Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Soal Jawab

Adakah Perlu Ulang Solat Jika Telah Berijtihad Arah Kiblat Tetapi Salah?

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 6 November 2025 · 3 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Persoalan

“Ustaz, kalau seseorang solat menghadap arah yang disangkanya betul sebagai kiblat, tetapi kemudian baru tahu arah itu salah. Adakah solatnya perlu diulang?”

Jawapan: Tidak Perlu Ulang Solat Jika Telah Berijtihad

Sesiapa yang telah berijtihad mencari arah kiblat dengan sungguh-sungguh, kemudian ternyata arahnya tersalah, solatnya sah dan tidak perlu diulang. Inilah pendapat mazhab Hanafi (al-Kasani, Bada'i' as-Sana'i', j. 1, hlm. 120) dan mazhab Hanbali bagi orang yang bermusafir (Ibn Qudamah, al-Mughni); bagi yang berada di kawasan menetap, mazhab Hanbali mewajibkan ulang (al-Mardawi, al-Insaf). Mazhab Maliki juga tidak mewajibkannya; cuma disunatkan mengulang bagi yang tersasar jauh (ad-Dardir, asy-Syarh al-Kabir). Dalam mazhab Syafie, inilah pendapat yang dipilih oleh al-Muzani dan at-Tirmizi menukilkannya daripada kebanyakan ahli ilmu.

Namun pendapat al-azhar mazhab Syafie berbeza: jika seseorang yakin ijtihadnya tersalah, dia wajib mengqada solat itu dan jika dia yakin ketika masih dalam solat, dia memulakannya semula; adapun jika sekadar ijtihadnya berubah, tidak perlu qada (al-Khatib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, j. 1, hlm. 338–339). Antara sandaran pendapat yang tidak mewajibkan ulang ialah riwayat berikut:

Dalam satu riwayat daripada Mu‘az r.a., disebutkan bahawa para sahabat pernah solat bersama Nabi ﷺ pada hari yang mendung, ketika itu tidak dapat dipastikan arah kiblat kerana matahari tidak kelihatan.

Selepas solat selesai, matahari muncul, lalu mereka sedar bahawa arah yang mereka solat tadi bukan ke arah kiblat sebenar.

Mereka bertanya kepada Nabi ﷺ tentang hal itu. Baginda bersabda:

“Solat kamu telah diangkat kepada Allah dengan haknya.”
(Riwayat at-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat; sanadnya dipertikai — at-Tabarani menyebutnya riwayat bersendirian dan al-Hakim menilainya munkar)

Maknanya solat tetap sah, kerana pada waktu itu mereka sudah berijtihad mencari arah kiblat sedaya upaya berdasarkan kemampuan dan pengetahuan yang ada.

Kaedah Fiqh: Ijtihad Tidak Membatalkan Amalan

Para ulama menjelaskan:

Jika seseorang telah berusaha (berijtihad) menentukan arah kiblat, kemudian baru diketahui arah sebenarnya salah, maka tidak perlu mengulangi solat.

Ini kerana Allah SWT tidak membebankan seseorang melebihi kemampuan. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.”

Surah al-Baqarah: 286

Contoh Situasi Di Zaman Kini

Pertama, solat di tempat asing tanpa kompas atau aplikasi kiblat:

Jika seseorang telah berusaha mencari arah kiblat berdasarkan tanda-tanda (seperti arah matahari atau bintang), lalu solat, tetapi kemudian diketahui arah itu tidak tepat, solatnya tetap sah.

Kedua, masjid lama yang tersalah arah kiblat:

Jika selama bertahun-tahun jamaah solat dengan arah yang ternyata tidak tepat, solat mereka tetap sah kerana berdasarkan ijtihad yang diyakini benar pada waktu itu.

Tidak ada keperluan untuk mengqadha solat-solat terdahulu.

Perbandingan Isu Najis Yang Tidak Disedari

Nabi ﷺ juga pernah solat dengan memakai kasut dan di pertengahan solat Jibril datang memberitahu bahawa pada kasut itu terdapat najis. Nabi segera menanggalkan kasutnya dan meneruskan solat tanpa mengulang semula (Riwayat Abu Dawud).

Ini menunjukkan bahawa perkara yang tidak diketahui (jahil) atau tidak disengajakan tidak membatalkan solat dan tidak perlu diulang jika sudah selesai. Inilah qaul qadim Imam asy-Syafi‘i yang dipilih oleh an-Nawawi dalam al-Majmu‘ dan salah satu riwayat daripada Imam Ahmad yang turut dipegang oleh Ibn ‘Umar, ‘Ata’ dan Sa‘id bin al-Musayyab; Imam Malik pula berpendapat ia diulang selagi masih dalam waktunya (Ibn Qudamah, al-Mughni). Menurut qaul jadid mazhab Syafie, solat itu wajib diqada (Mughni al-Muhtaj, j. 1, hlm. 411).

Kesimpulan

  • Jika seseorang telah berijtihad menentukan arah kiblat sedaya upaya, lalu ternyata salah. Solatnya sah dan tidak perlu diulang.
  • Allah menerima amalan hamba berdasarkan usaha dan keikhlasannya, bukan semata-mata hasilnya.
  • Jangan dilayan perasaan waswas (keraguan berlebihan) selepas solat.

“Agama ini mudah. Apa yang dilakukan dengan ikhlas dan mengikut kemampuan akan diterima oleh Allah.”

Rujukan

9 sumber
  1. Hadis Mu'adh bin Jabal RA: 'Telah diangkat solat kamu dengan haknya kepada Allah' — riwayat at-Tabarani (al-Mu'jam al-Awsat, no. 246); al-Haithami (Majma' az-Zawa'id) dan asy-Syaukani (Nail al-Autar 2/176): dalam sanadnya Abu 'Ablah yang disebut Ibn Hibban dalam ath-Thiqat; at-Tabarani menyatakan ia riwayat tafarrud (ad-Durar as-Saniyyah).

    ad-Durar as-Saniyyah
  2. Sunan at-Tirmidhi, Kitab as-Salah, no. 345 (daripada 'Amir bin Rabi'ah RA) — dinilai daif (Darussalam).

    Sunnah.com
  3. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 115.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 286.

    Quran.com
  5. Al-Khatib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, j. 1, hlm. 338 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  6. Sunan Abi Dawud, Kitab as-Salah, no. 650 (daripada Abu Sa'id al-Khudri RA) — dinilai sahih oleh al-Albani.

    Sunnah.com
  7. Al-Khatib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, j. 1, hlm. 411 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  8. Al-Khatib asy-Syarbini, Mughni al-Muhtaj, j. 1, hlm. 339 (Maktabah Syamilah).

    Maktabah Syamilah
  9. Takhrij hadis Mu'adh 'qad rufi'at salatukum bi haqqiha' (ad-Durar as-Saniyyah): at-Tabarani (al-Mu'jam al-Awsat no. 246) — tafarrud Hisyam bin Sallam; Abu 'Abdillah al-Hakim (al-Asami wa al-Kuna 1/255) — munkar.

    ad-Durar as-Saniyyah

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Soal Jawab Bolehkah Wanita Berdakwah Dengan Nasyid? 13 Apr 2026 Soal Jawab Apakah Hukum Dahulukan Qadha Atau Sunat & Isu Gabung Niat Puasa 6 Syawal? 30 Mac 2026 Soal Jawab Siapakah Maksud Orang Yang Muflis Di Akhirat? 25 Feb 2026 Soal Jawab Bolehkah Berdoa Dalam Bahasa Melayu Ketika Solat? 25 Feb 2026