💎 Hukum Qazaf (Menuduh Orang Berzina), Mesti Membawa 4 Orang Saksi & Taubat si Qazif (Penuduh Zina).💎

♥ Live Pagi Rabu 19 Zulqa’dah 1442H = 30/06/2021, Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Nur (03) Ayat [04-05] ♥
Full video: https://fb.watch/6rqeGtiiRc/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam ayat lepas Allah s.w.t telah menyebut bahawa seorang lelaki atau perempuan yang berzina tidak akan berkahwin kecuali dengan sesama mereka.
  2. Berleluasanya zina adalah salah satu tanda Kiamat sehinggakan suatu masa, manusia tidak segan silu berzina di tepi jalan seperti haiwan. Sekarang inipun orang kafir sudah berasmara dan bercium di khalayak ramai tanpa segan silu.
  3. Dalam siri ini Allah s.w.t bawa akta untuk menyekat dari mudah-mudah menuduh perempuan dan lelaki baik berzina tanpa membawa saksi dan syaratnya. Iaitu larangan قذف melontarkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik – الْمُحْصَنَاتِ.
  4. Hukuman قذف ini agak kerasa kerana ia akan membawa huru-hara dan menghilangkan keharmonian masyarakat serta boleh merosakkan maruah diri,keluarga, kaum kerabat (kabilah) serta masyarakat sekeliling.

🌺*Ayat 4- {Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; }
(An-Nuur 24:4)
ISU PERTAMA MEMBUAT TUDUHAN: قذف

  1. Allah s.w.t membawa satu hukum untuk orang yang melemparkan tuduhan kepada perempuan yang baik dengan TUDUHAN ZINA. Ini satu perbuatan yang cukup besar.
  2. Hukum ini adalah menjamin keselamatan dan kehormatan hamba-Nya yang mukmin dan baik.
  3. Kenapa Allah s.w.t sebut menuduh perempuan, kerana kesan tuduhan dan kesan ini lebih berat ke atas seorang perempuan kerana mereka adalah bekasnya yang akan memberi kesan sepanjang hidup..
  4. Maksudnya firman: {kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya}- الْمُحْصَنَاتِ iaitu seorang muslimat yang mukallaf (sudah akil-baligh), merdeka dan orang yang baik-baik – العفيفات.
    i- Ada ulama’ (Ar-Razi) berkata termasuk semua wanita yang baik-baik samada Islam atau kafir, yakni baik maruah dan akhlaknya cuma akidahnya rosak.
  5. Ada ulama’ meletakkan 5 syarat perempuan baik ini- الْمُحْصَنَاتِ , ijma’ ulama’:
    i- Islam ii- berakal iii- baligh iv- merdeka v- perangai yang baik – العفة.
    (cuma ada khilaf Hanbali kata termasuk juga menuduh kanak-kanak belum baligh pun, yang sudah boleh menerima persetubuhan).
  6. Ulama’ juga sepakat ini termasuk juga tuduhan ke atas lelaki yang baik juga. Al-Qurtubi berkata tuduh lelaki berzina juga termasuk dalam hukum qazaf ayat ini.
  7. Lafaz tuduhan itu mesti perkataan yang jelas, BERZINA bukan sekadar berkhalwat dan berdua-dua, disyaki dan diragui. Perbincangan detail boleh tengok dalam Kuliah Fiqh Manhaji.
  8. Tetapi jika sudah keluar sendiri bukti seperti hamil atau melahirkan anak tanpa suami itu sudah jelas..

ISU KEDUA: KENA ADA SAKSI 4 ORANG.

  1. Selepas membuat tuduhan ini, mereka wajib membawakan empat orang saksi yang sepakat dan semuanya melihat dengan jelas perbuatan ke atas tertuduh itu. Nampak dengan jelas seperti masuknya batang celak ke dalam bekasnya.
  2. Saksi itu pula mesti 4 orang lelaki yang baik-baik dan boleh dipercayai. Syaratnya ulama’ semasa-lah yang berhak menentukannya.
    Contoh: Pernah suatu zaman, tidak diterima penyaksian orang tidak menutup kepala, berjalan dipasar-pasar. Maka ini hendaklah ikut uruf (adat) dan masa.
  3. Menunjukkan betapa bukan senangnya untuk mensabitkan tuduhan zina ini, ini kerana hukum zina itu amat besar dan berat, jika tersalah tuduh boleh membawa kezaliman dan penganiayaan yang amat besar.
  4. Manakala kebiasaannya hukuman-hukuman yang dijalankan pada zaman Rasulullah s.a.w adalah hasil dari pengakuan si penzina itu sendiri. Banyak kisah dalam hadis-hadis yang sahih menunjukkannya.

ISU KETIGA: HUKUMAN JIKA MENUDUH TANPA MEMBAWA 4 ORANG SAKSI: قاذف

  1. Mereka ini akan dikenakan tiga jenis hukuman:
    i- hukum fizikal, iaitu sebat sebanyak lapan puluh kali sebat.
    ii- hukumah maruah atau integrity diri -Persaksian mereka itu gugur dan tidak akan diterima selama-lamanya;
    iii- keagamaan – menjadi orang-orang yang fasik dalam bab saksi ini.

🌺*Ayat 5- {Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.}
(An-Nuur 24:5)

  1. Ayat ini membawa kaedah pengecualian – الاستثناء yakni jika mereka sudah insaf, bertaubat dan menarik balik tuduhannya maka akan gugur hukumannya.
  2. Ulama’ berbeza pendapat apakah hukuman yang digugurkan ini:
    i- ada ulama’ kata gugur sifat fasik.
    ii- tetapi majoriti ulama’ kata gugur ditolak penyaksian, yakni selepas bertaubat diterima kembali penyaksiaannya.
  3. Tetapi hukuman sebat tidak akan gugur kerana dia adalah hak orang kena tuduh, jika dia memaafkannya barulah boleh digugurkan. Ini ijma’ ulama’.
    4.Perbincangan yang jelas dan terperinci boleh dirujuk kepada kitab: “Adhwa’ul-Bayan, susunan Syeikh Mohd Amin al-Syanqiti rhm. أضواء البيان في إيضاح القرآن بالقرآن
  4. Sifat taubat itu pula mengikut Imam al-Mawardi: Dia kena mengakui pembohongannya dalam tuduhan, tarik balik tuduhan.
    *Tetapi ada ulama’ kata tidak perlu tarik balik, cuma sekadar menyesal dan insaf, tidak perlu membohongkan dirinya kerana mungkin dia benar dalam tuduhan itu, cuma tidak cukup syarat dalam tuduhannya maka dia tetap kena hukum sebat. Sebagaimana dalam kisah sahabat Aba Bakrah r.a yang tidak mahu tarik balik tuduhannya.
  5. Maka isu ini tidak mudah untuk menjaga masyarakat dari mudah-mudah membuat tuduhan zina.
  6. Kita hari ini jika ada syak atau curiga dengan sesuatu keadaan orang itu, kita laporkan kepada pihak berkuasa, jangan tuduh zina direct, cuma katakan ada aktiviti yang mencurigakan dan harus disiasat.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Hukuman ke atas orang yang membuat tuduhan ini ada 3:
    i- hukuman fizikal – 80 kali sebatan.
    ii- maknawiyah- dari sudut harga diri, integriti- ditolak persaksiannya, seolah dipulaukan, hilang sifat kepercayaan dari orang lain.
    iii- dari sudut diniyyah- dari segi keagamaan, dia sudah menjadi orang yang fasik.
  2. Hikmah hukuman yang amat berat ke atas قاذف ini untuk menjaga manusia dari lidah yang jahat, suka melemparkan tuduhan dan fitnah. Untuk menjaga kehormatan diri orang yang mulia daripada tercalar akibat tuduhan jahat ini. Dengan hukuman yang berat ini mudah-mudahan menjadi peringatan dan terkawallah perbuatan ini.
  3. Taubat atau keinsafan ini mesti diikuti dengan memperbaiki diri dan peribadinyam barulah boleh diterima balik kesaksiannya.
  4. Oleh kerana zina ini adalah satu maksiat yang besar, maka tuduhan zina juga pastilah satu jenayah yang besar. Kerana itulah Allah s.w.t mahu menjaga hamba-Nya daripada terjebak ke dalam keduanya serta melindungi diri.
  5. Kita telah dengar hukum rejam ke atas penzina yang sudah pernah berkahwin (muhson). Pada awalnya ada ayat al-Quran tentang hukuman rejam ke atas penzina tua), iaitu: {Lelaki tua dan perempuan tua apabila berzina, maka rejamlah kedua-duanya sekali sebagai balasan dari Allah.} Kemudiannya ayat ini telah dimansukhkan bacaanya, kerana Allah s.w.t mahu menjaga hamba-Nya umat Nabi Muhammad ini dari keaiban, kerana maksudnya amat sakit telinga untuk didengar.
    Tetapi hukumnya tetap dikekalkan berdasarkan Rasullulah S.A.W tetap menjalankan hukum rejam pada masa Baginda.
  6. Hukum قذف ini merangkumi semua jenis jantina penuduh- قاذف dan jantina orang yang dituduh juga. Boleh jadi penuduh lelaki atau perempuan begitu juga yang dituduh boleh jadi lelaki atau perempuan walaupun ayat al-Quran hanya menyebut lelaki yang menuduh perempuan baik, tetapi maksudnya mencakupi.
  7. Fasik ini adakalanya dalam bab agama atau boleh jadi bukan, tetapi bukan keseluruhannya. Kerana itu ada yang mengatakan dalam sudut saksi tidak diterima, tetapi dari sudut riwayatnya masih diterima.
    Contoh seperti dalam kisah Abu Bakrah tadi, banyak lagi hadis-hadis riwayatnya yang diterima oleh Imam Bukhari dan Muslim.

Wallahu a’lam.