💎 Dalil Penciptaan Langit Tanpa Tiang, Bukit Dan Haiwan Di Bumi & Mencabar Puak Kafir Tunjuk Kuasa Tuhan Mereka.💎
♥ Live Pagi Rabu 13 R. Awwal 1443H = 20/10/2021 Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Luqman (03) Ayat [10-11]♥

Full video: https://fb.watch/8LGwwHw0yy/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri ini walaupun pendek hanya dua ayat, kita akan melihat kepada keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t. yang perlu kita belajar dan fahami agar bertambah keimanan.
  2. Kita akan lihat juga kepada susun atur penciptaan-Nya yang sangat indah teliti, tersusun tertib serta logik. بديع , Macamana langit di atas, sungai dan lautan di bawah, hujan yang turun dari awan di atas menyampaikan air ke segenap tempat yang tinggi lalu turun ke bawah, dan semuanya begitu teratur dan elok tanpa cacat cela.
  3. Kita dapat kena kenali Allah s.w.t melalui:
    i- nama-nama-Nya yang Indah. Perlu dihayati, difahami dan diamalkan dalam setiap keadaan dan suasana. Adanya Allah s.w.t yang Maha Pemurah serta Yang Maha
    ii- melalui sifat-sifat-Nya.
    iii- melalui penciptaan-Nya, langit dan bumi, bukit dan lautan, serta melihat kepada diri manusia sendiri.
  4. Dalam siri ini Allah s.w.t bawa 5 dalil atau tanda kekuasaan-Nya dalam satu ayat saja. Marilah sama-sama kita tadabbur dan ambil pengajaran darinya.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
🌺*Ayat 10- {Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.}
(Luqman 31:10)
A- Ciptaan Langit:

  1. Langit adalah salah satu ciptaan Allah s.w.t yang amat hebat, tujuh lapis tinggi di atas bumi tanpa tiang yang menampungnnya, tiada kebocoran atau kecacatan.
  2. Banyak benda yang tujuh lapis atas dunia ini iaitu: Langit 7 lapis, bumi 7 lapis, tawaf Ka’bah 7 keliling, pintu neraka 7, hari dalam seminggu 7. Hikmahnya? Wallahu a’lam. Tak perlu kita korek cari apa yang tidak perlu, rahsia yang tidak diberitahu oleh Allah dan Rasul-Nya.
  3. Tetapi pintu syurga ada 8. Kenapa? Ini menunjukkan rahmat Allah s.w.t itu lebih luas daripada kemurkann-Nya.
  4. Ada benda yang kita faham dan tahu, ada yang tak perlu kita korek cari jika tidak menambahkan keimanan. Rasulullah s.a.w apabila mengajar atau memberi sesuatu ilmu kepada para sahabat, Baginda akan mengulangnya beberapa kali sehingga difahami. Maka yang tidak diajarnya kita tinggalkan.
    B – Bukit-Bukau.
  5. Allah s.w.t jadikan pula di atas muka bumi ini bukit yang teguh untuk memegang bumi ini supaya seimbang dan tidak bergoyang.
  6. Manusia pada hari ini mula mengorek dan meruntuhkan bukit-bukit untuk pembangunan. Ini menunjukkan tanda-tanda kiamat yang semakin hampir, sudah menjadi peredaran dunia.
    C- Allah biakkan haiwan di atas muka bumi ini:
  7. Pelbagai jenis haiwan yang ada, beribu jenis ada yang kita tahu ada yang tidak.
  8. Malangnya kita hanya tengok dan bergambar saja dengan keunikan haiwan ini, tidak masuk dalam hati akan kekuasaan Allah s.w.t. jika tidak berapa ramai mereka yang mengkaji haiwan ini beriman dan mengakui keEsaan Allah s.w.t.
  9. Haiwan itu diciptakan untuk maslahat dan manfaat bagi manusia. Dia mengetahui bahawa mereka memerlukan rezeki agar dapat hidup.
  10. Hadis yang menunjukkan Jawami’ Kalam Rasulullah s.a.w apabila ditanya oleh sahabat tentang air laut. Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda tentang laut, “Airnya Tohur (suci dan mensucikan) dan halal bangkai (di dalam)-nya”. [HR Bukhari & Muslim].
    D- Allah turunkan hujan dari Langit.
  11. Allah s.w.t. turunkan air hujan dari langit ke bumi, kisah yang panjang kita sudah bincangan sebelum ini tentang hujan.
  12. Hujan satu fenomena yang ajaib, awan yang kita nampak ringan itu mengandungi air hujan yang berat lalu angin meniupnya pergi ke tempat yang Allah s.w.t telah tentukan.
    *Hadis kisah awan yang diperintahkan bawa hujan ke kebun seorang lelaki.
    Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w bersabda, “Ketika seorang laki-laki berada di tempat yang sunyi, dia mendengar suara awan, ‘Siramilah kebun si fulan.’ Lalu awan itu bergerak menjauh dan menumpahkan airnya di tanah dengan bebatuan hitam. Ternyata ada saluran air yang telah dipenuhi oleh seluruh air itu. Laki-laki itu menelusuri jalannya air. Ternyata ada seorang laki-laki yang berdiri di kebunnya, dia mengalirkan air dengan cangkulnya. Dia bertanya, ‘Wahai hamba Allah, siapa namamu?’ Dia menjawab,
    ‘Fulan.’ Nama yang didengarnya dari suara di awan. Dia berkata, ‘Wahai hamba Allah mengapa kamu bertanya tentang namaku?’ Dia menjawab, ‘Sesungguhnya aku mendengar suara di awan di mana airnya adalah ini. Suara itu berkata, ‘Siramilah kebun fulan.’ Iaitu namamu. Apakah rahsia yang kamu lakukan padanya?’ Dia menjawab, ‘Kerana kamu telah bertanya tentangnya, maka ceritakannya. Tiada apa rahsia cuma aku bahagikan hasil kebunku; sepertiganya aku sedekahkan, sepertiga lagi aku makan bersama keluargaku, dan sepertiga bakinya aku kembalikan kepadanya (sebagai benih).’ [HR Muslim].
    E- Allah tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.
  13. Lalu hasil dari hujan itu Allah tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik dan indah permandangannya.
  14. Ada yang cepat tumbuhnya, ada yang lambat, ada yang subur ada yang tidak. Pelbagai jenis tumbuhan dari air yang sama, bumi yang sama tetapi berbeza jenis dan rasanya.
  15. Maka haiwan-haiwan pun mendapat rezeki untuk hidup dari manfaat air hujan dan tumbuhan. Kita kena perhati dan tadabbur dengan kejadian pokok-pokok dntumbuhan yang pelbagai jenis dan keajaibannya pula.
  16. Daripada Ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:-
    “Sesungguhnya ada satu pohon yang tidak gugur daunnya dan ia adalah perumpamaan bagi seorang Mukmin.” [HR at-Tirmizi].
    Dalam hadis ini, Rasulullah SAW telah membawakan suatu kiasan dengan membandingkan orang Mukmin dengan pohon yang tidak gugur daunnya. Pohon yang dimaksudkan itu ialah pohon tamar.
    Sebagaimana tidak gugurnya daun daripada pohon tamar, begitulah kekuatan dan ketahanan yang tidak luntur daripada orang Mukmin.
    Selain itu pohon tamar juga dapat dimanfaatkan secara keseluruhannya sama ada pohon, buah, pelepah dan sebagainya.
    Begitulah seorang Mukmin dapat memberikan manfaat yang berterusan sama ada untuk dirinya sendiri ataupun orang lain.

🌺*Ayat 11- {Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah itu)? (Tidak ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.}
(Luqman 31:11)

  1. Lima perkara yang telah disebutkan tadi, semuanya adalah ciptaan Allah. Iaitu penciptaan langit dan bumi serta segala sesuatu yang ada di antara keduanya berasal dari perbuatan-Nya dan merupakan ciptaan-Nya, berdasarkan ketentuan dan kuasa-Nya semata, tiada sekutu bagi-Nya dalam penciptaan itu.
  2. Sebagai contoh kita lihat kepada bunga Rafflesia yang dikenali juga sebagai bunga pakma, iaitu bunga yang terbesar di dunia ini. Ia hanya hidup di kawasan habitat yang sesuai, sekarang ini ada satu Taman Rafflesia di perkampungan orang Asli di Gua Musang, Kelantan. Ia juga unik, bunga ini mengambil masa 9 bulan untuk mekar kembang dan akan hidup hanya selama seminggu. Bunganya besar dan cantik, tetapi bersifat parasit dan berbau busuk seperti bangkai. Apakah sebab dan hikmahnya? Begitulah seumpama manusia yang hanya cantik di luaran tetapi buruk dalamannya serta tidak membawa apa-apa kebaikan bahkan sebagai perosak pula!

Ketua Jabatan Sumber Asli dan Sains Kelestarian Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Zulhazman Hamzah, menunjukkan bunga rafflesia yang ditemui di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.

  1. Begitu juga beza dua makhluk yang kecil lalat dan lebah! Mata lebah mencari benda yang baik dan wangi; manakala lalat pula sentiasa mencari benda yang busuk dan kotor!!! Maka ambillah pengajaran dan iktibar dari tadabbur kita ini.
  2. Allah cabar orang kafir untuk menunjukkanlah kepada-Nya apa yang telah diciptakan oleh berhala-berhala, sekutu-sekutu dan sembahan-sembahan, makhluk lain yang mereka sembah selain Allah itu.
  3. Maka telah jelas dan tidak ragu lagi bahawa orang-orang yang zalim, yang berbuat syirik kepada Allah dan menyembah selain-Nya itu sebenarnya berada di dalam kesesatan, kebodohan yang jelas dan nyata!
  4. Zalim di sini ialah zalim kepada diri sendiri kerana melakukan syirik kepada Allah s.w.t. maka akan kerugian dunia, akhirat diazab siksa!

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Ayat 10- { dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang.} – ayat ini menyatakan kuasa Allah s.w.t mencipta haiwan atas muka bumi dengan pelbagai jenis dan bentuk. Serta semuanya mempunyai rezeki masing-masing yang telah ditetapkan, ulat dalam batu pun ada rezekinya.
  2. Ayat 10- {Dan Kami menurunkan hujan dari langit} – air adalah nikmat yang zahir yang berulang dari zaman dahulu sehingga ke hari Kiamat. Kerana itu Allah sandarkan penurunan hujan itu kepada diri-Nya sendiri, dengan malaikat sebagai petugas yang diperintahkannya.
    Hadis kisah hujan di Hudaibiyah. Ketika berada Hudaibiyah umat Islam mendapat hujan yang sudah sekian lama dinantikan mereka. Lalu Baginda S.A.W bersabda maksudnya: “Tahukah kamu apa yang diwasiatkan oleh Allah S.W.T kepadaku. Jawab sahabat, tidak. Lalu Baginda S.A.W bersabda maksudnya: Sesungguhnya dengan turunnya hujan, manusia boleh menjadi beriman dan mereka boleh menjadi kufur. Bagi yang beriman, mereka akan berkata, kami menerima hujan dengan rahmat dan kelebihan daripada-Nya. Manakala orang yang kufur akan menyandarkan kepada bulan dan bintang serta perkara lain terhadap fenomena ini.” [HR Bukhari & Muslim].
  3. Ayat 10- {Dan Kami menurunkan hujan dari langit} – dalil rahmat Allah s.w.t, Dia turunkan hujan dari atas dari bawah. Maka ia akan turun dan sampai ke semua tempat selepas tiba di atas bukit, samada menjadi air terjun dan seumpamanya.
  4. Ayat 10- {Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman} – فَأَنْبَتْنَا – ulama’ mengatakan huruf Fa’ dalam ayat ini adalah fa’ tunjuk sebab. Ayat ini menunjukkan hujan sebagai sebab tumbuhnya tanaman. Begitulah sunnah alam ini, setiap sesuatu yang berlaku itu Allah s.w.t jadikan ada penyebabnya, Firman Allah s.w.t: { وَآتَيْنَاهُ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا } [الكهف: 84] –
    {Dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.} (Al-Kahfi 18:84)
    Yakni bagi setiap kejadian pasti ada sebabnya, ia tidak akan berlaku dengan sendiri, ini supaya kita berusaha dan ikhtiar untuk mendapat sesuatu hasil atau natijah.
  5. Ayat 10- {lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.} مِنْ كُلِّ زَوْجٍ كَرِيمٍ – yakni kami jadikan setiap pokok itu pasangannya yang banyak manfaat dan jenis. Ada pokok berbatang tinggi; seperti pokok kelapa, ada pokok yang menjalar melata di bumi seperti labu dan sebagainya. Setiap jenis itu pula mempunyai rahsia dan hikmatnya sendiri.
  6. Ayat 11- {Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah} – ini adalah dalil kepada tauhid Rububiyyah. Orang kafir dia percaya bahawa ada Tuhan yang mencipta semua ini iaitu Allah tetapi mereka menolak tauhid Uluhiyyah, hanya Allah sahaja yang berhak disembah. Ini adalah ilmu mujadalah untuk berdebat dengan mereka.
  7. Ayat 11- {Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepada-Ku apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripada-Nya} – kata para ulama’ betapa indahnya bahasa al-Quran, sebagai satu mukjizat, lafaznya pendek tetapi maknanya panjang; cukup untuk membatalkan hujjah dan kefahaman syirik kaum kafir musyrikin yang menyembah benda lain selain Allah.
  8. Ayat 11- {Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah} – ayat ini juga menjadi dalil yang zahir untuk ingkari dan batalkan orang yang menolak dakwah tauhiid kepada lah s.w.t. bawa bukti/dalil yang palinng zahir dan jelas dari kita.
  9. Ayat 11- {maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu..} – sebagai satu cabaran kepada kaum kafir! Dalam berdebat dan berhujjah kita kena berani bawah hujjah dan cabaran untuk membatalkan hujjah lawan.
    **Kisah seorang atheis yang tidak percaya kepada Tuhan, lalu cuba melawan hujjah dan berdebat dengan kawannya yang muslim. Dia mengatakan dia pun boleh mencipta makhluk yakni ulat, dengan menyimpan daging busuk sehingga berulat. Lalu kawannya berkata: “Baiklah jika kamu yang mencipta ulat ini, maka berapa ekorkah jumlah mereka semua?” Pastilah dia tidak dapat menjawabnya maka: Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu).
    {فَبُهِتَ الَّذِي كَفَرَ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ } [البقرة: 258]
    Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim dengan raja Namrud dalam Firman Allah ini:
    {Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.} (Al-Baqarah 2:258
  10. Ayat 11- {Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu tunjukkan kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-makhluk yang lain daripada-Nya} – semua yang diceritakan pada hari ini menjelaskan kepentingan ilmu tadabbur memerhati kepada keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t. Dalam tadabbur setiap juzuk ayat itu kita rungkai dan kaji untuk mencari manfaat dan petunjuknya insya’ Allah.