Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Khutbah

Husnuzzan (Berbaik Sangka)

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 16 Disember 2001 · 10 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Syeikh Dr. ‘Abd al-Bari ‘Awadh ath-Thubaiti (Imam Masjid Nabawi), terjemahan Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: khutbah dari mimbar Masjid Rasulullah SAW, Syawal 1422H (laman alminbar.net).

Pendahuluan

Segala puji bagi Allah Yang Maha Mengampunkan segala kesalahan dan Maha Menerima taubat hamba-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad, keluarga dan sahabat Baginda.

Sama-samalah kita berlumba membuat kebajikan dan amalan soleh serta memperbaiki diri sebagai bekalan untuk hari esok, sebagaimana firman Allah Ta‘ala (yang bermaksud): “Hari yang tidak berguna harta benda dan anak pinak, kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera.” [Asy-Syu‘ara’: 88–89]

Penerangan

Hubungan yang murni dan suci sesama manusia merupakan antara maqasid (tujuan syariat) Islam, iaitu berlapang dada, mesra, belas kasihan, ukhuwah, berkasih sayang dan sebagainya. Menjadi kewajipan kita mengekalkan hubungan dan ikatan sesama insan seteguh cerucuk yang ditanam dan sekukuh bangunan yang dibina. Kita hendaklah bertemu manusia dengan dada yang lapang, hati yang bersih dan wajah yang manis. Seterusnya kita hendaklah berbaik sangka dalam hubungan sesama manusia dan menjauhi sikap memandang serong terhadap amalan, pegangan (akidah) dan perkataan orang.

Jika diperhatikan hubungan sesama Muslim, kita akan dapati satu fenomena yang mendukacitakan: ikatan persaudaraan tercarik dan simpulan ukhuwah terungkai disebabkan sangkaan dan prasangka buruk, syak wasangka dan tuduhan yang tidak berasas.

Banyak kedengaran dalam majlis perbincangan umum ataupun khusus tuduhan-tuduhan seperti: “Si polan bermaksud begini”, “Niat si polan begini”, “Maksud perbuatan atau perkataannya begini” … Perkara seperti ini semuanya lahir daripada buruk sangka yang merosakkan, menyalakan perasaan dengki dan kebencian, meruntuhkan hubungan baik masyarakat, menggoncangkan keutuhan ukhuwah, memutuskan tali kekeluargaan dan menanamkan sifat ragu dalam kalangan individu dan masyarakat. Bahkan berapa banyak peristiwa besar dan bencana yang kita dengar berpunca daripada sangkaan jahat (su’uz-zan) yang diletakkan bukan pada tempatnya.

Apabila penyakit su’uz-zan menular ke dalam diri, ia membawa kepada terlalu cepat membuat tuduhan, suka mencari kesalahan orang, suka menerima berita keburukan orang serta suka mencari dan menyelidik rahsia keburukan orang. Kerana itu kita lihat orang yang bersikap su’uz-zan sering berkata: “Saya akan cuba memastikan kebenaran perkara ini,” lalu dia mula mencari rahsia dan kemungkinan dia akan mengumpat. Mungkin juga dia akan menyebut saudara Muslimnya dengan perkataan jahat, maka dengan itu dia telah melakukan dosa yang berganda dan maksiat yang merosakkan. Di sini tersembunyi satu bahaya: apabila hubungan sesama Muslim dibina di atas prasangka, maka sangkaan menjadi asas kepada kasih sayang atau kebencian terhadap seseorang. Semua ini pembunuh sikap berkasih sayang dan pemusnah makna mahabbah.

Menebalnya sikap prasangka menjadikan manusia mudah melemparkan tuduhan sesama mereka. Kemudian tidak ada lagi sikap saling mempercayai, bahkan mereka sering berbalah, tidak bertegur sapa dan memutuskan hubungan. Ini sikap yang membawa kepada hilangnya kekuatan dan keutuhan umat.

Zan atau sangkaan terbina atas agakan atau atas satu perkataan atau amalan yang diragukan. Zan menjadikan seseorang menurut perasaan dalam dirinya yang suka membuat tohmahan terhadap saudaranya, lalu zan menguasai dirinya dan cara pemikirannya. Sehingga kamu dapati orang yang berprasangka merasakan bahawa orang yang disangkanya buruk itu telah melakukan banyak kesalahan, berdasarkan khayalan sangkaannya hasil daripada sikap buruk sangkanya terhadap saudaranya.

Bahkan salam yang diucapkan oleh seorang Muslim, apabila telah dilingkungi prasangka, boleh dianggap sebagai ejekan atau celaan. Demikian juga senyuman boleh dianggap perlian atau sindiran; pujian dan hadiah juga boleh disalah ertikan dengan pelbagai anggapan yang membawa kepada perbalahan dan perselisihan.

Firman Allah Ta‘ala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.” [Al-Hujurat: 12]

Ayat ini menunjukkan perintah supaya menjaga kehormatan orang Muslim dengan sebaiknya, kerana ia didahului dengan tegahan daripada memperkatakannya berdasarkan sangkaan. Kalau orang yang berprasangka berkata: “Saya akan kaji dan selidik!” katakanlah kepadanya: “Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang.” Jika dia berkata: “Saya telah memastikannya tanpa mencari-cari kesalahan,” katakanlah: “Janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.”

Firman Allah Ta‘ala (yang bermaksud): “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan.” Seruan kepada orang-orang mukmin ini menyeru agar mereka tidak membiarkan diri menjadi mangsa segala yang terlintas dalam hati yang sering menyangka, syak dan ragu-ragu terhadap keadaan orang lain. Dengan ini al-Quran membersihkan hati daripada kotoran prasangka yang membawa dosa, agar hati terus bersih daripada sebarang syak dan keraguan, bersih perasaannya terhadap saudaranya. Alangkah indahnya hidup dalam masyarakat yang bersih daripada prasangka.

Sebahagian ulama berkata: “Yang membezakan syak atau sangkaan yang mesti dijauhi daripada yang tidak ialah: setiap sangkaan yang tidak mempunyai tanda yang sahih dan sebab yang nyata adalah haram dan wajib dijauhi. Iaitu jika seseorang itu daripada kalangan orang baik atau yang tersembunyi keadaannya dan tampak amanah pada zahirnya, maka menyangka jahat terhadapnya haram. Ini berbeza dengan orang yang terkenal dalam kalangan manusia sering melakukan perkara yang meragukan atau melakukan kejahatan secara terang-terangan.”

Ini kerana kebanyakan ulama berpendapat: “Tidak boleh berprasangka buruk terhadap orang yang zahirnya tampak baik dan tidak mengapa berprasangka tidak baik terhadap orang yang zahirnya tampak tidak baik.”

Daripada Sa‘id bin al-Musayyib rahimahullah, katanya: “Beberapa orang saudaraku daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW menulis kepadaku: ‘Letakkanlah urusan saudaramu pada tempat yang paling baik selagi tidak datang kepadamu sesuatu yang mengubahnya dan janganlah kamu menyangka buruk terhadap satu kalimah yang keluar daripada seorang Muslim sedangkan kamu masih mendapati ruang untuk mentafsirkannya dengan baik.’”

Manhaj ini sangat dituntut apabila berdepan dengan orang yang mempunyai kelebihan dan kebaikan (ulama, pendakwah dan lain-lain). Ini termasuk dalam fiqh maqasid dan niat, yang mungkin tidak disedari oleh sebahagian golongan, menyebabkan mereka sering menjatuhkan hukuman salah ke atas orang lain tanpa mengambil kira keadaan, niat dan tujuan orang tersebut. Mungkin kesalahan itu tidak disengajakan dan dia tidak bermaksud jahat, sebagaimana dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim rahimahullah: “Satu kalimah yang sama diucapkan oleh dua orang yang berbeza; seorang bermaksud kebatilan dan seorang lagi bermaksud kebenaran. Yang diambil kira (iktibar) ialah cara, pemikiran, mazhab dan pegangan orang yang berucap serta apa yang dipertahankannya.”

Kerana itu tidak dihukum kafir seseorang yang, kerana terlalu gembira, tersalah mengatakan: “Ya Allah, Engkaulah hambaku dan akulah tuhan-Mu,” kerana dia tidak bermaksud menjadikan dirinya tuhan. [Kisah ini dalam hadis riwayat Muslim, no. 2747]

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menukilkan tulisan orang yang bercanggah pendapat dengannya, kemudian berkata: “Kalam ini umum (mengandungi pelbagai kemungkinan); orang yang inginkan kebenaran akan meletakkannya di tempat yang baik dan orang yang tidak menginginkan kebenaran akan memasukkan ke dalamnya (menambah, mentafsir dan mentakwil) pelbagai maksud …”

Inilah manhaj yang tinggi, sikap terbuka yang diterima oleh as-salafus-soleh, keadilan dan keinsafan yang telah digariskan oleh ulama umat. Mereka meletakkan perkataan yang mengandungi pelbagai maksud di tempat yang baik, dengan dada yang lapang, bebas daripada pengaruh hawa nafsu, baik terhadap diri dan menasihati umat. Di manakah kita daripada manhaj ini?

Bukanlah daripada manhaj salaf menambah (mentafsir dan menghuraikan) lafaz yang tidak disebut sehingga mengubah maksudnya, bergembira dengan menyebarkan kesilapan orang dan bermuamalah sesama Muslim dengan su’uz-zan (sangkaan jahat).

Sebahagian daripada prasangka ialah meletakkan perkataan dan perbuatan orang lain di tempat yang tidak baik, iaitu dengan membesar-besarkan kesalahan dan memandang mereka dengan penuh tohmahan tanpa meneliti sebab atau mencari keuzuran. Setiap perkataan yang boleh ditafsirkan dengan maksud yang baik dan tidak baik, diambil yang tidak baik … Subhanallah! Bagaimana mereka menghukum dengan mentafsirkan niat dan tujuan dalam diri orang lain?

Sesungguhnya perkara yang tersembunyi dan rahsia dalam diri untuk dihisab, adalah urusan yang khusus bagi Allah SWT Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan rahsia. Adapun manusia tidak mempunyai hak ke atas saudaranya kecuali pada amalan yang zahir. Inilah amalan salafus-soleh yang terdahulu, yang hati mereka penuh dengan didikan Islam yang sempurna lagi bersih.

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Utbah bin Mas‘ud, katanya: Aku mendengar ‘Umar bin al-Khattab r.a. berkata: “Sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah SAW dinilai dengan wahyu dan wahyu telah terputus. Sekarang kami hanya menilai kamu berdasarkan amalan kamu yang zahir kepada kami. Sesiapa yang menzahirkan kebaikan kepada kami, kami akan mempercayainya dan mendekatinya; kami tidak berhak sedikit pun mencampuri perkara yang tersembunyi, Allah yang akan menghisabnya. Sesiapa yang menzahirkan kejahatan kepada kami, kami tidak akan mempercayainya dan membenarkannya walaupun dia berkata niatnya baik.” [Sahih al-Bukhari, no. 2641] Maka setiap Muslim hendaklah menghisab dirinya pada setiap kalimah yang diucapkannya atau setiap hukum yang dikeluarkannya dan sentiasa mengingati firman Allah Ta‘ala (yang bermaksud):

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” [Al-Isra’: 36]

Su’uz-zan atau sangkaan buruk berlaku kerana beberapa sebab. Yang paling banyak ialah apabila seseorang dibesarkan dalam suasana yang terkenal dengan akhlak buruk dan buruk sangka, sama ada di rumah atau bersama kawan-kawan, menjadikannya berniat tidak baik dan berhati busuk.

Sesiapa yang mengikut hawa nafsu akan dibawa kepada sangkaan dan prasangka dusta, kerana kasihkan sesuatu menjadikan seseorang buta dan tuli. Apabila seseorang cenderung kepada orang lain kerana hawa nafsunya, dia lupa akan kesalahan orang itu dan sentiasa berbaik sangka dengannya walaupun orang itu bersalah. Demikianlah sebaliknya, dia sentiasa berprasangka buruk, mencari kesalahan dan menimbulkan kesilapan orang yang dibencinya walaupun orang itu benar pada dasarnya.

Sesetengah manusia bersikap bongkak, kagum dengan kebolehan dirinya, sentiasa merasakan dirinya benar dan orang lain bersalah, membanggakan diri dan menghina orang lain. Semua ini menjadikannya bersikap buruk sangka terhadap orang lain.

Sesungguhnya fenomena buruk sangka sesama Muslim telah begitu meluas pada zaman kita, menjadi barah yang meruntuhkan hubungan dan kesatuan (wehdah) antara individu dan masyarakat Muslim. Ini memberi kesan negatif kepada kekuatan masyarakat untuk menghadapi cabaran dari dalam dan luar.

Buruk sangka, menuduh tanpa asas dan cepat menghukum telah menakutkan orang, menzalimi beberapa golongan dan beberapa orang soleh telah dipinggirkan tanpa sebab yang diizinkan oleh syariat, sebagaimana kata orang dahulu: “Aku melihat permusuhan tetapi tidak melihat sebabnya.” Semuanya berpunca daripada percakapan yang tidak bersandar … hanya sangkaan buruk, umpatan jahat dan tuduhan palsu. Firman Allah Ta‘ala (yang bermaksud): “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.” [Al-Ahzab: 58]

Penutup

Setelah jelas kepada kita, wahai saudara, bahawa buruk sangka ialah penyakit yang merosakkan, kita mesti berusaha membendungnya sebelum ia terus merebak dan menghancurkan.

Antara ubatnya ialah berbaik sangka (husnuz-zan) dengan manusia, menjauhi sikap buruk sangka dan berfikir semasak-masaknya sebelum membuat tuduhan atau hukuman. Tersalah kerana berbaik sangka lebih baik daripada tersalah kerana cepat menghukum dengan buruk sangka. Kata Saidina ‘Umar bin al-Khattab r.a.: “Janganlah kamu menyangka satu kalimah yang keluar daripada saudara mukminmu melainkan dengan kebaikan, selagi kamu masih mendapati ruang untuk meletakkannya di tempat yang baik.”

Ubat seterusnya ialah sentiasa mencari keuzuran yang memaafkan manusia, meninggalkan sikap suka mencari kesalahan atau mengorek keburukan orang lain, sentiasa berpegang dengan adab dan ajaran Islam dalam menghukum seseorang atau sesuatu perkara berdasarkan yang zahir dan menyerahkan segala yang tersembunyi kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala rahsia dan yang tersembunyi.

Firman Allah Ta‘ala (yang bermaksud): “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat menggantikan kebenaran sedikit pun.” [An-Najm: 28]

Sumber: khutbah Syeikh Dr. ‘Abd al-Bari ‘Awadh ath-Thubaiti (Imam Masjid Nabawi) dari mimbar Masjid Rasulullah SAW, Syawal 1422H. Alih bahasa oleh Abu Anas Madani, Madinah, Syawal 1422H.

Rujukan

7 sumber
  1. Al-Quran, Surah asy-Syu'ara' (26): 88–89.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah al-Hujurat (49): 12.

    Quran.com
  3. Sahih Muslim, Kitab at-Taubah, no. 2747 (riwayat Anas r.a.).

    Sunnah.com
  4. Sahih al-Bukhari, Kitab asy-Syahadat, no. 2641.

    Sunnah.com
  5. Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 36.

    Quran.com
  6. Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 58.

    Quran.com
  7. Al-Quran, Surah an-Najm (53): 28.

    Quran.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Khutbah Khutbah: Pengajaran Daripada Peristiwa Hijrah Rasulullah ﷺ 23 Jun 2026 Khutbah Tuntutan Mencintai Rasulullah S.A.W & Menghidupkan Sunnah-Nya 7 Sep 2025 Khutbah Tanggungjawab Mengisi & Mempertahankan Kemerdekaan Negara Malaysia 1 Sep 2025 Khutbah Khutbah Musim Haji (Siri 3): Sesudah Haji Tertunai 14 Nov 2011