SURAH AL-MU’MINUN : AYAT 57-62

SIFAT GOLONGAN YANG SEGERA MELAKUKAN KEBAIKAN. KHAUF, IMAN, IKHLAS DAN BERSIH DARI SYIRIK & TIDAK ADA TAKLIF YANG BERAT DAN SEMUA AMALAN DICATAT.

Full video : https://youtu.be/IE6KCd5MQJY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah menyebut satu golongan yang menyangka mereka berada di atas kebenaran dan keredhaan Allah kerana Allah telah memberi kepada mereka harta dan kedudukan dunia.
  2. Bagi orang yang dapat habuan dunia sedangkan mereka derhaka kepada Allah s.w.t, itu adalah satu ISTIDRAJ. Yakni Allah bagi semuanya agar mereka makin lagha makin kufur lalu semakin jauh dari kebenaran dan dari Allah s.w.t.
  3. Juga disebut janji Allah kepada mereka jika tidak bertaubat, azab yang dahsyat di akhirat kelak.
  4. Dalam siri ini pula Allah s.w.t menceritakan tentang sifat orang beriman yang bersegera, laju melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. segera dalam bab ibadat dan untuk mendapatkan keampunan Allah s.w.t.
  5. Ada 4 sifat yang disebut, kita akan lihat dalam ayat-ayatnya. Mereka berada dalam barisan hadapan dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.
  6. Semoga kita termasuk dalam golongan ini insya’ Allah.

AYAT 57- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SENTIASA BIMBANG DISEBABKAN TAKUT KEPADA (KEMURKAAN) TUHAN MEREKA;} (AL-MU’MINUUN 23:57)

  1. Sifat pertama golongan yang cintakan kebaikan ini ialah sentiasa bimbang disebabkan takut kepada (kemurkaan) Tuhan.
  2. Perasaan takut dan bimbang ini menyebabkan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian dan berjumpa Allah s.w.t dengan membuat persedian yang sepatutnya.

AYAT 58- {DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADA AYAT-AYAT TUHAN MEREKA;} (AL-MU’MINUUN 23:58)

  1. Sifat kedua ialah mereka beriman kepada Allah s.w.t dan percaya akan ayat-ayat yang menunjukkan kepada tanda kekuasan Allah s.w.t.
  2. Maksud ayat-ayat di sini adalah kedua-duanya:
    i- al-Quran (ayat yang dibaca) serta ditadabbur darinya.
    ii- dalil/tanda yang ditunjukkan oleh alam dan makhluk di atas dunia ini seluruhnya.
  3. Yang penting semua yang boleh memberi kesedaran, peringatan dan pengajaran kepada kekuasan Allah s.w.t.

AYAT 59- {DAN ORANG-ORANG YANG TIDAK MEMPERSEKUTUKAN SESUATU YANG LAIN DENGAN TUHAN MEREKA;} (AL-MU’MINUUN 23:59)

  1. Sifat ketiga golongan ini ialah tidak sekali-kali melakukan syirik terhadap Allah s.w.t samada yang zahir atau yang tersembunyi.
  2. Mereka juga bebas diri dan hatinya dari sebarang syirik, samada syirik besar atau syirik tersembunyi seperti riyak dan lain-lain.
  3. Juga sum’ah mencari glamour, seperti kita mendedahkan/tayang amal ibadat pada malam hari yang tiada orang tengok asalnya.
  4. Syirik (khafiyy) yang tersembunyi ini dapat meruntuhkan pahala-pahala amalan seseorang.

AYAT 60- {DAN ORANG-ORANG YANG MEMBERI APA YANG MEREKA BERIKAN SEDANG HATI MEREKA GEMENTAR KERANA MEREKA YAKIN AKAN KEMBALI KEPADA TUHAN MEREKA;} (AL-MU’MINUUN 23:60)

  1. Sifat keempat ialah mereka memberi dan mengeluarkan (sedekah atau kebaikan), sedangkan hati mereka tetap cemas dan sentiasa gementar kepada Allah s.w.t.
  2. Ulama’ tafsir kata semua bentuk pemberian atau sumbangan secara umum samada:
    i- dari segi harta (nafkah, zakat, bayar kaffarah dan sedekah) atau
    ii- sebarang bentuk kebajikan seperti pertolongan dengan tenaga, nasihat, fikrah atau idea dan seumpamanya.
  3. Di mana semua kebaikan yang mereka dengar dan ada kesempatan bagi mereka melakukannya, maka mereka akan segera melakukannya.
  4. Ketika melakukan semua ini pula hati mereka gementar, yakni takut bimbang Allah s.w.t tidak terima amalannya, lalu tidak mendapat pahala yang sepatutnya.
  5. Semua ini dilakukan kerana mereka yakin akan kembali kepada Allah s.w.t, lalu akan dihisab dan dibalas di akhirat kelak.

AYAT 61- {MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG SEGERA MENGERJAKAN KEBAIKAN, DAN MEREKALAH ORANG-ORANG YANG MENDAHULUI PADA MENCAPAINYA.} (AL-MU’MINUUN 23:61)

  1. Lalu Allah s.w.t menyatakan orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, maka mereka juga akan mendahului pada mencapainya- pahala dan keredhaan Allah s.w.t.
  2. Yakni orang-orang yang mempunyai 4 sifat-sifat yang disebutkan dalam ayat 57, 58, 59, dan 60 di atas adalah orang yang bersegera mendapatkan kebaikan-kebaikan, dan kebaikan-kebaikan itu akan diberikan kepada mereka dengan segera sejak di dunia ini.
  3. Ulama’ kata bersegera mahu kebaikan ini samada:
    i- Mereka segera melakukan ketaatan bila dengar amalan yang sahih.
    ii- segera mahu pahala yang dijanjikan apabila mendengarnya.
  4. Tetapi kita pastikan segala amalan yang dibuat adalah bertepatan dengan ajaran yang sahih dari al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w yang warid.

AYAT 62- {DAN KAMI TIDAK MEMBERATI SESEORANG MELAINKAN APA YANG TERDAYA OLEHNYA; DAN DI SISI KAMI ADA SEBUAH KITAB (SURATAN AMAL) YANG MENYATAKAN SEGALA-GALANYA DENGAN BENAR, SEDANG MEREKA TIDAK DIANIAYA.} (AL-MU’MINUUN 23:62)

  1. Agama Islam itu amat adil dan rahmah kepada ummatnya.
  2. Allah s.w.t nyatakan dalam ayat ini bahawa seseorang itu tidak akan dibebankan sehingga di luar kemampuannya untuk ditanggung dan dikerjakannya. Sesuatu amalan itu agama itu mudah tetapi jangan sekali-kali bermudah-mudah dengan agama.
  3. Firman Allah s.w.t: {Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya}. [Al-Baqarah: 286].
  4. Allah s.w.t juga bagi jaminan bahawa semua manusia akan dibalas seadilnya mengikut amalannya baik atau buruknya semasa di dunia ini.
  5. Ini kerana di sisi Allah ada sebuah Kitab (suratan amal) yang telah dicatat dengan telus dan terperinci oleh para malaikat penulis yang bertugas dengan telus.
  6. Semua orang akan mendapat surat amalan ini serta membaca dan memeriksanya sendiri. Mereka sekali-kali tidak akan dianiaya!!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Allah sebut tentang sifat al-Khauf yakni takut kepada Allah s.w.t. Bersamanya mesti ada bersama sifat Raja’ (mengharapkan), mesti berjalan serentak
  2. Iman itu bertambah dengan bertadabbur, ta’ammul dan tafakkur kepada ayat-ayat Allah s.w.t.
  3. Berkata al-Hasan al-Basri: Orang mukmin itu dia berbuat baik tetapi dalam masa yang sama takut Allah s.w.t tidak menerima amalannya. Manakala orang kafir sebaliknya.
    Firman Allah s.w.t: { Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).} (Al-Qasas: 78).
  4. Bersegerala untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t., jangan tangguhkan untuk berbuat kebaikan.
  5. Kena ada takut dan bimbang Allah s.w.t tidak qabul- terima amal ibadat yang kita lakukan jika tidak ikhlas dan menyalahi Syariah.
  6. Hikmah Allah s.w.t sebut secara umum apa yang kamu beri- {Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan.} adalah untuk menjadikan umum segala bentuk pemberian kebaikan, bukan hanya sedekah wang atau harta.
  7. Ayat ini juga mengajar bahawa tiada Syariah Islam yang berat yang tidak mampu dipikul oleh ummatnya.
  8. Firman Allah s.w.t: {.. dan di sisi Kami ada sebuah Kitab (suratan amal) yang menyatakan segala-galanya.} Kata ulama’ tafsir ini menunjukkan setiap yang dicatat atau ditulis itu dikira sama seperti bercakap.
  9. Maka berhati-hatilah dengan apa yang kita taip,tulis dan lukis kerana hukumnya adalah sama seperti apa yang kita tuturkan dan akan dipertanggung-jawabkan semuanya.
    Wallahu a’lam.