💎 Arahan Beribadat Dan Berjihad, Agama Islam Mudah Tidak Menyusahkan & Agama Nabi Ibrahim dan Kita Adalah Islam..💎
♥ Live Pagi Ahad 02 Zulqa’dah 1442H = 13/06/2021, Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Hajj (15) Ayat [76-78] ♥
Full video: https://fb.watch/65AdFWx9uf/
🎀 Muqaddimah:

  1. Hari ini kita telah berada pada ayat terakhir dalam Surah al-Hajj, akhir juz 17 dan insya’ Allah siri terakhir bagi surah ini, siri ke 15, dengan ayat 77 & 78.
  2. Peringatan; pada ayat ke 77, ada ayat sujud Tilawah atau sujud sejadah, maka bersedialah untuk sujud semua.
  3. “Dari Amr bin Al’Ashm bahawa Rasulullah ﷺ telah membacakan untuknya 15 ayat sajadah dalam Al-Qur’an. Tiga ayat di antaranya satu dalam Al-Mufassol dan dua ayat dalam Surah Al-Hajj” (H.R.Abu Dawud).
  4. Dari hadis di atas jelaslah dinyatakan bahawa dalam Surah Al-Hajj ada dua ayat yang merupakan ayat sejadah. Dua ayat tersebut adalah ayat ke-18 dan ayat ke-77. Jadi, berdasarkan hadis ini, Surah Al-Hajj ayat 77 adalah salah satu dari 15 belas ayat-ayat sajadah dalam Al-Qur’an.
  5. Dalam ayat-ayat yang lepas Allah s.w.t mengajar tentang Tauhid uluhiyyah, kemudian beriman kepada Nubuwwah Nabi Muhammad s.a.w. yakni tentang akidah.
  6. Kemudian dalam ayat terakhir ini Allah s.w.t ajar pula tentang Syariat, amal ibadat dan perbuatan kebajikan.
    🌺*Ayat 77- {Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).}
    (Al-Hajj 22:77)
  7. Dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan kita orang yang beriman untuk rukuk serta sujud, iaitu mengerjakan solat, serta beribadat mentauhidkan Allah s.w.t.
  8. Allah s.w.t memerintahkan kita untuk mengerjakan amal-amal kebajikan; supaya dapat berjaya di dunia dan di akhirat.
  9. Pintu kebajikan itu pula amat luas, tidak semestinya kaya baru dapat buat amal kebajikan (khairat). Perbuatan baik dan menolong orang dengan nasihat dan perkataan baik juga kebajikan.
  10. Ulama’ Salaf kata Allah s.w.t buka pintu kebajikan sebagaimana Allah buka pintu rezeki. Setiap orang rezekinya berlainan dan tidak sama. Begitu juga amal kebajikan, ada yang dengan harta, tenaga, ilmu dan idea fikiran.
  11. Ayat ini lengkap; semua ini selepas kita beriman kepada Allah s.w.t dan kepada Rasulullah s.a.w, (akidah yang mantap), maka kita diperintahkan pula (Syariat) untuk buat amal ibadat dan kebajikan, semua ini untuk mendapat kejayaan dan balasan baik dunia dan akhirat insya’ Allah.
  12. Perbincangan ulama’ adakah ini ayat sejadah yang perlu kita sujud? Jawapannya ya, dan inilah salah satunya surah yang mempunyai dua tempat sujud, iaitu pada ayat 18 dan ayat 77.
  13. Hadis syaitan menangis apabila manusia sujud. Sabda Rasullullah s.a.w: “Apabila anak Adam membaca Surah Assajadah,lalu ia sujud,nescaya menyingkirlah syaitan sambil menangis dengan meratap:”Ah…Celakalah aku.Anak Adam disuruh sujud lalu ia sujud maka ia mendapat syurga,tetapi aku disuruh sujud maka membangkang,maka aku mendapat neraka.” [HR Muslim]
    🌺Ayat 78- {Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.} (Al-Hajj 22:78) 🌺{Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya);
  14. Kemudian Allah s.w.t perintahkan untuk berjihad. Jihad adalah tonggak ibadat kerana:
    i- di dalamnya mengandungi amar ma’ruf dan nahi munkar.
    ii- Jihad merangkumi semua perkara, dengan senjata, tenaga harta dan keringat. Jihad bukan sesuatu yang sempit, hanya dengan pedang yang nampak. Juga jihad dalam bidang ekonomi dan pelajaran.
  15. Jihad ini hendaklah dilakukan dengan bersungguhserta ikhlas dan niat yang benar.
  16. Jihad atau perjuangan itu pula terbahagi kepada dua:
    i- menentang pencerobohan musuh yang mahu merosakkan agama atau negara.
    ii- berjihad melawan hasutan syaitan dan hawa-nafsu. Jihad dalaman.
  17. Jihad adalah melawan kafir, syaitan, hawa nafsu dan sebarang bentuk kezaliman dan mungkar seperti rasuah, riba dan lain-lain.
  18. Hadis, sabda Rasulullah s.a.w: “Lawanlah kaum kafir musyrik dengan harta-benda, jiwa/nyawa dan lidah kamu.” [HR Abu Daud].
  19. Rasulullah s.a.w juga bersabda: “Orang yang berjihad itu ialah orang yang lawan hawa nafsunya.” [HR at-Tirmizi dan Ahmad].
  20. Dalam dua hadis ini kita dapat 4 jenis kategori jihad: Jihad dengan jiwa, harta, lidah dan jihad lawan hawa nafsu.
  21. Jika tidak berjaya lawan hawa nafsu dulu. tidak akan mampu untuk turun jihad ke medan perang.
  22. Sesungguhnya kamu semua telah terpilih oleh Allah s.w.t untuk mengerjakan suruhan agama-Nya iaitu untuk berjihad dan menjadi pembela agamanya.
  23. Sabda Rasulullah s.a.w: “Allah s.w.t sentiasa akan menanam (menguatkan) satu pasukan yang akan membela agama ini. Allah s.w.t gunakan mereka ini sebagai tentera Islam yang akan membela agama serta dalam ketaatan.” [HR Ibnu Majah].
    🌺*{Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama}
    (Al-Hajj 22:78)
  24. Tetapi di dalam Islam tiada sesuatu keberatan dan susah payah dalam perintah agama dan ibadat. Yakni tiada ibadat yang diluar kemampuan manusia normal.
    Contoh; Seperti rukhsah dalam solat bagi orang uzur dan musafir dan lain-lain.
  25. Begitu juga bagi seorang manusia yang berdosa Allah s.w.t buka pintu taubat, cukup dengan insaf dan beristighfar kepada Allah s.w.t serta meninggalkan dosa itu, jika terlibat dengan hak manusia hantar balik dan minta maaf. Tidak seperti ummat terdahulu ada yang kena bunuh diri sendiri kerana melakukan dosa.
  26. Pernah para sahabat Rasulullah s.a.w berasa runsing dan takut apabila membaca Firman Allah s.w.t ini, yakni akan dikira apa yang terlintas dalam hati saja pun:
    {Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturan-Nya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.} (Al-Baqarah :284.)
  27. Rasulullah s.a.w lalu menenangkan hati mereka dan menafsirkan dengan hadisnya yang ini: “Daripada Ibn Abbas RAnhuma, daripada Nabi s.a.w, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya telah berfirman:
    إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
    Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6491)
  28. Nabi SAW bersabda:
    إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا حَدَّثَتْ بِهِ أَنْفُسَهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَتَكَلَّمْ
    Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memaafkan umatku ke atas apa yang terlintas di dalam dirinya selama dia tidak melakukannya atau bercakap tentangnya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 5269)
  29. Firman Allah s.w.t juga: {Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.} [Surah al-Baqarah: 286.]
    🌺*{Agama bapa kamu Ibrahim. Ia Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini,}
    (Al-Hajj 22:78)
  30. Allah menyatakan kamu semua adalah di atas agama (millah) bapa kamu Ibrahim.
  31. Kenapa agama ini dipangil millah? Kerana diambil dari perkataan imlak dalam bahasa Arab, yakni Rasulullah talaqqi ambil dari Jibril yang bawa dari Allah s.w.t. kemudian Rasulullah s.a.w ajar (imlak) kepada para sahabat yang mengajarnya pula kepada tabien sehinggalah seterusnya. Yakni ia bukan sesuatu yang direka-reka.
  32. Islam adalah agama tauhid yang dibawa semenjak nabi Ibrahim a.s
  33. Allah s.w.t telah menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu lagi (sejak Adam lagi) dan di dalam Al-Quran ini.
  34. Hadis; panggillah orang Islam dengan nama orang Islam, tidak perlu menambah atau cari nama-nama lain.
    🌺*{Supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).}
    (Al-Hajj 22:78)
  35. Neraca timbangan amalan kita dalam agama ini ialah jika bertepatan dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana Rasulullah (Muhammad) akan menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kita nanti.
  36. Ini semua supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Yakni Kita akan menjadi saksi juga kepada nabi-nabi yang terdahulu dengan keterangan dari Rasulullah s.a.w.
  37. Untuk menjadi orang yang hebat, sebagai saksi ini maka hendaklah kita dirikanlah solat, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah!
  38. Ingatlah Allah s.w.t itu, Dia-lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.
    🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:
  39. Maksud firman Allah s.w.t; {rukuklah serta sujudlah..} yakni perintah untuk melakukan amal ibadat kepada Allah s.w.t.
  40. Firman Allah s.w.t: {Kerjakanlah amal-amal kebajikan}.
    Untuk mendapatkan kemenangan dan kejayaan kena ikhlas beriman dan beribadat kepada Allah s.w.t melalui ajaran Rasulullah s.a.w dan memberi manfaat dengan berbuat kebajikan.
  41. Jihad itu boleh jadi dengan jiwa, harta, lidah dan jihad lawan hawa nafsu. Jadi walaupun dalam musim PKP kita masih boleh berjihad dengan harat kita, no. akaun hanya dihujung jari, infaq dan sedekah bila-bila masa.
  42. Firman Allah s.w.t: {Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.}
    Banyak kaedah Fiqhiyyah dalam Islam yang merealisasikan ayat ini. Ini supaya seorang hamba itu tidak meninggalkan ibadatnya kerana halangan yang boleh dielakkan.
  43. Kata DAAM: Agama itu mudah, tetapi jangan mempermudahkan agama.
  44. Tapak ilmu kita wajib kukuh, iaitu bersandarkan dari al-Quran dan hadis-hadis yang sahih, bukan berdasarkan mimpi atau ilham seseorang, apatah lagi rekaan.
  45. Alhamdulillah tamatlah kita surah al-Hajj pada hari ini dengan 15 siri. Semoga memberi manfaat kepada kita semua wa jazakalluhu khairan untuk Tuan Guru.
    Wallahu a’lam.