Allah SWT mencipta manusia untuk menyembah-Nya dan mendirikan syariat-Nya di atas muka bumi. Apabila manusia meninggalkan syariat Islam, bermakna mereka telah menyimpang jauh daripada fitrah yang Allah SWT jadikan. Islam membawa pengikutnya agar terus berada di atas landasan fitrah yang betul: berlaku adil dan tidak menzalimi sesiapa pun, kerana dengan keadilan manusia akan hidup aman, hak seseorang akan terjamin dan kedaulatan undang-undang akan terpelihara. Sama-samalah kita perhatikan keadilan Islam dalam bidang penghakiman (qadha’), adil dalam melaksanakan hukumnya ke atas orang perseorangan atau jemaah, pemerintah atau rakyat, miskin atau kaya.
Contoh Penghakimannya
Marilah kita renungi kembali kisah seorang hakim (qadi) Islam yang telah menghiasi bidang kehakiman Islam dengan cahaya yang bersinar dan contoh yang menakjubkan. Beliau ialah Syuraih al-Qadhi rahimahullah. Antara contoh penghakimannya ialah:
Pertama: Kuda Khalifah ‘Umar
Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a. telah membeli seekor kuda daripada seorang Badwi. Setelah membayar harganya, khalifah pun membawa kuda itu pergi. Tetapi setelah berjalan tidak berapa jauh, khalifah mendapati kuda itu cacat dan tidak mampu berlari jauh. Beliau pun berpatah balik kepada lelaki Badwi tadi dan berkata: “Ambillah kembali kuda kamu yang cacat ini.” Lelaki itu menjawab: “Saya tidak akan mengambilnya, wahai Amirul Mukminin. Saya telah menjualnya dalam keadaan baik, tidak cacat.” Kata ‘Umar r.a.: “Biarlah seorang pengadil memutuskan perkara ini antara kita.” Jawab lelaki itu: “Baiklah, yang akan menghakimi antara kita ialah Syuraih bin al-Harith al-Kindi.” Jawab ‘Umar: “Saya bersetuju.”
Mereka berdua pun pergi berjumpa Syuraih. Setelah mendengar aduan Badwi itu, Syuraih berpaling menghadap Khalifah ‘Umar seraya bertanya: “Tuan telah mengambil kuda itu dalam keadaan baik?” Jawab ‘Umar r.a.: “Ya.” Kata Syuraih: “Simpanlah apa yang tuan telah beli, wahai Amirul Mukminin atau kembalikannya sebagaimana tuan mengambilnya.” ‘Umar r.a. memandang Syuraih dengan kagum dan berkata: “Inilah penghakiman! Ucapan yang memisahkan antara hak dan batil, hukuman yang adil. Pergilah ke Kufah, saya melantik kamu sebagai hakimnya.”
Demikianlah keadilan Islam. Seorang lelaki biasa (si Badwi) yang tidak mempunyai apa-apa kedudukan berani berbantah dengan seorang pemimpin yang memerintah sebuah negara yang kuat dan tidak mahu mudah-mudah menerima kembali apa yang telah dijualnya beberapa minit sebelum itu. Kemudian dia juga yang menentukan siapa yang akan menjadi hakim bagi membicarakan kesnya. Sebaliknya, seorang khalifah menerima dengan baik semua permintaan Badwi itu, bukan dengan ugutan atau menakut-nakutkannya dengan pelbagai akta.
Hakim pula bebas dan berani mengeluarkan hukum yang hak walaupun ke atas pemerintah yang berkuasa. Pihak khalifah pula menerimanya dengan tenang, bahkan melahirkan kekaguman atas keberanian dan keadilan hakim yang menjatuhkan keputusan ke atasnya. Keberaniannya mendapat kepercayaan khalifah dan dibalas dengan jawatan tetap sebagai hakim Kufah, bukan dengan menghantar tentera khas pada waktu malam lalu membawanya ke suatu tempat yang tidak diketahui untuk mendiamkannya.
Kedua: Baju Besi Khalifah ‘Ali
Satu lagi contoh keadilan sistem kehakiman Islam yang ditunjukkan oleh hakim pilihan Khalifah ‘Umar r.a. ini berlaku semasa pemerintahan Khalifah ‘Ali bin Abi Talib r.a. ‘Ali r.a. kehilangan baju besi kesayangannya. Tidak lama kemudian, beliau mendapati baju besinya berada di tangan seorang kafir zimmi yang cuba menjualnya di pasar Kufah. Apabila melihatnya, Khalifah ‘Ali r.a. mengenali bajunya lalu berkata kepada zimmi itu: “Ini baju besi saya yang terjatuh dari unta pada suatu malam di suatu tempat…” Jawab zimmi itu: “Tidak, baju ini kepunyaan saya dan berada di tangan saya.”
Kata ‘Ali r.a.: “Ini baju saya. Saya tidak pernah menjualnya atau memberinya kepada sesiapa. Bagaimana ia boleh berada di tangan awak?” Jawab zimmi itu: “Yang akan memutuskan antara kita dalam kes ini ialah hakim kaum muslimin.” ‘Ali r.a. terus bersetuju, lalu mereka berdua pergi menghadap Syuraih al-Qadhi. Setelah berada di hadapan hakim, Syuraih bertanya kepada ‘Ali r.a.: “Apakah dakwaan tuan, wahai Amirul Mukminin?” Kata ‘Ali r.a.: “Saya dapati baju besi saya berada di tangan lelaki ini. Baju ini terjatuh dari unta saya pada suatu malam di suatu tempat…” (lalu beliau menyebut tempatnya).
Kata Syuraih: “Apa kata kamu, wahai zimmi?” Jawab zimmi itu: “Baju ini kepunyaan saya dan berada di tangan saya, tetapi saya tidak menuduh Amirul Mukminin berdusta.” Syuraih berpaling kepada ‘Ali r.a. dan berkata: “Saya tidak syak bahawa tuan benar dalam dakwaan ini dan baju ini kepunyaan tuan, tetapi tuan mesti membawa dua orang saksi bagi menyokong dakwaan ini.” Jawab ‘Ali r.a.: “Ya, anak saya al-Hasan dan hamba saya Qanbar menjadi saksi.” Kata Syuraih: “Persaksian anak untuk bapanya tidak diterima, wahai Amirul Mukminin.” Jawab ‘Ali r.a.: “Subhanallah! Seorang ahli syurga tidak diterima persaksiannya? Tidakkah kamu mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Al-Hasan dan al-Husain ialah penghulu pemuda ahli syurga’?” “Ya,” jawab Syuraih, “tetapi saya tidak menerima persaksian anak untuk bapanya.”
‘Ali r.a. terdiam seketika lalu akhirnya berkata: “Ambillah baju besi itu. Saya tiada saksi selain mereka berdua.” Zimmi tadi dengan penuh kesedaran mencelah: “Tetapi saya bersaksi bahawa baju itu kepunyaan tuan.” Kemudian dia berkata: “Ya Allah, Amirul Mukminin membawa dakwaan terhadap saya di hadapan hakimnya sendiri dan hakimnya pula memutuskan untuk saya! Saya bersaksi bahawa agama yang mengajar keadilan seperti ini ialah agama yang benar.” Lalu dia memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah.
Katanya lagi: “Ketahuilah wahai tuan hakim, bahawa baju ini kepunyaan Amirul Mukminin. Saya mengikuti tentera yang keluar menuju ke Siffin, tiba-tiba baju besi ini terjatuh dari unta baginda, lalu saya mengambilnya.” Kata ‘Ali r.a.: “Oleh kerana engkau telah memeluk Islam, saya hadiahkan baju besi ini kepadamu, bersama kuda ini.” Lelaki itu pun pergi membawa agama yang benar.
Penutup
Tidak lama selepas peristiwa itu, lelaki tersebut bertempur bersama ‘Ali r.a. pada hari Nahrawan dalam peperangan menentang Khawarij dan dia gugur syahid di situ, rahimahullah. Demikianlah Qadi Syuraih menghabiskan lebih 60 tahun hayatnya sebagai hakim di Kufah, bermula dari zaman pemerintahan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a., kemudian ‘Uthman, ‘Ali dan Mu‘awiyah r.a. serta khalifah-khalifah Bani Umayyah selepasnya. Beliau melaksanakan hukum Islam dengan penuh keadilan dan kebenaran tanpa mengira siapa, tidak takut kecuali kepada Allah Yang Maha Berkuasa lagi Maha Adil. Beliau meminta dilepaskan daripada jawatan qadi pada zaman al-Hajjaj menguasai wilayah Iraq, ketika usianya sudah lanjut melebihi seratus tahun. Begitulah contoh kewibawaan seorang tokoh kehakiman Islam yang menjadikan perundangan dan penghakiman Islam didaulatkan dan dipercayai oleh semua golongan, hatta orang bukan Islam.
Rujukan: Masyahir al-Qudhat oleh ‘Abd al-Mun‘im al-Hasyimi, hlm. 35–49.
Rujukan
1 sumber-
Jami' at-Tirmizi, no. 3768 (Abu Sa'id al-Khudri r.a.).
Sunnah.com
