AMARAN DARI ALLAH YANG MAHA TINGGI KEPADA KAFIR DENGAN GONCANG BUMI, HUJAN BATU DARI LANGIT & PERHATIKAN KEAJAIBAN BURUNG TERBANG.

Full video : https://youtu.be/1pqFpRui0xM

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t memberi amaran kepada golongan kafir dengan menghantar bala seperti menggoncang bumi atau hantar hujan batu dari langit.
  2. Kemudian Allah suruh kita perhatikan kepada makhluk-Nya yang kecil iaitu keajaiban burung yang berterbangan di udara.
  3. Ini semua tanda yang menunjukkan kepada keagungan & kekuasaan Allah s.w.t yang tidak dapt dipertikaikan, yang dapat diterima & dihayati oleh orang mukmin tetapi orang kafir tetap keras kepala, kufur dan mengingkarinya. Itulah ujian kepada mereka.
  4. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t nyatakan bahawa wujudnya, adanya & hidupnya makhluk-makhluk atas bumi ini dengan selamat adalah dengan limpah kurnia Allah s.w.t semata-mata!

Jika Allah mahu Dia boleh saja balikkan bumi ini, tenggelamkan manusia yang derhaka, itu kuasa Allah s.w.t!
Maka kita yang beriman jika nak selamat janganlah buat perangai yang boleh mengundang kemurkaan Alllah s.w.t.

ii- bagaimana Allah telah memberi amaran kepada puak kafir yang mendustakan dengan azab-azab yang dahsyat, bagaimana neraka geram & mengamuk apabila melihat bakal penghuni dihumbankan ke dalamnya.

iii- kemudian Allah s.w.t bawakan juga tentang nikmat-nikmat kepada orang yang beriman. Allah juga nyatakan diciptakan bumi itu untuk kegunaan kita manusia.

Tetapi ingat duduk baik-baik atas muka bumi, jangan derhaka & buat maksiat kepada Allah s.w.t, jika tidak boleh saja Dia goncangkan terbalikkan bumi ini dan menenggelamkan kamu semua. Ini semua adalah ayat peringatan.

AYAT 16- {PATUTKAH KAMU MERASA AMAN (TIDAK TAKUT) KEPADA TUHAN YANG PUSAT PEMERINTAHANNYA DI LANGIT ITU: MENUNGGANG-BALIKKAN BUMI MENIMBUS KAMU, LALU BERGEGARLAH BUMI ITU DENGAN SERTA-MERTA (MELENYAPKAN KAMU DI BAWAHNYA)?} (AL-MULK 67:16)

  1. Allah s.w.t bertanya kepada kaum kafir apakah patut mereka merasa aman & selamat, tidak takut kepada Allah s.w.t yang Maha Berkuasa, Yang Maha Tinnggi, yang pusat pemerintahan-Nya di langit?
  2. Allah s.w.t dalam ketinggian-Nya sebagaimana yang disebut sendiri oleh Allah dalam al-Quran, maka kita jangan fikir ayat-ayat tentang Allah s.w.t dengan otak kita saja, mengatakan ini sama dengan makhluk!
    TIDAK sama sekali, Allah s.w.t telah memberi satu garis panduan bahawa:
    { لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ ۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ } –
    {Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya) dan Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.} (Asy-Syuura 42:11)
  3. Amaran pertama yang Allah s.w.t beri kepada puak kafir yang ingkar ialah bahawa Dia boleh menggoncang bumi, menunggang-balikkannya untuk bumi menimbus mereka, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta lenyaplah kaum kafir tenggelam di bawahnya.
    Azab ini ialah dari bumi yang dekat dengan mereka, yang mereka diami dan ambil manfaat daripadanya.
  4. Firman Allah s.w.t:
    {Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak.} (Al-An’aam 6:65)
  5. Kata Ibnu Qudamah rhm.: Bahawa Allah s.w.t menyifatkan diri-Nya sendiri dengan sifat ketinggian (العلو), kemudian Nabi s.a.w sifatkan Allah Yang Maha Tinggi begitu juga. Ijma’ ulama’ dan fuqaha’ tentang ini, maka kita yakin dan kita berimanlah dengan sifat-Nya yang penuh dengan Ketinggian & Maha Perkasa!

AYAT 17- {ATAU PATUTKAH KAMU MERASA AMAN (TIDAK TAKUT) KEPADA ALLAH YANG PUSAT PEMERINTAHANNYA DI LANGIT ITU: MENGHANTARKAN KEPADA KAMU ANGIN RIBUT YANG MENGHUJANI KAMU DENGAN BATU; MAKA DENGAN ITU, KAMU AKAN MENGETAHUI KELAK BAGAIMANA BURUKNYA KESAN AMARANKU?} (AL-MULK 67:17)

  1. Allah s.w.t ulang sekali pertanyaan ini; Patutkah kamu merasa aman & tidak takut kepada Allah Azza wa Jalla yang Maha Tinggi, beristiwa’ di atas Arasy itu?
  2. Amaran kedua-Nya ialah jika kamu masih tidak mahu beriman dan ingkar juga: Dia akan menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu. Iaitu azab dari langit, sebelah atas pula.
  3. Hadis Rasulullah s.a.w:
    i- Riwayat dari Abu Said al-Khudri r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
    “Apakah kamu tidak mahu beriman denganku sedangkan aku ini diberi tugasan oleh mereka yang berada di langit?” [HR Muslim].

ii- Sabda Rasulullah s.a.w:
الرَّاحِمُونَ يرحَمُهُمُ اللهُ إِرْحَمْ من فِى الارض يرحَمْكَ من فِى السَمَاءِ
“Seseorang yang menyayangi (orang lain) pasti akan disayangi Allah. Sayangilah setiap penduduk bumi, nescaya engkau akan disayangi para penghuni langit” [HR At-tabrani dan Hakim No: 4/175].

  1. Jadi banyaklah ayat-ayat & hadis-hadis yang menunjukkan sifat Ketinggian Allah ini (العلو) yang perlu kita belajar & hayati supaya kita dapat duduk di atas landasan sebagaimana yang difahami oleh para anbiya’ dan salafus-soleh dalam masalah yang besar ini.
  2. Inilah dua amaran tentang azab dari Allah yang amat yang menakutkan jika kamu masih tidak mahu beriman!
    Azab itu boleh datang dari pelbagai arah samada dari bawah; di bumi atau dari atas; di langit!
  3. Kenapa Allah sebut & mula azab dari bumi dulu? Ini kerana Allah s.w.t telah sebut sebelum ini nikmat-Nya dalam mencipta bumi ini adalah anugerah untuk manusia. Tetapi apa boleh buat manusia itu telah kufur nikmat itu, tetap degil keras kepala dan tidak takut kepada Allah s.w.t!
  4. Kita memohon kepada Allah s.w.t keselamatan di daratan, di laut & di udara!

AYAT 18- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! ORANG-ORANG (KAFIR) YANG TERDAHULU DARIPADA MEREKA TELAH MENDUSTAKAN (RASUL-RASULNYA LALU MEREKA DIBINASAKAN); DENGAN YANG DEMIKIAN, (PERHATIKANLAH) BAGAIMANA BURUKNYA KESAN KEMURKAANKU.} (AL-MULK 67:18)

  1. Ayat ini memberi amaran keras kepada kita, bahawa orang kafir sebelum kafir Quraisy juga telah mendustakan rasul-rasul mereka; seperti kaum Nuh, Lut, Ad, Thamud, Firaun dan lain-lain umat terdahulu.
  2. Iaitu mereka yang telah dibinasakan oleh Allah s.w.t dengan azab atas dunia ini lagi dengan sebab mereka tidak dengar kata, derhaka kepada Allah Azza wa Jalla. Kita yang berjalan atas muka bumi kena lihat dan ambil iktibar daripada kesan-kesan kebinasaan umat terdahulu, bukan hanya sekadar pergi melancong & bergambar!

Seperti di Laut Mati contohnya, iaitu tempat binasa kaum Lut yang adalah golongan LGBT! Sudah menjadi tempat pelancongan sedunia.

  1. Semua ini sudah jelas dan nampak samada dengan mata hati seperti yang kita baca dalam al-Quran atau ada yang sudah pergi sendiri pasti sudah lihatnya dengan mata kepala sendiri.
  2. Bahkan Rasulullah s.a.w sudah berpesan kepada kita dengan sabdanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَدْخُلُوا عَلَى هَؤُلَاءِ الْمُعَذَّبِينَ إِلَّا أَنْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَإِنْ لَمْ تَكُونُوا بَاكِينَ فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِمْ لَا يُصِيبُكُمْ مَا أَصَابَهُمْ

Maksudnya: “Janganlah kamu memasuki tempat yang penghuninya disiksa kecuali kamu menangis. Jika tidak mampu menangis maka janganlah kamu memasukinya agar kamu tidak mendapat musibah sebagaimana mereka mendapatkannya.” [HR Bukhari].

Maka ambillah iktibar peringatan bukan sekadar makan angin dengan penuh kegembiraan, tanpa taklimat dan penjelasan.

5. Di akhir ayat Allah suruh kita perhatikan bagaimana buruknya kesan kemurkaan Allah s.w.t (فَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ) ke atas mereka golongan yang telah dibinasakan Allah s.w.t ini, samada dicampakkan azab dari atas atau dari bawah!

6. Ayat ini tafsirkan juga dengan firman Allah s.w.t:
i- {Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian tidaklah pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul masing-masing;
Dan (demikian juga) kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut;
Dan juga penduduk Madyan; dan Nabi Musa juga telah didustakan; maka Aku memberi tempoh kepada orang-orang kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa. Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan kemurkaan-Ku.} (Al-Hajj 22: 42-44)

ii- {Sebelum mereka itu, kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Firaun yang mempunyai kerajaan yang kuat, telah juga mendustakan Rasul masing-masing.
Dan juga Thamud (kaum Nabi Soleh), dan kaum Nabi Lut, serta penduduk Aikah; merekalah kumpulan-kumpulan (yang menentang kebenaran).
Tidak ada satupun dari kaum-kaum yang tersebut, melainkan telah mendustakan Rasul-rasul; maka berhaklah mereka ditimpa azab.} (Saad 38: 12-14)

Maka akibat dari perbuatan mereka itu, mereka berhak menerima azab dari Allah.

AYAT 19- {PATUTKAH MEREKA MENUTUP MATA DAN TIDAK MEMERHATIKAN (KEKUASAAN ALLAH PADA) BURUNG-BURUNG YANG TERBANG DI ATAS MEREKA, (SIAPAKAH YANG MENJAGANYA KETIKA) BURUNG-BURUNG ITU MENGEMBANG DAN MENUTUPKAN SAYAPNYA? TIDAK ADA YANG MENAHANNYA (DARIPADA JATUH) MELAINKAN (KEKUASAAN) ALLAH YANG MAHA PEMURAH. SESUNGGUHNYA IA MAHA MELIHAT SERTA MENGETAHUI AKAN TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-MULK 67:19)

  1. Allah s.w.t berpindah dari perbincangan tentang manusia yang berakal tetapi tetap derhaka kepada makhluk-Nya yang kecil iaitu burung. Patutkah mereka tutup mata yakni tidak lihat & perhati keajaibannya.
  2. Bagaimana burung yang kecil ini dijadikan iktibar tentang kuasa Allah s.w.t untuk mengaturnya, bagaimana ia terbang beribu batu, keluar mencari rezeki tanpa lelah dan lain-lain tentang kehidupannya.
  3. Allah suruh kita perhatikan dengan teliti bagaimana cara burung itu terbang dengan membuka-tutup sayapnya dan tiada kuasa yang dapat menahannya daripada jatuh kecuali Allah s.w.t Yang Maha Pemurah (إِلَّا ٱلرَّحْمَـٰنُ).
  4. Dalam firman Allah s.w.t yang lain tidak disebut secara jelas cuma tentang kekuasaan Allah menahanya:
    {Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.} (Al-Nahl 16:79)
  5. Burung ini juga adalah tentera Allah yang telah membinasakan tentera bergajah, maka ia adalah satu peringatan yang dekat dengan kaum Quraisy!
  6. Ingatlah sekali lagi bahawa sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 16- {Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu:}- kata ulama’ jika manusia itu mengetahui bahawa kuasa Allah s.w.t Maha Tinggi & Agung, mengatasi segala sesuatu, maka makhluk yang kenal Allah dia akan takut untuk derhaka dan sentiasa membesarkan Allah s.w.t.

Sebagaimana kita telah bincangkan dalam siri yang lepas tentang perbezaan antara takut (khauf) dan (khasyah).

Maka manusia yang takut secara khasyah kepada Allah s.w.t dia tidak menderhaka dan langgar hukum Tuhan-Nya.
Itulah kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t atas segala makhluk.

  1. Ayat 17- {Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu;}- kemudian Allah s.w.t tanya lagi apakah kamu tidak berasa takut. Tadi adalah amaran tentang azab yang datang dari bawah iaitu dari bumi yang kamu hidup di atasnya.

Di mana dalam ayat 15, yang Allah nyatakan Dia permudahkan bumi untuk kamu diaminya, yang keluar rezeki darinya. Maka Allah mulakan amaran bencana itu dari bumi yang dekat dengan manusia.

Kemudian dalam ayat ini Allah s.w.t beri amaran tentang azab batu yang turun dari langit pula. Ini kerana dari langit adalah sumber rezeki asal manusia, iaitu hujan yang turun dari langitlah yang menumbuhkan rezeki di bumi, sebagai sumber asalnya iaitu air!
Lalu kamu makan makanan yang Allah anugerahkan tetapi tetap derhaka maka Allah hantar pula amaran azab dari langit!

Kita minta perlindungan dengan Allah s.w.t dari segala perkara tidak baik yang berlaku atas dunia ini, kita mahu mati dalam husnul-Khatimah dalam suasana yang aman.

  1. Ayat 19- {Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, ..}- Allah tanya apakah kamu tidak lihat burung yang sedang di udara dengan buka-tutup sayapnya. Ini adalah peringatan yang begitu mantap supaya kita sentiasa lihat & berfikir dan mengingati Allah s.w.t.

Ulama’ tadabbur juga kata ayat ini mencela orang yang tidak lihat dengan mata hati, yakni lihat tanpa berfikir dan perhati kepada makhluk Allah dan menggalakkan orang yang beriman agar sentiasa memerhatikan kepada makhluk Allah s.w.t yang lain.

Allah s.w.t permudahkan urusan kita di bumi, di langit & di udara, maka kita kena sentiasa perhatikan kejadian makhluk Allah s.w.t untuk kita sedari keagungan Allah s.w.t yang telah memberi ciri-ciri keistimewaan kepada makhluk-Nya yang bernama burung.

Bagaimana penciptaan kapal terbang adalah diinspirasikan daripada perhatikan burung yang mengembang-kuncupkan sayapnya ini.

Kita ambil manfaat dari perhatian terhadap anugerah Allah s.w.t untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Semoga Allah s.w.t beri kesedaran kepada pemerintah umat Islam agar mereka takut kepada Allah dan jangan buat perkara yang dimurkai Allah dan akhirnya dibinasakan Allah s.w.t, pada masa itu tiada faedah lagi!
Hapuskan hidangan arak dan benarkan peramugari tutup aurat!

  1. Ayat 19- {Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya?}- kata ulama’ tadabbur, Allah s.w.t menyebut tiga sifat burung dalam ayat ini iaitu:
    i- ia terbang di atas kamu di udara {فَوْقَهُمْ}
    ii- terbuka sayapnya {صَـٰٓفَّـٰتٍۢ}.
    iii- ia tutup sayapnya {يَقْبِضْنَ ۚ}

Allah s.w.t biasanya tidak bercakap panjang tetapi dalam ayat ini Allah s.w.t perincikan sifat dan keadaan burung yang sedang terbang itu, Allah ajar kita agar tengok dengan teliti kemudian fikir.

Yakni supaya kita tengok dan perhati dengan teliti, supaya manusia boleh gambarkan kemudian ambil iktibar dan fikirkanlah kepada Allah s.w.t sebagai Penciptanya!

  1. Ayat 19- {Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah.}- ulama’ buat perbincangan kenapa Allah s.w.t gunakan nama-Nya ar-Rahman {ٱلرَّحْمَـٰنُ} di sini? Bukan seperti ayat lain surah an-Nahli tadi digunakan nama Allah.

KATA ULAMA’ TADABBUR :

i- Kita lihat Allah s.w.t gunakan nama-Nya {ٱلرَّحْمَـٰنُ} dalam surah al-Mulk ini sebanyak empat kali.

ii- ini kerana orang kafir pada masa itu amat anti- tidak suka dengan nama Allah {ٱلرَّحْمَـٰنُ} ini.

iii- Ia adalah satu nama & sifat Allah s.w.t yang amat besar, tetapi dibenci oleh puak kafir!

Maka untuk mantapkan kefahaman orang kafir, Allah menyebutnya banyak kali dalam surah serta agar kita orang beriman bertambah yakin dan beriman dengan {ٱلرَّحْمَـٰنُ}.

Allah s.w.t Maha Mengetahui tentang hikmah yang ada, tetapi kita juga mesti sentiasa melihat, mencari & mengkaji agar kita sentiasa berada di atas landasan yang benar agar kita mendapat nikmat yang besar melalui anugerah al-Quran yang diberikan kepada Nabi kita Muhammad s.a.w.