Pendahuluan
Telah masyhur dalam kalangan ulama Islam dahulu dan sekarang bahawa peringkat kejadian janin yang pertama ialah air mani (النطفة), kemudian segumpal darah (العلقة), kemudian seketul daging (المضغة). Semua proses kejadian ini dikatakan berlangsung selama 120 hari, berdasarkan apa yang difahami daripada hadis "penghimpunan kejadian manusia" (جمع الخلق) yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan lain-lain daripada 'Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya [1]:
حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم -وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ- قَالَ: «إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَبْعَثُ اللَّهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ، وَيُقَالُ لَهُ: اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ، ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ الرُّوحُ...»
Maksudnya: "Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedang baginda seorang yang benar lagi dibenarkan kata-katanya, sabdanya: 'Sesungguhnya seseorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian menjadi segumpal darah seumpama itu, kemudian menjadi seketul daging seumpama itu, kemudian Allah mengutuskan seorang malaikat yang diperintahkan dengan empat kalimah. Dikatakan kepadanya: Tulislah amalannya, rezekinya, ajalnya dan sama ada dia celaka atau bahagia. Kemudian ditiupkan roh padanya…'" (Sahih al-Bukhari, no. 3208)
Berdasarkan hadis ini, mereka menafsirkan bahawa roh ditiupkan ke dalam janin selepas peringkat seketul daging, iaitu pada zahirnya selepas 40 hari yang ketiga [2].
Kerana itulah ada ulama yang berfatwa bahawa harus menggugurkan kandungan dalam tempoh empat bulan pertama kehamilan tanpa sebab darurat, kerana pada fahaman mereka janin pada peringkat ini hidup seperti tumbuh-tumbuhan dan belum ditiupkan roh sebagai manusia. Fahaman ini tertanam begitu kuat dalam kalangan sebahagian ulama sehingga ia seolah-olah menjadi satu fahaman yang diterima dalam syariah, iaitu bahawa kejadian janin melalui tiga kali 40 hari. Sedangkan fahaman ini bercanggah dengan hakikat ilmiah (saintifik) yang muktamad dalam ilmu embriologi moden, sehingga ada segolongan orang Islam yang tidak mendalam ilmu agamanya menolak hadis-hadis seumpama ini. Demikian juga golongan anti-Islam menjadikan hadis-hadis seumpama ini senjata untuk menyerang Islam.
Fahaman ini bertentangan dengan kajian terhadap apa yang dijelaskan oleh al-Quran tentang proses kejadian janin dan huraian ahli tafsir mengenainya. Ia juga bertentangan dengan penjelasan hadis Nabi SAW tentang masa kejadian janin yang begitu terperinci dan menyamai dapatan kajian sains moden, bahawa peringkat kejadian janin, bermula daripada air mani, segumpal darah dan seketul daging, semuanya berlaku dalam 40 hari pertama sahaja.
Dalam perbincangan ini akan disebut beberapa asas.
Dalil-dalil al-Quran
Penjelasan al-Quran tentang kejadian janin dan huraian ulama tafsir mengenainya:
وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada 'pati' (yang berasal) daripada tanah; kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air mani pada penetapan yang kukuh; kemudian Kami ciptakan air mani itu menjadi segumpal darah beku, lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." (Surah al-Mu'minun, ayat 12–14)
Satu: Peringkat air mani (النطفة)
Kata Ibn Kathir [3]: "Kemudian Kami jadikan nutfah, iaitu air yang terpancut keluar dari tulang sulbi lelaki dan tulang dada (tara'ib) perempuan." Nutfah juga disebut sebagai percampuran air mani lelaki dan perempuan sebagaimana yang tersebut dalam ayat:
إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن نُّطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَّبْتَلِيهِ
Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada (setitis) air mani yang bercampur (benih lelaki dan perempuan) untuk Kami mengujinya…" (Surah al-Insan, ayat 2)
Peringkat ini ialah peringkat telur yang telah disenyawakan melalui beberapa tahap yang semuanya masih dalam bentuk setitis air.
Dua: Peringkat segumpal darah (العلقة)
Peringkat ini melalui beberapa proses dari awal hingga akhirnya. Kalimah 'alaqah, seperti yang dijelaskan oleh ahli tafsir, diambil daripada kalimah 'aliqa, iaitu melekat dan bergantung pada sesuatu yang lain. Ini bertepatan dengan keadaan janin yang melekat pada dinding rahim sepanjang minggu kedua.
'Alaqah juga bermaksud darah, darah yang sangat merah atau darah beku. Ia bertepatan dengan keadaan janin pada peringkat ini. Tempoh peringkat ini bermula pada minggu kedua hingga akhir minggu ketiga.
Tiga: Peringkat seketul daging (المضغة)
Peringkat ini bermula pada minggu keempat; tepatnya pada hari ke-22 jantung mula berdenyut dan janin memasuki peringkat mudghah. Ulama tafsir telah menjelaskan peringkat ini dengan terperinci. Kata Ibn Kathir: "Mudghah ialah seketul, seperti seketul daging yang tidak mempunyai sebarang bentuk, besarnya sekadar yang dapat digigit." Ini bertepatan dengan keadaan janin pada awal peringkat ini yang ukurannya sebesar biji gandum hingga sebesar biji kacang tanah (3–5 mm). Janin melalui proses pembesaran yang cukup cepat setiap hari, bahkan setiap jam.
Pada akhir peringkat ini akan kelihatan sifat kejadian tangan, kaki, kepala, dada dan perut, demikian juga organ dalaman tubuh, sedangkan tubuh zahirnya masih seperti seketul daging. Inilah yang digambarkan dalam al-Quran:
ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍ مُّخَلَّقَةٍ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍ
Maksudnya: "Kemudian daripada seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan." (Surah al-Hajj, ayat 5)
Daripada nas ini jelas bahawa pembentukan rupa manusia bermula pada peringkat ini. Ilmu embriologi pula menegaskan bahawa pembentukan rupa manusia bermula pada awal minggu keempat hingga sebelum tamat minggu keenam. Selepas itu bermula pula peringkat baharu.
Empat: Peringkat kejadian tulang
Pada minggu ketujuh bermula satu proses baharu, iaitu terbentuknya tulang dan tubuh mula menjadi kuat. Kata Ibn Kathir: "Yakni Kami jadikan bentuknya mempunyai kepala, tangan dan kaki dengan tulang-tulang dan urat sarafnya." Kata asy-Syaukani [4]: "Allah menjadikannya keras supaya menjadi tiang kepada tubuh mengikut bentuknya yang khas."
Menurut ilmu embriologi, tulang dijadikan terlebih dahulu, kemudian dibaluti dengan daging pada akhir minggu ketujuh dan sepanjang minggu kelapan.
Dengan ini berakhirlah peringkat pembentukan rupa manusia dalam bentuk yang begitu kecil. Apabila tamat minggu kelapan, berakhirlah peringkat embrio. Selepas itu disebut peringkat fetus atau dalam al-Quran disebut peringkat an-nasy'ah (penciptaan).
Peringkat "dijadikan makhluk yang lain" (النشأة خلقا آخر)
Peringkat ini bermula pada minggu kesembilan. Janin membesar dengan perlahan hingga minggu kedua belas, kemudian membesar dengan cepat hingga ke akhirnya. Ia mempunyai beberapa ciri tertentu, antaranya:
- Berlaku proses pembesaran semua anggota sebagai persediaan untuk menjalankan tugas masing-masing.
- Janin sudah ditiupkan roh kepadanya menurut pendapat kebanyakan ulama tafsir. Kata Ibn Kathir: "Kemudian Kami tiupkan roh kepadanya, lalu ia bergerak dan menjadi makhluk lain yang mempunyai pendengaran, penglihatan, perasaan dan gerakan."
Dalil-dalil hadis
Nas-nas hadis yang menjelaskan kejadian janin:
Hadis pertama
Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan daripada 'Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya:
حَدَّثَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم -وَهُوَ الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ-: «إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ»
Maksudnya: "Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedang baginda seorang yang benar lagi dibenarkan kata-katanya: 'Sesungguhnya seseorang daripada kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian pada masa itu menjadi segumpal darah seumpama itu, kemudian pada masa itu menjadi seketul daging seumpama itu. Kemudian diutuskan malaikat lalu meniupkan roh padanya dan dia diperintahkan dengan empat kalimah: menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan sama ada dia celaka atau bahagia.'" (Sahih Muslim, no. 2643)
Hadis kedua
Daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari r.a., sabda Nabi SAW:
«إِذَا مَرَّ بِالنُّطْفَةِ ثِنْتَانِ وَأَرْبَعُونَ لَيْلَةً، بَعَثَ اللَّهُ إِلَيْهَا مَلَكًا فَصَوَّرَهَا وَخَلَقَ سَمْعَهَا وَبَصَرَهَا وَجِلْدَهَا وَلَحْمَهَا وَعِظَامَهَا، ثُمَّ قَالَ: يَا رَبِّ، أَذَكَرٌ أَمْ أُنْثَى؟ فَيَقْضِي رَبُّكَ مَا شَاءَ وَيَكْتُبُ الْمَلَكُ...»
Maksudnya: "Apabila air mani telah melalui 42 malam, Allah mengutuskan kepadanya seorang malaikat, lalu malaikat itu membentuk rupanya, menjadikan pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, dagingnya dan tulangnya. Kemudian malaikat itu bertanya: Wahai Tuhan, adakah ia lelaki atau perempuan? Maka Tuhanmu menentukan apa yang dikehendaki-Nya dan malaikat itu menulisnya…" (Sahih Muslim, no. 2645)
Dalam hadis pertama Nabi SAW menyatakan bahawa kejadian manusia dihimpunkan dalam masa 40 hari. Apakah maksud "dihimpunkan" (جمع) dalam hadis ini? Maksud jama'a ialah menghimpunkan sesuatu dengan yang lain selepas ia berselerak. Daripada hadis ini boleh disimpulkan bahawa Nabi SAW mengisyaratkan kepada berhimpunnya sel-sel yang banyak dalam rahim pada peringkat ini sehingga menjadi janin.
Hadis ini juga menunjukkan bahawa proses kejadian janin yang pertama, iaitu segumpal darah kemudian seketul daging, semuanya bermula dan selesai dalam masa 40 hari. Tidak ada riwayat yang sahih yang menyebut bahawa nutfah (air mani) itu berlangsung selama 40 hari pertama.
Riwayat ini berbeza daripada riwayat Imam al-Bukhari dengan adanya tambahan (في ذلك) "pada masa itu". Dengan tambahan ini, fahaman menjadi jelas, bertepatan dengan penemuan saintifik dan hilanglah semua keraguan yang ditimbulkan oleh musuh Islam.
Maka berdasarkan riwayat ini, kejadian janin dihimpunkan dalam 40 hari pertama usianya dan proses menjadi segumpal darah kemudian seketul daging juga berlaku dalam tempoh 40 hari itu, kerana lafaz (في ذلك) "pada masa itu" kembali kepada masa (40 hari). Adapun isyarat (مثل ذلك) "seumpama itu" mesti kembali kepada sesuatu dan yang paling hampir di sini ialah penghimpunan kejadian (جمع الخلق).
Hadis kedua pula menjelaskan bahawa sebelum berlalunya 42 hari, kejadian janin belum dapat dibezakan sebagai seorang manusia dan sifat kejadiannya belum sempurna.
Penjelasan khilaf dalam memahami hadis
Syeikh 'Abd al-Majid az-Zindani telah mengharmonikan (taufiq) antara hadis-hadis dalam masalah ini. Telah jelas daripada dalil-dalil syarak dan hakikat kajian ilmiah yang kukuh bahawa pendapat yang mengatakan janin melalui proses 40 hari bagi setiap peringkat adalah tidak tepat, berdasarkan dalil-dalil berikut.
Pertama: Hadis Ibn Mas'ud r.a. diriwayatkan oleh dua imam, al-Bukhari dan Muslim, tetapi riwayat Muslim menambah perkataan (في ذلك) dua kali sebelum lafaz (علقة) dan (مضغة). Tambahan ini sahih dan dianggap sebagai asal matan hadis untuk menghimpunkan kedua-dua riwayat. Dengan itu, riwayat yang sempurna bagi hadis ini ialah riwayat Imam Muslim.
Kedua: Al-Quran menyebut bahawa tulang dijadikan selepas terjadinya seketul daging dan Nabi SAW dalam hadis Huzaifah menjelaskan bahawa awal kejadian tulang ialah selepas 42 malam dari bercampurnya air mani. Maka fahaman yang mengatakan tulang dijadikan selepas 120 hari bercanggah dengan riwayat Huzaifah dan juga bercanggah dengan kajian saintifik bahawa kejadian tulang bermula pada minggu keenam, bukan selepas minggu ke-17. Ini menguatkan lagi maksud hadis Huzaifah.
Imam 'Abd ar-Rahman Ibn Rajab [5] telah menjelaskan perkara ini ketika menghuraikan hadis Ibn Mas'ud r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, yang lafaznya hampir sama dengan riwayat al-Bukhari. Katanya: "Riwayat Imam Ahmad yang menunjukkan bahawa janin tidak dibaluti dengan daging kecuali selepas 160 hari adalah satu kesilapan. Perawinya 'Ali bin Zaid, iaitu Ibn Jud'an, tidak boleh dijadikan hujah riwayatnya."
Beliau juga mengatakan: "Zahir hadis (Huzaifah) menunjukkan bahawa pembentukan rupa janin, kejadian pendengarannya, penglihatannya, kulitnya, daging dan tulangnya berlaku pada awal 40 hari yang kedua. Ini bererti pada awal 40 hari kedua itu sudah dijadikan daging dan tulang."
Ketiga: Fahaman tersebut juga bercanggah dengan gambaran kejadian janin yang dijelaskan oleh al-Quran. Janin pada hari ke-20, ke-30 atau ke-39 tidak lagi boleh disifatkan sebagai air mani. Pada hari ke-60 atau ke-70 pula ia tidak lagi boleh disifatkan sebagai segumpal darah kerana kejadiannya telah sempurna. Demikian juga, tidak mungkin pada hari ke-80 hingga ke-120 ia dianggap seketul daging kerana kejadiannya telah lama selesai dan setiap anggotanya telah pun menjalankan tugas masing-masing.
Bilakah roh ditiupkan?
Isu ini tidak dapat dijelaskan oleh ilmu sains, tetapi ia dijelaskan oleh nas-nas syarak. Menurut kajian ulama, tidak ada nas yang jelas lagi sahih melainkan hadis "penghimpunan kejadian manusia" (جمع الخلق) yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim dan lain-lain daripada 'Abdullah bin Mas'ud r.a. yang telah disebut di atas.
Ulama Islam telah sepakat bahawa janin ditiupkan roh selepas selesai peringkat mudghah (seketul daging), berdasarkan nas hadis Nabi SAW yang jelas. Kejadian seketul daging pula berlaku dalam 40 hari pertama sebagaimana hadis jam' al-khalq dan hadis Huzaifah, serta penemuan kajian saintifik tentang janin. Yang sahihnya, roh ditiupkan selepas 40 hari pertama usia janin dan pasti bukan sebelumnya. Tetapi bilakah tepatnya peristiwa tersebut berlaku? Selepas dua bulan, tiga bulan, lebih atau kurang? Tiada siapa yang boleh menentukannya dengan tepat selepas 40 hari pertama kerana tiada nas yang sahih mengenainya.
Namun ia boleh diijtihadkan secara anggaran berdasarkan firman Allah:
ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِ
Maksudnya: "Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan padanya roh (ciptaan)-Nya." (Surah as-Sajdah, ayat 9)
Daripada ayat ini boleh difahami bahawa roh ditiupkan selepas sempurna kejadiannya, iaitu selepas minggu kelapan. Inilah yang disimpulkan oleh kebanyakan ahli tafsir.
Iaitu sebelum berakhirnya minggu kelapan semua anggota asas telah dijadikan. Maka mungkin roh ditiupkan pada janin selepas proses kejadiannya pada minggu kesembilan atau kesepuluh atau selepas selesai kejadian anggota jantinanya pada minggu kedua belas atau selepasnya. Wallahu a'lam.
Boleh juga diandaikan janin sudah mempunyai roh berpandukan gerakannya. Syeikh Ibn al-Qayyim [6] menggambarkan keadaan janin sebelum dan selepas ditiupkan roh, katanya: "Gerakan janin untuk membesar adalah seperti gerakan tumbuh-tumbuhan; gerakannya tidak berpandukan kehendaknya. Kemudian selepas ditiupkan roh, terhimpunlah gerakan perasaan dan kehendaknya bersama gerakan pembesarannya."
Telah sabit dalam kajian saintifik bahawa gerakan janin dapat dikesan pada peringkat awal, iaitu pada minggu kelapan, ketika panjang janin lebih kurang 15 mm. Demikian juga dapat dilihat gerakan pernafasan, gerakan anggota bahagian atas, denyutan jantung, kerdipan mata dan sebagainya. Gerakan tangan ke mulut, gerakan lidah dan menghisap jari semuanya dapat dilihat pada minggu keenam belas, iaitu sebelum 120 hari.
Nota khilaf (penyunting): Pandangan bahawa roh ditiupkan selepas 120 hari ialah pendapat jumhur ulama hadis dan fiqh berdasarkan zahir riwayat al-Bukhari; an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim dan Ibn Hajar dalam Fath al-Bari menukilkan kesepakatan ulama bahawa roh tidak ditiupkan melainkan selepas empat bulan dan fatwa-fatwa semasa tentang pengguguran (termasuk di Malaysia) umumnya berpegang pada had 120 hari. Penulis memilih pandangan Dr. 'Abd al-Jawad as-Sawi dan Syeikh az-Zindani yang mendahulukan riwayat Muslim dan hadis Huzaifah. Pandangan penulis dikekalkan.
Penutup
Demikianlah sedikit perbincangan mengenai mukjizat Nabi SAW yang menceritakan proses kejadian janin dengan begitu halus dan terperinci lebih 14 abad yang lampau, sebelum manusia mengenali sains dan teknologi. Ini menunjukkan kebenaran ajaran baginda, begitu juga perkara lain seperti hadis dzubab (lalat) dan seumpamanya. Sekiranya sesuatu hadis kelihatan bercanggah dengan fakta saintifik, itu bukan salah hadis, tetapi mungkin silap tafsir, salah faham atau mungkin juga hadis tersebut tidak sahih daripada Nabi SAW.
Semoga Allah menambahkan kekuatan berfikir dan kefahaman yang luas kepada kita semua agar kita dapat memahami kandungan ayat-ayat-Nya serta Sunnah Nabi SAW dan terus berpegang serta beramal dengan kedua-duanya.
وَصَلَّى اللَّهُ عَلَى نَبِيِّنَا وَسَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ
Madinah, 28 Jamadilakhir 1422H (16 September 2001).
Rujukan
- Perbincangan ini diambil manfaat daripada makalah Dr. 'Abd al-Jawad as-Sawi dalam majalah Al-I'jaz al-'Ilmi terbitan Rabitah al-'Alam al-Islami, Makkah, bilangan 8, Syawal 1421H. Untuk penjelasan lanjut, pembaca disarankan merujuk makalah asal dalam majalah ini dan rujukan lain yang berkaitan, seperti tulisan Syeikh 'Abd al-Majid az-Zindani.
- Lihat: Hukm al-Ijhad fi asy-Syari'ah al-Islamiyyah, Dr. Majid an-Na'wasyi, dalam Majallat asy-Syari'ah wa ad-Dirasat al-Islamiyyah, Universiti Kuwait, bil. 44, Mac 2001.
- Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 3/233, cetakan Dar ar-Rayyan.
- Fath al-Qadir (asy-Syaukani), 3/483, cetakan Dar al-Fikr.
- Lihat: Jami' al-'Ulum wa al-Hikam (Ibn Rajab), hlm. 55, cetakan al-Matba'ah al-Misriyyah.
- Lihat: At-Tibyan fi Aqsam al-Quran (Ibn al-Qayyim), hlm. 339 dan 351.
Rujukan
9 sumber-
Sahih al-Bukhari, Kitab Bad' al-Khalq, no. 3208 (riwayat 'Abdullah bin Mas'ud r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Qadar, no. 2643 (riwayat 'Abdullah bin Mas'ud r.a.).
Sunnah.com -
Sahih Muslim, Kitab al-Qadar, no. 2645 (riwayat Huzaifah bin Asid r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Mu'minun (23): 12–14.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Insan (76): 2.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 5.
Quran.com -
Al-Quran, Surah as-Sajdah (32): 9.
Quran.com -
Al-Quran, Surah at-Tariq (86): 6–7.
Quran.com -
Ibn Hajar al-'Asqalani, Fath al-Bari, syarah hadis no. 6594 (Kitab al-Qadar).
Maktabah Syamilah
