Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Tazkirah

Jangan Jadi ‘Pengganti’ Syaitan

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 15 September 2008 · 4 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Mohd. Radzi Mohd. Zin (wawancara bersama Dr. Abdul Basit Abd. Rahman). Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: Utusan Malaysia, ruangan Bicara Agama, 15 September 2008.

Kepentingan ilmu dalam kehidupan sememangnya diakui oleh manusia. Ilmu dapat membebaskan seseorang daripada kejahilan dan juga kemiskinan. Ilmu juga menjadikan manusia seorang yang patuh kepada segala suruhan Allah dan meninggalkan segala yang ditegah.

Allah berfirman: “Sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dalam kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu.” (Surah Fatir: 28)

Wartawan Mohd. Radzi Mohd. Zin dan jurufoto Halim Khalid menemu bual Pengarah Dar Taibah Sdn. Bhd., Dr. Abdul Basit Abd. Rahman (Dr. Abu Anas Madani) bagi mengupas isu ini.

Majlis ilmu pada bulan Ramadan

Mega: Selalunya majlis ilmu kurang diminati termasuk dalam bulan Ramadan. Bagaimana hendak mengatasi hal ini?

Dr. Basit: Ramai dalam kalangan kita yang tidak ambil berat akan majlis ilmu. Apabila tidak dibiasakan mengikuti majlis ilmu di luar Ramadan, maka dalam bulan yang penuh berkat ini pun mereka masih kekok menghadirinya.

Sebab itu, penyair Arab (al-Busiri dalam Qasidah al-Burdah) ada menyebut, “Nafsu itu seperti bayi; jika dibiarkan, ia akan terus suka menyusu dan jika disapih (dihentikan susunya), ia akan berhenti.”

Sepatutnya dalam bulan Ramadan, ketika syaitan dibelenggu sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, umat Islam perlu ada kesedaran. Pada masa yang sama perlu ada kekuatan dan usaha untuk menaikkan taraf iman, kerana iman itu ada pasang surutnya.

Ramadan memberi peluang yang besar kepada kita untuk melawan nafsu secara gentleman, iaitu satu lawan satu. Kita tidak lagi terpaksa berhadapan dengan syaitan kerana ia telah dibelenggu.

Justeru, kita kena istiqamah dan banyak berzikir. Ulama berkata, zikir itu bukan hanya menyebut subhanallah sahaja tetapi meliputi membaca al-Quran, mempelajari bab halal dan haram termasuk makanan dan juga majlis-majlis tazkirah.

Kuliah malam dan solat tarawih

Mega: Bagi pelajar institusi pengajian tinggi, ada yang beranggapan rugi kalau tidak bertarawih kerana menghadiri kuliah. Betulkah tindakan ini?

Dr. Basit: Bagi pelajar, apabila jadual kuliah bertembung dengan tarawih, mereka perlu bijak membahagikan masa.

Waktu menunaikan solat tarawih itu panjang, iaitu bermula selepas solat Isyak hinggalah sebelum masuk waktu Subuh. Maknanya, jika menghadiri kelas malam, mereka masih boleh solat tarawih.

Yang terbaik ialah mencari rakan-rakan yang belum solat dan menunaikan solat tarawih secara berjemaah. Solat ini pula boleh dibuat secara ringkas; memadai dengan hanya membaca ayat-ayat lazim selepas al-Fatihah.

Ataupun, pelajar boleh memilih untuk solat sendirian. Lagipun pada asalnya Rasulullah SAW mengerjakan solat malam Ramadan secara bersendirian. Baginda hanya keluar mengimami orang ramai pada beberapa malam, kemudian meninggalkannya kerana bimbang ia akan difardukan ke atas umatnya.

Yang menghimpunkan orang ramai untuk mengerjakannya secara berjemaah di belakang seorang imam ialah Saidina Umar, selepas beliau melihat orang ramai di masjid bersolat secara berpecah-pecah, ada yang bersendirian dan ada yang dalam kumpulan kecil.

Kaedah yang sama boleh dilakukan oleh mereka yang terpaksa bertugas pada waktu malam seperti anggota penguat kuasa dan pasukan keselamatan.

Yang penting, jangan diabaikan pelajaran sehingga ketinggalan dan jangan diabaikan tarawih. Sebabnya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan (malam) Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mendirikan Ramadan bermaksud menghidupkan malamnya, iaitu dengan solat tarawih dan ibadat lain. Solat tarawih termasuk dalam amalan yang disebut dalam hadis ini.

“Pengganti” syaitan

Mega: Walaupun syaitan dibelenggu, ajaran sesat dan maksiat masih berlaku dalam Ramadan. Mengapa ajaran sebegini masih ada pengikutnya?

Dr. Basit: Golongan begini sebenarnya telah terdidik oleh syaitan. Jadi apabila syaitan dirantai, mereka menjadi galang gantinya.

Syaitan “asli” sudah tidak ada dalam Ramadan tetapi “penggantinya” masih berkeliaran. Mereka mengajak manusia melanggar hukum Allah dalam Ramadan.

Antara sebabnya ialah penyakit syubhat dalam diri yang menyebabkan manusia mudah menerima perkara-perkara yang pelik.

Jangan pula kita hairan, kerana kadang-kadang yang disesatkan itu ialah mereka yang berpendidikan agama. Allah menyesatkan mereka dalam ilmu mereka sendiri.

Demikian juga masih ramai lulusan agama yang terlibat dengan skim cepat kaya, saham konvensional dan lain-lain.

Ingatlah firman Allah: “… dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu daripada jalan Allah …” (Surah Sad: 26)

Memperbaiki ukhuwah

Mega: Orang mukmin itu bersaudara sebagaimana ayat 10 surah al-Hujurat. Apakah saranan Islam untuk memperbaiki ukhuwah terutama dalam Ramadan?

Dr. Basit: Dalam bab memperbaiki hubungan silaturahim dan persaudaraan ini, Ramadan pastinya masa yang terbaik. Terutamanya menziarahi ibu bapa di kampung dan bertanyakan tentang makan minum mereka. Jangan tunggu hari raya sahaja baru hendak pulang menziarahi mereka.

Dalam politik pun, ukhuwah Islamiah perlu dipulihkan. Kita kena sayang kepada sesama Muslim seperti kita menyayangi diri sendiri.

Jika ada perselisihan yang dibiarkan, ia akan menghalang kita daripada mendapat pengampunan. (Rasulullah SAW menyebut bahawa pengampunan ditangguhkan bagi dua orang yang bermusuhan sehingga mereka berdamai: riwayat Muslim.) Gali kembali al-Quran dan jadikannya paksi sebenar pegangan.

Sumber: Utusan Malaysia, ruangan Bicara Agama, 15 September 2008.

Rujukan

8 sumber
  1. Al-Quran, Surah Fatir (35): 28.

    Quran.com
  2. Sahih al-Bukhari, Kitab as-Saum, no. 1899; Sahih Muslim, no. 1079 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  3. Sahih al-Bukhari, Kitab Salat at-Tarawih, no. 2012; Sahih Muslim, no. 761 (riwayat Aisyah r.a.).

    Sunnah.com
  4. Sahih al-Bukhari, Kitab Salat at-Tarawih, no. 2010 (riwayat 'Abd ar-Rahman bin 'Abd al-Qari).

    Sunnah.com
  5. Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, no. 37; Sahih Muslim, no. 759 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com
  6. Al-Quran, Surah Sad (38): 26.

    Quran.com
  7. Al-Quran, Surah al-Hujurat (49): 10.

    Quran.com
  8. Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, no. 2565 (riwayat Abu Hurairah r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Tazkirah Tawaduk Sesama Mukmin, Tegas Mempertahankan Islam & Melayani Semua Dengan Baik 8 Jun 2026 Tazkirah Nasihat Kepada Pengguna Jalan Raya: Hormati Hak Pemandu Lain 29 Mac 2026 Tazkirah Muhasabah KPI Amalan Akhir Ramadhan: Ceria Dengan Ibadat @ Terabai? 9 Mac 2026 Tazkirah BAZAR Ramadhan Atau BAZIR Ramadhan? 26 Feb 2026