SURAH AT-TALAQ : AYAT 6-7

SEDIAKAN TEMPAT TINGGAL WANITA BERIDDAH, NAFKAH WANITA MENYUSU & KADAR NAFKAH IKUT KEMAMPUAN.

Full video : https://youtu.be/4rBWgD4Xgs0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang kewajipan para suami yang telah menceraikan isterinya untuk sediakan tempat tinggal & nafkah bagi wanita selama dalam iddah.
  2. Jika wanita itu hamil dia juga hendaklah memberi nafkah kepadanya sehingga melahirkan anak kemudian wajib juga memberi nafkah untuk anaknya itu.
  3. Jika wanita itu wanita menyusu kena beri juga nafkah kepadanya, jika dia tidak mahu menyusukan sendiri, si bapa kena membayar upah susu anaknya kepada sesiapa atau bayar harga susu.
  4. Kemudian Allah s.w.t yang Maha Rahmat kepada hamba-Nya, mewajibkan kadar nafkah ikut kadar kemampuan si suami tetapi hendaklah cukup dan munasabah.

AYAT 6- {TEMPATKANLAH ISTERI-ISTERI (YANG MENJALANI IDAHNYA) ITU DI TEMPAT KEDIAMAN KAMU SESUAI DENGAN KEMAMPUAN KAMU; DAN JANGANLAH KAMU ADAKAN SESUATU YANG MENYAKITI MEREKA (DI TEMPAT TINGGAL ITU) DENGAN TUJUAN HENDAK MENYUSAHKAN KEDUDUKAN MEREKA (SUPAYA MEREKA KELUAR MENINGGALKAN TEMPAT ITU). DAN JIKA MEREKA BERKEADAAN SEDANG MENGANDUNG, MAKA BERIKANLAH KEPADA MEREKA NAFKAHNYA SEHINGGA MEREKA MELAHIRKAN ANAK YANG DIKANDUNGNYA; KEMUDIAN JIKA MEREKA MENYUSUKAN ANAK UNTUK KAMU, MAKA BERIKANLAH KEPADA MEREKA UPAHNYA; DAN BERUNDINGLAH DI ANTARA KAMU (DALAM HAL MENYUSUNYA) DENGAN CARA YANG BAIK. DAN (SEBALIKNYA) JIKA KAMU (DARI KEDUA PIHAK) MENGALAMI KESULITAN, MAKA BOLEHLAH PEREMPUAN LAIN MENYUSUKANNYA.} (AT-TALAAQ 65:6)

  1. Yakni bahawa suami mesti menempatkan isteri yang diceraikan itu selagi masih dalam tempoh iddah di rumah yang sama mereka tempati. Bukan dia lari keluar atau hantar isteri keluar ke lain atau isteri sendiri yang lari keluar rumah.
  2. Ijma’ ulama’ kata ayat ini khas yakni WAJIB untuk isteri yang boleh dirujuk kembali (Talaq ar-Raj’i- ) juga isteri yang hamil.
  3. Manakala ulama’ berkhilaf tentang isteri yang dicerai dengan talak ba’in – (yang tidak boleh dirujuk) seperti talak tiga:
    i- ada kata tidak perlu sediakan tempat tinggal.
    ii- ada kata perlu sediakan juga sehingga habis tempoh iddahnya.
  4. Kemudian Allah s.w.t berpesan jangan kamu menyakiti isteri yang dalam iddah yang masih serumah dengan kamu. Ingatlah dia adalah isteri yang pernah kamu sayangi dan cintai sesuatu masa dulu. Jangan sakiti dia dengan perkataan, perbuatan atau apa saja karenah.
  5. Kemudian jika wanita itu hamil- maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya iaitu tamat iddahnya. Kemudian hak nafkah ibu berpindah kepada anak itu pula.
  6. Kemudian hukum seterusnya ialah apabila melahirkan yakni tamatlah iddah mereka dan boleh keluar dari rumah yang mereka tinggal bersama.
  7. Allah s.w.t nyatakan hukum bahawa:
    i-jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya yakni nafkah susu anak dan belanja untuk ibu itu. Berilah biar cukup jika kerjanya hanyalah menjaga anak kamu itu dan tiada pendapatan lain.

ii- suami dan bekas isteri itu kena berunding apakah jalan terbaik agar tidak cuai dan memberi mudharat dalam menjaga dan mendidik anak-anak itu.

  1. Jika timbul masalah tentang upah dan nafkah ini, jika bekas isteri tidak mahu menyusukan anak itu, si bapa mesti mencari orang lain untuk diupah menjaga dan menyusunya. Tidak boleh paksa isteri itu jaga & menyusukan anak itu.
  2. Allah s.w.t juga beri garis panduan dalam masalah ini, nafkah dan belanja ini adalah mengikut kemampuan si bapa, yang penting mencukupi dan tidak cuai.
  3. Sesiapa yang sempit rezekinya hendaklah ia memberi nafkah ikut apa yang Allah beri kepadanya sekadar yang mampu. Allah s.w.t tidak akan memberatkan seseorang lebih daripada kemampuannya.
  4. Tetapi realiti hari ini lebih banyak seorang suami atau bapa selepas bercerai- hilang atau ghaib terus tanpa menjalankan tanggung-jawab menjaga anak-anak apatah lagi memberi nafkah yang mencukupi atau sekadar kewajipan. Inilah yang buruknya sedangkan hukum dan ajaran Islam itu sudah cukup indah, tetapi manusia yang merosakkannya!
  5. Dalam ayat ini diberi panduan lagi, sekiranya jika kamu dari kedua pihak ibu atau bapa mengalami kesulitan atau tidak sepakat tentang upah kepada si ibu itu, si bapa tidak boleh paksa ibu menyusukan anaknya.
  6. Maka si bapa kena cari perempuan lain untuk menyusukannya. Yakni si bapa mesti menyediakan upah untuk orang lain menyusukan anak mereka atau membayar belanja harga susu.

AYAT 7- {HENDAKLAH ORANG YANG MAMPU MEMBERI NAFKAH MENURUT KEMAMPUANNYA; DAN SESIAPA YANG DI SEMPITKAN REZEKINYA, MAKA HENDAKLAH IA MEMBERI NAFKAH DARI APA YANG DIBERIKAN ALLAH KEPADANYA (SEKADAR YANG MAMPU); ALLAH TIDAK MEMBERATI SESEORANG MELAINKAN (SEKADAR KEMAMPUAN) YANG DIBERIKAN ALLAH KEPADANYA. (ORANG-ORANG YANG DALAM KESEMPITAN HENDAKLAH INGAT BAHAWA) ALLAH AKAN MEMBERIKAN KESENANGAN SESUDAH BERLAKUNYA KESUSAHAN.} (AT-TALAAQ 65:7)

  1. Ayat ini pula adalah dalam masalah memberi nafkah. Allah s.w.t mengajar kepada kita agar jangan melampau, boros atau terlalu bakhil dan cuai.
  2. Munasabah ayat:
    i- Biasanya dalam hidup ini kita kena banyak toleransi & bertolak ansur. Manakala setiap orang itu pula mempunyai kadar rezeki yang telah ditetapkan Allah s.w.t, ada yang luas & ada yang sempit rezekinya.

ii- maka Allah s.w.t beri garis panduan bahawa setiap orang itu wajib menunaikan nafkah tanggung-jawabnya mengikut rezeki yang dia dapat.

Jika dia seorang yang luas rezekinya- kaya dan berkemampuan- berilah supaya mencukupi dan selesa anak-anaknya berbelanja dengan tenangnya, juga kepada si ibu yang menjaga anak itu.
si ibu juga jangan melampau dalam tuntutannya.

  1. Jika dia seorang yang sempit rezekinya, miskin dan tidak berkemampuan, maka berilah sekadar yang dia mampu dan mencukupi.
  2. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan memberatkan seseorang itu melebihi daripada kemampuannya.
  3. Allah juga berjanji bahawa Dia akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan atau ujian yang menimpa hamba-Nya. Dengan syarat dia sabar, bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah s.w.t.
  4. Betapa ramai kita tengok ibu tunggal yang samada bercerai atau kematian suami, begitu susah dan teruji pada awalnya, tetapi akhirnya apabila anak-anak sudah besar dan berjaya, mereka akan membalas jasa dan memberi kesenangan kepada si ibu tadi.
  5. Ingatlah kesusahan bukan selamanya, begitu juga kesenangan tidak akan berpanjangan juga. Hidup kita di atas dunia ini ibarat roda, dunia ini hanya tempat ujian dan bekalan untuk ke akhirat.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 6- {Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu;}- berilah tempat tinggal kepada wanita yang diceraikan sepanjang dalam tempoh iddah mereka.

Timbul perbincangan ulama’ tentang wanita mana yang perlu diberi tempat tinggal itu?

Kesimpulan:
i- ijma’ ulama’ bahawa wanita yang wajib diberi tempat tinggal ialah untuk isteri yang boleh dirujuk kembali (Talaq ar-Raj’i- ) juga isteri yang hamil.

ii- Manakala ulama’ berkhilaf tentang isteri yang dicerai dengan talak ba’in – (yang tidak boleh dirujuk) seperti talak tiga:
a- majoriti kata perlu sediakan tempat tinggal juga sehingga habis tempoh iddahnya.

b- ada kata tidak perlu sediakan jika talaq yang tidak boleh rujuk lagi. Wallahu a’lam.

Allah s.w.t juga mengajar kita agar bersikap baik sesama manusia, perceraian bukan memutuskan hubungan sesama muslim, cuma hubungan suami isteri yang putus. Masih boleh duduk serumah semasa dalam iddah & wajib beri nafkah dan layaninya dengan baik dan sopan.

Jangan sampai hilang akhlak seperti saling menuduh dan memburukkan satu sama lain, mendedahkan masalah dalam perhubungan suami isteri kepada orang ramai terutama di medsos!

  1. Ayat 6- {Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya;}- ayat ini menunjukkan wajib memberi tempat tinggal DAN nafkah kepada wanita yang hamil anak kamu jika bercerai sehingga dia melahirkannya walaupun dalam talaq yang tidak boleh dirujuk lagi!

Bukan hanya sekadar menyediakan tempat tinggal seperti wanita lain, tetapi wanita hamil wajib diberi nafkah. Sehingga dia habis iddahnya iaitu melahirkan anak itu, tidak kiralah berapa bulan. Ini kerana dia mengandungkan anak kamu wahai para suami!

Samada bercerai hidup atau yang hamil suaminya mati, kena bagi nafkah, diambil dari hartanya yang ditinggalkan.

Alhamdulillah Allah s.w.t jelaskan dalam ayat ini supaya kita tidak salah faham tentang kes wanita yang hamil yang kena cerai.

  1. Ayat 6- {kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik.}- jika ibu itu menyusu anak, si baba kena bagi upah; iaitu hak ibu yang menyusu dan upahnya.

Ulama’ tadabbur buat kesimpulan kepada ayat ini bahawa:
i- susu yang ada dalam badan ibu adalah miliknya, jika dia memberi anaknnya susu, si bapa kena bayar upahnya. Walaupun susu itu keluar kerana ada bayi itu, ia adalah miliknya kerana itu dia boleh ambil upah & bayaran.

ii- ayat ini juga menjadi dalil bahawa tanggung-jawab nafkah dan penyusuan kepada seorang anak itu adalah ke atas seorang BAPA! Wajib ke atas bapa menyediakan nafkah dan susu untuk anaknya yang masih menyusu!

  1. Ayat 7- {Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu);}- hendaklah kamu memberi nafkah ikut kemampuan dan apa rezeki yang kamu ada. Jika mampu, kaya & rezeki luas jangan bakhil luaskan juga untuk memberi nafkah kepada anak dan bekas isteri yang menjaga anak-anaknya.

Nafkah itu dikira ikut kemampuan seorang suami/bapa itu, jika sempit jimat cermatlah jangan boros, jika kaya jangan bakhil atau boros. Yang penting JANGAN sekali-kali lari daripada tanggung-jawab sebagai seorang bapa, anak itu tetap anak kamu walaupun telah bercerai dengan ibunya!

Hadis- dari Jabir bin Abdullah r.a, sabda Rasulullah s.a.w:
“Bagi para wanita itu, (berilah) rezeki (makan-minum) tempat tinggal dan pakaian mereka dengan cara yang baik.” [HR Muslim].

Jika isteri kaya sedangkan suaminya miskin, apa yang dia belanjakan untuk anak dan rumahtangganya jika dia ikhlas akan dikira pahala sedekah. Tetapi jangan mengungkit atau marah-marah tidak ikhlas. Iaitu bertoleransi dalam rumahtangga, sebab dia sudah tahu akan keadaan suaminya.

KATA ULAMA’ SALAF :

Orang mukmin dia belajar adab yang elok, dari didikan Allah s.w.t melalui beberapa perkara:
i- jika Allah s.w.t luaskan rezekinya maka dia luaskan juga untuk dirinya & orang lain, jangan bakhil sehinggakan nak makan minum pun susah!

ii- jika rezeki kita sempit, persempitkan juga perbelanjaan kita jangan boros sehingga tidak cukup.

Jangan terlalu boros & jangan melampaui bakhil.

  1. Ayat 7- {(Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.}- ayat ini memberi khabar gembira menenangkan hati orang yang dalam kesusahan bahawa jangan sedih Allah s.w.t akan memberi kesenangan selepas kesusahan itu.

Mungkin tidak segera kesenangan datang dan mengambil tempoh yang lama, tetapi bersabarlah, yakin dengan janji Allah bahawa selepas susah akan ada senang.

Jika tidak dapat kesenangan di dunia mungkin Allah s.w.t akan beri kita kebahagian di akhirat kelak. Ada yang diuji di dunia dan dibalas atas dunia lagi ada yang ditangguhkan balasan sehingga ke akhirat.

Jangan sehingga menjadi seperti yang ditakuti oleh sahabat Nabi s.a.w , Abdur Rahaman bin Auf r.a:
Aku bimbang jika Allah s.w.t segerakan nikmat yang sepatutnya kita dapat di syurga, diberi kesenangan & nikmat atas dunia. Maka menjadi sombong & takabbur maka hilang segala pahala di Akhirat kelak!

Mudah-mudahan kita akan menjadi manusia yang bersyukur selepas diberi kesenangan; bukan menjadi manusia yang lupa daratan dan tidak tahu bersyukur!

Kita minta perlindungan dari Allah agar tidak termasuk dalam golongan kufur nikmat itu!