💎 Nikmat Allah s.w.t Kepada Nabi Musa Dan Harun A.S, Selamat Dari Bencana Dan Mendapat Kitab & Mendapat Pujian Dan Balasan Yang Baik.💎

♥ Live Pagi Jumaat 18 J. Thani 1443H = 21/01/2022 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah As-Soffat (12) Ayat [114-122]♥

Full video: https://fb.watch/aFHLiNrq3I/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri ini kita akan mendengar pula kisah dua beradik yang juga adalah dua orang rasul dan nabi iaitu Musa dan Harun a.s.
  2. Dalam surah ini hanya diceritakan secara ringkas kerana sebelum ini dalam surah lain sudah banyak dan panjang kisah nabi Musa a.s.
  3. Episod ini hanya ringkas, tentang nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada keduanya, mereka selamat dari bencana dan Firaun, mendapat Kitab Taurat serta mendapat pujian dan balasan baik dari Allah s.w.t. Setiap episod walaupun berulang, tidak sama dan membawa kisah yang baru.
  4. Munasabah susunan ayat- awal permulaan kisah pertama dalam surah sini:
    i- diceritakan kisah Nabi Nuh a.s yang dikira sebagai contoh (القدوة) yang pertama- ikon pertama bagi nabi & rasul.
    Ini kerana dia telah menghapuskan semua golongan kafir dan syirik atas dunia ini,
    ii- yang ada di atas kapalnya yang selamat adalah semua yang beriman.
    iii- Kemudian semua yang ada di atas kapalnya juga mati kecuali anak cucu keturunannya, maka Nuh memulakan episod kehidupan yang baru.
    iv- Lalu dia dikenali sebagai bapa pembiakan manusia yang kedua.
  5. Kemudian Allah sebut pula tentang nabi Ibrahim a.s, rasul yang membawa agama yang murni dan suci. Dari Ibrahim lahir zuriat yang mulia iaitu para rasul dan nabi yang soleh.
  6. Kemudian disebut lansung kisah Nabi Musa a.s. Ini kerana perundangan Syari’ahnya sama dengan Syari’ah nabi-nabi lain dari sudut penguasaan dan kenabian (الدين و السلطان).
  7. Tiga orang rasul ini mempunyai usul atau asas ajaran yang dibawa, yang besar dan begitu mantap.

🌺*Ayat 114- {Dan demi sesungguhnya! kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.}
(As-Saaffaat 37:114)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t telah nyatakan bahawa Dia telah anugerahkan (مَنَنَّا) nikmat pemberian kepada nabi Musa a.s dan Harun a.s.
  2. Antara nikmatnya secara ringkas ialah:
    i- Allah s.w.t lantik Musa a.s menjadi nabi dan rasul.

ii- Setelah dia dilantik menjadi nabi dan rasul, Musa a.s minta Allah s.w.t supaya melantik juga saudaranya Harun sebagai seorang nabi dan rasul seperti dia.

Allah perkenankan permohonannya ini melalui firman-Nya:
{Allah berfirman: “Sesungguhnya telah diberikan kepadamu apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa!
“Dan demi sesungguhnya! Kami telahpun mengurniakan kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum ini.} (Toha: 36-37)

iii- Nikmat yang ketiga ialah Allah s.w.t beri kemenangan kepada Musa a.s dan Harun serta musnahkan Firaun dan kuncu-kuncunya.

iv- Nikmat keempat: Allah s.w.t anugerah Kirab Taurat

v- Nikmat kelima- keistimewaan untuk berkata-kata terus dengan Allah s.w.t sehingga dia digelar: Kalimullah (كليم الله)- yakni yang banyak berkata-kata dengan Allah s.w.t.

  1. Dalam ayat seterusnya Allah s.w.t menyebut satu persatu tentang anugerah-Nya kepada nabi Musa a.s ini.

🌺*Ayat 115- {Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan yang besar;}
(As-Saaffaat 37:115)

  1. Dalam ayat ini anugerah pertama yang Allah s.w.t anugerahkan kepadanya ialah menyelamatakan Musa a.s dan kaumnya dari kesusahan yang besar.
  2. Apakah kesusahan yang besar (الْكَرْبِ الْعَظِيمِ) ini?
    Kata ulama’:
    i- terselamat daripada Firaun ketika tersepit dan tiada tempat lari lagi hanya laut di depan mereka.

ii- mereka selamat dari tenggelam di dalam laut yang terbelah itu.

iii- Allah s.w.t bebaskan bani Israil, bebas daripada menjadi hamba abdi kepada Firaun dan kuncu-kuncunya.

🌺*Ayat 116- {Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya);}
(As-Saaffaat 37:116)

  1. Anugerah kedua ialah Allah s.w.t telah memberi kepada mereka satu pertolongan yang besar.
  2. Dengan pertolongan Allah s.w.t mereka dapat mengalahkan lawan mereka dan menjadi orang yang berjaya dan menang (الْغَالِبِينَ).

🌺*Ayat 117- {Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya;}
(As-Saaffaat 37:117)

  1. Anugerah ketiga ialah diberikan kepada Musa dan Harun a.s kitab yang amat jelas dan nyata keterangannya (الْكِتَابَ الْمُسْتَبِينَ) iaitu kitab Taurat.
  2. Taurat dinisbahkan / dikatakan diturunkan kepada Musa a.s kerana dia yang pergi menerima Kitab itu di Jabal Thur (Thur Sina), tetapi kerana mereka sezaman dan semasa.
    Tetapi kita kena faham hakikatnya Taurat diturunkan kepada mereka berdua dan menggunakan Syari’ah yang sama.
  3. Kitab Taurat mengandungi perincian, keterangan, hukuman, pesanan dan nasihat yang jelas setakat keperluan bani Israil.
    Ia bukan seperti al-Quran yang diturunkan untuk semua jin dan manusia sehingga ke hari Kiamat di seluruh alam.

🌺*Ayat 118- {Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus.}
(As-Saaffaat 37:118)

  1. Anugerah keempat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada mereka ialah hidayah petunjuk kepada jalan yang lurus (الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ).
  2. Jalan yang boleh menyampaikan kepada Allah s.w.t, jalan yang diberikan kepada rasul-rasul yang diutuskannya untuk disampaikan kepada kaum mereka.

🌺*Ayat 119- {Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian}
(As-Saaffaat 37:119)

  1. Anugerah kelima, Allah s.w.t juga anugerahkan kepada mereka pujian dan sebutan nama yang baik oleh orang ramai, bermula dari kaum mereka, bani Israil sehingga ke hari Kiamat dari seluruh umat Islam selepas itu.

🌺*Ayat 120- {“Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun!”}
(As-Saaffaat 37:120)

  1. Anugerah keenam, Allah s.w.t mengucapkan salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Ini sebagaimana ucapan kepada nabi Nuh dan Ibrahim a.s sebelum ini.

🌺*Ayat 121- {Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.}
(As-Saaffaat 37:121)

  1. Begitulah balasan yang Allah s.w.t akan berikan kepada semua orang-orang yang melakukan kebaikan (الْمُحْسِنِينَ) sebagaimana seumpama balasan dan anugerah yang diberi kepada Musa a.s dan Harun ini.
  2. Walaupun kita orang biasa bukan para nabi dan rasul, tetapi jika sentiasa berusaha buat kebaikan dan ketaatan, Allah akan membalas dan memberi anugerah nikmat-Nya juga.
  3. Kerana itu kita hendaklah sentiasa berdoa agar dibangkitkan bersama para nabi, para siddiqiin, syuhada’ serta orang-orang yang soleh, bersama mereka di dalam syurga nanti insya’ Allah.

🌺*Ayat 122- {Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman.}
(As-Saaffaat 37:122)

  1. Sesungguhnya mereka berdua Musa a.s dan Harun a.s adalah dari kalangan orang-orang yang beriman (الْمُؤْمِنِينَ).
  2. Jika kita tengok dari awal kisah surah ini, diceritakan kisah Nabi Nuh a.s yang telah berdoa selepas dia berdakwah selama 950 tahun (ayat 75). Allah s.w.t perkenankan doanya dan perintahkan dia buat kapal untuk selamatkan yang beriman.
  3. Kemudian di sebut dalam ayat 83 bahawa nabi Ibrahim adalah antara orang yang menyambung menegakkan ajaran nabi Nuh a.s (مِنْ شِيعَتِهِ).
    Ayat 84- Kemudian Ibrahim isytihar bahawa dia akan berhijrah kepada Allah dengan hati yang sejahtera (بِقَلْبٍ سَلِيمٍ), maka Allah s.w.t tunjukkan kepadanya jalan dan pedoman.
  4. Kisah hari ini, kisah nabi Musa a.s dalam ayat ini Allah s.w.t sebut bahawa Dia telah beri beberapa anugerah dan nikmat (مَنَنَّا) kepada Musa a.s dan Harun a.s.
  5. Kita perhatikan, kita dapati tiga sebutan yang berbeza untuk tiga permulaan kisah tiga nabi yang berbeza.
    Allah memperkenankan atau memberi pertolongan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Nya dengan cara yang berbeza:
    i- Nabi Nuh dia minta dan berdoa, maka Allah s.w.t perkenankan dan mati semua kaumnya yang kafir. NUH- SENJATA DOA.

iii- Nabi Ibrahim dia tidak minta apa-apa, dia hanya isytihar bahawa dia datang kepada Tuhan dengan hati yang sejahtera, maka Allah s.w.t selamatkan dia, tunjukkan jalan dan pedoman kepadanya, anugerahkannya anugerah yang sangat besar, dia dikenali sebagai kekasih Allah (خليل الله). IBRAHIM- QALBUN SALIM.

iii- Nabi Musa a.s pula ini kerana dia lahir dalam kegawatan dan suasana yang tertekan, lahir ketika bayi lelaki bani Israil dibunuh oleh Firaun, kaumnya ditindas, diperhambakan, dizalimi dan dibunuh, maka Allah s.w.t sebut kepada Musa a.s nikmat. MUSA- MENDAPAT NIKMAT.

  1. Kata ulama’ tadabbur, kita sebagai pendakwah wajib belajar dari semua nabi-nabi ini:
    i- kena bersihkan hati, banyakkan berdoa kepada Allah- ini wajib bukan sunat lagi- berdoa anugerahkan kepada aku ilmu, kesihatan dan keselamatan!

ii- kemudian tidak cukup sekadar berdoa, mesti berdakwah dengan hati yang ‘salim’, sejahtera daripada syirik, penyakit hati seperti dendam hasad.

iii- dan tugas kita juga untuk bersyukur atas segala nikmat yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Ayat 114- {Dan demi sesungguhnya! kami telah melimpahkan nikmat pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.} – nikmat itu ada dua jenis samada:
    i- Allah s.w.t berikan kebaikan kepada kita,
    ii- Allah s.w.t hilangkan keburukan dari kita.

Dalam kisah Musa a.s dan Harun ini Allah s.w.t anugerahkan kedua-duanya kepada mereka.
Mereka dapat manfaat dan pertolongan dari Allah s.w.t kemudian mereka selamat dari Firaun dan dari tenggelam dalam laut!

  1. Ayat 116- {Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya);}- kena ingat- kemenangan tidak akan datang dari awal, kena berjuang, lawan, berkorban baru akan datang kemenangan.
    Berjuang dulu baru dapat kemenangan takkkan menang dulu baru nak berjuang!!!

Kemenangan juga tidak semestinya dicapai oleh orang kuat sahaja, ini kerana nabi Musa a.s dan pengikutnnya adalah golongan yang lemah dan hamba berbanding dengan Firaun dan tenteranya.

Tetapi Firaun binasa dengan sebab tenggelam dengan pertolongan Allah, tetapi kerana dia berlawan dengan masa maka dikira Musa a.s menang dan berjaya mengalahkannya.

Jadi bila binasa saja musuh kita, kita akan dianggap dapat kemenangan walaupun ia binasa bukan kerana kita.

*Sebagaimana dalam kisah Peperangan Mu’tah di Jordan:
Sebelum tentera Islam berangkat ke Rom, Nabi S.A.W menyampaikan amanah:-
“Sesungguhnya aku telah melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima, sekiranya dia gugur, tempatnya hendaklah diambil alih oleh Ja’afar bin Abi Talib dan sekiranya Ja’afar pula gugur, maka tempatnya hendaklah diambil alih oleh Abdullah bin Rawahah.
Tetapi sekiranya Abdullah juga gugur maka aku serahkan kepada kamu semua untuk melantik panglima di kalangan kamu”.

Lalu terjadilah sebagaimana yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w, apabila panglima pertama tentera Islam, Zaid terkorban, Jaafar menggantinya lalu terkorban juga, lalu diganti oleh Abu Rawaihah yang terkorban juga. Maka dalam keadaan genting ini, setelah gugurnya Abdullah bin Rawahah, tentera Islam memilih Khalid bin al-Walid sebagai panglima.

Khalid al-Walid yang terkenal kepintaran dan kelicikkannya di medan perang telah menyusun kembali posisi tentera Islam dan melakukan strategi untuk berundur bagi menyelamatkan nyawa tentera Islam yang baki, supaya selamat kembali ke Madinah. Dengan kembalinya semua tentera Islam ke Madinah maka berakhirlah peperangan Mu’tah. [HR Bukhari].

Walaupun nampak Rom juga yang menang, hakikatnya Islam menang dalam peperangan ini. Buktinya tentera gabungan Arab dan Rom yang berjumlah 200,000 tidak mampu menghancurkan tentera Islam yang jumlahnya seramai 3,000 orang.

Di pihak tentera Islam, jumlah kematian hanya melibatkan 12 orang sahaja iaitu Zaid bin Harithah, Ja’afar bin Abi Talib, Abdullah bin Rawahah, Mas’ud bin al-Aswad, Wahab bin Saad, Abbad bin Qais, al-Harith bin Nu’man, Suraqah bin Amir, Abu Kulaib bin Amir, Jabir bin Amir, Amir bin Saad dan Amir bin Saad. Allahu Akbar!

  1. Ayat 118- {Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya ke jalan yang lurus.}- setiap manusia berhajat kepada Allah s.w.t dan pertolongan-Nya.
    Nabi Musa a.s ini walaupun dia Nabi, dia tetap perlukan petunjuk dan pertolongan Allah s.w.t. Maka Allah s.w.t berikannya hidayah petunjuk yang boleh membawanya ke jalan yang lurus untuk memimpin kaumnya pula!

Kita pun kena sentiasa berdoa untuk mendapat jalan yang lurus, sebagaimana doa kita setiap hari dalam solat kita, melalui bacaan al-Fatihah- { اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيم} – Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus.

Dalam ayat ini
i Allah tak sebut perkataan kepada (إِلَى), yakni ‘kepada’ jalan yang lurus.
Ulama’ membincangkan bahawa berbeza ayat yang ada (إِلَى) kepada dengan yang tiadanya,
i- jika Allah s.w.t nak bagi hidayah petunjuk yang milik Allah s.w.t, maka tidak perlu ada (إِلَى) kepada. Sebagaimanan dua ayat di atas ini.

ii- jika hidayah bimbingan ada kepada (إِلَى), sebagaimana dalam firman Allah ini: {Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, (وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ).} (Asy-Syuura 42:52)

Hidayah itu ada dua:
i- Hidayah taufiq- itu kuasa Allah, Allah S.W.T yang beri kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

ii- Hidayah Irsyad – petunjuk jalan, bimbingan dakwah yang disampaikan oleh para rasul dan nabi.

  1. Ayat 117- {Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat jelas keterangannya;}- dari ayat ini adalah dalil bahawa:
    i- Kitab Taurat untuk kedua rasul Musa a.s dan Harun a.s. Cuma penerimanya adalah Musa a.s, Harun tidak pergi pada ketika itu.

ii- Sifatnya adalah jelas dan nyata.

iii- harus ada beberapa orang rasul dalam satu masa dan zaman.
Tetapi ingat ini hanyalah sebelum bangkitnya Rasulullah s.a.w sebagai Khatamul-Anbiya’.

  1. Ayat 122- {Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami yang beriman.}- manusia itu menjadi mulia dengan dua sifat ini:
    i- Mukmin iaitu hamba Allah yang beriman.

ii- menghambakan diri kepada Allah s.w.t., ketaatan dan pengabdian ibadat yang ikhlas kepada Allah s.w.t.

*Ya Allah jadikanlah kami anak cucu keturunan kami dari golongan hamba-Mu yang beriman, yang ikhlas beribadat kepada-Mu dan yang mengikut Sunnah nabi-Mu yang sahih.