SURAH ALI-‘IMRAN : AYAT 14

ENAM PERHIASAN HIDUP MANUSIA, SYAHWAT DAN UJIAN & SEMUA AKAN KEMBALI KEPADA ALLAH S.W.T

Full video : https://youtu.be/cBd7ady-dxQ?si=ea1EVUB3tyzJdjvU

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi satu ayat sahaja iaitu ayat ke-14, surah Aali Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah nyatakan enam perhiasan hidup manusia iaitu; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, & perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang.
  3. Nikmat ini adalah apa yang disukai oleh nafsu syahwat manusia. Nikmat ini jika tidak diurus dengan baik ia akan menjadi ujian kepada manusia.
  4. Allah juga peringatkan agar jangan terpedaya dengan nikmat atas dunia ini kerana ia tidak mutlak- tidak kekal & sempurna kecuali nikmat syurga yang kekal abadi!
  5. Kita semua akan kembali kepada Allah S.W.T. maka kejarilah perkara yang dapat memberi kita nikmat yang kekal abadi di Akhirat kelak!
  6. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah beritahu kepada kita bahawa apa yang ditimpa ke atas orang kafir iaitu dikumpul oleh mereka atas dunia & anak cucu yang ramai tidak memberi faedah kepada mereka di sisi Allah s.w.t!

ii- maka Allah ingatkan kepada kita orang beriman; bahawa semua yang disukai syahwat hanyalah keindahan dunia.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 14- {DIHIASKAN (DAN DIJADIKAN INDAH) KEPADA MANUSIA: KESUKAAN KEPADA BENDA-BENDA YANG DIINGINI NAFSU, IAITU PEREMPUAN-PEREMPUAN DAN ANAK-PINAK; HARTA BENDA YANG BANYAK BERTIMBUN-TIMBUN, DARI EMAS DAN PERAK; KUDA PELIHARAAN YANG BERTANDA LAGI TERLATIH; DAN BINATANG-BINATANG TERNAK SERTA KEBUN-KEBUN TANAMAN. SEMUANYA ITU IALAH KESENANGAN HIDUP DI DUNIA. DAN (INGATLAH), PADA SISI ALLAH ADA TEMPAT KEMBALI YANG SEBAIK-BAIKNYA (IAITU SYURGA).} (AALI IMRAN3:14)

  1. Dijadikan nafsu manusia suka kepada syahwat dan benda-benda yang indah.
    Pada ayat tersebut Allah kata zuyyina {زُيِّنَ} iaitu dihiasi dijadikan indah akan tetapi belum tentu sesuatu itu indah.
  2. Siapa yang hiasi itu?
    Ada dua tafsiran tentang ini:

i- Ada ulama’ kata Allah yang menghiasinnya jadi indah buat nafsu manusia sukakannya.
Allah pasang syahwat dalam jiwa manusia untuk menguji manusia, untuk lihat siapa yang berjaya & tidak terpengaruh serta berjaya mendidik nafsunya dengan baik!

Dalilnya firman Allah s.w.t:
{Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.}
[Al-Kahfi 18:7]

ii- Ada ulama’ kata syaitan yang menghiasinya menjadikan manusia tertarik.
Disolek oleh syaitan menjadikan benda itu indah & disukai oleh nafsu.

Syaitan suka kita waswas ingin merosakkan keimanan manusia sehingga kita akan tergelincir dan masuk neraka.

Dalilnya firman Allah s.w.t:
{Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka.} (Al-Anfaal 8:48)

Inilah yang dikatakan disolek, pakai kosmetik yang tak cantik pun boleh nampak cantik! Jangok- bersolek.

  1. Allah s.w.t yang uji & letak nafsu dalam siri kamu, maka kamu manusia jangan terpedaya dan terpengaruh dengan nafsu godaan yang ada dalam jiwa kamu & didiklah ia dengan baik!
  2. Hadis- doa dari Sayyidina Umar al-Khattab r.a:
    قال عمر رضي اللهعنه:
    “اللهم إنا لا نستطيع إلا أن نفرح بما زينته لنا،
    اللهم إني أسألك أن أنفقه في حقه”.

Ya Allah kami tak mampu nak lawan kecuali kami bergembira (menikmati) perhiasan dunia yang Engkau anugerahkan kepada kami.
Ya Allah, aku minta pertolongan Allah untuk salurkan kesenangan yang aku dapat itu pada haknya!
[Riwayat dari Imam Bukhari (معلقا)- tanpa sanad].

Yakni bila Allah beri rezeki kepada kita, ada anak anak isteri kita gembira.

Ada harta kita salurkannya pada jalan yang baik, kita infaq fi-sabilillah.
Ada kenderaan yang baik & selesa untuk kegunaan & keperluan kita Syukur.

Bila kita dengar ada orang perlu bantuan kita tolong & sedekah, ada orang nak bina masjid, kita waqafkan dan seumpamanya.

  1. Dari ayat ini jelas bahawa manusia itu sedang terperdaya, berkaitan dengan nafsu, kecintaan manusia pada sesuatu.

Allah uji kita dan dalam masa yang sama syaitan juga goda kita.
Jika iman kita mantap kita tidak tergoda & goyah, jika iman lemah maka habislah, binasalah!

  1. Allah nyatakan dalam ayat ini ada 6 perkara yang yang disukai nafsu & syahwat iaitu:
  2. Pertama: Wanita.

i- tertarik & suka antara berlainan jenis manusia merupakan fitrah yang normal & tabi’i.

Allah pasang dalam jiwa seorang laki-laki suka kepada seorang perempuan dan juga sebaliknya.

Jika lelaki suka lelaki atau wanita suka wanita itu adalah songsang & luar tabi’i!

ii- Tetapi perasaan tertarik dan suka ini wajib sesuai dengan Syariat Islam yang diajarkan iaitu melalui pernikahan.

Allah s.w.t bawa ayat perkahwinan ini, firman Allah s.w.t:
{Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.} (Ar-Ruum 30:21)

iii- Dimulai dengan wanita dulu kerana pintu masuk godaan yang terbesar bagi lelaki adalah wanita.

Terbukti dengan hadis Rasulullah s.a.w.
“Daripada Usamah bin Zaid R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda, “Aku tidak meninggalkan satu fitnah pun yang lebih membahayakan para lelaki selain fitnah wanita.” (Bukhari 5096 Muslim 2740)

iv- Tetapi jika wanita solehah ia adalah harta yang paling bernilai:

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi S.A.W bersabda:
‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏ [HR Muslim (715)].

Siapakah wanita solehah ini?
Rasulullah s.a.w beri lagi kriterianya:

i- Apabila dilihat oleh suami hatinya rasa tenang dan gembira.
ii- apabila disuruh dalam perkara baik dia taat.
iii- apabila suami tiada di rumah dia jaga diri & maruah, jaga harta, rumah dan anak-anak yang ditinggalkan.

  1. Kedua: Anak-anak yang ramai.

Anak-anak secara umumnya lelaki & perempuan disayangi dan diingini oleh semua manusia yang normal.

i- Kenapa dalam ayat ini Allah sebut perkataan banin {ٱلْبَنِينَ}, iaitu anak laki-laki yang banyak? Ini kerana pada ketika turunnya ayat ini, bagi orang Arab anak laki-laki menjadi satu kebanggaaan & keutamaan.

Maka di dalam ayat ini anak laki¬laki disebut lebih dahulu bagi mengikut kebiasaan mereka. Tetapi ia termasuk semua anak lelaki & perempuan.

ii- Persoalan kenapa anak & wanita datang bersama?

Kerana anak itu datang melalui isteri, cucu kita daripada anak kita pula.
Jika tiada perempuan (isteri) maka tiadalah keturunan.

iii- dengan syarat kecintaan kepada anak isteri jangan sehingga menyebabkan kita jadi bakhil & penakut!

Cinta & kasih yang buta tuli boleh membawa kepada kerosakan.

Ibu bapa hari ini lebih kuat membela anak-anak daripada membela kebenaran sehinggakan guru pun boleh disaman!

Inilah kepentingan didikan anak-anak agar menjadi manusia yang soleh & berguna pada masa depan!

  1. Ketiga: Emas dan Perak.
    Yang dimaksudkan ialah harta kekayaan.

Manusia semuanya mempunyai keinginan mempunyai kekayaan emas dan perak.

Di dalam ayat disebut emas dan perak kerana ia menjadi ukuran kekayaan, termasuk jugalah wang logam dan kertas yang menjadi matawang rasmi hari ini.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
“Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah emas lainnya, jika ada dua dia mahukan yang ketiga! Dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati)!
Dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.” [Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 6439 dan Muslim no. 1048]

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya: “Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh orang soleh.” (Hadis Riwayat Bukhari)

  1. Keempat: Kuda pilihan.
    Ini adalah kategori kenderaan yang bagus.

Ketika ayat ini turun di kalangan Arab, kuda menjadi haiwan yang istimewa, banyak sekali kegunannya bagi mereka seperti memudahkan perjalanan dan peperangan.

i- Pada zaman sekarang ini, kuda tunggangan maksudnya kendaraan kita dari kereta biasa hingga kereta mewah.

Bahkan ada orang yang hobinya mengumpul kereta, yang mampu kumpul kereta mewah berjuta-juta yang tak mampu kumpul kereta buruk pula!

ii-Tetapi jangan terlalu mewah dan mahal- sehingga membazir- biarlah selesa dan boleh digunakan untuk tujuan dakwah dan pekerjaan. Untuk keselesaan keluarga, sampai ke destinasi yang hendak dituju dengan selamat & selesa.

  1. Kelima: Haiwan ternakan.
    Seperti kambing, lembu, ayam, itik.

Ini adalah kategori haiwan makanan. Kita manusia amat memerlukan binatang ternak sebagai sumber makanan utama.

Malangnya kita hari ini pandai sembelih saja tetapi tak reti nak pelihara atau ternak, terpaksa bergantung kepada orang bukan Islam sebagai sumber haiwan ternakan!

  1. Keenam: sawah ladang.
    Kategori makanan seperti buah-buahan & sayuran.
    Jika tiada makanan macamana kita mahu makan & hidup.
  2. Allah akhiri ayat ini dengan sekali lagi memberi peringatan jangan mudah terpengaruh bahawa semua yang Dia beri itu hanyalah mata perhiasan dunia.
    Ingatlah kepada sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaiknya iaitu syurga.
  3. Yakni jika kita gunakan segala mata benda yang Allah beri itu untuk Akhirat, kita niatkan untuk kebaikan, untuk agama, insya’ Allah semuanya akan memberi pulangan dan pahala yang besar!
  4. Contoh- bermula dari kahwin lagi dengan niat untuk jaga nafsu & dapat zuriat soleh, semuanya akan berpahala.

Dapat anak dengan niat nak didik anak untuk jadi orang soleh, pendakwah & pejuang Islam dapat pahala.

Dapat harta dengan niat nak infaq fi-sabilillah- semua itu insya’ Allah akan memberi pulangan yang besar untuk dunia & Akhirat kelak!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 14- {Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu,}- ayat ini mengingatkan kepada kita nilai dunia ini – mata benda perhiasan yang dapat melalaikan.

Nak selamat kita kena uruskannya dengan baik, jangan dilalaikan dan dilaghakan sehingga kita terlupa akan bekalan Akhirat tempat kembali kita!

Yakni Allah perhiaskan dunia dengan harta benda (مَتَـٰعُ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۖ) sebagai ujian untuk kita, gunakan ke jalan kebaikan jangan ikut nafsu maka kita akan selamat!

  1. Ayat 14- {Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu,}- dunia ini diperhiaskan dengan nafsu yang suka kepada syhawat.

Ini menunjukkan bahawa kepada 3 perkara:
i- manusia ada nafsu & syahwat. Jika tiada nafsu susahlah hidup juga.

ii- manusia akan ikut apa yang disukai nafsunya.

iii- Kita menyangka sayangkan kepada 6 perkara itu satu kebaikan dan segalanya dalam hidup ini- tetapi tidak!

Allah ingatkan bahawa jangan biarkan nafsu menguasai kita, manusia kena ada kesedaran yang boleh menyelamatkan dari dikuasai nafsu yang tidak baik; jika tidak, kita tidak akan selamat.

  1. Ayat 14- {Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu,}- ayat ini untuk menenangkan hati orang faqir yang tidak dapat semua perhiasan dunia yang disukai nafsu itu!

Bila kita tengok orang kaya banyak harta & mewah hidup- kita pun terus ingat akan Akhirat yang kekal abadi & lebih besar nikmatnya.

Segala nikmat atas dunia adalah ujian dan ada yang menjadi musibah.

Orang miskin akan tahu harta dan semua itu hanya perhiasan dunia yang indah di mata saja!

Insya’ Allah jika mereka baik & ikut perintah Allah, sabar atas ujian dan ini mereka akan mendapat nikmat yang kekal di Akhirat kelak!

Orang miskin mudah dan ringan hisab mereka menuju syurga sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
يَدْخُلُ فُقَرَاءُ الْمُؤْمِنِينَ الْجَنَّةَ قَبْلَ الأَغْنِيَاءِ بِنِصْفِ يَوْمٍ خَمْسِمِائَةِ عَامٍ
Maksudnya: “Orang beriman yang miskin akan masuk syurga sebelum orang-orang kaya iaitu lebih dahulu setengah hari yang sama dengan 500 tahun.” [HR Ibnu Majah #4122, Tirmidzi #2353]

Orang kaya kena hisab dari mana hartanya datang kemana dibelanjakan, apakah ditunaikan haknya dan lain-lain hisab!

Realiti perbandingan atas dunia:
Kita lihat saja di pemeriksaan kastam; orang kaya yang banyak beg dan barang akan menjalani pemeriksaan yang lama & rapi, kena buka satu-persatu.

Manakala orang yang tiada barang (miskin) akan lalu sambil berlenggang saja, tiada apa yang perlu diperiksa.

  1. Ayat 14- {Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia.}- ini adalah cop SIRIM tentang segala perhiasan dan keindahan dunia ini.

Hanya mata perhiasan dunia- yang lebih tinggi, indah dan kekal adalah nikmat di syurga kelak, dunia ini rendah sahaja maka pastilah kita mahu yang tinggi.

Sudah jadi tabiat manusia ingin yang lebih tinggi & yang terbaik- sudah dapat apa yang dikehendaki dia mahu yang lebih tinggi dan baik lagi, tidak pernah puas hati!

Kisah Umar bin Abdul Aziz rhm:
Sebelum menjadi khalifah, Umar Abdul Aziz ini anak gabenor, segala kemewahan dan kesenangan dunia telah ada pada dirinya.

Dia punya impian menjadi gabenor, dia berjaya menjadi gabenor Madinah.
Dia mahu berkahwin dengan anak khalifah, dia dapat menikahi Fatimah binti Abdul Malik, anak khalifah ketika itu.
Dia pun bercita-cita menjadi khalifah dan akhirnya dia menjadi khalifah.

Maka ketika Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah dia berkata: Setelah aku berjaya menjadi khalifah, aku bercita-cita hendak masuk ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.
Aku tidak mahu apa-apa yang menghalangi aku untuk ke sana.”

Seorang Khalifah yang hanya memerintah 2 tahun 5 bulan sahaja.
Tetapi impak yang diberikan mengubah sosial, ekonomi dan politik dunia Islam hatta kemanusiaan sejagat.

Pada tahun ke-2 pemerintahannya sudah tiada rakyat di bawah kekuasaan dan jajahannya yang layak menerima zakat.
Jajahan dan kekuasaannya meliputi hampir 2/3 tamadun besar manusia ketika itu.

Zaman pemerintahannya walaupun sekejap, ia disebut sebagai zaman keemasan Islam.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz juga disebut sebagai khalifah ar-Rasyidin yang ke-5.

Raja Parsi dan Rom juga memanggil Umar Abdul Aziz sebagai raja yang soleh dan membayar jizyah kepada pemerintahannya.

Pada zamannya rakyat jadi kaya raya, khalifah jadi miskin. Rumah rakyat makin besar, rumah khalifah makin dhaif.

Rakyat jelata hidupnya dengan aman dan soleh, pegawai kerajaan makin tawadhuk.
Rakyat ikut Raja yang adil & warak- kerana mereka ikut gaya pemimpin mereka.
Umar Abdul Aziz bukanlah Nabi, tetapi dia mengikut jalan Nabi.

Dia sudah berjaya mendapatkan apa yang diingininya atas dunia ini maka dia hanya bercita-cita menggapai syurga Allah dan meninggalkan segala perhiasan dunia!

  1. Ayat 14- keseluruhannya.
    Allah s.w.t mulakan dengan syahwat!
    Syahwat yang mendorong segala perkara, syahwat yang paling berat sekali adalah wanita kemudian anak-anak.

Kemudian datang pula harta benda, nak emas perak wang berjuta, kemudian yang berkait pula dengan kegunaan & kenderaan, iaitu haiwan ternakan akhir sekali datang makanan lalu kena ada tumbuhan & buahan dan sawah ladang. Satu tertib susunan yang cukup cantik!

Akhir sekali Allah tutup ayat ini dengan menegaskan bahawa dunia ini kecil dan rendah sekali jika dibandingkan dengan Akhirat yang menjadi tempat tuju kita yang abadi!

Ya Allah jadikan hidup kami tidak terikut dengan syahwat, tidak tergoda dengan nafsu, sentiasa mensyukuri segala nikmat yang Engkau anugerahkan dan sentiasa membuat persediaan untuk mencapai apa yang Allah sediakan di syurga kelak!

Koleksi catatan tafsir yang lepas di:
www.abuanasmadani.com