Pendahuluan
Bismillahirrahmanirrahim. Al-hamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah wa ‘ala alihi wa sahbihi ajma‘in.
Marilah sama-sama kita merenung kembali satu peristiwa besar yang begitu menyayat hati, yang menimpa rumah tangga Rasulullah SAW. Ia ialah salah satu perancangan jenayah yang dilakukan oleh golongan munafiqin.
Apabila golongan ini merasakan sudah tiada lagi jalan untuk menewaskan Islam secara berdepan, sama ada melalui peperangan atau cara lain, mereka mula menukar strategi perjuangan mereka.
Ini berlaku selepas Islam mendapat kemenangan besar, dengan pertolongan Allah, dalam Perang Badar pada tahun 2H dan pukulan yang hebat menimpa mereka dengan tewasnya tentera Ahzab (Perang Khandak) pada tahun 5H, walaupun tentera Ahzab begitu ramai dan disertai golongan Yahudi, Quraisy, Arab Badwi dan lain-lain. Dengan kemenangan ini Rasulullah SAW bersabda:
( الآنَ نَغْزُوهُمْ وَلاَ يَغْزُونَنَا، نَحْنُ نَسِيرُ إِلَيْهِمْ )
Maksudnya: “Sekarang kita yang akan keluar memerangi mereka dan mereka tidak lagi datang memerangi kita (di Madinah); kitalah yang akan berjalan menuju mereka.” [Sahih al-Bukhari, no. 4110]
Golongan munafiqin memainkan peranan memecahbelahkan perpaduan umat Islam. Mereka cuba mencetuskan huru-hara dalam masyarakat yang aman damai dengan pelbagai helah dan tipu muslihat, supaya umat Islam sentiasa berada dalam keadaan gelisah dan keluh-kesah sehingga tidak dapat menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada islah al-mujtama‘, iaitu membaiki kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan menyebarkan dakwah Islamiah.
Kisah al-Ifki
Kejadian yang amat memedihkan ini berlaku sekembalinya Rasulullah SAW daripada serangan terhadap Bani al-Mustaliq (المصطلق).
Pada bulan Syaaban tahun 5H atau 6H (ahli sirah berbeza pendapat tentang tahunnya), Bani al-Mustaliq merancang untuk menyerang Rasulullah SAW. Setelah berita ini sampai kepada Baginda, Baginda keluar bersama tentera Islam. Turut keluar bersama tentera Muslimin ramai golongan munafiqin, kerana mereka tahu Islam akan mendapat kemenangan. Mereka keluar bukan untuk berperang, tetapi untuk mendapat harta rampasan perang (ghanimah).
Tentera Islam dan Bani al-Mustaliq bertemu di suatu tempat bernama al-Muraisi‘ (المريسيع) dan tentera Islam mengalahkan mereka dengan mudah. Dalam perjalanan pulang, golongan munafiqin yang diketuai oleh ‘Abdullah bin Ubai bin Salul cuba mengapi-apikan golongan Ansar dan Muhajirin untuk melagakan kedua-dua golongan Islam ini, tetapi api fitnah ini dapat dipadamkan oleh Rasulullah SAW.
Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila keluar bermusafir Baginda mengadakan undian di antara para isterinya untuk menentukan siapakah yang akan mengiringi Baginda. Demikianlah sunnah Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap semua isteri. Dalam peperangan ini, yang terpilih ialah Ummul Mukminin ‘Aisyah r.a., yang masih muda dan berbadan kecil.
Setelah tiba di suatu tempat berhampiran Madinah, Rasulullah SAW bersama para sahabat berhenti rehat. Ketika itu ‘Aisyah keluar menunaikan hajat di suatu tempat yang terlindung daripada pandangan tentera Islam. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat sekedup untanya dan mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.
Pada waktu yang sama, tentera Islam diperintahkan meneruskan perjalanan ke Madinah. Mereka yang mengangkat sekedup ‘Aisyah menyangka beliau telah berada di dalamnya lalu meletakkannya di atas unta dan meneruskan perjalanan.
Setelah ‘Aisyah kembali ke tapak perkhemahan, beliau mendapati rombongan telah berangkat tanpanya. Maka beliau berkelubung dengan hijabnya dan duduk menunggu di tempat untanya tadi, mudah-mudahan akan ada orang datang mencarinya. Dalam keadaan itu beliau tertidur.
Kemudian datanglah Safwan bin al-Mu‘attal as-Sulami yang berada di bahagian belakang rombongan, yang tugasnya memang mencari dan memeriksa apa-apa yang tercicir atau tertinggal. Setelah melihat seorang perempuan di tepi jalan, beliau amat terkejut dan terus beristirja‘, iaitu menyebut kalimah “Inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un” [إنا لله وإنا إليه راجعون], lebih-lebih lagi apabila beliau mengenali ‘Aisyah, kerana beliau pernah melihatnya sebelum turunnya ayat hijab.
Tanpa berkata sepatah pun, Safwan merendahkan untanya untuk dinaiki ‘Aisyah, lalu beliau berjalan menuntun unta tersebut. ‘Aisyah r.a. berkata: “Demi Allah, kami tidak bercakap walau sepatah pun dan aku tidak mendengar daripadanya sepatah kata pun selain istirja‘nya.” Akhirnya mereka sampai kepada rombongan tentera Islam.
Apabila melihat ‘Aisyah tiba bersama Safwan, golongan munafiqin yang diketuai oleh ‘Abdullah bin Ubai melihatnya sebagai peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat. Mulalah mereka mereka-reka cerita kononnya ‘Aisyah telah berlaku curang dengan Safwan. Malangnya tuduhan jahat ini turut termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi “pembawa mulut” menyebarkan fitnah ini. Sebahagian yang lain pula mengambil sikap berkecuali dan berdiam diri.
Setelah tiba di Madinah, tersebarlah hadis al-ifki (berita dusta) ini. Rasulullah SAW sendiri berdiam diri, menantikan wahyu. Baginda juga meminta pendapat beberapa orang sahabat: ada yang mencadangkan supaya Baginda menceraikan ‘Aisyah dan ada pula yang membelanya. Wahyu tidak turun kepada Rasulullah SAW tentang perkara ini selama sebulan. Ini untuk menguji keimanan umat dan menzahirkan golongan munafiqin.
Setelah ‘Aisyah r.a. mendengar berita tersebut, beliau menangis siang dan malam sehingga air matanya tidak berhenti dan tidak dapat tidur. Kata ‘Aisyah: “Aku menyangka tangisan itu akan membelah hatiku.”
Setelah hampir sebulan dalam keadaan demikian, pada suatu hari Rasulullah SAW datang ke rumah Abu Bakar, tempat ‘Aisyah berada bersama ayah dan ibunya. Baginda bersabda kepada ‘Aisyah yang sedang menangis:
Maksudnya: ((Wahai ‘Aisyah, sekiranya engkau bersih daripada tuduhan ini, nescaya Allah akan membersihkanmu. Sekiranya engkau tergelincir (melakukan dosa), maka beristighfarlah dan bertaubatlah kepada-Nya, kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengakui dosanya kemudian bertaubat, Allah akan menerima taubatnya.))
Setelah mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut, air mata ‘Aisyah terhenti. Beliau meminta ayah dan ibunya menjawab bagi pihaknya, tetapi mereka tidak tahu apa yang harus diucapkan. Lalu beliau menjawab sendiri: “Demi Allah, aku tahu kamu semua telah mendengar cerita ini sehingga ia tertanam dalam diri kamu dan kamu mempercayainya. Jika aku katakan aku bersih dan Allah mengetahui bahawa aku bersih, kamu tidak akan mempercayaiku. Tetapi jika aku mengakui sesuatu yang Allah tahu aku bersih daripadanya, nescaya kamu akan mempercayaiku. Maka tiada perumpamaan bagiku dan bagi kamu melainkan apa yang diucapkan oleh ayah Nabi Yusuf a.s.:
فَصَبْرٌ جَمِيلٌ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَى مَا تَصِفُونَ
Maksudnya: {Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku) dan Allah jualah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.} [Yusuf: 18]
‘Aisyah r.a. kemudian berpaling dan berbaring. Pada waktu itulah turun ayat yang membersihkan ‘Aisyah r.a. daripada segala tuduhan, tohmahan dan fitnah ke atasnya dan menjanjikan hukuman terhadap golongan yang menuduhnya. Ayat-ayat ini dapat kita baca hingga hari ini dalam Surah an-Nur:
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّى كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya: {Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita dusta itu ialah segolongan daripada kamu. Janganlah kamu menyangka berita dusta itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Setiap orang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar dalam penyebarannya, baginya azab yang besar.} [An-Nur: 11]
[Lihat: Tafsir Ibn Kathir; kisah lengkap dalam Sahih al-Bukhari, no. 4750 dan Sahih Muslim, no. 2770.]
Demikianlah secara ringkas kisah fitnah yang dilemparkan ke atas keluarga Rasulullah SAW.
Renungan: jenayah munafiqin
Cuba kita bayangkan betapa besarnya jenayah yang dilakukan oleh si munafik ‘Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya.
- Bayangkan keadaan Rasulullah SAW sebagai seorang nabi dan rasul serta pemimpin, isterinya yang disayangi dituduh sedemikian rupa, dikotori tempat tidurnya dan dicemari kehormatan rumah tangganya dengan tuduhan liar sehingga menjadi buah mulut orang di serata tempat selama sebulan, sedangkan Baginda tidak tahu apa yang hendak dilakukan dalam kes ini.
- Lihat pula keadaan Abu Bakar as-Siddiq r.a., seorang yang benar dalam semua perkara dan dihormati dalam masyarakat, anaknya dituduh sedemikian rupa, sehingga keluar keluhan dari mulutnya yang menggambarkan penyeksaan yang ditanggungnya.
- Juga Ummu Ruman, isteri Abu Bakar yang setia dan ibu yang baik, anaknya ditimpa tuduhan palsu yang jahat, sedangkan anak itu diasuhnya dengan penuh kasih sayang dan adab yang sopan.
- Bagaimana pula perasaan orang yang dituduh, ‘Aisyah binti as-Siddiq, wanita yang cukup menjaga kehormatan diri, isteri yang patuh dan setia, isteri Rasulullah SAW, penghulu segala nabi. Beliau dilemparkan tuduhan yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan, menanggung sengsara seorang diri sebulan lamanya. Tiada teman hidupnya kecuali tangisan dan air mata. Beliau berserah diri sepenuhnya kepada Allah, mengharapkan pertolongan setelah terputus bantuan manusia. Betapa azabnya seorang isteri yang masih muda menanggung derita seorang diri, sedangkan suaminya sendiri kelu lidah dalam perkara ini.
- Betapa pula terseksanya seorang mujahid yang berjuang menegakkan Islam dengan penuh ikhlas, Safwan bin al-Mu‘attal r.a. Beliau ditohmah dengan jenayah besar, dituduh mengkhianati Rasulullah SAW yang dicintai dan dihormatinya dengan mengadakan hubungan dengan isteri Baginda.
- Akhirnya bayangkan keadaan masyarakat Islam pada masa itu: semuanya berada dalam keadaan keluh-kesah, tidak tenteram dan berpecah sesama sendiri dalam kes ini.
Demikianlah besarnya jenayah membuat tuduhan palsu dan mengadakan pelbagai cara untuk memporak-perandakan ketenangan dan kedamaian umat Islam.
Peranan munafiqin dahulu dan sekarang tidak akan terhenti dalam merancang untuk menyusahkan umat Islam. Mereka tidak mahu melihat Islam mendapat kemenangan dan umatnya bersatu padu membina negara dan akhirnya mencapai kemajuan.
Pengajaran: bagaimana sikap kita?
Bagaimanakah sikap umat Islam dalam menerima berita dan apakah sikap kita terhadap perancangan jahat golongan munafiqin?
Firman Allah SWT, maksudnya: {Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah dengan teliti, supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada sesuatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu.} [Al-Hujurat: 6]
Pengajaran daripada ayat ini: hendaklah kita berhati-hati ketika menerima sesuatu berita dan mengkajinya sama ada ia berita yang benar atau satu fitnah.
Sekiranya kita menerima sesuatu berita bulat-bulat tanpa usul periksa, nescaya ia akan memudaratkan masyarakat Islam.
Sayangnya pada hari ini, kebanyakan orang Islam bukan sahaja menerima berita secara membabi buta dan terus menghukum seseorang dengan apa yang didengarinya, bahkan menjadi penyebar berita palsu itu, sehingga menambah penderitaan orang yang difitnah serta mengucar-kacirkan masyarakat umum.
Oleh itu apabila menerima sesuatu berita, kaum Muslimin hendaklah bersangka baik sesama mereka dan tidak mempercayai sesuatu yang tidak pasti, apatah lagi menyebarkannya.
Firman Allah SWT:
لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ (12) لَوْلَا جَاءُوا عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا بِالشُّهَدَاءِ فَأُولَئِكَ عِنْدَ اللَّهِ هُمُ الْكَاذِبُونَ (13)
Maksudnya: {Mengapa ketika kamu mendengar berita dusta itu, orang-orang mukmin lelaki dan perempuan tidak bersangka baik terhadap diri (saudara-saudara) mereka sendiri dan berkata: “Ini ialah berita dusta yang nyata”? Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi, maka mereka itulah di sisi Allah orang-orang yang dusta.} [An-Nur: 12–13]
Allah SWT memberi amaran agar jangan bercakap sembarangan membuat ulasan. Mungkin kita menyangka isu yang diulas itu perkara biasa atau remeh, tetapi dosanya sangat besar di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: {(Ingatlah) ketika kamu menerima berita dusta itu dari mulut ke mulut dan kamu mengatakan dengan mulut kamu apa yang kamu tidak ketahui sedikit pun dan kamu menganggapnya perkara kecil, padahal di sisi Allah ia perkara yang besar.} [An-Nur: 15]
Akhirnya, umat Islam hendaklah menjaga lidah daripada menjadi penyebar fitnah atau pembawa berita palsu, kerana semua perbuatan dan perkataan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah ‘azza wa jalla pada hari Kiamat. Firman Allah SWT yang bermaksud: {Dan janganlah kamu mengikut apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan ditanya.} [Al-Isra’: 36]
Sabda Nabi SAW:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: صَعِدَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمِنْبَرَ فَنَادَى بِصَوْتٍ رَفِيعٍ فَقَالَ: ((يَا مَعْشَرَ مَنْ أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يُفْضِ الإِيمَانُ إِلَى قَلْبِهِ، لا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ، وَلا تُعَيِّرُوهُمْ، وَلا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ؛ فَإِنَّهُ مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ)) قَالَ: وَنَظَرَ ابْنُ عُمَرَ يَوْمًا إِلَى الْبَيْتِ أَوْ إِلَى الْكَعْبَةِ فَقَالَ: مَا أَعْظَمَكِ وَأَعْظَمَ حُرْمَتَكِ، وَالْمُؤْمِنُ أَعْظَمُ حُرْمَةً عِنْدَ اللهِ مِنْكِ
Maksudnya: Berkata ‘Abdullah bin ‘Umar: Rasulullah SAW menaiki mimbar lalu menyeru dengan suara yang kuat: “Wahai golongan yang masuk Islam dengan lidahnya tetapi iman belum sampai ke hatinya, janganlah kamu menyakiti kaum Muslimin, jangan mencela mereka dan jangan mencari-cari keaiban mereka. Sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari keaiban saudaranya yang Muslim, Allah akan mencari keaibannya dan sesiapa yang dicari keaibannya oleh Allah, Allah akan mendedahkannya walaupun dia berada di dalam rumahnya.”
Pada suatu hari Ibn ‘Umar memandang ke arah Kaabah lalu berkata: “Alangkah agungnya engkau dan agungnya kehormatanmu, tetapi orang mukmin lebih besar kehormatannya di sisi Allah daripadamu.” [Riwayat at-Tirmizi, no. 2032; kata at-Tirmizi: hasan gharib.]
Semoga Allah SWT memelihara tangan dan lidah kita daripada perkara-perkara tersebut.
Bacaan berkaitan: Jangan Menyakiti Orang Islam, Menyebarkan Fitnah dan Menzaliminya.
Sumber: Tafsir Ibn Kathir; ar-Rahiq al-Makhtum; Majalah Suara Madinah, sesi 1994–1995.
Akhukum, Abu Anas Madani, Sungai Durian. 8 Jun 2008 (disemak semula 9 Julai 2008).
Rujukan
11 sumber-
Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, no. 4110 (riwayat Sulaiman bin Surad r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tafsir, no. 4750 (hadis al-Ifk, riwayat 'Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab at-Taubah, no. 2770.
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah Yusuf (12): 18.
Quran.com -
Al-Quran, Surah an-Nur (24): 11.
Quran.com -
Al-Quran, Surah an-Nur (24): 12–13.
Quran.com -
Al-Quran, Surah an-Nur (24): 15.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Hujurat (49): 6.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 36.
Quran.com -
Sunan at-Tirmizi, Kitab al-Birr wa ash-Shilah, no. 2032 (riwayat Ibn 'Umar r.a.); kata at-Tirmizi: hasan gharib.
Sunnah.com -
Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri, ar-Rahiq al-Makhtum, bab Ghazwah Bani al-Mustaliq.
