KISAH NABI MUSA DAN HARUN, ALLAH PERINTAHKAN PERGI BERDAKWAH KEPADA FIRAUN & FIRAUN MENGUNGKIT DIA YANG BESARKAN MUSA.

Full video : https://youtu.be/6oLrudZ5L4c

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t membawa kisah Nabi Musa dan Nabi Harun a.s berdepan dengan Firaun. Kisahnya panjang sekali bermula dari ayat 10 ini sehingga ayat 68.
  2. Dalam siri yang lepas tentang pendusataan dan ingkarnya (berpaling) kaum Quraisy terhadap Rasulullah s.a.w. Juga motivasi kepada Baginda agar jangan kecewa dan sedih tentang penentangan mereka, kerana kesudahannya kaum yang ingkar adalah kekalahan bagi mereka.
  3. Lalu selepasnya Allah s.w.t bawa kisah Nabi Musa a.s dan kaum bani Israil. Ini kerana pengikut agama nabi Musa ini iaitu ahli kitab yahudi berada dekat saja dengan Rasulullah s.a.w di Makkah iaitu mereka berada di Madinah menunggu ketibaan nabi dan rasul akhir zaman sebagaimana yang dikatakan dalam kitab mereka.
  4. Dalam penutup ayat yang lepas juga dinyatakan bahawa Allah s.w.t itu Maha Perkasa dan Berkuasa jika Dia mahu, untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang dusta dan kufur itu. Tetapi kerana ia juga bersifat yang Maha Mengasihani, maka ditangguhkan azab ke atas mereka, diberi tempoh untuk insaf, bertaubat dan beriman, maka selamatlah dunia akhirat.

AYAT 10- {DAN (INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA TUHANMU MENYERU NABI MUSA: “HENDAKLAH ENGKAU MENDATANGI KAUM YANG ZALIM,} (ASY-SYU’ARAA’ 26:10)

  1. Mulai ayat ini sehingga ke ayat 68, Allah s.w.t menceritakan kepada Rasulullah s.a.w kisah Nabi Musa a.s dan kaumnya. Kemudian kisah nabi-nabi lain untuk menyatakan kepada Rasulullah s.a.w bahawa bukan Baginda seorang sahaja yang mendapat tentangan dan cabaran dari kaumnya, bahkan semua rasul-rasul dan pejuang kebenaran akan ditentang oleh kaum masing-masing.
  2. Allah s.w.t memerintahkan nabi Musa a.s agar pergi bertemu dengan kaum yang zalim, iaitu Firaun pemerintah Mesir pada masa itu.
  3. Kenapa Firaun dipanggil sebagai kaum yang zalim? Kerana:
    i- dia menzalimi dirinya sendiri dari segi akidah- melakukan kufur dan maksiat, bahkan mengaku tuhan.
    ii- dia juga menzalimi kaum Bani Israil, memperhambakan dan menindas mereka.
  4. Begitu juga kaum musyrikin Quraisy mereka telah melakukan dua kezaliman:
    i- dari segi akidah melawan Rasulullah s.a.w untuk menegakkan agama datuk moyang mereka.
    ii- Quraisy juga telah menindas dan menzalimi kaum muslimin yang lemah di Makkah. Bahkan mereka juga menyakiti dan mengkhianati Rasulullah s.a.w.

AYAT 11- {“IAITU KAUM FIRAUN; TIDAKKAH MEREKA MAHU MENGAWAL DIRI DARI KEMURKAANKU?”} (ASY-SYU’ARAA’ 26:11)

  1. Allah s.w.t lalu sebut kaum yang zalim itu Firaun dan kaumnnya, kaum Qibti.
  2. Musa diutus untuk menyeru mereka agar selamat dari kemurkaan Allah s.w.t dengan beriman dan menyerah diri kepada Allah s.w.t.

AYAT 12- {NABI MUSA MERAYU DENGAN BERKATA: “WAHAI TUHANKU, SESUNGGUHNYA AKU TAKUT BAHAWA MEREKA AKAN MENDUSTAKAN DAKU.} (ASY-SYU’ARAA’ 26:12)

  1. Nabi Musa a.s merayu kepada Allah s.w.t dengan menyatakan perasaan hatinya yang bimbang dan takut Firaun akan mendustakannya dan tidak akan terima dakwahnya.
  2. Ini bukan bermakna Musa a.s menolak perintah Tuhan, hanya melahirkan perasaan bimbangnya, apatah lagi untuk berdepan dengan Firaun yang kejam dan zalim itu.

AYAT 13- {“DAN AKAN SEMPIT PULA DADAKU SERTA TIDAK LANCAR LIDAHKU; OLEH ITU UTUSKANLAH PERINTAHMU KEPADA HARUN (SUPAYA IA MEMBANTUKU).} (ASY-SYU’ARAA’ 26:13)

  1. Musa juga menyatakan dia takut akan sempit pula dadanya serta tidak lancar lidahnya kerana gemuruh untuk berhadapan dengan Firaun nanti.
  2. Ulama’ kata ada dua kemungkinan tentang tidak lancar lidah ini:
    i- Musa a.s ini jenis gemuruh, bila berdebar akan gagap dan tidak jelas pertuturannya.
    ii- Ada kata memang ada masalah lidah Nabi Musa a.s ini yang menyebabkan dia tidak fasih dan jelas percakapannya.
  3. Lalu dia meminta Allah s.w.t melantik saudaranya Harun a.s sebagai nabi dan rasul juga untuk membantunya. Harun ini seorang yang fasih dan lancar lidahnya.

AYAT 14- {“DAN LAGI MEREKA ADA MENGEMUKAKAN SATU TUDUHAN JENAYAH TERHADAPKU; OLEH ITU AKU TAKUT MEREKA AKAN MEMBUNUHKU”.} (ASY-SYU’ARAA’ 26:14)

  1. Satu lagi kebimbangan nabi Musa a.s ialah kerana dia pernah tersalah membunuh salah seorang bangsa Qibti dengan tidak sengaja sebelum ini, maka dia takut mereka akan membalas dan membunuhnya balik.
  2. Kisahnya Musa a.s sedang berjalan dalam bandar dia melihat dua orang sedang berkelahi, seorang dari bani Israil (kaumnya) seorang dari kaum Qibti, lalu dia menolong kaumnya lalu terbunuhlah Qibti itu.

AYAT 15- {ALLAH BERFIRMAN: “JANGAN! JANGAN FIKIR (AKAN BERLAKU APA YANG ENGKAU BIMBANGKAN ITU)! OLEH ITU PERGILAH KAMU BERDUA MEMBAWA MUKJIZAT-MUKJIZAT KAMI (YANG MEMBUKTIKAN KEBENARAN KAMU); SESUNGGUHNYA KAMI ADA BERSAMA-SAMA KAMU: MENDENGAR.} (ASY-SYU’ARAA’ 26:15)

  1. Allah s.w.t menjawab permintaan dan kebimbangan nabi Musa a.s dengan 3 jawapan:
    i- memberi jaminan bahawa Firaun tidak akan dapat membunuh dan meyakitinya secara fizikal. Pendustaan tetap akan berlaku.
    ii- pergilah dengan membawa hujjah yang mantap iaitu dengan mukjizat-mukjizat yang Allah beri bagi membuktikan kebenarannya.
    iii- sesungguhnya Allah s.w.t akan tetap bersamanya, mendengar dan melihat apa yang berlaku. Bantuan juga akan sedia dihantar.

AYAT 16- {“MAKA PERGILAH KAMU KEPADA FIRAUN, KEMUDIAN KATAKANLAH KEPADANYA: SESUNGGUHNYA KAMI ADALAH UTUSAN TUHAN SEKALIAN ALAM.} (ASY-SYU’ARAA’ 26:16)

  1. Lalu Allah s.w.t sekali lagi memerintahkan nabi Musa a.s dan Harun a.s pergi kepada Firaun dan katakanlah kepadanya: Sesungguhnya kami adalah utusan (rasul) Tuhan sekalian alam.
  2. Yakni kedua Musa a.s dan Harun adalah rasul dari Allah s.w.t (satu jawatan) kerana itu digunakan kalimat mufrad (singular). إِنَّا رَسُولُ

AYAT 17- {“MENYURUHMU MEMBEBASKAN KAUM BANI ISRAIL MENGIKUT KAMI”.} (ASY-SYU’ARAA’ 26:17)

  1. Permintaan pertama Musa a.s kepada Firaun ialah untuk membebaskan kaum Bani Israil dan mengikutnya keluar dari Mesir.

AYAT 18- {FIRAUN MENJAWAB: “BUKANKAH KAMI TELAH MEMELIHARAMU DALAM KALANGAN KAMI SEMASA ENGKAU KANAK-KANAK YANG BAHARU LAHIR, SERTA ENGKAU TELAH TINGGAL DALAM KALANGAN KAMI BEBERAPA TAHUN DARI UMURMU?} (ASY-SYU’ARAA’ 26:18)

  1. Maka Firaun mula mengungkit dan membangkit budinya yang memelihara nabi Musa a.s di dalam istananya sejak dari kecil dulu.
  2. Kisah Musa a.s menjadi anak angkat Firaun ini tidak dihuraikan panjang di sini kerana sudah ada secara terperinci dalam surah-surah yang lepas.

AYAT 19- {“DAN (BUKANKAH) ENGKAU TELAH MELAKUKAN SATU PERBUATAN (JENAYAH) YANG TELAH ENGKAU LAKUKAN DAN (DENGAN ITU) ENGKAU DARI ORANG-ORANG YANG TIDAK MENGENANG BUDI?”} (ASY-SYU’ARAA’ 26:19)

  1. Firaun juga masih ingat lalu mengungkit pula kisah Musa yang pernah membunuh seorang kaum mereka dulu.
  2. Maka benar-benarlah kamu tidak kenang budi dan lupa daratan.

AYAT 20- {NABI MUSA BERKATA: “AKU MELAKUKAN PERBUATAN YANG DEMIKIAN SEDANG AKU KETIKA ITU DARI ORANG-ORANG YANG BELUM MENDAPAT PETUNJUK.} (ASY-SYU’ARAA’ 26:20)

  1. Musa a.s memberi penjelasan dan membela dirinya bahawa dia tidak sengaja, tiada niat untuk membunuh, tidak menyangka satu tamparan atau pukulannya akan mematikan orang itu.
  2. Dia juga melakukan perbuatan itu kerana dia masih belum matang dan belum dapat berfikir dengan baik.

AYAT 21- {“LALU AKU MELARIKAN DIRI DARI KAMU, KETIKA AKU MERASA TAKUT KEPADA KAMU; KEMUDIAN TUHANKU MENGURNIAKAN DAKU ILMU PENGETAHUAN AGAMA, DAN MENJADIKAN DAKU SEORANG RASULNYA.} (ASY-SYU’ARAA’ 26:21)

  1. Musa a.s juga menyatakan bahawa selepas itu dia menyesal dan takut akan kesan perbuatannya itu lalu dia melarikan diri ke Madyan.
  2. Di Madyan dia menumpang di rumah nabi Syuaib dan kemudian menjadi menantunya. Di sana dia dewasa dan matang, dikurniakan ilmu pengetahuan dan akhirnya dilantik oleh Allah s.w.t menjadi rasul.

AYAT 22- {“DAN BUDIMU MEMELIHARAKU YANG ENGKAU BANGKIT-BANGKITKAN ITU ADALAH KERANA ENGKAU TELAH BERTINDAK MEMPERHAMBAKAN KAUM BANI ISRAIL.} (ASY-SYU’ARAA’ 26:22)

  1. Selepas membela dirinya ini, nabi Musa a.s mengungkit pula akan perbuatan jahat Firaun, dengan mengatakan di depan mukanya.
  2. Walaupun Firaun mengaku membela dan memelihara Musa a.s tetapi berapa ramai kaum Bani Israil yang telah dibunuh dan dizaliminya? Dia memelihara Musa juga kerana perbuatannya yang membunuh semua bayi lelaki yang dilahirkan oleh bani Israil.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Nabi Musa a.s menyatakan keuzurannya selepas dilantik oleh Allah menunjukkan sifat tawadhuknya, bukan untuk berdalih menolak tugas itu.
  2. Apabila mahu melantik atau memberi tugas kepada seseorang:
    i- kita kena beri jaminan.
    ii- mesti ada hujjah (sebagai alat bantuan) yang mantap.
    iii- memberi sokongan dan bantuan penuh.
    Sebagaimana jawapan Allah s.w.t kepada Nabi Musa a.s.
  3. Maksudnya kaum yang zalim itu ialah Firaun, Allah s.w.t beri nama dulu secara umum dulu, kemudian baru penjelasan, boleh kita sebut secara umum dulu sebelum khas.
  4. Dialog nabi Musa a.s dengan Allah s.w.t itu untuk menyatakan sebab dan kekurangannya, bukan mengadu atau membuat alasan.
  5. Maksud Musa a.s dia takut untuk berdepan dengan Firaun itu sebagai satu naluri semulajadi dan sifat tabi’i manusia yang biasa, bukan satu sifat melampau dan salah.
    Seperti kita hari ini takut kepada covid-19 lalu berikhtiar dengan jaga SOP dan ambil vaksin, lalu serahlah kepada Allah untuk jaga kita, tidak salah.
  6. Musa a.s menyatakan kepada Allah bahawa lidahnya tidak fasih- menunjukkan seseorang itu boleh menyatakan kedudukannya untuk memaklumkan- seperti keuzuran dan kekurangannya, bukan untuk mengadu atau meratap.
    Wallahu a’lam.