Live Pagi Rabu 12 Rajab 1442H = 24/02/2021 Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (21) Ayat [112-119];
-Akibat Kufur Nikmat.
– 4 Asas Perkara Haram Dalam Makanan.
– Peluang Bertaubat Kepada Pelaku Dosa.

Video penuh:
https://fb.watch/3SE1_z0DvF/

Muqaddimah:
1-Kisah sebelum ini amaran bagi mereka yang kufur tentang kesusahan yang berlaku di atas dunia. Ini kerana jika hanya ancaman tentang azab di akhirat sahaja, tidak akan memberi kesan kepada mereka, kerana tidak nampak dan tidak merasainya segera.
2- 6 hukuman yang dijatuhkan ke atas golongan yang murtad, والعياذ بالله

*Ayat 112- {Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.}

(Al-Nahl 16:112)
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t buat bandingan contoh tentang penduduk sebuah negeri yang hidup aman- tiada perang, tiada penyakit. Damai- penduduknya baik-baik tiada perbalahan, rezeki yang mewah segenap penjuru, subur dan makmur. Para ulama’ berpendapat ditujukan kepada negeri Makkah secara khas pada masa itu, dan secara umumnya kepada semua negeri yang keadaannya begitu.
2. Tetapi malangnya penduduknya (negeri yang mendapat nikmat itu) kufur dengan semua nikmat Allah s.w.t. Maka akan datanglah kerosakan dengan sebab itu.
3. Allah s.w.t datangkan kelaparan dan ketakutan secara menyeluruhan disebabkan kekufuran dan maksiat yang mereka telah lakukan.
4. HR Bukhari – Ada kisah satu hadis Nabi s.a.w mendoakan ke atas kaum Quraisy, maka Allah s.w.t hentikan hujan di Makkah, lalu mereka hidup dalam kemarau dan kegetiran yang perit.
5. Maka wajiblah kita bersyukur akan segala nikmat Allah s.w.t dan beriman kepada-Nya.
6. Syukur menjadi pengawal/penjaga kepada nikmat yang sedia ada dan akan menjadi penarik kepada nikmat yang belum datang.
7. Sebagaimana kufur akan menjadi penyebab azab dan siksa Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ (إبراهيم: 7)
{Dan jika kamu sekalian bersyukur atas nikmat yang Aku berikan, maka nescaya akan Aku tambah nikmat-Ku untukmu. Dan jika kamu sekalian kufur atas nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku itu sangat pedih.} [Ibrahim: 7].
Semua perbuatan kita akan menjadi sebab kepada balasannya.

*Ayat 113- {Dan demi sesungguhnya, mereka pula telah didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya; maka mereka pun ditimpa azab sedang mereka berkeadaan zalim.}

(Al-Nahl 16:113)
1. Demikianlah penduduk Makkah yang tidak bersyukur akan nikmat besar yang Allah berikan kepada mereka, dengan mengutus seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri.
2. Akibat pendustaan mereka, Allah timpakan azab yang merupakan kemarau dan ketakutan.
3. Bandingan kebinasaan manusia sebab kufur kepada Allah s.w.t dan nikmat-Nya.
Zalim itu ada 2 jenis:
1. Zalim kepada diri sendiri dengan melakukan syirik, munkar, maksiat dan segala kekufuran.
2. Zalim kepada orang lain dengan kejahatan dan segala ketidak-adilan.

*Ayat 114- {Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.}

(Al-Nahl 16:114)
1. Allah s.w.t memerintahkan agar kita makan makanan yang halal dan baik (toyyiban).
2. Kenapa mesti baik juga bukan hanya halal (dari segi Syara’) saja? Yakni baik (toyyib) itu dari segi kebersihan, kesihatan dan kualitinya. Bersih dari segi sumber/tempatnya, pembuatan dan prosesnya, baik dan sesuai dengan kesihatan kita, tidak memudaratkan, kualitinya juga baik tidak basi, buruk dan kotor.
3. Bagi pengguna pula pastikan sumber rezeki untuk mendapatkan makanan yang halal itu, juga adalah dari sumber yang halal, bukan dari riba rasuah dan lain-lain.
4. Maka jika kamu hanya menyembah Allah s.w.t semata, bersyukurlah akan segala nikmat-Nya yang tidak terhitung.

*Ayat 115- {Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}

(Al-Nahl 16:115):
4 perkara asas kepada makanan haram.
1. Sesungguhnya Allah s.w.t mengharamkan ke atas kamu:
i- memakan bangkai, ii-darah yang mengalir, iii- daging babi, iv- dan binatang yang disembelih bukan kerana Allah.
2. Ini hanyalah asas kepada makanan yang haram. Tidak terhad kepada 4 ini saja. Ada lagi makanan lain yang haram sebagaimana yang disebut dalam al-Quran seperti surah al-Maidah dan dalam hadis-hadis Nabi s.a.w.
3. Kata ulama’, makanan yang halal itu lebih banyak daripada yang haram, maka Allah s.w.t bagi panduan (guideline) tentang yang haram.
4. Keadahnya- asal setiap sesuatu itu adalah halal kecuali dinyatakan sebaliknya secara jelas dengan nas yang sorih dari al-Quran dan hadis Nabi s.a.w.

Tetapi jangan lupa ada pengecualiannya juga:
1. Jika dalam keadaan darurat/terpaksa boleh dimakan yang haram itu dengan syarat-syaratnya. Ulama’ kata mesti ada neracanya:
i- Yakni mudarat untuk nyawa, kalau tak makan akan mati, serta tiada makanan lain. Bukan kerana suka-suka atau seronok nak makan.
ii- Jangan melampaui batas, sekadar yang diperlukan untuk menghilangkan kelaparan itu.
iii- Bukan bagi pemberontak yang lapar.

*AYAT 116 – {Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.}

(Al-Nahl 16:116)
1. Pendustaan mereka untuk membolehkan makan apa yang haram atau sebaliknya.
2. Jangan memandai-mandai mengubah hukum Allah s.w.t, ikut suka dia halal dan haram.
3. Kerana itu para ulama’ salaf amat menjaga lidah mereka daripada mengeluarkan hukum tentang halal haram ini jika tiada nas yang jelas.
4. Kita pada hari ini pun jangan cepat mahu menghukum sesuatu perkara yang kita tidak pasti dan tiada ilmu tentangnya. Majlis Fatwa bukan mudah-mudah dan sewenang-wenangnya mengeluarkan fatwa, kita pun jangan mudah-mudah menomen dan mempertikaikannya tanpa ilmu.
5. Orang yang begini pasti tidak akan berjaya dunia dan akhirat.

*Ayat 117- {(Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.}

(Al-Nahl 16:117).
1. Perbuatan menukar hukum itu hanya akan membawa sedikit kesenangan di dunia sahaja.
2. Di akhirat kelak akan mendapat pembalasan siksaan azab yang pedih,

*AYAT 118 – {Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah kami ceritakan kepadamu dahulu; dan tiadalah Kami menganiaya mereka (dengan pengharaman itu), tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.}

(Al-Nahl 16:118).
1. Kaum yahudi haramkan ke atas diri mereka sendiri apa yang Allah halalkan bagi mereka asalnya. Boleh lihat surah al-An’am: 146.
2. Bukan Allah yang menzalimi mereka, mereka sendiri yang pandai-panda merekanya, lalu telah menganiyai diri sendiri.

*Ayat 119- {Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilan, kemudian mereka bertaubat sesudah itu serta memperbaiki amalannya, sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}

(Al-Nahl 16:119).
1. Jika seseorang mukmin itu tersalah/terlanjur melakukan maksiat disebabkan tidak tahu, iaitu kejahilan, kebodohan kemudian;
2. Mereka bertaubat lalu memperbaiki amalannya kepada yang lebih baik dan meninggalkan segala keburukan sedaya upaya.
3. Allah s.w.t jelas berfirman: {Sesungguhnya Tuhanmu sesudah (mereka bertaubat) itu, adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani}. Yakni Dia akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang tersalah itu.
4. Maka sentiasalah kita bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t.
Allahu Akbar, betapa Allah s.w.t itu amat Pengasih, Pengampun dan amat Kasihan Belas ke atas hamba-hamba-Nya yang lemah dan sering melakukan kesalahan ini.

Wallahu a’lam.
#UAM Catatan Kuliah Subuh. Rabu, 24 Feb 2021.