💎Kuasa Hidayah Milik Allah, Keadaan puak kafir di akhirat, ingkar bangkit semula & tabiat manusia bakhil. 💎

Live Pagi Isnin 08 Syaaban 1442H = 22/03/2021 Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Isra’ (24) Ayat [97-100];
Full video:https://fb.watch/4onZsj5zgK/

🎀Muqaddimah:
1- Menerangkan tentang kuasa memberi hidayah dan rezeki kepada manusia adalah milik mutlak Allah s.w.t.
2- Keadaan orang kafir yang akan dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan yang sangat mengaibkan dan penuh azab.

  1. Antara sifat buruk manusia ialah bakhil dan cintakan harta dunia.

🌺*Ayat 97 – {Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dia lah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak; tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang.}

(Al-Israa’ 17:97)

  1. Allah menyebut kuasa mutlak Allah s.w.t. untuk memberi petunjuk hidayat kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
  2. Manusia tebahagi kepada dua kategori:
    i- Orang yang diberi petunjuk oleh Allah itulah orang yang benar-benar berjaya dan bahagia dunia akhirat.
    iii- Manakala orang yang tidak mendapat petunjuk itu adalah mereka yang sesat dan tiada sesiapa dapat memberi pertolongan menyelamatkan mereka daripada azab Allah s.w.t. Jika tidak mendapat hidayah maka itu kesalahan orang itu sendiri yang salah pilih jalan, jangan salahkan takdir.
  3. Hidayah itu ada dua:
    i- Hidayah Taufiq- kuasa memberi petunjuk adalah milik Allah s.w.t, diberi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, khas untuk Allah s.w.t, tiada siapa yang boleh campur. Tetapi bukan tidak bersebab.
    ii- Hidayah Irsyad – memberi bimbingan. Tugas dan Kerja ini Allah serahkan kepada para rasul dan nabi, para sahabat dan tabien. Serta kita pada hari ini, para ustaz dan pendakwah; tugas semuanya adalah berdakwah memberi bimbingan setakat yang mampu.
  4. Situasi keadaan orang sesat, bangkit pada hari Kiamat nanti:
    i- Ditarik dengan kedaan terbalik, kepala di bawah kaki di atas, diseret atas muka. Semua ini menunjukan dahsyat dan hinanya.
    ii- Dalam keadaan buta, bisu dan pekak (akibat tidak mahu dengar, tengok dan menerima kebenaran dan mengucap kekuasaan Allah s.w.t.)
    Hadis dari Anas bin Malik, seorang sahabat bertanya tentang keadaan ini, bagaimana orang kafir berjalan dengan kepala di bawah kaki di atas? Rasulullah s.a.w menjawab,: “Tidakkah Allah s.w.t yang berkuasa membuat kamu berjalan sekarang ini dengan kaki di bawah tidak mampu untuk melakukan sebaliknya?” Para sahabat pun mengakuinya.
  5. Tempat tinggal berakhirnya mereka adalah neraka Jahannam, والعياذ بالله yang sentiasa menjulang dan hidup apinya.

🌺*Ayat 98 – {Balasan mereka yang sedemikian, ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka berkata: “Adakah sesudah Kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah Kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?”}

(Al-Israa’ 17:98)

  1. Balasan yang dahsyat ini kerana mereka kufur dan tidak terima ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w., tidak percaya dengan al-Quran dan manusia akan bangkit semula.
  2. Bukan saja mendustakan, mereka juga memerli dan memperolok-olokan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

🌺*Ayat 99 – {Tidakkah mereka mahu memikirkan dan meyakini bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan orang orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu), padahal Ia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak padanya? Dalam pada itu, orang orang yang zalim enggan menerima melainkan kekufuran.}

(Al-Israa’ 17:99)

  1. Mereka tidak boleh terfikir dengan akal mereka, betapa Allah s.w.t yang berkuasa mencipta langit dan bumi yang begitu besar dan gah, tidak mampu untuk menghidupkan balik manusia yang sudah ada pun pada asal.
  2. Padahal Allah telah memberi mereka tempoh yang mencukupi untuk berfikir dan guna akal untuk menerima kebenaran.
  3. Begitulah sudah nasib mereka, enggan menerimanya melainkan tetap dalam kekufuran.
  4. Sebelum ini mereka mendustakan tentang kewajaran manusia menjadi rasul, bukan malaikat, sekarang mereka mengingkari pula kebangkitan semula manusia.
  5. Ini adalah antara ayat-ayat kauniyah, dalil untuk manusia berfikir dengan melihat kepada kejadian alam dan makhluk yang begitu sempurna dan ajaib penciptaannya.

🌺*Ayat 100 – {Katakanlah (wahai Muhammad): “jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut”.}

(Al-Israa’ 17:100).
1- Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w beritahu bahawa Allah sudah mengetahui walaupun jika dipenuhi segala permintaan dan cabaran mereka itu, mereka tetap akan kekal atas sifat kufur, buruk dan jahat mereka itu.

  1. Begitulah sifat dan keadaan kaum kafir itu, jika mereka mendapat apa yang mereka inginkan, segala rezeki dan nikmat yang Allah berikan kepada makhluk-Nya, mereka akan menjadi bakhil dan kedekut, lagi banyak dapat lagi kuat bakhil. Harta yang ada tidak akan sampai kepada faqir miskin yang memerlukan.
  2. Kenapa manusia menjadi begitu? Kerana begitulah perangai manusia, tamak, bakhil tidak mahu infaq kerana takut harta akan habis dan menjadi miskin.
  3. Ini berbeza dengan sifat Rasulullah s.a.w, yang telah dianugerahkan jawatan rasul dan nabi kepada manusia dan jin, sifatnya yang sangat suka menyampaikan kebaikan kepada manusia dan terlalu inngin menyelamatkan mereka daripada sesat kekufuran.
  4. Tetapi apakan daya, kaum keluarga Rasulullah s.a.w sendiri tidak semuanya masuk Islam secara ramai, sorang demi sorang dan tidak ramai yang menerima dakwahnya pada awalnya. Hanya selepas Pembukaan Kota Makkah baru ramai.
  5. Allah sebut di akhir ayat ini, sememangnya begitulah sifat setengah manusia itu, bakhil dan kedekut. Pintu masuk dibuka luas (untuk kumpul harta), tetapi pintu keluar disempitkan, tidak suka infaq dan buat kebaikan.
  6. Hadis Nabi s.a.w, maksudnya: Sesiapa yang menjadikan dunia ini sebagai tujuan utamanya, Allah akan jadikan sifat kefakiran itu antara dua matanya. Yakni dia akan menjadi tamak, hasad, inginkan yang orang, tidak puas hati dengan apa yang ada. Apabila tamak menguasai hati, hilanglah sifat qana’ah, iaitu berpada dengan apa yang dimiliki. Manakala yang cintakan akhirat, sifatnya akan sebaliknyalah.

🎀PENUTUP & KESIMPULAN:

  1. Wajib ke atas setiap orang untuk bergantung dan bertawakkal kepada Allah s.w.t dalam mendidik dan mencari petunjuk kepada anak-anaknya. Ini kerana Allah s.w.t yang dapat memberi hidayat petunjuk dan menyusun keturunan kita.
  2. Banyak telah termaktub dalam kisah tedahulu bagaimana anak Nabi Nuh a.s, isteri Lut dan lain-lain, yang tidak beriman walaupun anak isteri para Nabi a.s
  3. Ini kerana Hidayah itu ada dua:
    i- Hidayah Irsyad – memberi bimbingan. Kerja para rasul dan para pendakwah semuanya adalah berdakwah memberi bimbingan setakat yang mampu.
    ii- Hidayah Taufiq- kuasa memberi petunjuk adalah milik Allah s.w.t, diberi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tetapi bukan tidak bersebab. Jika tidak mendapat hidayah maka itu kesalahan orang itu sendiri yang salah pilih jalan, jangan salahkan takdir.
  4. Maksud firman Allah s.w.t berfirman:
    i- – {Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah..}
    Ini menunjukkan bahawa kuasa mutlak memberi hidayah atau hilangkannya itu milik Allah s.w.t. tiada siapa dapat mencampurinya.
    **Begitu juga rezeki, tidak perlu bakhil dan sayang, semuanya adalah di bawah kuasa Allah s.w.t, akan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
    ii- {…Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya..}
    a- untuk menunjukkan betapa buruk dan hinanya balasan azab ke atas mereka. Ini juga yang telah menyebarkan benda yang palsu, tukar yang haq jadi batil dan seumpamanya, maka terbaliklah keadaan mereka juga.
    iii- {… dalam keadaan buta, bisu dan pekak;..}
    Ada sedikit penjelasan kerana dalam ayat lain ada cerita Allah suruh mereka lihat, dengar dan lain-lain.
    a-Ulama’ kata pada peringkat awal memang dalam keadaan buta tuli bisu, kemudian Allah s.w.t bukakan segalanya untuk melihat neraka, mendengar huru-hara perbicaraan dan lain-lain kesusahan hari Kiamat.
    b- Mereka mendengar dan melihat pada hakikatnya, tetapi semuanya yang menakutkan dan tidak menggembirakan, maka seolah-olah buta bisu pekak walaupun dengar dan nampak segalanya, tersangat mengerikan.
    c- Mereka bercakap pada awalnya penuh putar belit dan alasan, kemudian Allah s.w.t perintahkan mereka diam, maka ketika itulah jadi bisu, buta dan tuli.
  5. Kesimpulannya Allah s.w.t sebut mereka dalam keadaan; buta tuli bisu dan dalam keadaan terbalik atas muka kerana – atas dunia dulu mereka buta tidak mahu melihat kebenaran, tuli kerana tidak mahu mendengar kebenaran, bisu kerana tidak mahu mengatakan kebenaran, menukar yang benar kepada yang palsu maka begitulah keadaan mereka di akhirat nanti, terbalik juga.
  6. Dalam al-Quran Allah sebut beberapa sifat buruk manusia seperti; gopoh, tergesa-gesa- (Isra’-11), bakhil, keluh kesah, kufur nikmat (al-Adiyat, al-Ahzab-72, al-Hajj-66 dan lain-lain.
  7. Begitulah sifat asal manusia jika dibiarkan hidup sendiri, tetapi Allah s.w.t kurniakan mereka akal dan hantar dakwah bimbingan para nabi dan rasul untuk membawa mereka ke arah jalan yang benar, maka mereka akan jadi mulia selamatlah siapa yang mengikutinya daripada sifat-sifat yang buruk ini.
  8. Firman Allah s.w.t: {Katakanlah (wahai Muhammad): “jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut”.}
    i- Menunjukkan betapa mulia, pemurah dan luasnya kasih sayang Allah s.w.t. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    “Sesungguhnya tangan kanan Allah penuh (dengan rahmat, kasih sayang dan rezeki kepada manusia), ia tidak akan berkurangan dengan memberi rezeki sepanjang malam dan siang, tidakkah kamu melihat apa yang Allah berikan rezeki kepada mereka semenjak diciptakan langit dan bumi ,sesungguhnya yang demikan itu tak mengurangi apa yang ada di tangan kanannya dan arasy-Nya di atas air dan di tangan-Nya yang lain adalah menggenggam, Dia meninggikan dan merendahkan. {HR Bukhari].
    ii- Yakni tangan Allah s.w.t penuh dengan rezeki dan anugerah, serta sentiasa mencurahkan rezeki dan rahma,t siang dan malam, segalanya diinfaq kepada manusia sejak dicipta langit dan bumi. Tetapi tidak berkurangan sedikitpun segala khazanah yang ada dalam kuasa Allah s.w.t.

Wallahu a’lam.