Tanda Kiamat Keluar Dabbah Dari Bumi, Golongan Pendusta Dikumpulkan & Suasana Huru-hara Hari Kiamat.💎

♥ Live Pagi Isnin 21 Muharram 1443H = 30/08/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah An-Namli (13) Ayat [82-88]♥

Full video: https://fb.watch/7HRs79dFOY/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri ini akan diceritakan tentang tanda-tanda Kiamat yang besar sehingga berlakunya Kiamat.
  2. Serta beberapa keadaannya, pendusta dikumpulkan mengikut kumpulan masing-masing, dan betapa huru-haranya suasana itu.
  3. Dalam siri yang lepas diterangkan tentang keadaan manusia yang menolak kebenaran walaupun kebenaran jelas didepan mata diibaratkan seperti orang mati yang tidak dapat berfikir, melihat dan mendengar.
  4. Lalu Allah s.w.t tunjukkan kepada mereka apa yang dijanjikan, yang mereka tidak sabar minta disegerakannya (azab). Inilah tanda permulaan akan berlakunya Kiamat.
  5. Semoga kita semua dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan mulia bersama para syuhada’ dan solihin iaitu golongan kanan.

🌺*Ayat 82- {Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.}
(An-Naml 27:82)

  1. Apabila tiba waktu untuk Allah s.w.t turunkan azab-Nya ke atas mereka, kerana masih berterusan tidak mahu beriman, lalu Allah memperlihatkan tanda-tandanya.
  2. Apabila hampir dengan Kiamat maka berlakulah beberapa peristiwa yang mengerikan, antaranya akan keluar dari bumi sejenis binatang besar (Daabbah), bagaimana bentuknya dan di mana keluarnya hanya Allah s.w.t saja yang mengetahuinya, walaupun terdapat pelbagai spekulasi tentangnya.
  3. Binatang ini pula akan bercakap dengan mereka {orang kafir itu): {Bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.} yakni tidak yakin dengan keluarnya bintang dabbah, dengan berlakunya Kiamat dan dengan agama ini.
    *Ada juga ulama’ yang berkata ini adalah firman Allah s.w.t.
  4. Hadis riwayat Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra., dia berkata: “Sewaktu kami (para sahabat) sedang berbincang-bincang, datang kepada kami Rasulullah s.a.w. Lalu Baginda bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?” Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”.
    Lalu Nabi s.a.w bersabda: “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian Baginda menyebutkannya: “Kiamat tidak akan berlaku sebingga kamu lihat keluarnya: Asap, Dajjal, binatang Dabbah, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam alaihissalam, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. [HR Muslim].
  5. Keterangan Hadis: Sepuluh tanda-tanda kiamat yang disebutkan Rasulullah s.a.w dalam hadis ini adalah tanda-tanda kiamat yang besar-besar, akan terjadi di saat hampir benar tibanya hari kiamat.
    Sepuluh tanda itu ialah:
  6. Dukhan (asap) yang akan keluar dan mengakibatkan penyakit yang seperti selsema di kalangan orang-orang yang beriman dan akan mematikan semua orang kafir.
  7. Dajjal yang akan membawa fitnah besar yang akan meragut keimanan, hinggakan ramai orang yang akan terpedaya dengan seruannya.
  8. Dabbah, binatang besar yang keluar berhampiran Bukit Sofa di Makkah yang akan bercakap bahawa manusia tidak beriman lagi kepada Allah s.w.t.
  9. Matahari akan terbit dari tempat tenggelamnya. Maka pada saat itu Allah s.w.t tidak lagi menerima iman orang kafir dan tidak menerima taubat daripada orang yang berdosa.
  10. Turunnya Nabi Isa a.a ke permukaan bumi ini. Beliau akan mendukung pemerintahan Imam Mahadi yang berdaulat pada masa itu dan beliau akan mematahkan segala salib yang dibuat oleh orang-orang Kristian dan beliau juga yang akan membunuh Dajjal.
  11. Keluarnya bangsa Ya’juj dan Ma’juj yang akan membuat kerosakan dipermukaan bumi ini, iaitu apabila mereka berjaya menghancurkan dinding yang dibuat dari besi bercampur tembaga yang telah didirikan oleh Zul Qarnain bersama dengan pembantu-pembantunya pada zaman dahulu.
  12. Gempa bumi di Timur.
  13. Gempa bumi di Barat.
  14. Gempa bumi di Semenanjung Arab.
  15. Api besar yang akan menghalau manusia menuju ke Padang Mahsyar. Api itu akan bermula dari arah negeri Yaman.

  1. Terdapat banyak hadis-hadis sahih yang menceritakan tentang tanda-tanda Kiamat samada yang besar atau yang kecil. Dalam buku ‘Berakhirnya Dunia ini’ menyenaraikan lebih 130 tabda – 100 lebih tanda Kiamat kecil sudah muncul.
  2. Pemisah antara tanda Kiamat yang besar dan yang kecil ialah keluarnya Imam Mahadi.

🌺*Ayat 83- {Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.}
(An-Naml 27:83)

  1. Selepas keluar dabbah ini yakni berlakunya Kiamat, akan jelaslah manusia terbahagi kepada beberapa golongannya, yang beriman dan yang kufur mendustakan, dan setiap golongan ini pula terbahagi pula kepada beberapa kumpulan.
  2. Golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah akan dihimpun untuk disoal, dihina dan ditempelak akan perbuatan mereka semasa di dunia ini.

🌺*Ayat 84- {Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan), Allah Taala berfirman: “Adakah kamu mendustakan ayat-ayat keteranganKu dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi? Atau apakah yang kamu telah lakukan?”}
(An-Naml 27:84)

  1. Maka mereka pun dikumpulkan dan dibawa ke tempat pengadilan lalu dicela, dicerca dengan soalan-soalan yang menghina akan perbuatan mereka dulu.
  2. Maka mereka ditanya tentang akidah dan amal perbuatan mereka. Akidah atau ilmu mereka adalah mendustakan kebenaran ayat-ayat Allah dan Rasul-Nya.

🌺*Ayat 85- {Dan jatuhlah hukuman atas mereka (dengan azab) disebabkan kezaliman mereka (berlaku kufur ingkar), lalu mereka diam membisu.}
(An-Naml 27:85)

  1. Maka dijatuhkan hukuman dan berlakulah azab yang telah dijanjikan kepada mereka disebabkan kezaliman mereka, menganiaya diri sendiri dengan kufur dan ingkar.
  2. Mereka diam membisu tidak dapat menafikan segala pertuduhan, tidak dapat menjawab dan tidak dapat berkata apa-apa kerana sudah tidak memiliki hujjah lagi.
  3. Dalil lain dalam surah al-Mukminun, as-Sajadah dan lain-lain.
  4. Kata ulama’- Surat amalan yang akan kita baca di akhirat nanti, kita sendirilah yang akan menulisnya semasa di atas dunia ini.

🌺*Ayat 86- {Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.}
(An-Naml 27:86)

  1. Allah s.w.t telah menjadikan malam secara tabi’inya gelap menutupi agar manusia dapat beristirehat, jiwa dan badan dari keletihan dan kerja disiang hari.
  2. Siang pula dijadikan terang benderang, agar mudah manusia keluar bekerja mencari rezeki dan menguruskan keperluan hidup mereka.
  3. Maka kita gunakanlah malam dan siang itu sesuai dengan kejadian ciptaannya.
  4. Pada nikmat siang dan malam itu terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah s.w.t, keesaan-Nya dan luas nikmat-Nya.
  5. Namun hanya orang-orang beriman yang dapat mengambil pelajaran darinya.

🌺*Ayat 87- {Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.}
(An-Naml 27:87)

  1. Apabila di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, yakni berlakulah Kiamat! Ini terjadi pada ketika dunia sudah Kiamat, semua makhluk terkejut kerana kedahsyatannya.
  2. Semua manusia terkejut dan gementar kecuali mereka yang dikehendaki Allah iaitu para syuhada’, mereka yang beriman dan bertaqwa, ada kata malaikat petugas, mereka ini Allah jadikan tidak terkejut dan takut.
  3. Semua akan bangkit dan datang kepada Allah dalam keadaan tunduk patuh dan hina diri.

🌺*Ayat 88- {Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap – tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.}
(An-Naml 27:88)

  1. Dalam ayat ini ialah gambaran suasana Hari Kiamat. Sudah banyak keterangannya dalam surah-surah lain.
  2. Demikianlah Allah yang membuat ciptaan-Nya dengan serapi-rapinya dan sebaiknya. Dia juga Maha Mendalam pengetahuan-Nya tentang apa perbuatan hamba-hamba-Nya, amal baik dan amal buruk mereka.
  3. Dengan tadabbur ayat-ayat begini, semoga hati kita semua tersentuh dan menginsafi diri, memberi faedah kepada kita untuk membaiki diri, menambah kebaikan amal-ibadat. Rugilah orang yang hatinya mati tidak dapat disentuh oleh al-Quran.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Ayat 82 {Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi} adalah antara tanda-tanda Kiamat yang besar. Bila matahari sudah keluar dari barat, maka pada masa itu pintu taubat akan ditutup secara keseluruhannya, siapa yang tidak beriman lagi pada masa itu tidak akan ada peluang lagi. Pintu taubat itu ditutup dua kali; pertama untuk individu apabila nyawa di halkum, kedua untuk dunia seluruhnya apabila matahari terbit di sebelah barat.
    Binatang daabbah ini dapat bercakap, yang difahami manusia. Bagaimana- wallahu a’lam. Banyak sudah mukjizat ini berlaku pda zaman nabi-nabi seperti Nabi Sulaiman a.s dan Rasulullah s.a.w sendiri dapat memahami percakapan haiwan.
  2. Ayat 82 {Adakah kamu mendustakan ayat-ayat keteranganKu dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya secara meliputi?} – jangan cepat menafikan terus apa yang kita tidak tahu, atau mengiakannya terus. Adalah lebih baik diam atau mengaku jika tidak tahu. Peringatan: jangan cepat melatah, jangan gopoh untuk komen, share. like dan seumpamanya.
  3. Ayat 83 – {Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar} Setiap manusia akan datang secara berkelompok dan kumpulan masing-masing, Ya Allah semoga kita dihimpunkan dalam golongan mereka yang baik dan soleh.
  4. Ayat 83 juga menunjukkan besarnya bahaya menjadi ketua atau pelopor sesuatu yang tidak baik, dia akan dapat juga saham dosa yang dilakukan oleh pengikutnya, begitu juga sebaliknya, akan dapat pahala bagi setiap kebaikan yang diajar. Masing-masing kumpulan pengikut dan boss akan dikumpulkan bersama dan akan dipertanggung-jawabkan.
  5. Ayat 83 juga- mereka akan dikumpulkan- فَهُمْ يُوزَعُونَ menunjukkan ramai dan besar bilangan mereka serta jauh jaraknya antara satu kumpulan. Semua akan dihimpunkan bersama orang yang diikutnya, maka kita pilihlah baik-baik atas dunia ini siapa yang mahu kita ikut dan sayang kerana kita akan dibangkit dan dikumpulkan bersama mereka nanti.
    Anas bin Malik r.a meriwayatkan, ada seorang bertanya kepada Nabi s.a.w: “Wahai Rasulullah, bila berlakunya kiamat?”
    Baginda menjawab: “Apa yang kamu persiapkan untuk menghadapinya?”
    Orang itu menjawab: “Saya tidak mempersiapkan untuk menghadapi hari itu dengan banyak melakukan solat, banyak berpuasa dan banyak bersedekah. Tetapi yang saya siapkan ialah cinta Allah dan Rasul-Nya.”
    Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Kalau begitu kamu akan bersama orang yang kamu cintai. (أَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ Anta ma’a man ahbabta).” [HR Bukhari]
  6. Ayat 86 – malam yang gelap dan siang yang cerah – menunjukkan antara tanda kekuasaan Allah s.w.t, orang yang berakal kena ambil iktibar pengajaran dari ayat ini dan menjadikan kita orang yang beriman. Kena bersedia dan manfaatkan peluang masa ini sebaiknya, untuk beribadat kepada Allah s.w.t sesuai dengan kejadiannya.
  7. Ayat 86- {bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang} – malam sebagai ketenangan untuk berehat dan rapatkan hubungan dengan keluarga. Juga merapatkan hubungan dengan Allah s.w.t dengan buat amal ibadat kepada Allah s.w.t, waktu munajat dan berhubung dengan Allah s.w.t sebanyak-banyaknya.
  8. Ayat 86 – {manfaat bagi kaum yang beriman.} – menunjukkan semakin tinggi ilmu semakin tinggi imannya, semakin mendapat manfaat daripada ayat-ayat Allah s.w.t. seperti hari kita manfaatkan dari ayat akan berlaku Kiamat dan akan berlaku perhitungan dengan membuat persediaan yang sepatutnya. Rekod amalan kita, kitalah penulisnya!
  9. Semua yang kufur ingkar ini akan bangkit dalam keadaan hina! Kita nak jadi orang hina atau mulia? Maka marilah kita bawa hati yang sejahtera selamat dari segala penyakitnya.
    *Sebagaimana doa Nabi Ibrahim a.s dalam firman Allah s.w.t: {Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula. Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);}
    (Asy-Syu’araa’: 87-89)
    YA Allah semoga kita selamat dan dibangkitkan dalam keadaan mulia bersama golongan yang beriman, solehin, syuhada’ dan golongan kanan.
  10. Ayat 88- {Dan engkau melihat gunung-ganang…} Apabila berlaku Kiamat semuanya akan bertukar dan menjadi hancur, rosak binasa. Gunung yang besar dan keras berterbangan lalu hancur seperti debu. Bumi ini juga akan bertukar menjadi bumi mahsyar (rata) dulu ada bukit dan gunung kemudian menjadi rata dan kosong! Itulah kuasa Allah s.w.t untuk menukar semua benda dan keadaan.
    Serta satu lagi yang akan terbang ialah amalan kita – iaitu amalan yang tidak ikhlas atau dek kerana celupar mulut mengata, memfitnah orang lain, maka pahala itu akan hilang pergi kepada mangsa perbuatan kita. الله المستعان
    Kata AAM – Maka jangan beri pahala kita kepada orang yang dibenci (dengan mengata dan mengumpatnya) berilah pahala kita kepada orang yang kita sayang.
    *Ingatlah hidup atas dunia ini tidak lama antara tanda Kiamat juga banyaknya berlaku kematian mengejut!

Wallahu a’lam.