ANCAMAN KEPADA GOLONGAN YANG MENYEBARKAN PERKARA KEJI, LARANGAN MENGIKUT JEJAK LANGKAH SYAITAN & GALAKAN MEMAAFKAN KESALAHAN ORANG.

Full video : https://youtu.be/7QIuEF1bGM0

MUQADDIMAH :

  1. Kita masih dalam siri konspirasi dan plot jahat munafiqin yang mahu menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga dan para sahabatnya.
  2. Begitulah apabila Allah s.w.t mahu mengangkat darjat hamba-Nya maka diberi sedikit ujian kemudian setelah melalui ujian yang getir, akan datang pujian dan kebaikan.
  3. Sehingga Ummul-Mukminin (UM) Aisyah r.a. sendiri tidak menyangka bahawa Allah s.w.t akan menurunkan ayat al-Quran yang begitu panjang untuk membersihkan dirinya dan memberi peringatan kepada mereka yang melakukannya.
  4. Kata ahli fikir; Apabila Nabi Yusuf a.s dituduh perbuatan yang tidak baik, kanak-kanak yang ada dalam rumahnya membersihkan tuduhan ke atasnya. Apabila Sayyidah Maryam dituduh berzina juga, dia dibersihkan oleh anaknya sendiri, iaitu Isa a.s. Manakala apabila UM Sayyidah Aisyah r.a. dituduh berzina, Allah s.w.t tidak membiarkan kanak-kanak atau bayi untuk membersihkan namanya, bahkan Allah s.w.t sendiri yang membebaskannya, menurunkan ayat al-Quran membersihkan tuduhan itu. Allahu Akbar betapa mulianya UM Aisyah r.a. dan keluarganya.
  5. Dalam siri yang lepas kita masuk tentang hadis ifki dan 9 teguran Allah s.w.t kepada orang mukmin. 6 teguran sudah kita baca dalam ayat-ayat yang lepas dan kita akan sambung dalam ayat hari ini, insya’ Allah.

AYAT 19- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SUKA TERHEBAH TUDUHAN-TUDUHAN YANG BURUK DALAM KALANGAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN, MEREKA AKAN BEROLEH AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA DI DUNIA DAN DI AKHIRAT; DAN (INGATLAH) ALLAH MENGETAHUI (SEGALA PERKARA) SEDANG KAMU TIDAK MENGETAHUI (YANG DEMIKIAN). (AN-NUUR 24:19)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t memberi amaran dan bagi peringatan bagi golongan yang suka, yakni ada idea, fikiran untuk membuat, mereka-reka tuduhan palsu, menuduh, apatah lagi menyebarkannya.
  2. Bagi orang-orang yang melemparkan tuduhan keji terhadap orang-orang yang beriman ini, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia – mendapat hukum sebat (hudud) dan di akhirat kelak azab neraka pula.
  3. Dalam kes fitnah jahat terhadap Aisyah r.a. ini tiga orang mukmin yang dikenakan hukuman sebat akibat Qazaf ini iaitu: Hassan Ibn Thabit R.A, Mistoh Bin Uthathah R.A and Hamnah Binti Jahsyi R.A. mereka ini insaf dan bertaubat lalu dibersihkan dari dosanya di atas dunia lagi dengan dikenakan hukum hukum hudud.
  4. Terhadap persoalan mengapa golongan munafiqin tidak disebat yakni tidak mendapat hukuman dunia? Mereka terlepas azab atas dunia ini, kerana supaya akan mendapat azab di akhirat kelak dan serahkan kepada Allah s.w.t urusannya.
  5. Manakala orang mukmin yang dihukum di dunia lagi itu, akan insaf, menyesal dan bertaubat, maka Allah akan mengampunkannya, insya’ Allah.
  6. Maka kita perlu sangat berhati-hati dalam menerima dan menyebar berita. Lebih-lebih lagi zaman kita ini yang segalanya dihujung jari, untuk buat kejahatan atau kebaikan senuanya dengan sekali klik sahaja!!!

AYAT 20- {DAN KALAULAH TIDAK KERANA ADANYA LIMPAH KURNIA ALLAH DAN RAHMATNYA KEPADA KAMU, DAN JUGA (KALAULAH TIDAK KERANA) BAHAWA ALLAH AMAT MELIMPAH BELAS KASIHANNYA, (TENTULAH KAMU AKAN DITIMPA AZAB DENGAN SERTA-MERTA). (AN-NUUR 24:20)

  1. Jika tidak ada rahmat dan kurnia Allah yang memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat dan kembali kepada-Nya pasti mereka semua akan diazab.
  2. Yakni bagi umat Nabi Muhammad s.a.w ini tidak ada azab segera di atas dunia ini kecuali beberapa kes tertentu yang terlalu dahsyat sebagai pengajaran untuk orang lain.
  3. Hati-hati jangan kita terlibat dalam menyebarkan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah atau mempermain-mainkan orang lain, seperti gambar-gambar stiker muka orang yang kita tidak kenali pun. Ya Allah ampunkan kami..

AYAT 21- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN, JANGANLAH KAMU MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN; DAN SESIAPA YANG MENURUT JEJAK LANGKAH SYAITAN, MAKA SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU SENTIASA MENYURUH (PENGIKUT-PENGIKUTNYA) MELAKUKAN PERKARA YANG KEJI DAN PERBUATAN YANG MUNGKAR. DAN KALAULAH TIDAK KERANA LIMPAH KURNIA ALLAH DAN RAHMATNYA KEPADA KAMU, NESCAYA TIDAK ADA SEORANG PUN DI ANTARA KAMU MENJADI BERSIH DARI DOSANYA SELAMA-LAMANYA; AKAN TETAPI ALLAH MEMBERSIHKAN SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA); DAN (INGATLAH ALLAH MAHA MENDENGAR) LAGI MAHA MENGETAHUI (AN-NUUR 24:21)

  1. Allah s.w.t mengingatkan orang-orang yang beriman sekali lagi agar jangan terpengaruh dan mengikut jejak-langkah syaitan.
  2. Syaitan itu akan sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar, yang disukai dan disenangi nafsu manusia.
  3. Jika tidak ada rahmat dan kurnia Allah s.w.t tidak akan ada sesiapa yang dapat membersihkan dirinya dan jiwanya dari perbuatan yang keji!
  4. Dari Zaid bin al-Arqam r.a, bahawa Rasulullah s.a.w sentiasa membaca doa ini:
    اللَّهمَّ آتِ نفسي تقواها وزكِّها أنت خيرُ من زكّاها أنت وليُّها ومولاها.
    “Ya Allah, berikanlah jiwa kami ketaqwaannya, bersihkanlahnya dari segala sifat buruk, tiada yang dapat membersihkannya kecuali Engkau, Engkaulah Penjaga dan Pengawalnya” [HR Ahmad]

AYAT 22- {DAN JANGANLAH ORANG-ORANG YANG BERHARTA SERTA LAPANG HIDUPNYA DARI KALANGAN KAMU, BERSUMPAH TIDAK MAHU LAGI MEMBERI BANTUAN KEPADA KAUM KERABAT DAN ORANG-ORANG MISKIN SERTA ORANG-ORANG YANG BERHIJRAH PADA JALAN ALLAH; DAN (SEBALIKNYA) HENDAKLAH MEREKA MEMAAFKAN SERTA MELUPAKAN KESALAHAN ORANG-ORANG ITU; TIDAKKAH KAMU SUKA SUPAYA ALLAH MENGAMPUNKAN DOSA KAMU? DAN (INGATLAH) ALLAH MAHA PENGAMPUN LAGI MAHA MENGASIHANI. (AN-NUUR 24:22)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t melarang orang-orang yang kaya dan senang hidupnya dari bersumpah untuk tidak lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah kerana kesalahan atau keburukan yang mereka buat.
  2. Allah s.w.t juga memerintahkan untuk memaafkan dan melupakan kesalahan orang itu, tidakkah kamu suka jika Allah s.w.t berbuat beggitu kepada kamu? Yakni; {Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu?}
  3. Ayat ini diturunkan rentetan dari kisah qazaf terhadap Aisyah r.a. tadi, apabila Saidina Abu Bakar r.a bersumpah untuk tidak mahu lagi membantu dan bersedekah kepada salah kaum kerabatnya yang terlibat dalam fitnah itu, bahkan dia disebat atas hukum qazaf itu.
  4. 14 sifat baik yang ada pada Abu Bakar r.a antara yang ada dalam ayat ini:
    i- Allah s.w.t menggelarnya dengan orang yang mempunyai kelebihan yang besar.
    ii- Allah juga sifatkanya sebagai orang yang mempunyai kedudukan yang baik dan berharta.
  5. Kata Ibnu Kathir rhm,: Sesiapa yang masih mencela atau memaki UM Aisyah r.a. selepas turunnya ayat ini, maka dia kafir kerana melawan al-Quran. Bahkan jika memaki Abu Bakar atau Umar masih tidak terlalu tercela tetapi jika memaki Aisyah r.a. boleh dibunuh.
  6. Inilah amalan dan ajaran Syiah, maka jika kita masih mahu bersangka baik dengan Syiah, cukup-cukuplah.
  7. Sifat yang mulia ialah memaafkan dan melupakan.. bukan maaf saja tetapi tidak lupa yakni masih ada dendam, sedangkan kita suka dan amat berharap untuk Allah s.w.t mengampunkan kita.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Firman Allah s.w.t ini: {..dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu;}
    Wajib ke atas kita untuk mempunyai hati yang lapang dan jiwa yang tenang ke atas sesama mukmin.
  2. Orang yang cerdik dan berakal ialah yang sentiasa muhasabah mengoreksi dirinya sendiri. Tetapi orang yang tidak baik ialah suka mencari kesalahan dan menyebar keburukan orang lain!
  3. Jika kita tahu dan kenal seseorang itu orang baik-baik, maka kita jangan terlibat dalam memburukkan atau turut menyebar percakapan ke atasnya, kerana itu akan termasuk dalam ghibah/umpat dan fitnah.
  4. Firman Allah s.w.t: {Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan..}.
    Orang yang bersihkan jiwanya adalah yang meninggalkan segala yang buruk yang disebut dalam ayat-ayat ini seperti qazaf, sebar fitnah, sebar dan buat bahan-bahan lucah dan lain-lain.
  5. Allah s.w.t gambarkan dua sifat yang kita kena ada, iaitu memaaf dan melupakan. Walaupun ayat ini diturunkan (sebab nuzul) untuk menegur Abu Bakar r.a, ia adalah perintah dan galakan untuk kita semua.
  6. Kisah Imam Ahmad yang disiksa, disebat dalam penjara oleh Khalifah Mu’tasim pada zamannya, kerana mempertahankan al-Quran sebagai Kalam Allah s.w.t. bukan makhluk, sehinggakan jika disebat gajah akan mati gajah itu. Tetapi kerana mengingatkan ayat ini dia memaafkan semuanya yang terlibat dalam memfitnah dan menyiksanya.
    Katanya lagi: Janganlah kita menjadi sebab saudara muslim kita sendiri mendapat dosa dan disiksa. Mulianya sifat Imam Ahmad!!

Wallahu a’lam.