SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 11-16

ALLAH PERINTAHKAN AGAR IKHLASKAN IBADAT, JAUHI SYIRIK DAN RIYA’ & GOLONGAN YANG RUGI DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/vWj3XcdZepY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya menyampaikan kepada umatnya agar:
    i- Ikhlaskan Ibadat,
    ii- Jauhi Syirik Dan Riya’
  2. Juga dinyatakan tentang Golongan Yang Rugi Di Akhirat. Siapakah mereka ini dan apakah yang akan mereka hadapi kelak.
  3. Allah s.w.t akhiri ayat dalam siri ini dengan menyeru kepada hamba-hamba-Nya agar bertaqwa kepada-Nya, jauhi syirik dan ikhlaskan ibadat kepada Allah semata-mata.

AYAT 11- {KATAKANLAH LAGI (WAHAI MUHAMMAD): “SESUNGGUHNYA AKU DIPERINTAHKAN SUPAYA MENYEMBAH ALLAH DENGAN MENGIKHLASKAN SEGALA IBADAT KEPADANYA;} (AZ-ZUMAR 39:11)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t perintahkan supaya Rasulullah sampaikan agar ikhlas beragama dan beribadat yang zahir atau batin hanya semata-mata kepada Allah s.w.t.
  2. Jangan syirik kepada Allah s.w.t dengan menyembah selain darinya, juga jangan riya’ dan takabbur dalam ibadat. Inilah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.
  3. Banyak ayat-ayat al-Quran yang seumpama ini, yang menyatakan tentang kerosakan syirik dan riya’ ini, ayat yang menyuruh kita menjaga ibadat kita hanya kepada Allah s.w.t.

AYAT 12- {“DAN AKU DIPERINTAHKAN SUPAYA MENJADI ORANG YANG AWAL PERTAMA BERSERAH DIRI BULAT-BULAT (KEPADA ALLAH)”.} (AZ-ZUMAR 39:12)

  1. Rasulullah s.a.w juga diperintahkan menjadi orang pertama yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah swt, mengesakan-Nya dalam beribadat, serta memurnikan tauhid dan ibadat kita dalam segala yang boleh merosakkannya!
  2. Munasabah ayat 11 dan ayat 12:
    Ibadat kita ni ada dua rukun:
    i- ibadat hati seperti niat.
    ii- ibadat dengan anggota kita.
  3. Oleh kerana ibadat hati lebih mulia daripada ibadat anggota saja, kerana ia menjadi paksi dan tapak nilaian, kesan daripada hati yang baik akan melahirkan anggota dan amalan yang baik.
  4. Maka Allah s.w.t letakkan ayat perintah untuk ikhlas dulu dalam agama (tauhid), tidak syirik kepada Allah dalam sesuatu pun. Maka barulah diikuti dengan ibadat atau amalan zahir dalam ayat selepasnya.
  5. Untuk menjadikan ibadat kita diterima dan diredhai, marilah kita jauhi risiko dengan memilih pendapat yang tiada bantahan ulama’ secara kuat, tinggalkan amalan dan ibadat yang meragui dan yang dipertikaikan oleh sesiapa pun.

Kerana Rasulullah s.a.w juga telah bersabda: “”Tinggalkan yang meragukanmu lalu ambillah yang tidak meragukanmu.” [HR at-Tirmizi]

  1. Jagalah amal ibadat kita yang fardhu seperti solat, puasa, zakat dan haji dan yang sunatnya juga dengan memilih yang disepakati ulama’.

AYAT 13- {KATAKANLAH LAGI: “SESUNGGUHNYA AKU TAKUT – JIKA AKU MENDERHAKA KEPADA TUHANKU – AKAN AZAB HARI YANG BESAR (SOAL JAWABNYA)”.} (AZ-ZUMAR 39:13)

  1. Rasulullah s.a.w disuruh menyatakan lagi bahawa amatlah takut jika kita tersalah menderhaka kepada Allah s.w.t, kerana pada hari yang azabnya amat besar nanti kita akan dipersoal-jawabkan!
  2. Ulama’ mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa ikhlas itu wajib dan ibadat itu wajib. Kerana itu harus ada rasa takut jika tersalah.

AYAT 14- {KATAKANLAH LAGI: “ALLAH JUALAH YANG AKU SEMBAH DENGAN MENGIKHLASKAN AMALAN AGAMAKU KEPADANYA.} (AZ-ZUMAR 39:14)

  1. Ini adalah penyataan- Allah s.w.t perintahkan kepada Rasulullah s.a.w agar nyatakan, jelaskan pendiriannya bahawa Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan agamaku kepadaNya.
  2. Setelah Allah s.w.t nyatakan apa yang diperintah dan Rasulullah juga menyatakan bahawa Baginda takut akan disiksa jika bersalah, sedangkan Baginda adalah orang yang kita ikuti dan seorang nabi yang mulia.
  3. Maka kita kena berpegang dengan Tauhid, hanya menyembah Allah s.w.t, tanpa syirik dan ikhlas beribadat kepada-Nya.
  4. Kita adalah orang yang mengkuti Sunnah Nabi s.a.w dan mengikut jamaah selepasnya dari para sahabat, tabi’en dan para ulama’ salafus-soleh dan yang selepasnya.
  5. Kita kena isytihar pegangan dan pendirian kita, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam ayat ini:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
{Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.} (Al-An’aam 6:162)

  1. Kita telah isytiharkan dengan lidah kita bahawa segala ibadat kita adalah kepada Allah s.w.t, tetapi adakah selari dengan amalan dan perbuatan kita?
    Cara hidup, hukum dan undang-undang mana yang kita dokong dan sokong?

AYAT 15- {“(SETELAH KAMU MENGETAHUI PENDIRIANKU INI WAHAI KAUM MUSYRIK, DAN KAMU MASIH JUGA BERDEGIL) MAKA SEMBAHLAH KAMU APA YANG KAMU KEHENDAKI, YANG LAIN DARI ALLAH, (KAMU AKAN MENGETAHUI AKIBATNYA)”. KATAKANLAH LAGI: “SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG RUGI (DENGAN SEBENAR-BENARNYA) IALAH ORANG-ORANG YANG MERUGIKAN DIRINYA SENDIRI DAN PENGIKUT-PENGIKUTNYA PADA HARI KIAMAT (DENGAN SEBAB PERBUATAN MEREKA MEMILIH KEKUFURAN ATAU KEDERHAKAAN). INGATLAH, YANG DEMIKIAN ITULAH KERUGIAN YANG JELAS NYATA.”} (AZ-ZUMAR 39:15)

  1. Dalam ayat ini adalah seolah kata pemutus; Jika kamu masih berdegil juga walaupun setelah mengetahui pendirianku dan menolak ajaranku. Masih berdegil lagi mahu menyembah selain dari Allah s.w.t, maka sembahlah apa yang kamu hehendaki, kamu akan menerima akibatnya nanti!
  2. Sebagaiman dalam firman Allah s.w.t ini: “Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.} (Al-Kaafiruun 109:6)
  3. Katakan juga kepada mereka: Orang yang benar-benar rugi ialah orang yang kufur, derhaka, tidak taat kepada Allah s.w.t kerana mereka akan mendapat balasan neraka! Itulah kerugian yang jelas nyata.

AYAT 16- {BAGI MEREKA (YANG KAFIR DISEDIAKAN LAPISAN-LAPISAN DARI API MENYERKUP DI ATAS MEREKA, DAN LAPISAN-LAPISAN (DARI API) DI BAWAH MEREKA; DENGAN (AZAB) YANG DEMIKIAN, ALLAH MENAKUTKAN HAMBA-HAMBANYA: “OLEH ITU, BERTAQWALAH KEPADAKU WAHAI HAMBA-HAMBAKU!”} (AZ-ZUMAR 39:16)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t perkenalkan apakah sifat neraka yang akan dihadapi oleh mereka yang kerugian itu.
  2. Neraka itu digambarkan mempunyai lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan dari api di bawah mereka. Amat dahsyat dan mengerikan sekali!
  3. Tujuan Allah s.w.t ceritakan semua ini untuk menakutkan kita yang beriman! Orang yang yakin jangan buat macam orang yang yakin, orang yang tahu jangan buat seolah tak tahu! Masih lemah dan sedikit amal ibadat kita!
  4. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan seruan yang amat lembut kepada hamba-Nya- wahai hamba-hambaKu (يَاعِبَادِ) bertaqwalah kamu kepada-Ku!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 11- {Katakanlah lagi (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya;} – ayat ini mempunyai dua ikatan iaitu:
    i- untuk ikhlaskan ibadat kepada Allah s.w.t semata. Agar terselamat daripada segala syirik yang tersembunyi seperti riya’, takabbur dan mahu menunjuk-nunjuk kepada manusia.

Ayat ini walaupun untuk Rasulullah s.a.w, tetapi ia untuk disampaikan kepada kita semua. Baginda s.a.w adalah sebagai rasul, pendakwah dan penyeru kepada umat manusia seluruhnya. Sesiapa yang mengaku ikut Nabi s.a.w wajiblah ikut perbuatan Nabi s.a.w yang ikhlas beribadat dan beramal kepada Allah s.w.t.

ii- Rasulullah s.a.w juga diminta untuk mengisytiharkan pendirian dan pegangannya. Ini sebagai galakan untuk kita ikut Baginda s.a.w dan menyatakan yang berhak dan betul-betul kita sembah hanyalah Allah semata!

Maka kata ulama’ kita sebagai muslim wajib zahirkan diri kita sebagai seorang muslim. Nyatakan identity kita, kenapa kita nak sembunyikannya, kecuali jika boleh membahayakan nyawa dan diri seperti hidup di negara komunis contohnya.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang mencipta (mengadakan) sesuatu perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini, yang bukan daripadanya, maka ia ditolak.” [HR Bukhari].

  1. Ayat 13- {Katakanlah lagi: “Sesungguhnya aku takut – jika aku menderhaka kepada Tuhanku – akan azab hari yang besar (soal jawabnya)”.}- Rasulullah s.a.w isytiharkan rasa takut dan gerunnya akan azab Allah s.w.t ini agar kita umatnya ikut dan buat juga.

Sebagaimana ada dinyatakan bahawa Nabi s.a.w beristighfar dalam sehari 70 kali atau lebih. Sedangkan Baginda s.a.w adalah rasul yang ma’sum dan orang yang paling takut kepada Allah s.w.t.

Maka kita manusia yang banyak dosa dan salah pastilah lebih perlu dan banyak lagi kepada istighfar dan pengisytiharan ini.

Arahan ini menunjukkan wajib bagi kita meninggalkan segala bentuk maksiat, perkara mungkar, dosa kecil atau besar tiada beza, semuanya adalah satu penderhakaan kepada Allah s.w.t dan wajib dijauhi.

  1. Ayat 14- {Katakanlah lagi: “Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan agamaku kepadaNya.}- ayat ini menjadi dalil bahawa wajib kepada kita untuk mengisytiharkan diri kita sebagai seorang muslim yang berpegang kepada agama dan sunnah Nabi s.a.w.

Nyatakan bahawa ini pendirian saya:
i- tauhid kepada Allah s.w.t.
ii- ikhlas ibadat kepada Allah s.w.t.
iii- ikut Sunnah Nabi s.a.w dalam ibadat kita.
Walaupun kadang-kadang ia akan bertentangan dengan pendapat orang ramai, tidak mengapa asal kita ikut arahan Allah dan ajaran Nabi s.a.w yang benar.

Dalam ayat ini apabila Rasulullah isytihar, Allah s.w.t sebut agama aku (دِينِي), manakala dalam ayat 11 disebut agama sahaja (الدِّينَ), ini kerana untuk menyatakan pendirian maka ada sandaran, inilah agamaku, sikapku, pendirianku dan seumpamanya.

Sabda Rasulullah s.a.w:
[عن أبي هريرة:] ما مِن أحَدٍ يُدْخِلُهُ عَمَلُهُ الجَنَّةَ فقِيلَ: ولا أنْتَ؟ يا رَسولَ اللهِ، قالَ: ولا أنا، إلّا أنْ يَتَغَمَّدَنِي رَبِّي برَحْمَةٍ. ]مسلم (ت 7٦١)، صحيح مسلم[
Tidak ada seorang pun yang dapat masuk syurga hanya bergantung kepada amalannnya semata-mata. Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah? Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.” [HR Muslim].

  1. Ayat 15- {Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat}- ulama’ tafsir kata puak syirik tidak akan berkumpul bersama keluarga- kaum kerabatnya di dalam neraka pada hari Kiamat esok.
    Masing-masing diazab pada tempat dan tahap yang berbeza.
    Berbeza dengan orang beriman yang akan dikumpulkan bersama keluarga & orang yang disayanginya di dalam syurga kelak jika semuanya layak masuk syurga, insya’ Allah.
  2. Ayat 16- {Bagi mereka (yang kafir disediakan lapisan-lapisan dari api menyerkup di atas mereka, dan lapisan-lapisan (dari api) di bawah mereka; dengan (azab) yang demikian, Allah menakutkan hamba-hambaNya: “Oleh itu, bertaqwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu!”}- segala maklumat ini Allah s.w.t nyatakan untuk menakutkan hamba-Nya.
    Maka wajiblah atas manusia sebagai seorang hamba, sentiasa merasa cemas, bimbang dan takut akan nasibnya dekat mati atau selepas mati nanti akan azab neraka!

Semasa di atas dunia inilah kita perbanyakkan zikir dan doa kepada Allah s.w.t agar menyelamatkan kita di Akhirat kelak. Perbanyakkan sebut nama Allah kerana sebut nama Allah itu nikmat, sebut nama orang itu bala.

Banyakkan berdoa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w ini agar sentiasa istiqomah di atas ibadat, tidak terbalik hati dan undur ke belakang pada saat akhir.
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ
Wahai Zat yang membolak-balikkan, hati teguhkanlah hatiku di atas agamamu. [HR At-Tirmizi & Ahmad]

اللهم اني اعوذ بك من الحور بعد الكور.
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Mu daripada berundur semula ke belakang (tidak melakukan amal soleh), setelah bergerak maju ke hadapan (melaksanakan amal soleh).” [HR. an-Nasa’i dan At-Tirmizi].