Bahagian pertama artikel ini diringkaskan daripada tulisan Dr. Ahmad Najib al-Qari (Universiti Malaya, Nilam Puri) bertajuk “Isu-isu Dalam Sirah Nabi SAW”. Lihat juga soal jawab Bilakah Tarikh Kelahiran (Maulid) Nabi SAW dan Wafatnya Baginda?
Tahun Kelahiran
- Pendapat yang masyhur ialah Nabi SAW dilahirkan pada Tahun Gajah (‘Am al-Fil).
- Dikatakan setahun selepas Tahun Gajah. Ada juga yang mengatakan 40 hari atau 50 hari selepasnya.
- Ada juga yang mengatakan 10 tahun, 23 tahun dan 30 tahun selepas Tahun Gajah.
Menjelaskan perbezaan yang ketara ini, al-Imam adz-Dzahabi menukilkan: “Berkata Abu Ahmad al-Hakim: Nabi SAW dilahirkan 30 hari selepas peristiwa Gajah, sebagaimana pendapat sebahagian ulama.” Ada juga yang mengatakan 40 hari selepasnya. Seterusnya adz-Dzahabi menyatakan bahawa kesilapan mereka yang mengatakan 30 atau 40 tahun barangkali berpunca daripada kekeliruan antara “hari” (yauman) dengan “tahun” (‘aman).
Kata as-Suhaili dan Ibnu Kathir: itulah pandangan yang paling masyhur (Baginda dilahirkan pada Tahun Gajah).
Bulan Kelahiran
- Pendapat jumhur ulama: Baginda SAW dilahirkan pada bulan Rabiulawal.
- Dikatakan juga Nabi SAW lahir pada bulan Ramadan. Pendapat kedua ini dihukum oleh al-Hafiz Ibnu Kathir sebagai amat ganjil (gharib jiddan). [Al-Bidayah wa an-Nihayah, 2/260]
Hari Kelahiran
Dalam Sahih Muslim (no. 1162), apabila Baginda SAW ditanya tentang puasa pada hari Isnin, Baginda menjawab: “Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku dibangkitkan – atau diturunkan wahyu kepadaku.”
Penentuan Tarikh Kelahiran Nabi SAW
Kata Ibnu Kathir:
- Baginda dilahirkan pada 2 Rabiulawal. Pendapat ini disebut oleh Ibn ‘Abd al-Barr dalam kitab al-Isti‘ab dan diriwayatkan oleh al-Waqidi.
- Al-Humaidi pula meriwayatkan daripada Ibn Hazm bahawa tarikh kelahiran Baginda SAW ialah 8 Rabiulawal.
- Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda SAW ialah 10 Rabiulawal.
- Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda SAW ialah 12 Rabiulawal, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Ishaq dan diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf daripada Jabir dan Ibn ‘Abbas r.a. Kata mereka berdua: “Rasulullah SAW dilahirkan pada Tahun Gajah, hari Isnin, 12 Rabiulawal. Pada hari itu juga Baginda dibangkitkan menjadi nabi, dimi‘rajkan ke langit, berhijrah dan wafat.” Kata Ibnu Kathir: Inilah pendapat yang masyhur di sisi jumhur ulama. Wallahu a‘lam.
- Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda SAW ialah 17 Rabiulawal. Pendapat ini dinukilkan oleh Ibn Dihyah daripada sebahagian golongan Syiah.
- Dikatakan bahawa tarikh kelahiran Baginda SAW ialah 22 Rabiulawal, sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Dihyah daripada catatan al-Wazir Abu Rafi‘.
Memandangkan riwayat Jabir dan Ibn ‘Abbas r.a. yang menyebut kelahiran Baginda pada 12 Rabiulawal dianggap lemah oleh ahli hadis, terdapat kecenderungan untuk mengambil kira perkiraan ahli falak dalam hal ini. Lantaran itu timbul pendapat bahawa tarikh kelahiran Baginda ialah pada 9 Rabiulawal (pagi Isnin). Antara yang berpegang dengan pendapat ini:
- Al-Ustaz Mahmud Basya al-Falaki (m. 1302H).
- Al-Ustaz Sulaiman al-Mansurfuri.
Kata Syeikh Muhammad Salih al-‘Uthaimin: Sebahagian ahli falak terkemudian telah meneliti tarikh kelahiran Baginda dan ia jatuh pada 9 Rabiulawal, bukan 12 Rabiulawal.
Pendapat ini dipegang oleh Syeikh Safiyyurrahman al-Mubarakfuri berdasarkan penelitian dua tokoh falak di atas. Tarikh itu bersamaan 20 atau 22 April 571M.
Prof. Dr. Akram Diya’ al-‘Umari pula kelihatan lebih memihak kepada pendapat Ibn Ishaq yang memilih tarikh 12 Rabiulawal, atas alasan Ibn Ishaq lebih thiqah (dipercayai) berbanding al-Waqidi dan Abu Ma‘syar as-Sindi.
[Diringkaskan daripada tulisan Dr. Ahmad Najib al-Qari, UM Nilam Puri, bertajuk “Isu-isu Dalam Sirah Nabi SAW”, dipetik daripada buku Penghayatan Sirah Nabi SAW terbitan Persatuan Alumni Universiti Islam Madinah, Kelantan.]
Penjelasan Abu Anas Madani
Pada penelitian saya, hikmah Rasulullah SAW sendiri tidak menentukan tarikh sebenar kelahiran Baginda (tidak seperti hari Isnin yang jelas disebut) adalah sama dengan tarikh kiamat yang tidak ditentukan bila, cuma disebut akan berlaku pada hari Jumaat. Ia supaya kita umatnya sentiasa berusaha beramal soleh dan melakukan kebajikan sepanjang masa dan zaman, bukan hanya pada tarikh-tarikh tertentu sahaja.
Tarikh itu tidak penting dan bukan perkara besar. Apa yang penting ialah melahirkan kecintaan kita terhadap Rasulullah SAW dengan mengikut segala arahan dan ajarannya serta menjauhkan diri daripada segala larangan dan amarannya.
Penghayatan Sirah Rasulullah SAW
Mengkaji sirah Rasulullah SAW bukanlah seperti mengkaji seorang tokoh atau pemimpin biasa atau sekadar kagum dan bermegah dengan ketokohan atau kepimpinannya. Ia mempunyai hubungan yang erat dengan persoalan mengapa kita beriman kepada Allah, mengapa kita percaya kepada kenabian Muhammad SAW, mengapa kita beriman kepada kitab yang diwahyukan kepadanya, mengapa kita mendakwahkan orang lain supaya beriman seperti kita beriman, bahkan seterusnya mengapa kita berjihad seperti jihadnya.
Mempelajari sirah Rasulullah SAW bukanlah sekadar mengetahui peristiwa atau sejarah atau dengan kata lain seperti mempelajari sejarah biasa. Tujuan sebenarnya ialah memahami tasawur Islam yang hakiki, yang dizahirkan oleh peribadi Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. yang mendampingi Baginda, khususnya pada zaman pembentukan iman dan tuntutannya dalam diri setiap individu, rumah tangga, masyarakat dan negara (sama ada yang berhubung dengan akidah, syariat, nizam atau akhlak).
Di sana jelas kepada kita bahawa sirah Rasulullah SAW bukanlah sekadar cerita yang disebut atau dinyanyikan pada hari jadi, memuja umur, pertabalan atau kewafatan dengan laungan semata-mata atau slogan-slogan yang ditulis pada sepanduk. Justeru, hubungan seorang muslim yang sebenar dengan Rasulullah SAW adalah ke arah Islam yang tulen, bukan Islam yang tiruan dan palsu.
Maka apa yang dibaca dan didengar tentang Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. adalah semata-mata untuk memahami, mendekati dan menghayati sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan serta sebagai persediaan untuk kembali kepada Allah SWT, sama ada semasa perang atau damai, dalam ilmu dan amal atau dalam ibadah dan adat.
Kesimpulan
Kepada orang-orang yang meneruskan perjuangan dengan slogan-slogan dan nasyid-nasyid atau sekadar memuji dan memuja dengan lidah yang tidak bertulang dan dengan dakwah yang “cair”, kita peringatkan dengan firman Allah SWT:
وَذَرِ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِۦٓ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌۢ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِىٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَآ ۗ أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ أُبْسِلُوا۟ بِمَا كَسَبُوا۟ ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌۢ بِمَا كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ
Maksudnya: “Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan senda gurau dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia. Peringatkanlah (mereka) dengan al-Quran itu agar setiap diri tidak dijerumuskan ke dalam neraka kerana perbuatannya sendiri. Tiada baginya pelindung dan tiada pula pemberi syafaat selain Allah. Dan jika ia menebus dengan segala macam tebusan pun, nescaya tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan ke dalam neraka disebabkan perbuatan mereka sendiri. Bagi mereka minuman daripada air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekufuran mereka dahulu.” (Al-An‘am: 70)
Akhukum, Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, 11 Rabiulawal 1433H.
Rujukan
5 sumber-
Sahih Muslim, no. 1162 (Abu Qatadah r.a.).
Sunnah.com -
Ibn Kathir, al-Bidayah wa an-Nihayah, 2/260 dan seterusnya (bab kelahiran Rasulullah SAW).
ar.wikisource.org -
Safiyyurrahman al-Mubarakfuri, ar-Rahiq al-Makhtum, fasal al-Maulid.
Maktabah Syamilah -
Sahih Muslim, no. 854 (Abu Hurairah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-An'am (6): 70.
Quran.com
