Pada hari Sabtu, 17 April 2010, Persatuan Hospis Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu telah mengadakan Mesyuarat Agung Persatuan Hospis Kelantan bertempat di Dewan Serbaguna HRPZ II.
Abu Anas telah diundang untuk menyampaikan ceramah motivasi dan pembakar semangat kepada pegawai perubatan, paramedik, wakil NGO serta para pesakit yang hadir dalam majlis tersebut.
Persatuan Hospis ini ditubuhkan bertujuan membantu pesakit-pesakit kanser yang tiada harapan untuk sembuh dan memerlukan perhatian serta penjagaan yang berkualiti oleh keluarga dan masyarakat. Hospis Malaysia ditubuhkan pada tahun 1991, manakala Persatuan Hospis Kelantan didaftarkan pada tahun 1997.
Istilah “Tiada Harapan Untuk Sembuh”
Ana telah mengulas istilah “pesakit-pesakit yang tiada harapan untuk sembuh” dan mencadangkan agar kita menggunakan istilah yang lebih lunak dan tidak bertentangan dengan perspektif Islam, iaitu “pesakit-pesakit yang agak sukar untuk sembuh”. Ini kerana istilah pertama seolah-olah kita telah berputus asa dan berputus harapan terhadap rahmat dan kekuasaan Allah SWT Yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemberi Rahmat. Insya-Allah, jika dikehendaki-Nya, segalanya mungkin. Berapa ramai orang sakit yang kita ketahui, tiba-tiba dengan kehendak Allah SWT sembuh dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Istilah itu mungkin sesuai bagi bukan muslim yang tidak bertuhankan Allah, tetapi tidak bagi kita orang muslim yang mukmin. Ingatlah firman Allah SWT:
وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ
Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku.” (Asy-Syu‘ara’: 80)
Sabda Rasulullah SAW:
يَا عِبَادَ اللَّهِ تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ لَمْ يَضَعْ دَاءً إِلَّا وَضَعَ لَهُ شِفَاءً – أَوْ قَالَ: دَوَاءً – إِلَّا دَاءً وَاحِدًا. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا هُوَ؟ قَالَ: الْهَرَمُ
Maksudnya: “Wahai hamba-hamba Allah, berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu penyakit melainkan Dia menjadikan penawar baginya – atau Baginda bersabda: ubat – kecuali satu penyakit sahaja.” Para sahabat bertanya: “Apakah ia, wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Tua.” (Riwayat at-Tirmizi, no. 2038, daripada Usamah bin Syarik r.a.; kata at-Tirmizi: hasan sahih.)
Doa
Kepada pesakit yang diuji oleh Allah SWT, bersabarlah dan banyakkanlah berdoa dan bermunajat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mudah-mudahan dengan kuasa-Nya yang tidak dapat ditahan oleh sesuatu pun, doa itu akan dimakbulkan. Antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW:
أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا
Maksudnya: “Hilangkanlah penyakit ini, wahai Tuhan sekalian manusia. Sembuhkanlah, Engkaulah Yang Maha Menyembuhkan. Tiada kesembuhan melainkan kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit.” (Riwayat al-Bukhari, no. 5743)
Bacaan dan perbuatan apabila tubuh berasa sakit: letakkan tangan di tempat yang sakit, kemudian baca بِسْمِ اللَّهِ (Bismillah) tiga kali dan baca tujuh kali:
أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya daripada kejahatan apa yang aku rasai dan apa yang aku bimbangi.” (Riwayat Muslim, no. 2202) Untuk keterangan lanjut tentang doa-doa daripada Nabi SAW, sila rujuk buku Perisai Muslim.
Nikmat Kesihatan
Terima kasih kepada Akhi Dr. Zaidi dan Dr. Imi Sairi bin Haji Abdul Hadi, pakar bedah di HRPZ II, yang telah memberi peluang kepada ana mengenali Hospis ini dengan lebih dekat serta berkongsi maklumat dan pengalaman tentangnya.
Pada hari itu juga ana berpeluang menemui beberapa orang pesakit ahli Hospis, berkenalan dan mendengar cerita serta pengalaman yang mereka lalui. Betapa menginsafkan. Kita wajib bersyukur atas nikmat kesihatan dan tubuh badan yang sempurna yang Allah kurniakan atau pinjamkan, kepada kita buat sementara waktu ini. Semua ini boleh hilang dalam sekelip mata tanpa dijangka, walau sebanyak mana persediaan dan penjagaan yang kita lakukan.
Sabda Nabi SAW:
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ
Maksudnya: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi padanya (tidak menggunakannya sebaik mungkin): kesihatan dan masa lapang.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6412)
Abu Anas Madani, 17 April 2010.
Rujukan
5 sumber-
Al-Quran, Surah asy-Syu'ara' (26): 80.
Quran.com -
Jami' at-Tirmizi, no. 2038; Sunan Abi Dawud, no. 3855 (Usamah bin Syarik r.a.); hasan sahih.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 5743 ('Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 2202 ('Uthman bin Abi al-'As r.a.).
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 6412 (Ibn 'Abbas r.a.).
Sunnah.com
