Tulisan: Abu Ammar. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: kitab ‘Uqala’ al-Majanin (عقلاء المجانين).
Dikisahkan bahawa Buhlul ialah seorang lelaki yang dianggap gila pada zaman Khalifah ‘Abbasiyah, Harun ar-Rasyid.
Pada suatu hari, Harun ar-Rasyid lalu berhampiran dengannya ketika dia sedang duduk di sisi kubur.
Harun ar-Rasyid berkata kepadanya dengan nada menghina: “Wahai Buhlul, wahai si gila, bilalah kamu ini akan berakal?”
Buhlul lalu memanjat sebatang pokok sehingga sampai ke tempat yang paling tinggi. Kemudian dia menyeru Harun dengan sekuat-kuat suaranya: “Wahai Harun, wahai si gila, bilalah kamu ini akan berakal?”
Harun pun pergi ke bawah pokok itu sambil menunggang kudanya. Harun berkata kepada Buhlul: “Akukah yang gila atau engkau yang berada di atas pokok?”
Buhlul berkata kepada Harun: “Aku berakal.”
Harun bertanya: “Bagaimana kamu mengatakan kamu berakal?”
Buhlul menjawab: “Aku berakal dan tidak gila kerana aku tahu bahawa yang ini akan hilang (sambil menunjuk ke arah istana Harun) dan yang ini akan kekal (sambil menunjuk ke arah kubur). Maka aku memakmurkan yang ini (kubur) sebelum yang itu. Adapun kamu, kamu memakmurkan yang ini (istana) dan merosakkan yang ini (kubur). Kamu benci untuk berpindah dari tempat yang kamu makmurkan ke tempat yang kamu rosakkan, sedangkan kamu tahu bahawa kubur itulah tempat kamu kembali, tidak dapat tidak.”
Buhlul berkata lagi: “Katakanlah kepadaku, siapakah antara kita yang gila sebenarnya?”
Gementar hati Harun ar-Rasyid dan dia menangis sehingga basah janggutnya, lalu berkata: “Demi Allah, sesungguhnya engkau benar.”
Kemudian Harun berkata: “Tambahkanlah nasihat untukku, wahai Buhlul.”
Buhlul berkata: “Cukuplah bagimu Kitab Allah, maka berpegang teguhlah dengannya.”
Harun berkata: “Adakah kamu mempunyai sebarang hajat? Aku akan tunaikannya.”
Buhlul berkata: “Ya, aku ada tiga hajat. Jika kamu menunaikannya, aku berterima kasih kepadamu.”
Harun berkata: “Mintalah hajatmu itu.”
Buhlul berkata: “Tambahkanlah umurku.”
Jawab Harun: “Aku tidak mampu.”
Buhlul berkata lagi: “Selamatkanlah aku daripada Malaikat Maut.”
Jawab Harun: “Aku tidak mampu.”
Buhlul berkata lagi: “Masukkanlah aku ke dalam syurga dan jauhkanlah aku daripada neraka.”
Jawab Harun: “Aku tidak mampu.”
Buhlul berkata: “Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya engkau mamluk (yang dimiliki), bukan malik (yang memiliki). Aku tiada apa-apa hajat kepadamu.”
Abu Ammar dan AAM, 3 Jun 2013.
Rujukan
1 sumber-
Ibn Habib an-Naisaburi, 'Uqala' al-Majanin (bab Buhlul).
