Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Tazkirah

Mufti Menasihati Golongan Yang Mencerca Ulama

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 1 Mei 2012 · 3 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Samahah Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah Al asy-Syeikh, terjemahan blog bin-sahak. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: kenyataan Mufti Besar Arab Saudi yang disiarkan oleh laman islamfeqh.com (Mei 2012).

Mufti Memperingatkan Penuntut Ilmu Daripada Terjebak Menjatuhkan Maruah Ulama

Samahah asy-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abdullah Al asy-Syeikh, Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi merangkap Pengerusi Majlis Ulama Besar (Hai’ah Kibar al-‘Ulama’) dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa, memperingatkan para penuntut ilmu supaya tidak terjebak menjatuhkan maruah sesama mereka dengan menjadikan majlis-majlis mereka medan untuk mencela, mencerca, memperkecil dan memburukkan nama. Beliau menyeru agar barisan dan kalimah umat Islam disatukan dan agar apa yang kita perkatakan ialah kebaikan yang kita tujukan untuk mencari keredaan Allah SWT. Beliau juga mengingatkan supaya dijauhi perkara-perkara yang keji dan remeh yang tidak layak bagi ahli ilmu, apatah lagi bagi selain mereka.

Beliau juga mengisyaratkan kepada sebahagian orang yang menisbahkan diri kepada ilmu, yang majlis-majlis mereka dipenuhi dengan ghibah, namimah, persaksian palsu, perkataan-perkataan batil yang direka-reka serta penyebaran khabar angin untuk mencela si polan dan si polan. Mereka mendakwa (kononnya) perkara seumpama ini termasuk dalam bab al-jarh wa at-ta‘dil: “Kita mencela orang alim ini, mencacatkannya dan mengkritiknya kerana dia telah tersilap dan menyalahi manhaj kita; maka kita mesti menyalahkannya, mencacinya dan menisbahkan kepadanya apa yang tiada padanya.”

Beliau menambah: “Adapun bab al-jarh wa at-ta‘dil itu sudah dimaklumi. Tetapi bagaimana aku hendak mencela saudaraku, sedangkan dia dekat denganku dan belum meninggal dunia? Aku boleh menghubunginya dan berbincang dengannya tentang pandangan-pandangannya. Barangkali apa yang dinukilkan kepadaku tentangnya tidak menepati kenyataan.” Beliau berhujah dengan firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن جَآءَكُمْ فَاسِقٌۢ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوٓا۟ أَن تُصِيبُوا۟ قَوْمًۢا بِجَهَٰلَةٍ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu.” (Al-Hujurat: 6)

Samahah asy-Syeikh menyifatkan perbuatan ini sebagai satu kesalahan, sambil menjelaskan kewajipan seorang muslim untuk berbincang dengan saudaranya apabila sampai kepadanya kesalahan saudaranya itu, lalu menjelaskan kepadanya perkara yang benar; dengan itu dia akan memperoleh pahala. Adapun mencemarkan maruahnya, mencelanya, memburukkan namanya di hadapan orang lain serta menyebarkan pembohongan dan khabar angin tentangnya, maka perbuatan ini satu kesalahan yang menyebabkan pelakunya berdosa, bukan berpahala.

Beliau juga menjelaskan: “Alangkah baiknya jika para ulama saling berhubung, bantu-membantu sesama mereka dan menutup pintu-pintu syaitan yang menyibukkan sebahagian mereka dengan keaiban sebahagian yang lain sehingga terputus hubungan antara mereka. Sesungguhnya syaitan telah berputus asa daripada disembah oleh orang-orang yang bersolat di Semenanjung Tanah Arab, tetapi dia (tidak berputus asa) daripada melaga-lagakan antara mereka, iaitu menyemarakkan permusuhan dan kebencian.” (Merujuk hadis riwayat Muslim, no. 2812 daripada Jabir r.a.) “Perkara ini tidak wajar berlaku dalam kalangan umat Islam secara umum, lebih-lebih lagi dalam kalangan ahli ilmu.” Wallahu a‘lam.

Teks Asal (Bahasa Arab)

سماحة المفتي يحذر طلبة العلم من الوقوع في أعراض العلماء

حذر سماحة الشيخ عبد العزيز بن عبد الله آل الشيخ مفتي عام المملكة العربية السعودية ورئيس هيئة كبار العلماء ورئيس اللجنة الدائمة للبحوث العلمية والإفتاء، طلبة العلم من الوقوع في أعراض بعضهم وجعل مجالسهم مكاناً للسب والشتيمة والتنقص وتشويه السمعة، مطالباً بتوحيد الصف والكلمة وأن يكون ما نقوله خيراً نقصد به وجه الله، والحذر من المشينات والترهات التي لا تليق بأهل العلم فضلاً عن غيرهم.

مشيراً سماحته إلى أن بعض المنتسبين للعلم مجالسهم غيبة ونميمة وشهادة زور وأقوال باطلة ملفقة وترويج إشاعات ملفقة في الطعن في هذا وذاك، يقولون هذا باب الجرح والتعديل، نطعن في هذا العالم ونجرحه وننقده لأنه أخطأ وخالف منهجنا فلابد أن نخطئه ونسبه وننسبه لما لا يكون منه.

وأضاف سماحته: «أما باب الجرح والتعديل معروف لكن كيف أجرح أخي هو قريب مني وليس بميت أتصل به وأناقشه في آرائه فلعله نقل لي عنه شيء خلاف الواقع». واستشهد بقوله تعالى: {يا أيها الذين آمنوا إن جاءكم فاسق بنبأ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة}.

ووصف سماحته هذه التصرفات بالخطأ، مبيناً أنه يجب أن يناقش المسلم أخاه إذا بلغه خطأ منه، ويبين له الصواب ليكون مأجوراً في عمله أما انتهاك عرضه وسبه وتشويه سمعته عند الآخرين ونشر الأكاذيب والإشاعات عنه فهذا خطأ وحينها يكون مأزورا لا مأجورا.

وأوضح: «لو تواصل العلماء بينهم وتعاونوا وأغلقوا منافذ الشيطان في أن يشغل بعضهم بعيوب بعض ويحدث القطيعة بينهم، فإن الشيطان أيس أن يعبده المصلون في جزيرة العرب ولكن رضي بالتحريش بينهم، أي في إيقاد العداوة والبغضاء، وذلك غير لائق بعموم المسلمين لاسيما بأهل العلم».

Rujukan

2 sumber
  1. Al-Quran, Surah al-Hujurat (49): 6.

    Quran.com
  2. Sahih Muslim, no. 2812 (Jabir r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Tazkirah Tawaduk Sesama Mukmin, Tegas Mempertahankan Islam & Melayani Semua Dengan Baik 8 Jun 2026 Tazkirah Nasihat Kepada Pengguna Jalan Raya: Hormati Hak Pemandu Lain 29 Mac 2026 Tazkirah Muhasabah KPI Amalan Akhir Ramadhan: Ceria Dengan Ibadat @ Terabai? 9 Mac 2026 Tazkirah BAZAR Ramadhan Atau BAZIR Ramadhan? 26 Feb 2026