
BURUK PADAH PENENTANG ALLAH, ILMU ALLAH LUAS & KEPENTINGAN MUHASABAH DAN MURAQABAH.
Full video : https://youtu.be/tGsh0ZSQ-lI
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang buruk padah kepada penentang Allah & Rasul-Nya, mereka akan dihina dan ditinggalkan { كُبِتُوا۟} Allah s.w.t!
- Kemudian dinyatakan betapa luasnya ilmu Allah itu dan meliputi segalanya.
Dalam ayat lepas diceritakan bahawa Allah mendengar suara seorang perempuan Khaulah bt Tha’labah yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang suaminya.
Kemudian dalam ayat hari ini dinyatakan bahawa Allah s.w.t mendengar segala suara orang yang berbisik! - Juga larangan berbisik untuk kejahatan dan melakukan perkara maksiat kerana semuanya di bawa ilmu pengetahuan Allah s.w.t!
- Juga dinyatakan tentang kepentingan muhasabah diri dan muraqabah merasai pemantauan Allah s.w.t.
AYAT 5- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG MENENTANG (PERINTAH) ALLAH DAN RASULNYA, MEREKA TETAP DITIMPA KEHINAAN SEBAGAIMANA ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARI MEREKA DITIMPA KEHINAAN; KERANA SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENURUNKAN KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS NYATA. DAN BAGI ORANG-ORANG YANG KAFIR DISEDIAKAN AZAB SEKSA YANG MENGHINA,} (AL-MUJAADALAH 58:5)
- Sesungguhnya orang yang benar-benar melawan (ٱلَّذِينَ يُحَآدُّونَ) Allah & rasul-Nya s.a.w mereka akan ditimpa kehinaan { كُبِتُوا۟} sebagaimana orang yang terdahulu sebelum mereka yang telah ditimpa kehinaan dan kebinasaan.
- Munasabah ayat: Apabila Allah s.w.t menyebut tentang orang mukmin yang berhenti di sempadan hudud yang Allah s.w.t buat. Manakala penentang dia akan langgar semuanya, tiada hudud Allah bagi mereka!
- Jadi Allah sebut amaran ini untuk semua orang yang mukmin, yang kafir dan satu golongan lagi yang muncul di Madinah iaitu golongan munafiqin yang berpura beriman untuk selamat dan mendapat habuan. Di mana ada hasil dan kepentingan dia akan muncul dan condong kepada golongan itu, menjadi lalang tanpa prinsip.
- Jadi Allah beri amaran kepada semua penentang ini samada yang menentang Allah secara terang-terangan atau secara sembunyi kaum munafiq!
Yakni mereka akan ditimpa kehinaan { كُبِتُوا۟} samada tewaskan dalam peperangan semasa di dunia ini.
Atau jika terlepas dan selamat atas dunia ini, mereka tetap akan mendapat azab di Akhirat kelak! - Allah s.w.t telah turunkan segala tanda dan bukti yang nyata pertamanya adalah al-Quran al-Karim. Kemudian banyak lagi mukjizat yang dapat mereka saksikan dengan mata kepala mereka sendiri seperti: bulan terbelah, makanan sedikit menjadi banyak, haiwan bercakap dan lain-lain. Semua ini untuk menjadi dalil bagi mereka untuk beriman.
- Tetapi jika mereka tidak mahu beriman serta tetap keras kepala; maka Allah s.w.t tutup ayat ini dengan memberi amaran keras: {Dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang menghina,}.
- Dimanakan kehinaan mereka di dunia?
Sebab ada yang kita lihat orang kafir ini amat hebat, kaya raya atas dunia ini?
Tak mengapa jika mereka terlepas atas dan ini, Allah bagi semua itu untuk mereka terus hanyut dan takabbur maka di Akhirat kelak mereka akan mendapat balasan dan kehinaan yang dahsyat! - Kita sebagai orang Islam, jangan runsing jika kita lemah atas dunia, kerana kita yakin kita ada akhirat yang perhitungan dan pembalasan yang adil Allah sediakan! Di sanalah tempat yang kekal abadi.
AYAT 6- {SEMASA MEREKA SEMUANYA DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA OLEH ALLAH (PADA HARI KIAMAT), LALU DITERANGKAN KEPADA MEREKA SEGALA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN. ALLAH TELAH MENGHITUNG AMAL-AMAL MEREKA ITU SATU PERSATU, SEDANG MEREKA TELAH MELUPAKANNYA. DAN (INGATLAH), ALLAH MENJADI SAKSI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-MUJAADALAH 58:6)
- Yakni jika di atas dunia in mereka selamat, jangan sombong dan lupa, nanti di akhirat menanti segala perhitungan dan pembalasan.
- Munasabah ayat: Allah s.w.t nyatakan bahawa azab orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya di dunia akan dihina samada dengan kalah dalam peperangan dan pebagai ujian lain. Tetapi jika terlepas di dunia mereka tetap akan mendapat azab yang dahsyat di Akhirat.
- Allah nyatakan dalam ayat ini bahawa Dia membiarkan mereka terlepas walaupun Allah s.w.t mampu untuk mengambil tindakan & membalas terus mereka, ini kerana semuanya telah ditulis dan dicatat kemudian akan dibentang dan dibicarakan segalanya di Akhirat kelak!
- Allah s.w.t mencatat & akan menghitung segala amalan mereka satu persatu!
Semua rekod akan dibentangkan, walaupun mereka telah lupa akan perbuatan mereka tetapi Allah & malaikat tidak akan melupakannya! Kecil atau besar semuanya akan dibawa! - Firman Allah s.w.t:
{Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya?
Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49) - Ingatlah Allah s.w.t akan menjadi saksi segala perbuatan kamu, Dia tahu, lihat dan dengar segalanya. Segala perbuatan kita akan dicatat lalu dibentangkan semula!
- Makna saksi (شَهِيدٌ) ini ialah Allah s.w.t jaga, kawal dan rekod segalanya.
AYAT 7- {TIDAKKAH ENGKAU MEMIKIRKAN, BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH MENGETAHUI SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI? TIADA BERLAKU BISIKAN ANTARA TIGA ORANG MELAINKAN DIA LAH YANG KEEMPATNYA, DAN TIADA (BERLAKU ANTARA) LIMA ORANG MELAINKAN DIA LAH YANG KEENAMNYA, DAN TIADA YANG KURANG DARI BILANGAN ITU DAN TIADA YANG LEBIH RAMAI, MELAINKAN IA ADA BERSAMA-SAMA MEREKA DI MANA SAHAJA MEREKA BERADA. KEMUDIAN IA AKAN MEMBERI TAHU KEPADA MEREKA – PADA HARI KIAMAT – APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN. SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-MUJAADALAH 58:7)
- Wahai Rasulullah s.a.w tidakkah engkau tahu dan fikir bahawa sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui segala yang ada di langit & di bumi.
- Hatta setiap orang yang berbisik itu; Allah s.w.t akan mendengar semuanya tidak kira berapa orang mereka berbisik! Dua, tiga, lima orang atau berapa orang saja, lebih atau kurang melainkan Allah s.w.t ada bersama mereka. Yakni semuanya di bawah ilmu Allah s.w.t samada yang nyata atau tersembunyi!
- Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu dengan ilmunya {بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ}.
- Kata ulama’ tafsir al-Ajurri rhm. dalam kitabnya; Allah s.w.t memulakan ayat ini dengan ilmu-Nya dan mengakhirinya juga dengan ilmu-Nya.
Ilmu Allah s.w.t meliputi semua makhluk-Nya. Semua maklumat di bawah pengetahuan Allah s.w.t samada yang tersembunyi atau nyata, tiada tempat yang Allah tidak tahu. - Kata Ibnu Abdil-Bar rhm.: Para ulama’ dari kalangan sahabat Nabi s.a.w & ulama’ tabi’en yang pakar dalam bidang tafsir al-Quran berkata maksudnya ayat ini { هُوَ مَعَهُمْ} ialah bahawa Allah s.w.t beristiwa’ (bersemayam) di atas Arasy tetapi ilmu-Nya di semua tempat.
Yakni ilmu Allah bersama seluruh makhluk-Nya, semua perkara dalam ilmu pengetahun Allah s.w.t! Tiada orang yang menentang pendapat ini kecuali puak jahmiyyah. - Kata Imam Ibnu Kathir rhm.: ramai ulama’ tafsir secara ijma’ telah menukilkan bahawa maksudnya Allah bersama mereka { هُوَ مَعَهُمْ} itu ialah ilmu-Nya bersama seluruh makhluk. Allah mengetahui, mendengar dan melihat semuanya tiada sekatan dari ilmu-Nya.
*Jangan seperti fahaman ajaran sesat yang mengatakah Allah bersama mereka hatta ada di dalam poket mereka! - Hadis- Rasulullah s.a.w melarang dari melaung dari berzikir kuat:
Riwayat dari sahabat Abu Musa al-Asy’ari r.a bahawa ketika para sahabat sampai dari perjalanan mereka di lembah Khaibar, mereka membaca tahlil dan takbir dengan suara yang sangat kuat.
Lalu Rasulullah berkata kepada mereka:
اِرْبَعُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ فَإِنَّكُمْ لاَ تَدْعُوْنَ أَصَمَّ وَلاَ غَائِبًا ، إِنَّمَا تَدْعُوْنَ سَمِيْعًا قَرِيْبًا
“Ringankanlah atas diri kalian (jangan memaksakan diri menguatkan suara secara berlebihan), sesungguhnya kalian tidak meminta kepada zat yang tidak mendengar dan tidak kepada yang ghaib, kalian meminta kepada yang Maha Mendengar dan Maha “Dekat” …”. (HR. al-Bukhari) [HR Bukhari & Muslim].
- Kemudian Allah s.w.t akan menyatakan kepada kamu apa yang telah kamu buat atas dunia ini pada hari Kiamat kelak!
Ayat ini tentang ilmu Allah, Dia mengetahui segalanya dengan ilmu-Nya {بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ}.
PENUTUP & FAEDAH :
- Ayat 5- {Sesungguhnya orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, mereka tetap ditimpa kehinaan}- ayat ini mengajar kepada kita sesiapa saja samada orang Islam, kafir tulin atau munafiq yang menentang dan menghina hukum Allah, iaitu mereka menentang undang-undang Allah dan terpengaruh dengan dakyah kafir!
Mereka tetap akan dikira kufur dan mendapat kehinaan dari Allah s.w.t walaupun solat dan duduk atas masjid!
Hukuman samada di dunia atau di akhirat; jika terlepas atas dunia ini, dan ingatlah di akhirat lagi dahsyat!
- Ayat 6- {Semasa mereka semuanya dibangkitkan hidup semula oleh Allah (pada hari kiamat), lalu diterangkan kepada mereka segala yang mereka telah kerjakan.}- semua benda di bawah pengetahuan Allah s.w.t!
Akhir ayat ini adalah ta’kid (penguat) kepada ayat sebelumnya, bahawa Allah s.w.t akan menjadi saksi atas segala perbuatan kamu samada yang zahir dan tersembunyi, semuanya!
Kata para ulama’: Ayat ini menyatakan bahawa:
i- siapa yang banyak buat dosa dan kesalahan sehinggakan dia sendiri tidak ingat betapa banyaknya dosa yang dia telah buat!
ii- atau dia tidak perasan bahawa dia telah buat satu dosa, dia tidak sedar bahawa dia telah buat dosa. Inilah maksudnya kamu lupa tetapi Allah s.w.t tanda semuanya!
Istighfar terbahagi kepada dua kaedah:
i- beristighfar khas- atas satu dosa yang kita tahu kita telah buat dan tersalah. Kita beristighfar dan memohon ampun dari Allah atau minta maaf dari orang yang kita buat salah itu.
ii- beristighfar umum- atas semua dosa kita yang buat samada yang kita tidak tahu adakah ada atau tidak dosa kita.
Kerana itu orang Islam digalakkan untuk beristighfar memohon keampunan juga atas apa yang telah lupa atau tidak tahu dan sedar dari dosa-dosanya.
Ia mungkin terjadi dari yang terdetik dalam hatinya seperti perasaan riya’ dan seumpamnya. Sesuatu yang dia tidak sedar dan tidak perasan berdosa telah dilakukan!
HADIS RASULULLAH S.A.W :
كما جاء في حديث معقل بن يسار قال: انطلقت مع أبي بكر الصديق -رضي الله عنه- إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فقال: «يا أبا بكر، للشرك فيكم أخفى من دبيب النمل»، فقال أبو بكر: وهل الشرك إلا من جعل مع الله إلها آخر؟ فقال النبي صلى الله عليه وسلم: «والذي نفسي بيده، للشرك أخفى من دبيب النمل، ألا أدلك على شيء إذا قلته ذهب عنك قليله وكثيره؟» قال: قل: اللهم إني أعوذ بك أن أشرك بك وأنا أعلم، وأستغفرك لما لا أعلم. أخرجه البخاري في الأدب المفرد، وصححه الألباني.
Maksudnya:
Ma’qil bin Yasar r.a berkata, “Aku pergi bersama Abu Bakar as-Siddiq r.a menuju Nabi s.a.w, lalu Baginda s.a.w bersabda:
“Wahai Abu Bakar! Sungguh, syirik di kalangan kamu itu lebih tersembunyi daripada semut yang merayap.”
Lalu Abu Bakar r.a berkata, “Bukankah makna syirik adalah apabila seseorang menjadikan sembahan (sekutu) selain selain Allah?”
Nabi s.a.w menjawab, “Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya! Sungguh, syirik itu ada yang lebih tersembunyi daripada pijakan semut yang merayap.
Mahukah aku tunjukkan sesuatu kepadamu, yang bila mana engkau mengucapkannya, maka kesyirikan pun akan lenyap darimu, baik syirik yang sedikit (yang kecil) mahupun yang banyak (besar)?
Katakanlah:
اللهم إني أعوذ بك أن أشرك بك وأنا أعلم، وأستغفرك لما لا أعلم
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui. [HR. Al-Bukhari dalam al-Adabul Mufrad]
Maksud syirik yang kecil atau yang tidak ketara di sini adalah yang tersembunyi dalam hati seperti; riya’, sum’ah dan ujub. Ia tidak nampak dilihat, lebih halus daripada pijakan semut.
Hadis- bacaan Rasulullah s.a.w semasa sujud:
Dar Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah S.A.W berdoa ketika sujudnya:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذَنْبِي كُلَّهُ دِقَّهُ، وجِلَّهُ، وأَوَّلَهُ وآخِرَهُ وعَلانِيَتَهُ وسِرَّهُ
“Wahai Tuhan-ku, ampunkanlah dosaku kesemuanya sama ada yang kecil atau besar, yang di awal dan juga di akhir, serta yang jelas dan yang tersembunyi.” [HR Muslim: 483].
Maka jangan kita berasa hebat dan tidak ada dosa, sentiasa kita beristighfar dan memohon keampunan dari Allah s.w.t.
- Ayat 7- {Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dia lah yang keempatnya…}- ulama’ kata ayat ini memberi amaran kepada kita daripada melakukan maksiat dan galakan untuk melakukan ketaatan.
Ini kerana apabila kita mengetahui dan sedar bahawa Allah s.w.t itu melihat, mendengar dan mengetahui segala perbuatan kita yang tersembunyi atau yang zahir, maka kita mesti kena malu & takut (خشية الله) kepada Allah s.w.t. kerana kita tahu tiada yang tersembunyi dari Allah s.w.t!
Ayat ini menunjukkan kepada darjat muraqabah: iaitu galakan untuk kita melakukan ketaatan dan sifat takut kepada Allah s.w.t! Tiada benda yang tersembunyi dari Allah s.w.t! Motivasi untuk rajin beribadat dan menjauhkan maksiat dan kemungkaran.
Untuk memperbaiki diri sendiri ada dua cara:
i- muhasabah; iaitu kita semak, korek diri kita cari kesalahan dan kelemahan diri untuk kita beristighfar & perbaiki ke arah yang lebih baik.
ii- muraqabah; iaitu kita letakkan fahaman dan pegangan bahawa kita duduk di bawah ilmu Allah s.w.t yang tidak akan dapat tersembunyi walaupun sedikit, kerana Allah s.w.t tahu, dengar & lihat segala perkara!
- Ayat 7- {melainkan Ia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada.}- maksudnya bersama di sini ialah (معية الله) iaitu Allah bersama kita dengan ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu dan di mana saja kita berada. Bukan bersama secara keberadaan/fizikal sebagaimana fahaman sebahagian ajaran yang sesat & batil!
Maksud Allah s.w.t bersama kita ini ada dua dimensi:
i- bersama secara umumnya (معية عامة) bersama dengan semua makhluk-Nya- orang Islam, kafir munafiq dan semuanya. Yakni bersama tentang ilmu-Nya, tentang pengetahuan dan maklumat Allah s.w.t bersama mereka, Allah tengok dan mengetahui segalanya!
Firman Allah s.w.t:
{Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.} (An-Nisaa’ 4:108)
ii- bersama khas (معية خاصة) untuk hamba-Nya yang beriman dan taat. Kita kena yakin bahawa pertolongan dan jagaan Allah s.w.t sentiasa bersama kita.
Para pejuang Islam dan agama, jangan sedih jika tidak menang di dunia, balasan kita akan menunggu di akhirat Insya’ Allah.
Sebagaiman firman Allah s.w.t berkata kepada Nabi Musa & Harun a.s:
{Allah berfirman: “Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu {إِنَّنِى مَعَكُمَآ}; Aku mendengar dan melihat segala-galanya.} (Taha 20:46)
Kemudian Nabi Musa a.s juga berkata kepada pengikutnya apabila mereka terdesak dalam firman Allah ini:
{Nabi Musa menjawab: “Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku {مَعِىَ رَبِّى} (dengan pemuliharaan dan pertolongan-Nya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku”.} (Asy-Syu’araa’ 26:62)
Juga sebagaimana cerita Allah s.w.t tentang kata-kata Rasulullah s.a.w kepada Sayyidina Abu Bakar ketika mereka berdua di dalam gua:
{Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita {إِنَّ ٱللَّهَ مَعَنَا ۖ}” (At-Taubah 9:40)
Maknanya apabila kita tahu perjuangan kita itu betul, maka kita yakin bahawa pertolongan Allah akan bersama kita, jika kita tidak sempat menang di dunia, jangan bimbang & takut balasan & pahala akan menanti di akhirat kelak.
Ini adalah fahaman bagi pejuang agama; bukan mereka yang berjuang kerana sekular dan habuan dunia, kerana pasti mereka mahukan kemenangan di dunia jika tidak mereka akan rugi!
- Ayat 7- {Kemudian Ia akan memberi tahu kepada mereka – pada hari kiamat – apa yang mereka telah kerjakan.}- Allah nyatakan bahawa Dia akan dedah dan hitung semua sekali, apa yang kamu lupa atau tidak! Allah akan nyatakan balik yakni hisab & hitung.
Manakala segala hukuman dan perbicaraan yang akan diberi kepada orang kafir dahsyat sekali!
Manakala bagi orang beriman, Allah telah berjanji, sesiapa yang telah bertaubat dan beristighfar atas dunia ini, Allah s.w.t akan hapus dan sembunyikan dosa-dosanya di akhirat kelak setelah bertaubat nasuha di dunia.
Bagi orang yang bertaubat, Allah s.w.t akan hapuskan segala dosanya sebagaimana firman Allah s.w.t dalam sebuah hadis qudsi:
Seorang itu mendapat buku amalan pada hari Kiamat dan melihat dosa besarnya yang tiada, dia sangat terkejut.
Lalu Allah s.w.t berfirman kepadanya: Aku telah sembunyikannya dosa kamu di dunia kerana kamu telah menyesal dan bertaubat darinya. Maka Aku ampunkan kepadamu pada hari ini.
Ya Allah sebagaimana Engkau beri kepada kami kemaafan, sembunyikan dosa-dosa dan keburukan kami atas dunia ini, maka ampunkan dan hapuskan juga dosa-dosa kami di akhirat kelak, agar kami tidak malu di hadapan manusia pada hari Kiamat.
Berilah kami jalan-jalan yang dapat membawa kami kepada keredhaan-Mu dan syurga-Mu di akhirat kelak!