SURAH AN-NAJMI : AYAT 42-49

KEPADA ALLAH S.W.T TEMPAT KEMBALI, SEMUA ADA PASANGAN & KAYA DAN MISKIN.

Full video : https://youtu.be/eGNRzLuA9GU

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa hanya kepada Allah s.w.t tempat kembali seluruh manusia.
  2. Allah s.w.t berkuasa mutlak menjadikan seorang manusia itu ketawa gembira atau sedih menangis, nak hidup atau matikan manusia serta Allah mencipta semua makhluk-Nya ada pasangan.
  3. Manusia ini ada yang kaya dan ada yang miskin.

AYAT 42-{DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA KEPADA HUKUM TUHANMU LAH KESUDAHAN (SEGALA PERKARA);} (AN-NAJM 53:42)

  1. Segala urusan dan perkara ini kembali kepada Allah s.w.t!
  2. Munasabah ayat: Allah tujukan kepada Nabi s.a.w dan Baginda ajar kepada kita bahawa semua manusia ini akan kembali hanya kepada Allah s.w.t bukan kepada orang lain. Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t katakaa Dia-lah yang cipta langit & bumi. Jika tidak mahu ikut hukum-Nya, maka pergilah cari tempat lain.
  3. Apakah maksudnya perkataan (ٱلۡمُنتَهَىٰ)- kesudahan segala perkara?
    Kata al-Biqa’i:
    i- hujung sekali tempat kebangkitan manusia. Juga balik kepada dengan makna dengan amalan dan ilmu.

ii- semua urusan kita, kita kembalikan kepada Allah, kita dari Allah dan kepada Allah.

iii- ada ulama’ kata kepada Allah kembali segala hukum-hakam.

  1. Yakni dari sudut fizikal & maknawi kita kena kembalikan kepada Allah segala urusan kita!

AYAT 43-{DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA, DIA LAH YANG MENYEBABKAN (SESEORANG ITU BERGEMBIRA) TERTAWA, DAN MENYEBABKAN (SESEORANG ITU BERDUKACITA) MENANGIS;} (AN-NAJM 53:43)

  1. Allah s.w.t jugalah yang boleh menyebab dan menentukan kegembiraan dan kesedihan seseorang manusia itu.
  2. Munasabah ayat:
    i- Ayat ini berpindah dari ayat-ayat yang lepas yang membincangkan tentang akhirat (tentang dosa & pahala seseorang), sekarang ini kita akan mengambil iktibar & pengajaran apa yang ada di depan mata kita, yang kita nampak di atas dunia ini lagi.

ii- Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut tentang asalnya Allah s.w.t beri kita pilihan, jalan mana yang kita pilih atau buruk, kemudian Allah s.w.t tidak akan balas melainkan mengikut apa yang kita pilih, baik-buruk, Islam atau kafir. Ini dinamakan ikhtiar.

Maka dalam ayat ini Allah s.w.t sebut pula perkara yang bukan boleh dibuat pilihan seperti yang kita mahukan. Setiap manusia pasti mahu yang terbaik, terkaya, tergembira tetapi ia bukan satu pilihan hanya Allah s.w.t yang dapat menentukannya. Ini kerana dunia ini adalah negeri tempat ujian, sesiapa yang sabar dapat pahala, sesiapa yang tidak sabar ia akan rugi dunia dan akhirat.

  1. Kata al-Wahidi rhm. Kebanyakan ulama’ tafsir kata ayat ini umum, sebarang jenis kegembiraan & kesedihan termasuk.
    Ada yang kata dua-dua di dunia & akhirat.
  2. Penerimanya juga ada kumpulan; ada yang syukur ada yang kufur, ada yang sabar ada yang tidak!

AYAT 44-{DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA, DIA LAH YANG MEMATIKAN DAN MENGHIDUPKAN;} (AN-NAJM 53:44)

  1. Allah s.w.t yang berkuasa mematikan & menghidupkan sesiapa yang dikehendaki dari kalangan makhluk-Nya.
  2. Tentang maksud mati & hidup ini ada beberapa pandangan:
    i- Kata al-Wahidi lagi: Ulama’ terdahulu berkata mati di sini bermaksud mati di dunia & bangkit pula di Akhirat.

ii- Ulama’ terkemudian pula menafsirkannya: Mati bapa & hidup anak, yakni silih berganti. Yang hidup menggantikan yang mati.

iii- ada yang kata yang mati itu air mani & yang hidup ialah anak yang hidup dari air mani itu.

iv-matinya orang kafir yakni mati hati & manakala yang hidup ialah orang yang beriman.

AYAT 45-{DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA, DIA LAH YANG MENCIPTAKAN PASANGAN – LELAKI DAN PEREMPUAN,} (AN-NAJM 53:45)

  1. Jumlah dari ayat ini ialah bagaimana permulaan kehidupan makhluk ini, yang ada awal & akhirnya.
  2. Allah s.w.t menciptakan setiap sesuatu itu berpasangan; lelaki & perempuan.
  3. Kata ahli tafsir seperti asy-Syaukani: Maksud berpasangan (ٱلزَّوۡجَيۡنِ) ini ialah haiwan yang terjadi daripada air mani.

AYAT 46- {DARI (SETITIS) AIR MANI KETIKA DIPANCARKAN (KE DALAM RAHIM);} (AN-NAJM 53:46)

  1. Iaitu terjadi daripada setitis air mani yang dipancarkan ke dalam rahim! Semua manusia terjadi daripada air mani kecuali:
  2. Tidak termasuk dalam ayat ini dua datuk & nenek kita Adam & Hawa.
    Adam dicipta dari tanah manakala Hawa diambil dari Adam.
  3. Jadi apa yang diviralkan bahawa Nabi kita Rasulullah s.a.w terjadi daripada cahaya (nur) adalah tidak benar. Kerana Rasulullah s.a.w juga adalah manusia seperti kita. Lahir dari hasil perkahwinan bapanya Abdullah & ibunya Aminah.
  4. Ada ulama’ kata umum semua pasangan haiwan.
    Ada ulama’ kata khas untuk manusia sahaja, ini kerana ada haiwan yang terjadi dari telur.

AYAT 47- {DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA, DIA LAH YANG TETAP MENGHIDUPKAN SEMULA (MAKHLUK-MAKHLUK YANG MATI);} (AN-NAJM 53:47)

  1. Allah s.w.t juga yang berkuasa menghidupkan semula manusia selepas dia mati. Iaitu pada hari Kiamat.
  2. Munasabah ayat: Yakni apabila Allah sebut semua perkara tadi menjadi dalil kepada luasnya ilmu Allah s.w.t & sempurnanya kudrat Allah s.w.t.

AYAT 48- {DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA, DIA LAH YANG MEMBERIKAN (SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA) APA YANG DIPERLUKANNYA DAN MEMBERIKANNYA TAMBAHAN YANG BOLEH DISIMPAN;} (AN-NAJM 53:48)

  1. Allah s.w.t jugalah yang memberikan harta kepada manusia (أَغۡنَىٰ) dan dia juga yang memberinya rezeki untuk dia menambahnya (وَأَقۡنَىٰ).
  2. Tentang makna (أَغۡنَىٰ) dan (وَأَقۡنَىٰ) Ini ada beberapa pandangan ulama’:
    i- kata al-Wahidi: Allah s.w.t kayakan manusia dengan harta yang dimiliknya dan Allah berinya gedung-gedung yang boleh disimpan!

ii- Kata Ibnu Atiyah rhm. Allah beri untuk manusia berusaha cari harta dan diberi rezeki sehingga boleh disimpan. Samada untuk dilabur atau diniagakan.

iii- kata Ibnu Kathir rhm.: Allah beri mereka milik harta juga kuasa untuk menyimpannya serta labur untuk akhirat.

3. Ada juga ulama’ kata ia adalah perkataan yang berlawanan iaitu (أَغۡنَىٰ) kaya manakala (وَأَقۡنَىٰ) adalah yang susah!
Sebagaimana dalam perkataan lain di atas, mati hidup, ketawa sedih dan lain-lain.

AYAT 49- {DAN BAHAWA SESUNGGUHNYA, DIA LAH TUHAN (PENCIPTA) “BINTANG SYI’RA;} (AN-NAJM 53:49)

  1. Allah menyatakan Dia-lah yang mencipta bintang Syi’ra (ٱلشِّعۡرَىٰ).
  2. Ia adalah sebutir bintang yang disembah oleh puak jahiliyyah.
    Ada ulama’ kata yang memulakan perbuatan ini ialah Abu Kabsyah!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 42-{Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara);}:
    Kepada Allah kmbali segala perkara, urusan agama & dunia kita:
    i. Samada kembali secara fizikal yakni kita akan mati. Kemudian dibangkit semula bertemu dengan Allah.

ii. Hukum hakam kita kembalikan kepada hukum Allah. Segala ilmu & amal kena kembali kepada Allah.

Yakni dari sudut dua dimensi dunia dan akhirat kita kembali kepada Allah. Kita kembali kepada hukum Allah & ibadat kita kepada Allah.

  1. Ayat 43-{Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis;}- Allah yang mnjadikan kita ketawa dan dukacita:

Ayat ini menjadi dalil bahawa semua benda yang kita buat ini atas tqdir dan kuasa Allah s.w.t hatta ketawa dan senyum.

Allah s.w.t cipta kita dan amalan kita, kita buat tetapi taqdir Allah yang tentukan.

Bukan seperti dakwaan golongan (firaq) yang sesat seperti Qadariyah dan Jabariyyah yang mengatakan Allah buat kita sahaja tetapi bukan amalan kita.

Allah juga buat kita hidup dan mati, kita kena sedar kita di bawah kuasa-Nya.

  1. Ayat 45-{Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan,} – Allah jadikan pasangan dua jenis lelaki & perempuan-
    Allah jadikan dua jenis yang berbeza dari sudut kejadian, fikrah, pencapaian akal pemikiran, fikrah citarasa dan semuanya tetapi dari sumber yang satu iaitu air mani.

Kenapa air mani yang sama boleh jadi berbeza dan berlainan?
Jawapan; Ini menunjukkan kepada sempurnanya kuasa kejadian Allah s.w.t.

Seperti air hujan yang turun ke bumi menumbuhkan pokok dari berbagai jenis dan berlaianan.

Ulama kata tidak mungkin sama lelaki dan perempuan. Walaupun ada yang bukan Islam cuba menyamakannya, atas nama persamaan hak lelaki & wanita atau kebebasan hak asasi wanita.
Allah yang mencipta manusia lebih mengetahuinya!

  1. Ayat 46- {Dari (setitis) air mani ketika dipancarkan (ke dalam rahim);} – dari air mani yang terpancar.
    Ayat ini menjadi dalil yang agung dan besar tentang sempurnanya kuasa Allah s.w.t dari segi kemuliaan dan kekuatan-Nya.
    Allah jadikan makhluk yang besar atau kecil dari setitis air mani yang jika jatuh tidak akan dipandang & diambil tetapi boleh dicipta menjadi pelbagai makhluk dalam bentuk dan kejadian yang sempurna.

Penciptaan Allah s.w.t cukup halus & teliti, maka jangan lupa wahai manusia, samada kaya atau miskin untuk sedar diri dan insaf selalu.

  1. Ayat 47- {Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang tetap menghidupkan semula (makhluk-makhluk yang mati);}- sebagai penutup perbincangan Allah kata- Dia-lah yang berkuasa menghidupkan semula manusia.

Adanya akhirat inilah sebesar-besar keadilan Allah s.w.t kepada makhluk-Nya.

Jika mati tidak ada kebangkitan hidup semula; banyaklah kezaliman dan penganiayaan di atas dunia ini yang tidak akan mendapat pembalasan dan pengadilan.
Siapa yang terlepas atas dunia dulu tidak akan sekali-kali terlepas di akhirat.

Allah hidupkan semula manusia untuk membalas orang yang baik dengan kebaikannya dan orang orang yang jahat dengan azabnya.

Orang yang kena aniaya akan jumpa dan balas orang menganiayainya, orang yang zalim akan dibalas dengan kejahatannya, baru tahu hujung pangkalnya!

Orang kaya yang banyak infaq akan dapat melihat segala kebaikannya dulu manakala orang miskin yang sabar & baik jiwanya Allah s.w.t akan angkat darjatnya & akan balas atas kesabarannya.

Ayat ini seolah satu penyekat atau “hand-brake’ bagi kita; untuk yang jahat agar insaf & berhenti daripada keburukannya, yang baik teruskan perbanyakkan amal kebajikannya!