
Live Pagi Jumaat 14 Rajab 1442H = 26/02/2021 Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nahli (23) Ayat [124-128];
-Kelebihan hari Jumaat.
-3 Uslub Dakwah.
-Berlaku adil membalas kejahatan.
-Sabar dalam berdakwah.
Video penuh:
https://fb.watch/3UO7yQBiks/
Muqaddimah:
Alhamdulillah hari ini kita khatam surah an-Nahli, surah yang ke 16, juz yang ke 14.
Kuliah lepas kita telah bincang tentang Nabi Ibrahim a.s yang mana kaum yahudi, nasrani dan Quraish semuanya mengaku mengikutnya. Lalu Allah s.w.t membersihkan Nabi Ibrahim a.s daripada semua dakwaan golongan ini.
*Ayat 124- {Sesungguhnya hari Sabtu itu dijadikan (Hari kelepasan yang wajib dihormati) atas orang-orang (Yahudi) yang telah berselisihan padanya; dan sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat, tentang apa yang mereka telah berselisihan padanya.}
(Al-Nahl 16:124). Kelebihan hari Jumaat.
1. Allah s.w.t menceritakan tentang hari Sabtu yang dipilih oleh orang yahudi yang malas bekerja padanya.
2. Hari Sabtu adalah kelepasan bagi yahudi sebagaimana hari Ahad menjadi hari kelepasan bagi Nasrani. Bagi kita umat Islam hari Jumaat menjadi hari yang mulia.
3. Setiap kumpulan ambil hari yang mereka pilih, sebagai hari besar yang tidak boleh bekerja bagi mereka, sebelum ini mereka berselisih padanya, lalu Allah stw tetapkan Sabtu bagi mereka.
4. Semua ini bukan ikut Syariah nabi Ibrahim a.s yang memilih hari Jumaat.
5. Bagi kita umat Nabi Muhammad s.a.w, Allah s.w.t sendiri yang memillih hari Jumaat, ini sebagai satu kelebihan untuk ummat ini. Bukan pilihan sendiri,
Hadis-
Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita.
“Hari Jumaat ialah hari difardukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.” Riwayat al-Bukhari (836) dan Muslim (855).
6. Kisah perangai buruk yahudi:
Yahudi buat helah apabila mereka di uji dengan ikan yang naik ke pantai pada hari sabtu. Lalu mereka di binasakan, cerita yang panjang tentang kebinasaan mereka ada dalam kuliah yang lepas-lepas.
7. Umat dahulu kena pergi ke tempat khas untuk beribadat seperti biara. Umat Nabi Muhammad, Allah jadikan bumi seluruhnya suci untuk kita beribadat, tetapi masjid mempunyai keutamaan dan lebih afdhal kerana dibina khas untuk ibadat.
*Ayat 125- {Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.}
(Al-Nahl 16:125). Tiga uslub dakwah:
Semua contoh dakwah ini telah ditunjukkan oleh nabi Ibrahim a.s sejak awal lagi.
1. Dengan hikmat kebijaksanaan, berdasarkan dalil yang benar, menghapuskan kebatilan dan menjelaskan kebenaran
2. Nasihat pengajaran yang baik, iaitu dengan cara dakwah yang menarik, membawa iktibar dan contoh tauladan umat-umat terdahulu, seperti kaum Nuh, Luth dan lain-lain. Dari sudut nasihat dan pelbagaikan uslub dakwah.
3. Hendaklah berbahas dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Berbahas, berbicara, berdialog atau berdebat dengan cara yang baik, iaitu dengan lemah-lembut dan baik, agar hati mereka menjadi lembut dan terbuka untuk terus mendengar dakwah kita serta mendapat hidayah insya’ Allah.
Ulama’ berkata:
1. Cara yang pertama untuk mengajak orang buat ke arah kebaikan ialah para pendakwah mesti amalkan dan mulakan buat apa yang dikatakan. Walk the talk, jangan jadi tin kosong, cakap lebih hasil tiada.
2. Cara mendakwah golongan yang tahu benda itu benar tetapi menyalahinya juga; Contoh riba, rasuah, mengumpat, rokok- mereka tahu haram tetapi mereka buat juga.
Maka kita kena beri bimbingan yang baik. Yakni yang nafsu liar kita jinakkan.
**Kata Allahyarham TG Hj Abdul Rahman rhm: (Uslub dakwah macam kita nak tangkap lembu liar. Bawa apa yang dia suka, seperti letak air garam, maka dia akan mendekat untuk jilat air yang dia suka itu lalu akan menjadi jinak. Lepas tu bolehlah kita tangkapnya.)
3. Jika kumpulan yang ada ilmu dan tahu kebenaran tetapi mahu lawan juga, maka baru guna uslub mujadalah, berbahas. Tetapi kita kena cari yang pakar dan ada hujjah juga untuk melawannya. Jangan rempuh masuk dalam bidang yang kita tidak mahir dan tidak tahu. Seperti suasana hari ini semua orang mahu komen bab dajjal, vaksin dan lain-lain.
4. Akhirnya Allah s.w.t menekankan bahawa Dia tahu siapa yang benar dan siapa yang salah.
*Ayat 126- {Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.}
(Al-Nahl 16:126) Cara membalas kejahatan yang dibuat:
1. Allah s.w.t kata boleh dibalas dengan keburukan juga.
2. Dalam Islam dipanggil undang-undnag qisas- bunuh balas atau hukuman yang sama dan setimpal dengan jenayah yang dibuat.
Sebab turun ayat ini: tentang syahid perang Uhud dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w tidak membalas perbuatan mereka quraisy apabila berjaya menawan Makkah.
3. Banyak ayat al-Quran yang menyebut Jika mereka melampau ke atas kamu maka kamu boleh membalas seumpamanya.
4. Tetapi terdapat satu lagi ayat al-Quran yang mengatakan: Jika kamu sabar atas kejahatan mereka itulah yang terbaik.
*Ayat 127- (Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.}
(Al-Nahl 16:127)
1. Allah s.w.t menyuruh nabi s.a.w bersabar atas kejahatan mereka yang dusta dan ingkar. Bersabar serta memohon pertolongan Allah s.w.t.
2. Jangan sempit dada dan berasa sedih atas tipu daya mereka kerana Allah akan menolongnya.
*Ayat 128- {Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.}
(Al-Nahl 16:128). Allah s.w.t tekankan Dia bersama dengan orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya, Iaitu orang yang ihsan dalam ibadatnya.
1. Ihsan ada dua:
i- yang tertinggi sebagaimana dalam hadis Jibril- Kamu beribadat menyembah Allah sebagaimana kamu melihatnya, jika kamu tidak melihatnya maka yakinlah bahawa dia melihat kamu.
ii- ihsan dalam ibadat, buat kebaikan lebih daripada yang wajib. Yakni ibadat-ibadat sunat danpelbagai kebaikan lain.
2. Kita wajib berbuat baik dengan dua-dua, dengan Allah s.w.t dan sesama mahkluk.
PENUTUP:
Allah s.w.t tutup surah ini dengan ayat yang menyeru ke arah kesabaran, sama seperti ayat pertamanya juga, masya Allah..
Wallahu a’lam.
#UAM Catatan Kuliah Subuh. Jumaat, 26 Feb 2021.