhnya umat ini telah bersepakat bahawa Rasulullah s.a.w adalah seorang yang ma’sum (terjaga) dari mengucapkan khabar yang bertentangan dengan keyakinan Baginda, baik yang diucapkan secara sengaja, alpa, atau kerana salah ucap”.

Ar-Razi berkata,”Kisah Gharaniq itu adalah bathil dan maudhu’ (palsu). Oleh kerana itu tidak boleh disampaikan kepada khalayak”.

AYAT 53- {(YANG DEMIKIAN) KERANA ALLAH HENDAK MENJADIKAN HASUTAN SYAITAN ITU SEBAGAI SATU FITNAH CUBAAN BAGI ORANG-ORANG YANG ADA PENYAKIT KUFUR INGKAR DALAM HATI MEREKA, DAN YANG HATINYA KERAS MEMBATU; DAN SESUNGGUHNYA MEREKA YANG ZALIM ITU SENTIASA BERADA DALAM PERTENTANGAN YANG JAUH DARI KEBENARAN.} (AL-HAJJ 22:53)

  1. Semua ini terjadi kerana Allah s.w.t hendak menjadikan hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi golongan manusia ini.
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t membahagikan manusia kepada 3 kategori:
    i- kaum munafiq yang ada penyakit dalam hati mereka.
    ii- kaum kafir yang hati mereka telah mati dan keras.
  3. Mereka inilah orang yang zalim – iaitu mereka yang berada jauh daripada kebenaran.

AYAT 54- {DAN JUGA SUPAYA ORANG-ORANG YANG BEROLEH ILMU MENGETAHUI BAHAWA AYAT-AYAT KETERANGAN ITU BENAR DARI TUHANMU, LALU MEREKA BERIMAN KEPADANYA, SEHINGGA TUNDUK TAATLAH HATI MEREKA MEMATUHINYA; DAN SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MEMIMPIN ORANG-ORANG YANG BERIMAN KE JALAN YANG LURUS.} (AL-HAJJ 22:54)

  1. Kejadian itu juga Allah jadikan sebagai satu ujian kepada; Golongan ketiga iaitu orang beriman, insya’ Allah kita termasuk dalam golongan ini.
  2. Mereka mempunyai hati yang taat dan tenang, yang mengambil manfaat dari al-Quran maka bersihlah ia daripada segala hasutan dan gangguan permainan syaitan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Hati ada 3 jenis:
    i- hati keras, ii- hati yang mati iii- hati yang sentiasa tunduk kepada Allah s.w.t.
  2. Syaitan akan sentiasa menganggu dan mengacau manusia. Maka sentiasalah minta perlidungan Allah s.w.t.
  3. Allah s.w.t berfirman: {{Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi ..}.
    Kata ulama’ ayat ini menunjukkan bahawa nabi dan rasul itu dua jawatan yang berlainan. Seorang nabi itu tidak semestinya rasul, tetapi seorang rasul itu pastilah seorang nabi.
  4. Nabi itu orang yang diberi wahyu dan dia menceritakannya kepada kaumnya. Tetapi dia tidak diwajibkan berperang serta berlawan dengan puak kafir yang menentang.
    Tetapi apabila diperintahkan untuk berlawan dan menyampaikan seruan dakwah maka itu adalah Rasul.
  5. Bilangan nabi sahaja sangat ramai dikatakan 124,000 orang. Manakala rasul hanyalah 313 orang, dalam al-Quran disebut namanya seramai 25 orang, yang Ulul-Azmi (kuat ujian) 5 orang.
  6. Kita wajib berhati-hati dalam menerima ilmu, pilihlah yang betul-betul sahih, begitu juga kisah-kisah dari kitab-kitab Tafsir, terlalu banyak yang tidak jelas sumbernya.
  7. Imam Syafei berkata:
    Setiap Ilmu selain daripada al-Quran adalah melalaikan مَشغَلَةٌ
    Kecuali ilmu hadis dan Feqah dalam agama,
    Ilmu yang sahih itu ialah apa yang dibawa Rasulullah s.a.w.
    apa yang selain darinya adalah tipu-daya syaitan.
    كُلُّ العُلومِ سِوى القُرآنِ مَشغَلَةٌ
    إِلّا الحَديثَ وَعِلمَ الفِقهِ في الدينِ
    العِلمُ ما كانَ فيهِ قالَ حَدَّثَنا
    وَما سِوى ذاكَ وَسواسُ الشَياطينِ

Wallahu a’lam.