NIKMAT ALLAH YANG WAJIB DISYUKURI, KAFIR TETAP MENDUSTAKAN & DI AKHIRAT MENERIMA KEJIAN.

Full video : https://youtu.be/Nc2mSazUtWA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t sebut beberapa nikmat Allah yang wajib disyukuri oleh manusia. Tetapi hakikatnya amat sedikit manusia yang bersyukur.
  2. Manakala golongan kafir tetap mendustakan & tidak nampak akan anugerah nikmat yang Allah anugerah dan hikmatnya.
  3. Golongan kafir yang mendustakan hari Kiamat ini; di akhirat kelak menerima kejian.
  4. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t tunjuk bukti kekuasaan Dia dalam penciptaan haiwan iaitu burung yang terbang di udara tidak jatuh dengan kuasa-Nya.

ii- dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan bukti kekuasaan-Nya dengan kejadian ciptaan manusia yang antara keajaibannya ialah mata, telinga & hati.

iii- kemudian Allah s.w.t peringatkan bahawa semua nikmat ini adalah untuk disyukuri, tetapi malangnya tidak ramai yang bersyukur, yang ramainya tidak reti bahasa, keras kepala & degil!

AYAT 23- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “ALLAH YANG MENCIPTAKAN KAMU (DARI TIADA KEPADA ADA), DAN MENGADAKAN BAGI KAMU PENDENGARAN DAN PENGLIHATAN SERTA HATI (UNTUK KAMU BERSYUKUR, TETAPI) AMATLAH SEDIKIT KAMU BERSYUKUR”.} (AL-MULK 67:23)

  1. Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk berkata kepada golongan musyrikin bahawa- wahai manusia dulu kamu tiada sekarang baru ada, Allah yang mencipta dan mengadakan kamu semua.
  2. Proses penciptaan manusia adalah seperti biasa berasal dari air mani, hasil hubungan sesama manusia lelaki & perempuan (samada halal atau tidak), tidak ada lagi yang seperti kejadian Nabi Adam dari tanah liat atau Nabi Isa a.s tanpa bapa.
  3. Kemudian Allah s.w.t beri kepada kamu dua alat yang amat berguna untuk menerima ilmu & maklumat, untuk dengar ayat-ayat Allah! Dua nikmat yang amat besar iaitu pendengaran & penglihatan!
  4. Kemudian Allah juga buat hati sebagai pusatnya untuk kamu berfikir, mengambil iktibar dari apa yang kamu dengar dan lihat. Hati sepatutnya menjadi penapis, berfikir dan kaji, pilih ambil yang baik & buang yang salah dan tidak benar! Maka jika hati tidak berfikir dan ikut syahwat, akan rosaklah manusia.
  5. Semua nikmat ini sepatutnya menjadikan manusia itu bersyukur kepada Allah s.w.t, tetapi malangnya tidak ramai manusia yang bersyukur bahkan nikmat itu menjadikan mereka kufur dan salah gunanya pula!
  6. Firman Allah s.w.t:
    {Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.} (As-Sajdah 32:9)
  7. Semoga Allah jadikan kita dari golongan yang bersyukur kepada Allah s.w.t!

AYAT 24- {KATAKANLAH LAGI: “DIA LAH YANG MENGEMBANGKAN KAMU DI BUMI, DAN KEPADANYALAH KAMU AKAN DIHIMPUNKAN”.} (AL-MULK 67:24)

  1. Allah menyuruh Rasulullah s.a.w katakan lagi: Sesungguhnya Allah s.w.t yang menjadikan kamu tersebar luas atas dunia ini, diseluruh pelusuk bumi, berkembang biak mendiami segenap penjuru muka bumi!
  2. Munasabah ayat:
    i- Allah s.w.t sebut di awal ayat tentang haiwan kemudian dibawa kepada 3 sifat iaitu mendengar, melihat dan akal.

ii- kemudian Allah s.w.t bawa kisah perjalanan manusia yang berkembang biak atas dunia ini, hidup di segenap penjuru muka bumi.

iii- sepatutnya mereka bersyukur akan nikmat Allah itu bukan kufur dan ingkar.

  1. Tetapi ingat walaupun di mana saja kamu berada, tersebar di muka bumi, tetapi apabila sampai masanya kamu akan dimatikan dan kembali kepada Allah s.w.t!
  2. Kamu akan dibangkitkan dan dihimpunkan semula. Dikumpulkan untuk dihisab dengan segala amalan yang telah kamu buat atas dunia ini. Maka jika kamu nak balasan baik, buatlah baik, jika tidak sebaliknyalah nasib kamu!

AYAT 25- {DAN MEREKA (YANG INGKAR) BERKATA: “BILAKAH DATANGNYA (HARI KIAMAT) YANG DIJANJIKAN ITU, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR?”} (AL-MULK 67:25)

  1. Apabila mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w itu puak kafir itu bertanya pula dengan penuh sindiran dan perlian: Bilakah akan berlaku Kiamat & bangkit semula yang kamu sentiasa sebut & janjikan ini???
  2. Beritahulah kami jika kamu adalah orang yang benar, bukan hanya bercakap saja untuk menakut-nakutkan kami!
    Yakni mereka terus mendustakan khabar yang Rasulullah s.a.w. bawa tentang hari Kiamat & bangkit semula.

AYAT 26- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA ILMU PENGETAHUAN (TENTANG MASA KEDATANGANNYA) HANYA ADA PADA SISI ALLAH, DAN SESUNGGUHNYA AKU HANYALAH SEORANG RASUL PEMBERI INGATAN DAN AMARAN YANG TERANG NYATA”.} (AL-MULK 67:26)

  1. Allah s.w.t ajar Rasulullah s.a.w (dan kita semua) untuk menjawab cabaran mereka ini dalam perkara ghaib yang kita tidak tahu; bahawa:
    i- “Sesungguhnya ilmu pengetahuan tentang masa kedatangan Kiamat hanya ada pada sisi Allah, tiada siapa yang tahu samada rasul atau malaikat.
    Yakni jika kita tidak tahu, kita kembalikannya kepada ilmu Allah.

ii- Juga beritahulah kepada mereka: Tugas Baginda juga hanyalah sebagai seorang Rasul; pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata (وَإِنَّمَآ أَنَا۠ نَذِيرٌۭ مُّبِينٌۭ) kepada umatnya.

  1. Alhamdulillah Rasulullah s.a.w telah menjalankan tugasnya menyampaikan risalahnya, kerja kita para pendakwah meneruskan tugas dan dakwah Rasulullah s.a.w ini!
  2. Tugas kita adalah untuk menyampaikan dakwah dan memberi bimbingan, orang terima alhamdulillah, jika tidak terima kita serahkannya kepada kuasa Allah s.w.t!

AYAT 27- {KEMUDIAN APABILA (DATANG KIAMAT DAN) MEREKA MELIHAT (AZAB) YANG DIJANJIKAN ITU SECARA DEKAT, MURAMLAH MUKA ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU, SERTA DIKATAKAN (KEPADA MEREKA): “INILAH DIA YANG DAHULU KAMU KERAP KALI MINTA DISEGERAKAN KEDATANGANNYA!”.} (AL-MULK 67:27)

  1. Akhirnya tibalah Kiamat yang diminta dan ditanya oleh orang kafir di dunia tadi!
    Apabila mereka melihatnya dengan mata kepala mereka sendiri azab itu, maka muram muka mereka penuh kengerian!
  2. Lalu malaikat berkata kepada mereka dengan tempelak: Inilah hari Kiamat yang kamu ragukan, yang kamu tanya-tanya dengan pendustaan yang kamu minta-minta dengan cabaran dulu, yang kamu minta disegerakannya!
  3. Kata Imam Mawardi rhm. maksudnya ayat yang kita baca ini: {“Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!”} ada empat maknanya:
    i- apa yang kamu tidak percaya dulu!

ii- yang kamu syak dan ragu tentangnya. Tidak ada Kiamat dalam kepala kamu.

iii- yang kamu minta segerakan azab itu.

iv- yang mereka doakan dulu! Yakni yang mereka cabar minta Rasulullah untuk segerakannya.
Boleh dikumpulkan semuanya sekali.

  1. Apabila Kiamat berlaku barulah mereka percaya & yakin, insaf dan takut serta minta dihantar blik ke dunia untuk beriman & beramal! Tetapi semua itu penyealan yang tiada gunanya!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 23- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.}- Allah s.w.t cipta kepada kamu nikmat mata, telinga & hati; tetapi kamu tidak bersyukur.

Ayat ini menjadi dalil bahawa kita WAJIB bersyukur akan nikmat Allah s.w.t!

Syukur itu pula mengikut kategori nikmat yang kita dapat:
i- contoh telinga- juga mata:
kita guna untuk kebaikan dunia, dengar ilmu, dengar panggilan ibu bapa, arahan ketua dan lain-lain.

Juga guna untuk kebaikan akhirat dengar al-Quran-hadis, kuliah tazkirah, nasihat peringatan dan seumpamanya, yang dapat mendekatkan kita kepada Allah dan menjauhkan perkara haram.

ii- begitu juga hati- guna untuk berfikir dan menapis kebaikan dalam hidup kita. Mencari kebaikan yang ilmu yang dapat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

iii- Begitu juga kekuatan, ilmu, kuasa dan sebagainya. Hendaklah digunakan untuk membawa kebaikan & mencari keredhaan Allah s.w.t serta menjauhkan darii dosa & maksiat!

  1. Ayat 23- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.}- Allah s.w.t beri kepada manusia tiga pancaindera ini sebagai nikmat & kekuatan yang cukup mulia! Kita boleh gunakannya untuk kebaikan.

Tetapi malangnya ramai manusia yang menyalah-gunakan nikmat yang besar ini!
Jadi ini juga peringatan agar jangan kamu salah gunanya pula- tak mahu dengar tentang Islam, Quran, guna ilmu dan percakapan untuk menipu dan scam orang, tidak guna akal untuk berfikir tentang kebenaran. Wal-‘iyazubillah.

  1. Ayat 23- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.}- tiga alat ini adalah merupakan tempat & jalan untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman!

Allah s.w.t bawa dalam al-Quran dengan mulakan dengan:
i- telinga- atau pendengaran. Inilah alat pertama yang kita gunakan dalam pendidikan dan mencari ilmu. Betapa ramai alim ulama’ yang tidak nampak matanya tetapi berjaya dengan hanya pendengaran menghafaz ilmu &
Ulama’ kata telinga lebih kuat daripada mata kerana ia boleh mendengar dalam gelap atau cerah, mata hanya dalam cerah saja.

Apa yang masuk dalam telinga juga biasanya akan melekat dalam hati- bahayanya telinga kerana itu jangan biarkan mendengar yang buruk & tidak benar! Biasakan masuk yang baik & benar.

ii- kemudian mata – atau penglihatan juga sebagai alat bantuan untuk belajar dan dapat ilmu selepas telinga.

iii- hati sebagai penapis atau alat untuk berfikir dan memilih mana yang benar & mana yang batil!

  1. Ayat 25- {Dan mereka (yang ingkar) berkata: “Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”}- menerangkan bahawa ahli batil akan sentiasa menyerang orang yang benar dengan cabaran, amaran dan pelbagai soalan.

Semuanya hanya kerana mahu serang, melemahkan, menggoyah dan mempertikaikan kerana dia tidak percaya!

Kita yang beriman tidak akan tanya bila akan berlaku ini, tetapi kita buat persiapan untuk menghadapinya Insya’ Allah.

  1. Ayat 26- {Katakanlah (wahai Muhammad): …dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata”.}- begitulah yang dapat difahami bahawa kerja kita tetap kena berdakwah dan menyampaikan kebenaran kerana itu adalah tugas & tanggung-jawab kita sebagaimana tugas Rasulullah s.a.w dan semua rasul sebelumnya!

Kerja kita menyampaikan memberi maklumat & petunjuk (hidayah irsyad) manakala untuk memberi hidayah taufik adalah di bawah kuasa Allah s.w.t!

Semoga kita semua mendapat hidayah petunjuk dan bimbingan Allah s.w.t selalu.

Hari ini adalah hari Jumaat: Ingat Jumaat ingat surah al-Kahfi & perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.