Tulisan: Abu Umair. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: blog Catatan Abu Umair (abuumair1.wordpress.com), 26 Disember 2009.

10 Muharram ialah hari Asyura. Antara tradisi orang Melayu turun-temurun apabila tiba tarikh ini ialah membuat bubur Asyura. Bubur Asyura ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena 10 Muharram. Ada yang mengatakan campuran ramuan itu hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurangkan dan jangan dilebihkan. Jika tidak, ia tidak dinamakan bubur Asyura.
Entah dari mana sumbernya, saya tidak tahu. Yang pasti, sudah 10 tahun saya tidak merasai keenakan bubur Asyura di kampung.
Mengimbau zaman kanak-kanak pada hari Asyura, saya masih teringat apabila bubur Asyura hampir masak, saya bersama adik-adik dan rakan-rakan, masing-masing memegang tempurung kelapa, menyerbu kawah yang berisi bubur yang masih panas. Satu nostalgia yang tidak dilupakan: makan bubur Asyura berpinggankan tempurung dan bersudukan daun kelapa.
Waktu itu, tidak pernah terlintas di fikiran saya sempena apakah jamuan bubur Asyura diadakan. Adakah ia satu amalan keagamaan atau sekadar adat bangsa? Begitulah sehingga saya masuk ke sekolah menengah dan mendapati jamuan bubur Asyura dijadikan upacara tahunan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Dengan sedikit kajian ringkas tentang asal usul bubur Asyura dalam masyarakat Melayu, mungkin boleh dikatakan kewujudan jamuan bubur Asyura dalam masyarakat Melayu bertitik tolak daripada dua sandaran.
Pertama: Cerita Bahtera Nabi Nuh a.s.
Banyak laman web menyebut tentang kisah ini. Ia dinukilkan dalam kitab Nihayah az-Zain karangan Syeikh Nawawi al-Bantani, kitab Nuzhah al-Majalis karangan Syeikh ‘Abdul Rahman as-Safuri serta kitab Jam‘ al-Fawa’id karangan Syeikh Daud al-Fatani. Kisah itu antara lain menceritakan bahawa ketika bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di Bukit al-Judi pada hari Asyura, baginda berkata kepada umatnya:
“Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang berlebihan.” Maka dibawalah segenggam kacang baqilla’ iaitu kacang ful (kacang poi), segenggam kacang adas, ba‘ruz, hintah (gandum) dan tepung sehingga menjadi tujuh jenis biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh a.s.: “Masaklah kesemuanya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang.”
Penilaian
- Cerita seperti ini perlu kepada kajian: dari manakah sumbernya dan apakah taraf kedudukan kisah ini? Setakat ini saya tidak menemui sebarang petunjuk tentang kisah ini dalam sumber hadis dan athar. Sesiapa yang menjumpainya, diharap dapat membantu.1
- Jika kisah ini sahih sekalipun dan kita menerima kaedah ‘syariat umat sebelum kita ialah syariat kita juga’, persoalannya, adakah makanan yang dibuat oleh Nabi Nuh a.s. itu satu bentuk jamuan sempena 10 Muharram atau ia sekadar makanan biasa yang kebetulan dibuat pada 10 Muharram?
- Jika benar kisah ini dan betul istinbat orang Melayu bahawa disunatkan membuat bubur berdasarkan cerita ini, mengapa tidak ada anjuran daripada Nabi SAW atau amalan para sahabat tentang perkara ini?
Kedua: Hadis Galakan Memberi Keluasan kepada Keluarga
Mungkin sandaran lain bagi jamuan bubur Asyura ialah hadis-hadis yang menggalakkan supaya pada hari Asyura seseorang menghulur dan berkongsi kesenangan dengan kaum keluarga.
Hadis yang dimaksudkan ialah:
“Sesiapa yang memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura, Allah akan memberi keluasan kepadanya sepanjang tahun itu.”
Mungkin kerana mempercayai kelebihan dalam hadis ini, sesetengah orang Islam mahu memberi keluasan kepada kaum keluarga pada hari 10 Muharram dengan harapan Tuhan akan memudahkan rezekinya sepanjang tahun tersebut. Antara bentuk memberi keluasan ialah mengadakan jamuan makanan.
Cuma, kedudukan hadis ini di sisi ulama hadis ialah palsu atau daif. Rujuk: al-Maudu‘at oleh Ibnu al-Jauzi (2/572), al-Manar al-Munif oleh Ibnu al-Qayyim (1/111) dan al-Fawa’id al-Majmu‘ah oleh asy-Syaukani (1/98).2
Sekali lagi kita terpaksa menerima bahawa jika sandaran mengadakan jamuan bubur Asyura ialah hadis ini, sebenarnya ia hadis yang tidak sahih. Jangan terlalu mengharapkan fadilat yang belum pasti kesahihannya.
Cuma, membuat bubur Asyura itu, jika sekadar dijadikan adat tanpa kepercayaan keagamaan, bukanlah satu kesalahan. Kalau orang Melayu suka berbuka puasa dengan bubur Asyura, buatlah bubur Asyura.3 Tetapi elakkan kepercayaan yang kurang sahih seperti mengaitkannya dengan makanan Nabi Nuh a.s. sewaktu berlabuhnya bahtera baginda.
Wallahu a‘lam.
Madinah al-Munawwarah, 9 Muharram 1431H / 26 Disember 2009M.
Nota kaki
- Nota penyunting: riwayat yang paling hampir ialah hadis Abu Hurairah r.a. dalam Musnad Ahmad bahawa hari Asyura ialah hari bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di al-Judi lalu baginda berpuasa sebagai tanda syukur. Sanadnya daif dan ia tidak menyebut sebarang masakan. Kisah memasak tujuh jenis biji-bijian tidak mempunyai sanad dalam kitab-kitab hadis. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah (Majmu‘ al-Fatawa, jil. 25) menegaskan bahawa yang sahih tentang hari Asyura hanyalah kelebihan berpuasa padanya, manakala amalan lain seperti bercelak, berinai, memasak biji-bijian dan menambah belanja tidak sabit daripada hadis yang sahih.
- Nota penyunting: terdapat khilaf dalam menilai hadis ini. Al-Baihaqi (Syu‘ab al-Iman) menyatakan sanad-sanadnya daif, Ibnu Taimiyyah menilainya palsu dan Ibnu Hajar menilainya munkar. Namun sebahagian huffaz seperti Ibnu al-Qattan dan al-Hafiz al-‘Iraqi menilai sebahagian jalurnya hasan dan sebahagian ulama (antaranya Dar al-Ifta’ Mesir) menganggap amalan memberi keluasan kepada keluarga pada hari Asyura sebagai amalan yang baik. Perbezaan ini berkaitan memberi keluasan nafkah secara umum dan tidak menyentuh bubur Asyura secara khusus.
- Puasa hari Asyura (10 Muharram) sunat dan sabit dalam hadis sahih. Nabi SAW bersabda tentangnya: “Aku mengharap kepada Allah agar ia menghapuskan (dosa) tahun sebelumnya.” (Hadis riwayat Muslim daripada Abu Qatadah r.a.). Baginda berpuasa pada hari itu kerana Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s. pada hari tersebut (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu ‘Abbas r.a.) dan berazam untuk turut berpuasa pada hari kesembilan (Tasu‘a) (Hadis riwayat Muslim).
Rujukan
7 sumber-
Sahih Muslim, Kitab as-Siyam, no. 1162 (riwayat Abu Qatadah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab as-Saum, no. 2004; Sahih Muslim, no. 1130 (riwayat Ibnu 'Abbas r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab as-Siyam, no. 1134 (riwayat Ibnu 'Abbas r.a.).
Sunnah.com -
Musnad Ahmad (riwayat Abu Hurairah r.a.) — hari Asyura hari bahtera berlabuh di al-Judi; sanad daif, bahagian kisah Nuh tidak disokong riwayat sahih.
hadithanswers.com -
IslamQA no. 321325: takhrij dan penilaian hadis at-tausi'ah 'ala al-'iyal (al-Baihaqi: sanadnya daif; Ibnu Taimiyyah: palsu; Ibnu Hajar: munkar).
islamqa.info -
Dar al-Ifta' al-Misriyyah, fatwa no. 13241: at-Tausi'ah 'ala al-ahl yaum 'Asyura' (Ibnu al-Qattan: sanad hasan; al-'Iraqi: atas syarat Muslim).
dar-alifta.org -
Ibnu Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra / Majmu' al-Fatawa (jil. 25) — fatwa tentang amalan hari Asyura.
ar.wikisource.org
