Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani
Soal Jawab

Bolehkah Waris Memohon Maaf Bagi Pihak Ibu Bapa yang Telah Meninggal Dunia?

Dato’ Dr. Abu Anas Madani8 September 2025 · 2 min bacaan
Kongsi WhatsApp
Saiz tulisan

Persoalan

“Ustaz, bolehkah kita sebagai waris memohon maaf kepada sahabat-sahabat arwah ibu bapa kita, kalau-kalau semasa mereka bersahabat dahulu ada salah silap atau terguris hati?”

Jawapan: Boleh & Digalakkan

Ya, boleh. Bahkan inilah salah satu bentuk khidmat dan bakti seorang anak kepada ibu bapanya selepas mereka meninggal dunia.

Dalam hadis Nabi ﷺ, antara tanda anak yang berbakti ialah:

  • Mendoakan kedua-dua ibu bapa.
  • Memohon ampun untuk mereka.
  • Menyambung silaturahim dengan sahabat-sahabat mereka.

Amalan Menyambung Silaturahim Ibu Bapa

Selepas pemergian ibu bapa, kita boleh meneruskan hubungan dengan sahabat-sahabat mereka. Caranya:

Pertama, ziarah & berhubung dengan sahabat ibu bapa.

Contoh: “Makcik, saya anak kepada arwah. Dulu arwah suka sangat makan nasi lemak pagi-pagi. Ini saya bawakan untuk makcik.”

Kedua, memohon maaf bagi pihak ibu bapa.

Contoh: “Makcik, waktu berkawan dengan arwah ibu dulu, ada tak sebarang salah silap atau terguris hati? Kalau ada, saya nak minta maaf bagi pihak arwah.”

Ketiga, memberi hadiah atau sedekah.

Contoh: Menghadiahkan tudung yang arwah suka atau sedikit sumbangan sebagai tanda ingatan.

Contoh Daripada Sahabat Nabi ﷺ

Diriwayatkan bahawa Ibn Umar r.a. pernah berjumpa seorang lelaki Badwi. Ibn Umar menghadiahkan pakaiannya kepada lelaki itu. Orang bertanya:

“Kenapa tidak diberikan pakaian biasa sahaja?”

Ibn Umar menjawab:

“Orang ini adalah kawan ayahku, Umar al-Khattab RA.”

Ini menunjukkan betapa para sahabat Nabi ﷺ sangat menjaga hubungan dengan sahabat-sahabat orang tua mereka sebagai tanda hormat dan kasih sayang.

Kesimpulan

  • Boleh dan sangat digalakkan bagi anak memohon maaf kepada sahabat-sahabat arwah ibu bapa.
  • Ia adalah tanda birrul walidain (berbakti kepada ibu bapa) selepas kematian mereka.
  • Selain doa, sedekah, dan istighfar, menyambung hubungan dengan kawan-kawan lama ibu bapa adalah amalan yang diberkati.

“Menghormati sahabat ibu bapa adalah salah satu bentuk berbakti selepas mereka tiada.”

Rujukan

  1. Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah wa al-Adab, Bab Fadl Silat Asdiqa' al-Ab wa al-Umm, no. 2552 (riwayat Abdullah bin Umar). sunnah.com ↗
  2. Sahih Muslim, no. 2552c (riwayat Abdullah bin Umar). sunnah.com ↗
  3. Sunan Abi Dawud, Kitab al-Adab, Bab fi Birr al-Walidain, no. 5142 (riwayat Abu Usaid as-Sa'idi) — dinilai da'if oleh al-Albani. sunnah.com ↗

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Madrasah Muhammadiah, Pondok Sungai Durian. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Soal Jawab Bolehkah Wanita Berdakwah Dengan Nasyid? 13 Apr 2026 Soal Jawab Apakah Hukum Dahulukan Qadha Atau Sunat & Isu Gabung Niat Puasa 6 Syawal? 30 Mac 2026 Soal Jawab Siapakah Maksud Orang Yang Muflis Di Akhirat? 25 Feb 2026