Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Akhlak & Adab

Padang Ragutnya Subur Tetapi Kambing Pula Sakit

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 9 Disember 2010 · 6 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Tulisan: Dr. ‘Aidh al-Qarni, terjemahan Abu Fatih al-Mubaraki. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: makalah Dr. ‘Aidh al-Qarni «المرعى أخضر ولكن العنز مريضة».

Pendahuluan

Tulisan Dr. ‘Aidh al-Qarni ini menyentuh sikap kasar sebahagian orang Islam, orang Arab dan lain-lain berbanding sebahagian orang Barat.

Aku menulis risalah ini dari bumi Paris ketika berkunjung ke sana untuk rawatan lutut.

Aku sebenarnya bimbang akan tohmahan yang mengatakan aku cenderung kepada Barat, sedangkan aku menulis tentang mereka dengan penuh kebenaran dan keinsafan berdasarkan penelitian dan pemerhatianku.

Pena Dr. ‘Aidh al-Qarni

Demi Allah! Sesungguhnya debu pada kasut Nabi Muhammad bin ‘Abdullah SAW lebih aku cintai daripada seluruh bumi Amerika dan Eropah dihimpunkan bersama.

Tetapi, mengakui dan mengiktiraf kebaikan orang lain bukanlah sesuatu yang tercela, bahkan ia merupakan manhaj al-Quran.

Firman Allah Ta‘ala:

لَيْسُوا۟ سَوَآءً ۗ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ أُمَّةٌ قَآئِمَةٌ

Maksudnya: “Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Antara mereka ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar)…” (Ali ‘Imran: 113)

Ketika aku berada di Paris, selain merujuk kes kesihatanku kepada para doktor, aku sempat melawat beberapa buah perpustakaan serta melihat dan memerhati gelagat masyarakat di sana. Aku perhatikan pergaulan dan hubungan sesama mereka. Sepanjang itu, aku mendapati wujudnya kehalusan sebuah tamadun, tabiat yang indah, jiwa yang lembut, kemesraan pertemuan, adab yang baik terhadap orang lain, nada suara yang tenang, hidup yang kemas tersusun, janji yang ditepati dan ketertiban dalam urusan hidup seharian!

Lantas terlintas persoalan di benakku…

Bagaimana Pula Halnya Dengan Kita, Warga Arab?

Ibn Khaldun rahimahullah telah mendahuluiku dengan menyifatkan kita (bangsa Arab) dengan sikap perengus dan kasar.

Walaupun begitu, aku masih berbangga menjadi seorang Arab kerana al-Quran itu berbahasa Arab dan Nabi Muhammad SAW juga seorang Arab.

Jika tidak kerana wahyu yang telah mendidik dan mengasuh para pengikutnya, nescaya kita semua masih berada di takuk lama, menyembah berhala Hubal, al-Lata, al-‘Uzza dan Manat yang ketiga!

Namun, kita masih mempunyai jiwa yang kering, hambar dan keras mengikut kadar jauhnya kita daripada mengamalkan syariat yang suci.

Kita masyarakat yang pemarah, bengis dan perengus… kecuali mereka yang dirahmati Allah (maka mereka bebas daripada sikap itu).

Lihat sahaja sebahagian masyaikh (guru) dan penuntut ilmu, termasuk diriku. Kita kekeringan akhlak yang sempurna dan mempunyai nilai diri yang rendah. Terlalu kusam akhlaknya sehingga jika ditanya tentang sesuatu, sebahagian mereka menyambut soalan itu dengan masam muka, berpaling tanpa menunjukkan minat dan penuh sikap tidak endah.

Para petugas keamanan daripada kalangan tentera misalnya, mereka bersikap sangat kasar dan bengis ketika bertugas. Pakaian seragam mereka itu pula menaikkan lagi keangkuhan dan keegoan mereka di hadapan khalayak awam.

Sebahagian suami pula berlagak dan berani tidak bertempat. Bengis dan tegas, menakutkan dan menggerunkan bak singa tatkala berhadapan dengan isteri, tetapi di luar sana sangat lemah lembut, sopan dan mesra pula sifatnya!

Tidak ketinggalan juga sebahagian isteri, umpama kala jengking yang menyengat dan ular yang berbisa!

Begitu juga dalam kalangan penjawat awam yang memikul amanah rakyat. Perwatakan mereka persis Namrud bin Kan‘an, penuh takbur dan sombong. Apabila menyapa, sering kali mereka berasa hebat. Tatkala duduk di khalayak ramai, mereka seolah-olah bertambah mulia dan gah dengan jawatan yang dipegang.

Pegawai-pegawai polis sering kali berbicara dengan bahasa yang kesat, pedih dan menyakitkan.

Para ustaz dan guru sangat tawar dan hambar dengan para pelajar…

Sesungguhnya semua ini menyebabkan kita sangat memerlukan perubahan. Kita berhajat kepada sebuah sekolah khusus (maahad latihan) untuk mendidik manusia tentang akhlak mulia.

Kita sangat berhajat kepada institusi yang mampu melahirkan penjawat awam yang mempunyai perwatakan penuh rahmat, kasih sayang, sopan santun dan tawaduk.

Kita berhajat kepada sebuah markas untuk melatih para tentera bersopan dengan masyarakat awam.

Kita memerlukan kolej khas dan bengkel yang mampu mengajar para suami dan isteri seni kehidupan berumah tangga.

Umat hari ini ternyata perlu kembali kepada pelaksanaan syariat yang tuntas dan tepat agar dapat keluar daripada belenggu kehambaran dan kekerasan jiwa yang jelas terlihat kusamnya pada wajah dan pergaulan kita.

Di negara-negara Arab, sering kali kamu akan bertemu dengan masyarakatnya yang berwajah seolah-olah penuh debu, dilitupi warna hitam dan gelap-gelita kesan daripada tekanan, sikap takbur, bongkak, dongkol, bebal dan keluh-kesah.

Kita sebenarnya telah menyempitkan diri kita sendiri, manusia dan kehidupan seluruhnya!

Kerana itu kita akan dapati pengguna jalan raya yang melanggar peraturan lalu lintas, menjadi punca kesesakan dan sering kali bertikam lidah, berbalah dan berkelahi sesama sendiri.

Keadaan dan tabiat ini disepakati sebabnya oleh teman-teman pendakwah tatkala aku bertanya kepada mereka: “Apakah puncanya semua ini?” Lalu mereka menjawab:

الحضارة ترقق الطباع

“Ketamadunan itulah yang melembutkan tabiat manusia.”

Berbeza halnya di sini (Perancis). Jika kita bertanyakan arah jalan kepada seorang warga Perancis, dia akan segera keluar dari kenderaannya dengan membawa sebuah peta menuju ke kereta kita. Setelah itu dia akan menerangkan semuanya dengan jelas, sedangkan kita masih duduk di kerusi pemandu dalam kereta kita.

Tatkala kita berjalan di sebuah laluan lalu hujan mula turun, anda akan mendapati seseorang membuka payung untuk melindungi kita daripada terkena hujan.

Begitu juga ketika berebut atau bersesak di hadapan pintu masuk hotel mahupun hospital, pasti ada insan yang memberi laluan, diiringi kata-kata yang penuh sopan dan menyenangkan.

(Di Paris) Aku lihat banyak hadis Nabi SAW diamalkan dan direalisasikan: penghormatan yang berbalas, bahasa yang sopan dan gaya hidup bertamadun, khasnya dalam aspek pergaulan dan perhubungan sesama manusia.

Sedangkan jika dibandingkan dengan warga tanah Arab, ternyata berbeza. Jika sedang marah, pasti diselangi dengan kata-kata laknat, caci maki, cercaan dan hinaan. Ke manakah hilangnya manhaj al-Quran yang mengajar kita dengan ayat-ayat seperti:

وَقُل لِّعِبَادِى يَقُولُوا۟ ٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik…” (Al-Isra’: 53)

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلْجَٰهِلُونَ قَالُوا۟ سَلَٰمًا

Maksudnya: “…dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini.” (Al-Furqan: 63)

فَٱصْفَحِ ٱلصَّفْحَ ٱلْجَمِيلَ

Maksudnya: “…maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik.” (Al-Hijr: 85)

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ ۝ وَٱقْصِدْ فِى مَشْيِكَ وَٱغْضُضْ مِن صَوْتِكَ ۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلْأَصْوَٰتِ لَصَوْتُ ٱلْحَمِيرِ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata); sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” (Luqman: 18–19)

Begitu juga dalam hadis:

الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ

“Orang-orang yang mengasihani akan dikasihani oleh ar-Rahman.” (Riwayat Abu Dawud, no. 4941 dan at-Tirmizi, no. 1924)

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

“Seorang muslim ialah orang yang orang-orang Islam lain selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya.” (Muttafaq ‘alaih)

لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا

“Janganlah kamu saling membenci, janganlah saling berhasad dengki dan janganlah saling membelakangi (memutuskan hubungan). Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Muttafaq ‘alaih)

Kita mempunyai syariat yang bersifat rabbani lagi penuh keberkatan, namun sangat lemah pelaksanaannya.

Telah berkata seorang cendekiawan India:

المرعى أخضر ولكن العنز مريضة

“Padang ragutnya subur, tetapi malang, kambingnya pula sakit.”

Akhirnya, aku memohon agar sesiapa sahaja yang membaca risalahku ini berusaha sedikit demi sedikit untuk mengubah sikap dan paradigma. Ubahlah sikap terhadap masyarakat sekeliling, keluarga dan manusia seluruhnya, sama ada Islam atau bukan.

Wajib atas kita memperbaiki hubungan dan meningkatkan kualiti pergaulan dengan manusia… kerana kitalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia…

Alih bahasa: Abu Fatih al-Mubaraki. Dibaca oleh: Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, 3 Muharam.

Rujukan

8 sumber
  1. Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 113.

    Quran.com
  2. Al-Quran, Surah al-Isra' (17): 53.

    Quran.com
  3. Al-Quran, Surah al-Furqan (25): 63.

    Quran.com
  4. Al-Quran, Surah al-Hijr (15): 85.

    Quran.com
  5. Al-Quran, Surah Luqman (31): 18–19.

    Quran.com
  6. Sunan Abi Dawud, no. 4941; Jami' at-Tirmizi, no. 1924.

    Sunnah.com
  7. Sahih al-Bukhari, no. 10; Sahih Muslim, no. 40.

    Sunnah.com
  8. Sahih al-Bukhari, no. 6065; Sahih Muslim, no. 2559 (Anas r.a.).

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Akhlak & Adab Definisi Jiran Tetangga & Kewajipan Berjiran Dalam Islam 21 Jun 2026 Akhlak & Adab Kenali Tufaili “Lalat Hijau” Yang Datang Ke Kenduri Tanpa Jemputan 10 Jun 2026 Akhlak & Adab Adab Jemputan: Jangan Datang Tanpa Diundang & Hormati Hak Tuan Rumah 6 Apr 2026 Akhlak & Adab Adab Menjemput Tetamu & Cerminan Rumah Tangga Bahagia 21 Jan 2026