SURAH ALI-‘IMRAN : AYAT 35-37

ISTERI ‘IMRAN BERNAZAR, ANAK LELAKI TAK SAMA PEREMPUAN & AJAIB REZEKI MARYAM.

Full video : https://youtu.be/T2klGsAT4S4?si=taYu5tEf6NXbtOQo

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita teruskan pengajian kita dalam siri tafsir bagi ayat 35 sehingga 37, surah Aali Imran iaitu surah yang ketiga, dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan kisah tentang isteri kepada ‘Imran yang bernazar anak dalam perutnya untuk menjadi khadam bagi Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis.
  3. Dia bernazar sedemikian kerana sangka anak lelaki, rupanya anak perempuan yang lahir! Maka tak samalah anak perempuan dengan lelaki untuk duduk di masjid.
    Tetapi Allah tetap kabulkan niatnya.
  4. Bermulalah kisah Maryam yang duduk di dalam mihrab masjid & mendapat rezeki ajaib berupa buah-buahan di luar musim.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah ceritakan tentang nabi-nabi itu datang dari zuriat yang sambung-menyambung & berkait antara satu sama lain.

ii- maka dalam ayat ini Allah ceritakan tentang keluarga Imran kerana mereka juga adalah daripada keturunan zuriat para nabi yang sama juga.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 35-{ (INGATLAH) KETIKA ISTERI IMRAN BERKATA:” TUHANKU! SESUNGGUHNYA AKU NAZARKAN KEPADAMU ANAK YANG ADA DALAM KANDUNGANKU SEBAGAI SEORANG YANG BEBAS (DARI SEGALA URUSAN DUNIA UNTUK BERKHIDMAT KEPADAMU SEMATA-MATA), MAKA TERIMALAH NAZARKU; SESUNGGUHNYA ENGKAULAH YANG MAHA MENDENGAR, LAGI MAHA MENGETAHUI.”} (AALI IMRAN 3:35)

  1. Allah s.w.t khabarkan kepada kita apa yang berlaku tentang kisah Sayyidah Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s.
    Apabila dia bernazar untuk meletakkan anak dalam kandungannya itu sebagai khadam yang berkhidmat untuk Baitul-Maqdis.
  2. Dalam sejarah nabi ada dua orang yang bernama Imran iaitu:

i- Imran bapa kepada Nabi Musa a.s
ii- Imran bapa kepada Sayyidah Maryam, seorang tokoh ulama’ bani Israil ketika itu.

Kata ahli Sejarah: jarak antara dua Imran ini lebih kurang 1800 tahun.

  1. Ibu Maryam pula dikatakan namanya Hannah binti Faqud (حنة).
    Dia seorang yang mandul tidak dapat anak buat beberapa lama dan sangat berhajatkan kepada anak dan sentiasa berdoa kepada Allah.

Begitulah kebiasaannya orang ada anak, cuba kawal tak mahu anak ramai, yang tak dapat anak nak anak; begitulah adat manusia!

  1. Kerana itu apabila hamil terus dia bernazar untuk mewaqafkan anaknya kepada Baitul-Maqdis kerana terlalu gembira & syukur.

Niat yang suci & murni, niat yang baik itu diterima Allah kerana sesungguhnya Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

  1. Nazar ialah: Kita mewajibkan ke atas diri kita sesuatu perkara yang tidak wajib asalnya!
    Ia bukan sunat, tetapi diharuskan dan tidak digalakkan.

Contoh: jika aku berjaya dalam peperiksaan ini nak puasa sebulan dan seumpamanya.

AYAT 36-{MAKA APABILA IA MELAHIRKANNYA, BERKATALAH IA: “WAHAI TUHANKU! SESUNGGUHNYA AKU TELAH MELAHIRKAN SEORANG ANAK PEREMPUAN (SEDANG YANG AKU HARAP-HARAPKAN IALAH ANAK LELAKI), – DAN ALLAH MEMANG MENGETAHUI AKAN APA YANG DILAHIRKANNYA ITU – DAN MEMANGLAH TIDAK SAMA ANAK LELAKI DENGAN ANAK PEREMPUAN; DAN BAHAWASANYA AKU TELAH MENAMAKANNYA MARYAM, DAN AKU MELINDUNGI DIA DENGAN PELIHARAANMU, DEMIKIAN JUGA ZURIAT KETURUNANNYA, DARI GODAAN SYAITAN YANG KENA REJAM (YANG DIKUTUK DAN DISINGKIRKAN)”.} (AALI IMRAN 3:36)

  1. Lalu Allah menerima doa ibu Maryam maka hamillah dia.

Apabila dia melahirkan seorang anak perempuan, diluahkan perasaan kepada Tuhannya, sedangkan Tuhan sudah tahu & Dia yang menetapkan semua itu.
Kerana dia berharap & menyangka dianugerahkan anak lelaki.

  1. Bukan dia tidak bersyukur & tidak mahukan anak perempuan, cuma kerana nazarnya; agak sukar untuk seorang perempuan memberi khidmat di rumah ibadat atau masjid, dari sudut kesesuaian, keselamatan dan seumpamanya.
  2. Kemudian selepas itu Hannah si ibu pun:
    i- menamakan anak itu dengan nama yang baik iaitu Maryam yang bermaksud khadam tuhan (خادمة الرب) di rumahnya iaitu masjid.

Ii kemudian berdoa & minta perlindungan dari Allah { وَإِنِّىٓ أُعِيذُهَا بِكَ وَذُرِّيَّتَهَا مِنَ ٱلشَّيْطَـٰنِ ٱلرَّجِيمِ }

agar jaga anak itu serta zuriat keturuanannya yang akan datang.

Ini adalah security terbesar yang dibuat oleh Hannah untuk anaknya Maryam.

  1. Ini adalah satu langkah yang amat besar dan mesti dilakuakn oleh setiap ibu bapa iaitu mendoakan anak itu & zuriat keturunannya agar dilindungi Allah s.w.t dari godaan syaitan yang kena rejam, yang dikutuk dan disingkirkan!

Walaupun belum ada anak apatah lagi cucu cicit.

  1. Hadis: Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ يَطْعُنُ الشَّيْطَانُ فِي جَنْبَيْهِ بِإِصْبَعِهِ حِينَ يُولَدُ، غَيْرَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ.

Ertinya: “Tidak ada seorang pun dari bayi yang lahir melainkan pasti akan dicucuk-cucuk oleh syaitan, sehingga menyebabkan bayi tersebut menangis-nangis (sakit) akibat cucukan syaitan tersebut, cuma anak Maryam (Isa) dan ibunya (Maryam) sahaja yang tidak dapat dicucuk”. [HR al Bukhari dan Muslim].

AYAT 37-{MAKA IA (MARYAM YANG DINAZARKAN OLEH IBUNYA) DITERIMA OLEH TUHANNYA DENGAN PENERIMAAN YANG BAIK, DAN DIBESARKANNYA DENGAN DIDIKAN YANG BAIK, SERTA DISERAHKANNYA UNTUK DIPELIHARA OLEH NABI ZAKARIA. TIAP-TIAP KALI NABI ZAKARIA MASUK UNTUK MENEMUI MARYAM DI MIHRAB, IA DAPATI REZEKI (BUAH-BUAHANAN YANG LUAR BIASA) DI SISINYA. NABI ZAKARIA BERTANYA:” WAHAI MARYAM DARI MANA ENGKAU DAPATI (BUAH-BUAHAN) INI?” MARYAM MENJAWAB; “IALAH DARI ALLAH, SESUNGGUHNYA ALLAH MEMBERIKAN REZEKI KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA DENGAN TIDAK DIKIRA”.} (AALI IMRAN 3:37)

  1. Maka Allah s.w.t menerima nazar ibunya & menerima Maryam untuk menjadi khadam masjid dengan penerimaan yang baik
    {بِقَبُولٍ حَسَنٍۢ}.
  2. Lalu Maryam membesar dengan didikan & ilmu yang baik di bawah jagaan Allah, rohani dan jasmani terjaga!

Maryam juga membesar dengan fizikal yang sihat & sempurna, akhlak yang mulia, ilmu yang banyak dan disayangi oleh semua orang.

  1. Allah memilih Nabi Zakaria yang diamanahkan untuk menjaga & membelanya.
    Dia adalah suami kepada ibu saudara Maryam.

Sebelum itu semua orang berebut untuk menjaga Maryam si Khadam masjid ini, lalu mereka membuat undian & undi berpihak kepada Nabi Zakaria.

  1. Ceritanya dalam firman Allah s.w.t ini:

{Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga (wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).} [Aali Imran: 44].

  1. Kemudian setiap kali Zakaria masuk ke mihrab tempat tinggal Maryam di dalam masjid itu, untuk menghantar makanan kepadanya, dia melihat sudah ada terhidang makanan yang berupa buah-buahan yang diluar musim kebiasaannya.
  2. Zakaria lalu bertanya kepada Maryam dari mana datang semua ini.

Lalu Maryam menjawab bahawa semua itu adalah rezeki dari Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki tanpa berkira. Yakni Allah hantar malaikat untuk hantar makanan itu kepada Maryam yang Istimewa!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 35-{(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku;]-

Ibu Maryam bernazar kepada Allah & berdoa dengan hati yang kusyuk & ikhlas, menunjukkan pergantungan kepada Allah.

Apabila kita berniat atau mahu melakukan sesuatu perkara; kita kena ikhlaskan niat kita kepada Allah s.w.t!

Kita letak kepada Allah agar menerimanya, seperti ibu Maryam yang ikhlas bernazar untuk Allah.

Ayat ini mengajar kepada kita agar:

i- letakkan pergantungan hati kita sepenuhnya kepada Allah s.w.t! {إِنِّى نَذَرْتُلَكَ} Berdoa kepada Allah dengan hati yang khusyuk & ikhlas!

ii- jangan bangga diri, sombong berasa hebat, berasa semua hasil atas usaha kita sendiri. Ingatlah semuanya adalah rezeki yang datang dari Allah!

  1. Ayat 36-{Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki),}- Ibunya berkata aku telah melahirkan anak ini {إِنِّى وَضَعْتُهَا}.

Yakni {وَضَعَت} dengan makna letak, yakni letak atau keluarkan beban dalam perut yang di bawanya selama ini!

Sebelum ini dikatakan hamil {حامل} yang bermaksud membawa, menggalas anak di dalam perutnya seperti satu beban.

Menunjukkan betapa besanya jasa seorang ibu!

Allah jadikan seorang anak itu dalam kandungannya selama 9 bulan dibawa {حمل} dan diringankan bebannya apabila dia melahirkan {وَضَعَت}.

Adapun keluhan ibu Maryam: Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki),}- ini bukan kerana dia tidak suka anak perempuan atau mendiskriminasi perempuan;
tetapi kerana nazarnya mahu menjadikan anak itu sebagai khadam masjid- maka pastilah anak lelaki yang lebih sesuai.

Tetapi apabila dia melahirkan anak perempuan maka dia seolah terkejut & tidak menyangkanya kerana dari segi fizikal & keselamatan kurang sesuai.

Kerana itu dia pun terus berdoa agar Allah melindungi anaknya dari segala kejahatan manusia & godaan syaitan!

  1. Ayat 36-{Dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam}- ibunya telah meletakkan namanya Maryam yang bermakna Khadam masjid!

a) Ayat ini menunjukkan dalil bahawa harus isytiharkan nama anak pada hari dilahirkan!

Bukan kena tunggu hari ke tujuh- hari ketujuh itu maksimumnya jika masih pening tak tahu nak bubuh nama apa anak itu!
Jika masih tak bubuh nama, hari ketujuh kena isytihar dah la!

b) Dalil daripada hadis pula:
i- Daripada Anas bin Malik R.A, Nabi S.A.W telah bersabda: “Aku telah dikurniakan seorang anak lelaki semalam, maka aku menamakannya dengan nama bapaku, Ibrahim.”
[HR Bukhari & Muslim].

ii- Kisah Anas bawa adik dia yang dilahirkan Ummu Sulaim kepada Rasulullah s.a.w:

Daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
“Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari R.A yang baru lahir menemui Rasulullah S.A.W pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak.

Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya.

Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut.

Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya.

Kemudian, Rasulullah S.A.W bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar”.
Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”
[HR Muslim].

c) Yang penting isunya; nama boleh diberi pada hari pertama lahir lagi.
Cuma hari ketujuh jika masih tertangguh lagi, kena:
i- beri nama,
ii- cukur rambut keseluruhannya.
iii- sembelih aqiqah.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w daripada Samurah R.A:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari yang ketujuh selepas kelahirannya, dalam masa yang sama diberikan nama dan dicukur rambutnya”.
[HR Abu Daud (1522)].

d) Dalil kedua daripada ayat ini juga: Seorang ibu juga boleh & berhak menamakan anak yang dilahirkannya, tidak semestinya bapa saja!
Yang penting kena ada perbincangan dan persetujuan bersama.

  1. Ayat 36-{Dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.}-
    Ibu Maryam mendoakan anaknya dan juga zuriat keturunannya agar dilindungi Allah dari godaan syaitan!

Ini menunjukkan bahawa ibu bapa hendaklah sentiasa mendoakan kebaikan anak-anak serta keturunannya.

Bermula dari sebelum anak itu terjadi lagi kita sudah ada doa khas!

Juga boleh berdoa kepada anak yang belum lahir juga- iaitu zuriat keturunan kita yang akan datang agar dijaga Allah dari segala fitnah & godaan syaitan!

b- Ayat 37-{dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.}- kita nak hantar nak serah nak kita- carilah guru yang baik-baik atau sekolah yang baik untuk memberi pendidikan anak-anak kita.

Inilah dalil bahawa mesti cari guru & pendidik yang baik untuk didikan & pengajian seorang anak itu!
Bukan guru yang suka mencela mengutuk, yakni buruk percakapan & kasar perlakuannya!

Hebatnya Maryam kerana penjaga & pendidiknya seorang yang hebat juga iaitu Nabi Zakaria a.s.

  1. Ayat 37-{Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”.}- menunjukkan semua rezeki kita dalam hidup ini datang dari Allah!

Ini adalah satu iktiqad yang wajib kita faham & pegang!

Tetapi tak salah kita kata rezeki ini hasil kita kerja di sana, hasil meniaga di sini – sebagai sebab kepada rezeki yang diberi oleh Allah & hasil usaha kita atas dunia ini.

Kerana setiap perkara yang berlaku Allah akan jadikan ada sebabnya serta manusia wajib berusaha untuk mencapai hasil.

Allah besarkan Maryam dalam suasana yang ajaib kerana dia akan melahirkan seorang manusia yang amat ajaib & mulia.

Insya’ Allah kita akan sambung kisah kelahiran Nabi Isa a.s yang penuh mukjizat & keajaiban ini dalam siri-siri yang berikutnya!

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Aali Imran 2024 (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:

Link: https://youtube.com/playlist…

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.