💎Balasan Orang Kafir Yang Tulikan Telinga, Menyangka Perbuatannya Baik & Hilang Pahala.💎

Live Pagi Selasa 01 Ramadhan 1442H = 13/04/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Kahfi (18) Ayat [99-106]
Full video: https://fb.watch/4QE2VZwutT/

🎀 Muqaddimah:

  1. Alhamdulillah hari ini pada 1 Ramadhan, kita semua sempat melaluinya, semoga kita semua dapat istiqomah dan memenuhkan Ramadhan kita tahun ini dengan penuh amal kebajikan dan amal ibadat yang meningkat.
  2. Antara isi kandungan utama dalam al-Quran ialah tentang Kebangkitan semula dan Hari Kiamat. Maka rugila jika membaca al-Quran tidak dapat meningkatkan keimanan kita serta menambahkan taqwa.

🌺*Ayat 99- {Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.>
(Al-Kahfi 18:99)

  1. Yakni Allah akan biarkan mereka (Yakjuj wa Makjuj) hidup sesama mereka di sebalik tembok yang didirikan oleh Zulqarnain. Mereka berusaha menebuk lubang itu tetapi tetap tidak berjaya.
  2. Sehingga tiba hari yang Allah janjikan, maka runtuhlah tembok itu, lepas dan bebas, lalu mereka keluar menyerbu beramai-ramai sehingga merosakkan dan mendatangkan sengsara kepada manusia yang ada ketika itu.
  3. Mengikut dalam beberapa hadis sahih seperti Riwayat Muslim mereka akan dimusnahkan oleh ulat yang akan memusnahkan organ dalaman mereka. Apabila mereka semua ini habis musnah, maka akan berlakulah Kiamat.
  4. Kemudian akan ditiup الصور serunai sangkakala, lalu Allah akan dibangkitkan dan dihimpunkan seluruh makhluk-makhluk di Padang Mahsyar.
  5. Apakah as-Sur, sangkakala itu? Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr’ R.Anhuma:
    جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ ‏ “‏ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ‏”‏
    Maksudnya: “Telah datang seorang Badwi kepada Nabi SAW, lalu berkata: “Apakah al-Sur?” Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.” [HR al-Tirmizi (2430)]
  6. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan tiupan sangkakala ini akan ditiupkan oleh malaikat yang bernama Israfil dan hampir keseluruhan ulama’ tidak menolak bahawa malaikat Israfil yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk meniupkan sangkakala. (Lihat Fath al-Bari, 11/368)
  7. Malaikat Israfil sentiasa bersedia menanti arahan daripada Allah SWT sejak detik penciptaan lagi. Hal ini telah dinukilkan oleh Syeikh al-Hulaimi secara ijma’. Begitu juga berdasarkan hadith Wahab bin Munabbih yang menyebut secara nyata. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah, hlm. 79)

🌺*Ayat 100- {Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;}
(Al-Kahfi 18:100)

  1. Maka pada hari itu akan dizahirkan dengan nyata kepada orang kafir, diperlihatkan neraka Jahannam di depan mata mereka.

🌺*Ayat 101- {Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.}
(Al-Kahfi 18:101)

  1. Iaitu mereka yang semasa hidup di dunia dulu mata mereka ditutup oleh hawa nafsu, na’uzubillah, iaitu tidak mahu melihat tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t dan mengingatinya. Mereka juga tidak mahu mendengar peringatan dari al-Quran.
  2. Lalu di akhirat kelak mereka akan melihat azab yang dijanjikan itu berada di depan mata mereka.
  3. Ya Allah sempena Ramadhan ini semoga kita, ibu bapa dan seluruh keluarga kita serta semua orang yang kita sayangi, termasuk dalam golongan yang tersenarai bebas daripada api neraka. اَللَّهُمَّ أَجِرْنِا مِنَ النَّارِ “Ya Allah, jauhikan kami dari api neraka”

🌺*Ayat 102- {Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu, dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.}
(Al-Kahfi 18:102)

  1. Garis panduan untuk selamat dan bebas dari api neraka, maka hati-hatilah akan perangkap kufur dan syirik.
  2. Orang kafir yang syirik itu menyangka makhluk, berhala dan sebagainya yang mereka jadikan sembahan itu akan dapat menyelamatkan mereka. Juga segala ajaran sesat yang mengatakan Nabi Muhammad itu Tuhan, Isa anak Tuhan, menyembah malaikat, menyembah Uzair dan seumpamanya.
  3. Sesungguhnya Allah s.w.t telah sediakan neraka Jahannam sebagai tempat kembali mereka.
  4. Ini sebagai peringatan agar jangan menjadikan benda lain sebagai tempat pergantungan selain daripada Allah s.w.t. Hikmahnya supaya manusia membetulkan hubungannya dengan Allah s.w.t.

🌺*Ayat 103- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?}
(Al-Kahfi 18:103

  1. Lalu Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk menceritakan kepada orang kafir yang syirik itu dan juga kepada seluruh umat manusia lain tentang orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya.

🌺*Ayat 104- { (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.}
(Al-Kahfi 18:104).

  1. Siapalah mereka ini? Iaitu orang banyak melakukan amalan, tetapi amalan yang sia-sia di atas dunia ini (ritual ibadat yang direka serta menyusahkan bahkan ada yang menyakiti diri), sedangkan mereka menyangka mereka sentiasa betul dan telah melakukan amal yang sebaiknya.
  2. Mus’ab bin Saad bin Abi Waqas bertanya kepada ayahnya adakah orang yang rugi orang-orang Haruriyyah yang menetang Khalifah Ali r.a? Saad r.a menjawab: Tidak, mereka itulah adalah orang-orang yahudi yang mendustakan Nabi s.a.w dan Nasrani yang tidak percaya tentang syurga dan neraka dan balasannya, manakala Haruriyyah adalah puak Khawarij yang membatalkan perjanjian dengan Allah.
  3. Tetapi yang sahihnya semua orang yang melakukan perbuatan yang menyalahi Syariat Allah s.w.t adalah orang yang rugi, dan yang pertamanya pastilah orang kafir.
  4. Maka ayat ini bagi semua yang tersesat atas dunia ini.
  5. Tetapi bagaimanakah caranya supaya kita nak selamat, tidak menjadi orang yang rugi ini? Rasulullah s.a.w pasti tidak akan membiarkannya begitu saja.
  6. Dari Abu Najih Al-‘Irbadh bin Sariyah r.a, ia berkata, “Rasulullah s.a.w memberikan nasihat kepada kami dengan nasihat yang membuat hati menjadi bergetar dan mata menangis, maka kami berkata, ‘Wahai Rasulullah! Sepertinya ini adalah wasiat dari orang yang akan berpisah, maka berikanlah wasiat kepada kami.’ Nabi s.a.w bersabda, ‘Aku berwasiat kepada kamu agar;
    i- bertakwa kepada Allah,
    ii- mendengar dan taat meskipun kamu dipimpin seorang budak (hamba).
    Sungguh, orang yang hidup di antara kamu sepeninggalanku, ia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu,
    iii- wajib atas kamu berpegang teguh pada Sunnahku dan Sunnah khulafaur rosyidin al-mahdiyyin (pemimpin yang mendapatkan petunjuk dalam ilmu dan amal).
    Gigitlah sunnah tersebut dengan gigi geraham kamu, serta jauhilah setiap bid’ah (perkara yang diada-adakan), kerana setiap b’idah adalah sesat.” (HR. Abu Daud dan Tirmizi, ia berkata bahawa hadits ini hasan sahih).

🌺*Ayat 105- {Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.}
(Al-Kahfi 18:105)

  1. Maka orang yang demikian sifatnya (orang kafir), rosak gugurlah amal-amalan mereka, dan Allah s.w.t tidak akan memberi sebarang pembalasan baik, tiada nilai pekerjaan mereka.
  2. Inilah yang paling kita ditakuti, banyak buat amalan dan kebajikan, tetapi hakikatnya tidak ada nilaian dan timbangan disisi Allah.
  3. Ini kerana silap channel, melakukan ibadat tetapi tidak ikut panduan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. contohnya seperti golongan Syiah.

🌺*Ayat 106- { (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayat-Ku dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.}
(Al-Kahfi 18:106)

  1. Maka disebabkn mereka kufur ingkar serta mengejek-ejek ayat al-Quran dan Rasulullah s.a.w, maka mereka akan mendapat balasan buruk yang amat dahsyat iaitu neraka Jahannam.

🎀Pengajaran dan faedah: 🎀

  1. Maksud orang yang rugi ialah:
    i- Jika orang muslim, mereka yang tidak ada kebajikan yang boleh dikira (ditimbang), kebajikan sangat sedikit ataupun jika ada kebajikan dibuat dengan rasa riak dan takabbur.
    ii- Ataupun jika kafir dan sesat, perbuatan yang mereka sangka baik dan benar itu hakikatnya sesuatu yang sesat dan menyalahi Syariat Islam. Maka sia-sialah segala kebaikan yang mereka buat kerana tiada akaun untuk dimasukkan.
  2. Kesimpulannya orang yang pasti selamat hanyalah yang beriman, bertaqwa dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.

Wallahu a’lam.