SURAH ALI-‘IMRAN : MUQADDIMAH

Surah Aali Imran – سورة آل عمران

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

MUQADDIMAH; NAMA DAN FADHILAT SURAH, INTISARI ISI KANDUNGANNYA & MUNASABAH KAITAN DENGAN AL-BAQARAH.

Full video : https://youtu.be/9A2aM8F7eYM?si=vq7ERHi7cdTZ-KwU

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini Sabtu 01 Rajab 1445H bersamaan 13hb Januari 2024 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Aali Imran-
    سورة آل عمران.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Aali Imran – سورة آل عمران adalah surah yang ketiga dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas Surah al-Baqarah- سورة البقرة. Surah yang kedua dalam juz yang ketiga.
  4. Ia adalah antara surah yang panjang dalam al-Quran kerana mengandungi 200 ayat, meliputi 5/8 daripada juz yang ketiga & juzuk yang keempat.
  5. Ulama’ tafsir ijma’ mengatakan surah ini Madaniyyah, yakni turun di Madinah selepas hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
    Ramai dari kalangan ulama’ tafsir menukilkan ijma’ dalam masalah ini.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini:
    i- Aali Imran kerana ia menceritakan tentang perihal keluarga (aali) Imran, bermula dari ayat 33.

Dalil namanya ini hadis Rasulullah s.a.w riwayat dari an-Nawwas bin Sam’an r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

يُؤْتَى بِالقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ تَقْدَمُهُم سُورَة الْبَقَرَةِ وَآلُ عِمْرَانُ

“Dibawa datang al-Quran pada hari Kiamat dan ahlinya; iaitu mereka yang mengamalkannya dan akan mendahului mereka surah al-Baqarah dan al-Imran.” [HR Muslim & Ahmad].

An-Nawwas berkata lagi: “Nabi s.a.w meletakkan tiga perumpamaan bagi dua surah ini dan aku tidak melupakan perumpamaan ini semenjak itu.
Baginda s.a.w bersabda:

كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ ظُلَّتَانِ سَودَاوَانِ بَيْنَهُمَا شَرْقٌ، أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، يُحَاجَّانِ عَنْ صَاحِبِهِمَا

“Akan datang seumpama dua awan atau dua pelindung yang gelap antara keduanya timbul, atau seumpama keduanya dua kawanan burung berbaris, berhujjah kedua-duanya dari sahabat mereka.” [HR Muslim].

ii- nama keduanya ialah az-Zahrawaini (الزَّهْرَاوَيْنِ-dua yang bercahaya)- iaitu sama juga dengan nama yang diberikan kepada surah Al-Baqarah.

Iaitu bercahaya & bersinar dengan hidayah yang terkandung di dalamnya, siapa baca, amal & ikut mereka akan dapat cahaya di dunia dhidup di bawah panji al-Quran & di Akhirat kelak diberi cahaya untuk menyuluh kegelapan & meniti Sirat.

Dalil nama ini: Abu Umamah R.A berkata:
Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat kelak.

Dan bacalah Az-Zahrawain iaitu surah Al-Baqarah dan Ali-Imran.
Kedua-duanya akan datang pada hari kiamat bagai tompokan awan atau benda yang menaungi atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.” [HR Muslim].

KELEBIHAN (FADHILAT) SURAH :

  1. Surah Aali Imran bersama surah al-Baqarah akan menjadi peguam (hujjah) kepada orang yang membaca & beramal dengannya pada hari Kiamat.

i- Dalilnya hadis yang kedua tadi: “Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya ia akan memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat kelak.”

ii- Hadis riwayat Abu Umamah r.a:

اقْرَأُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ شَافِعٌ لِأَهْلِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ اقْرَأُوا الزَّهْرَاوَيْنِ، الْبَقَرَةَ وَآلَ عِمْرَانَ، فَإِنَّهُمَا يَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ، أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ، يُحَاجَّانِ عَنْ أَهْلِهِمَا يَوْمَ الْقِيَامَة

“Bacalah al-Quran, kerana ianya akan menjadi syafaat bagi ahlinya pada hari kebangkitan. Bacalah kamu az-Zahrawain (dua cahaya), al-Baqarah dan al-Imran, maka kerana sesungguhnya ia mendatangi pada hari kiamat seumpama keduanya itu seperti dua awan, dua lindungan atau dua garisan kawanan burung pada hari kiamat dan akan berhujah ke atas ahlinya pada hari kiamat.” [HR Muslim].

  1. Para sahabat r.anhum sangat memuliakan orang yang hafaz dua surah ini.

Dalilnya hadis riwayat dari Anas bin Malik r.a:

الرجلُ إذا قرَأَ البَقرة وآل عمران، جَدَّ فينا- يعني: عظُم-
وفي رواية: يُعَدُّ فينا عَظيمًا، وفي أخرى: عُدَّ فينا ذا شأنٍ.

Maksudnya: “Seseorang yang menghafaz surah al-Baqarah dan Aali Imran, seorang yang agung di sisi kami.”

Dalam sebahagian riwayat lain: “Kami mengira dia seorang yang agung.”

Dalam riwayat lain: “Kami mengiranya seorang yang memiliki kedudukan.”
[HR Ahmad dan Ibnu Hibban].

Maka jika kita nak jadi orang yang mulia juga hafazlah surah ini; tetapi bukan hafaz saja tetapi baca, hafaz, faham & beramal dengannya.

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Mengisbatkan keEsaan Allah s.w.t & menegakkan dalil dan hujjah bahawa Allah s.w.t itu Esa, Tunggal & tiada sekutu bagi-Nya.
  2. Menyatakan kepentingan aqidah wala’ (kepatuhan) kepad Allah & Rasul & ikut orang Islam.
    Serta melepaskan diri daripada Syirik & segala musyrikin. Memberi amaran keras daripada mengambil orang kafir sebagai ketua atau wilayah. Juga memperincikan tentang kedudukan ahli Kitab.

Fakta:
i- Dari ayat pertama sehingga ayat 83 surah ini; yang akan menceritakan tentang kedatangan puak nasrani Najran (dekat Yaman hari ini) yang datang ingin berdebat dengan Rasulullah s.a.w kerana ini banyak ayat dalam surah ini yang menceritakan tentang kedudukan Nabi Isa a.s.

ii- mereka datang bertemu Rasulullah s.a.w pada tahun yang ke-9 H. Yakni surah ini sudah mutakhir turunnya.

  1. Mengambil berat tentang sudut pendidikan & tarbiyah. Iaitu memberi bimbingan & didikan kepada orang mukmin.

INTISARI KANDUNGANNYA (PIMPINAN AR-RAHMAN) :

  1. Surah Aali Imran ini menceritakan tentang perihal keluarga Nabi Isa a.s yang sebenarnya dan tentang kesesatan Kristian, nasrani Najran yang datang berdebat dengan Rasulullah s.a.w serta semua Kristian yang menjadi musuh Islam sehingga ke hari Kiamat. Iaitu mereka yang menyifatkan Nabi Isa a.s sebagai Tuhan atau anak Tuhan!
  2. Pada umumnya surah ini menceritakan tentang keadaan orang Islam di Madinah selepas mereka mencapai kemenangan besar dalam peperangan Badar dan menghancurkan tentera musyrikin yang datang menceroboh Madinah!

Kemenangan puak Islam ini menimbulkan kemarahan golongan yahudi & munafiq di Madinah kerana dengkinya.
Lalu mereka merancang berbagai pakatan jahat tergadap umat Islam.

  1. Kerana itulah Allah s.w.t menyebut dalam banyak ayat-ayat suci yang terkandung dalam surah ini agar umat Islam sentiasa sedar dan berwasapada terhadap golongan kafir yang memusuhi Islam.

Apa yang dilakukan atau sedangkan dilakukan oleh orang kafir itu samada mereka yahudi, Nasrani, atau komunis atau sebagainya terhadap Islam & umat Islam makin menjelaskan hakikat ini!

  1. Dalam surah ini juga ditegaskan tentang kemuliaan & keistimewaan yang dibeikan Allah kepada umat Islam; selagi mereka tetap setia menjalankan 3 dasar Islam yang utama iaitu:

i- amar ma’ruf- menyuruh berbuat baik,
ii- nahi mungkar- larang benda buruk.
iii- beriman kepada Allah.

  1. Kemudian diterangkan tentang peristiwa peperangan Uhud dan sebab yang menjadikan umat Islam gagal dalam peperangan itu; iaitu kerana sebahagian daripada melanggar perintah Rasulullah s.a.w.
  2. Untuk menanam perasaan jihad dalam jiwa umat Islam Allah s.w.t telah menegaskan dalam surah ini bahawa orang Islam yang mati syahid dalam perjuangan membela Islam bukanlah mati biasa dan lenyak tanpa disebut atau dikenang!

Bahkan mereka hidup dengan istimewa, meningkat darjat yang tinggi di sisi Allah dilimpahi nur & bersenang-senang dengan segala nikmat yang telah disediakan Allah s.w.t di dalam syurga.
Itulah mereka yang dinamakan para syuhada’- orang yang mati syahid di sisi Allah s.w.t!

ISU PENTING DALAM SURAH INI (TAFSIR MUHARRAR) :

Antara isu yang terpenting ialah:

  1. Menyatakan keEsaan wahdaniyyah Allah s.w.t yang mutlak, tiada siapa boleh cabar & ganggu.

Serta takrir menegakkan tauhid dalam 3 dimensi iaitu:
i- tauhid Uluhiyyah (الألوهية)- Tuhan yang wajib disembah.
ii- tauhid Rububiyyah (الربوبية)- Allah sebagai Pemilik & Pentadbir alam ini.
iii- tauhid (الأسماء والصفات)- nama-nama Allah s.w.t & sifat-Nya yang maha mulia.

  1. Untuk menyatakan bahawa hanya satu saja sumber datangnya kitab-kitab dari langit iaitu dari Allah s.w.t yang dibawa turun oleh malaikat Jibril a.s.
  2. Menyatakan bahawa ayat dalam al-Quran ini terbahagi kepada dua:

i- ayat-ayat muhkam (المحكم); ayat yang teguh yang jelas hukumnya, yang tiada sebarang kekeliruan padanya.

ii- ayat-ayat mutasyabih (المتشابه); ayat yang perlu kepada huraian & penjelasan oleh para ulama’ yang matang, yang mengkaji al-Quran.

  1. Memberi amaran kepada puak kafir yang menentang Allah & menentang Rasulullah s.a.w; bahawa kuasa, kekuatan & harta mereka tidak dapat menentang Allah s.w.t!

Bahkan mereka semua yang tidak beriman & menentang Allah akan dibinasakan Allah s.w.t, dan mereka akan rugi & kecewa.

Allah bawa bandingan sebagaimana yang telah berlaku kepada Firaun & kuncu-kuncunya yang telah dibinasakan Allah.

  1. Allah sebut secebis dari kisah peperangan Badar.
    Tetapi Allah detailkan apa yang berlaku dalam peperangan Uhud yang sangat menyayat hati, sehingga luka & berdarah wajah Rasulullah s.a.w & 70 orang para sahabat yang gugur syahid lantaran ada antara mereka yang tidak ikut arahan Rasulullah s.a.w.
  2. Isyarat kepada sesiapa yang cintakan hawa nafsu; Menyatakan bahawa manusia ini suka kepada apa yang disukai oleh nafsu; seperti anak isteri, harta, emas permata, pangkat kedudukan.
    Allah nyatakan bahawa itu semua adalah tipu-daya & perhiasan dunia (متاع الغرور) dan apa yang baik sebenarnya adalah apa yang Allah sediakan- nikmat syurga yang kekal abadi.
  3. Menyatakan kedudukan agama Islam iaitu agama yang diterima Allah s.w.t& Allah tidak terima agama lain.
  4. Menyatakan perincian tentang siapakah ahli kitab yang sebenar &mendedahkan tembelang jahat mereka.

Juga perpecahan mereka dalam agama mereka serta beberapa jenayah yang mereka lakukan seperti:

i- mendustakan Allah s.w.t,
ii- membunuh para nabi & orang yang menyeru kepada agama.

iii- tidak mahu terima al-Quran sebagai hakim.
iv- serta tuduhan jahat yahudi terhadap nabi Isa a.s- bahkan mereka kufur terhadap Isa a.s.

v- Rasulullah s.a.w pernah ajak nasrani Najran untuk bermubahalah, ajak mereka kepada Kalimah tauhid, mereka juga berdebat tentang kedudukan Nabi Ibrahim a.s.

vi- Serta banyak lagi putar belit yang dimainkan oleh ahli kitab yang dibantah dalam surah ini!
Insya’ Allah kita akan belajar satu demi satu dalam ayatnya.

  1. Aqidah wala’ & bara’ (الولاء والبراء)- iaitu wala’ memberi kepatuhan kepada orang islam manakala bara’ ialah berlepas diri daripada orang kafir!

Serta beri amaran jangan ambil orang kafir sebagai ketua!

Nak berkawan boleh tetapi nak buat ketua jangan!
Juga galakan agar ambil sesama mukmin sebagai kawan rapat bukan orang lain.

  1. Menyatakan cinta bahawa kepada Allah akan memberi kesan dan ada dalil.
    Siapa cinta kepada Allah, akan cinta dan ikut kepada Nabi & semua mereka yang cintakan Allah.
    Tanda cintakan Nabi s.a.w ikut Sunnah ajaran Nabi yang sahih. Ini mengaku sayang tetapi tak ikut- inilah satu keajaiban atas dunia hari ini! Sayangkan Nabi tetapi buat amalan yang reka sendiri.
  2. Allah s.w.t sebut beberapa rasul dalam surah ini & nyatakan tinginya darjat mereka yang Allah pilih mereka.

Allah sebut khususnya kisah Maryam dan anaknya Isa a.s, kisah Nabi Yahya a.s dan anaknya Zakaria a.s.

  1. Menyebut beberapa adab & pendidikan tarbiyah kepada orang Islam seperti pesanan supaya bertaqwa, berpegang dengan tali Allah iaitu al-Quran, jauhi perpecahan & perbalahan, berpesan dengan kebenaran (amar ma’ruf & nahi mungkar), galakan infaq dan lain-lain.
  2. Menyebut beberapa hukum Syara’ seperti larangan riba, mencuri harta (ghanimah) kerajaan & tindakan keras terhadap golongan yang tidak mahu bayar zakat!

MUNASABAH KAITAN SURAH AALI IMRAN DENGAN SURAH AL-BAQARAH SEBELUMNYA.

Ini menunjukkan semua ayat al-Quran ini datang dari sumber yang sama.

  1. Sikap manusia terhadap al-Quran:

i- dalam al-Baqarah Allah sebut bahawa orang mukmin beriman dengan al-Quran, kafir tolak terus- munafiq main tarik tali.

ii- dalam surah Aali Imran Allah sebut bahawa orang yang keliru jiwa & celaru fikiran (az-Za’ighu) yang mencari-cari ayat yang mustasyabih dalam al-Quran boleh melagakan, mengelirukan umat Islam dengan tujuan menimbulkan fitnah & perbalahan dalam masyarakat.

Mereka menakutkan orang ramai dengan mengatakan sesiapa yang beriman dengan ayat-ayat tertentu seperti:

{kemudian Ia bersemayam di atas Arasy} [Yunus 3:10]- secara zahir adalah orang yang mengatakan Allah itu berjisim (mujassimah).

Maka datang orang yang mahir dalam ilmu mengatakam bahawa semua ayat ini adalah datang dari Allah s.w.t.
Maka kita beriman sebagaimana yang Allah sebut dan sebagaimana yang Rasulullah s.a.w bawa dan ajar.

Firman Allah s.w.t:
{Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya).} (A-li’Imraan 3:7)

  1. Ada persamaan antara penciptaan nabi Adam a.s dengan Nabi Isa a.s dari sudut kejadian penciptaan yang luar biasa:

i- dalam surah al-Baqarah Allah sebut tentang penciptaan Adam yang dicipta dari segumpal tanah- tiada ibu atau bapa.
Hawa pula ada ayah tiada ibu.

ii- dalam surah Aali Imran pula Allah sebut tentang kejadian Nabi Isa a.s yang ada ibu tetapi tiada bapa.

  1. Allah s.w.t ajar cara berdoa di akhir kedua-dua surah:

i- al-Baqarah diajar doa yang sesuai dengan perjalanan agama yang menjadi asas perundangan iaitu jangan berati kami:

{(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.
Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya.

Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.} (Al-Baqarah 2:286)

ii- manakala di akhir surah Aali Imran Allah ajar doa supaya kita minta doa agar sabit atas agama iaitu supaya tetap teguh atas agama ini! Jangan lari & jangan tinggalkan agama ini!

Allah kabuklan doa ini dengan kita terima ajakan Allah s.w.t supaya beriman dan mencari pahala Akhirat.
Firman Allah s.w.t:
{Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ‘, maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang beriman;} (A-li’Imraan 3:193)

{Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”.} (A-li’Imraan 3:194)

Lalu Allah perkenankan doa mereka ini:
{Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka..} (A-li’Imraan 3:195)

  1. Allah bawa kemenangan bagi orang mukmin:
    i- akhir ayat al-Baqarah: {Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.} (Al-Baqarah 2:286)

ii- Aali Imran ayat agar kamu sabar- lawan lalu tetapkan pendirian kepada Allah semoga kamu beroleh kemenangan:
{Wahai orang-orang yang beriman!
Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).} (A-li’Imraan 3:200)

PENUTUP & FAEDAH :

Alhamdulillah selesailah muqaddimah surah al-Aali Imran ini secara ringkasnya, siri yang berikutnya kita akan masuk kepada tafsir ayat Insya’ Allah.

Kita berdoa semoga Allah cerahkan hati, lapangkan dada kita terus beriman dan beramal, untuk terus baca, tadabbur & belajar tafsir al-Quran.
Istiqomah untuk tadabbur tafsir surah Aali Imran yang panjang ini sehingga ke akhirnya insya’ Allah.

Baca catatan surah-surah lain dalam:
www.abuanasmadani.com