Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Tazkirah

Sebaik-baik Harta Apabila Harta Itu Berada Di Tangan Orang Soleh

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 20 Ogos 2025 · 2 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

Pendahuluan

Dalam sejarah Islam, kita mengenali Amru bin al-‘As r.a. seorang panglima yang asalnya memusuhi Nabi SAW. Namun, dengan izin Allah, hatinya terbuka untuk menerima Islam pada fasa yang penuh getir.

Daripada seorang penentang, beliau berubah menjadi antara sahabat Nabi yang terkemuka.

Nabi SAW Lantik Amru Jadi Panglima

Suatu hari, Rasulullah SAW memanggil Amru bin al-‘As. Baginda memerintahkan Amru untuk bersiap dengan kelengkapan musafir dan peperangan.

Baginda bersabda:

“Wahai Amru, aku hendak menghantar kamu sebagai ketua pasukan tentera. Allah akan memberikan kemenangan kepada kamu dan kamu akan memperoleh harta yang banyak. Aku berharap kamu akan mendapat harta yang baik.”

Satu berita yang sepatutnya membuat sesiapa sahaja gembira dilantik sebagai panglima, dijamin kemenangan, serta diberi rezeki yang melimpah.

Jawapan Amru

Namun, jawapan Amru sangat menyentuh hati:

“Wahai Rasulullah, aku masuk Islam bukan kerana inginkan harta. Aku masuk Islam kerana aku mahu Islam itu sendiri, supaya aku dapat bersama Rasulullah di dunia dan di akhirat.”

Inilah kata-kata seorang mujahid sejati. Tidak gembira kerana peluang harta, tetapi gembira kerana dapat bersama Rasulullah SAW dan berjuang demi agama.

Nabi SAW Menjawab

Mendengar itu, Rasulullah SAW memberikan respon yang sangat mendalam:

“Wahai Amru, sebaik-baik harta yang baik (halal) ialah yang berada di tangan orang yang soleh.”

Kenapa? Kerana orang soleh tahu mengurus harta dengan benar:

  • Menginfakkan di jalan Allah
  • Membantu masyarakat
  • Menyokong dakwah dan jihad
  • Membina dunia dan akhirat dengan seimbang

Harta yang banyak bukan masalah jika berada di tangan insan yang benar-benar soleh.

Pengajaran Untuk Kita

Pertama, niat ikhlas itu asas.

Amru masuk Islam kerana cintakan agama, bukan kerana habuan dunia. Begitu juga kita — amal ibadah jangan tercemar dengan niat mencari pujian atau keuntungan.

Kedua, harta bukan segala-galanya.

Islam tidak menolak harta. Tetapi harta hanyalah alat. Nilainya bergantung kepada siapa yang memegangnya.

Ketiga, harta di tangan orang soleh = rahmat.

Jika dimiliki orang soleh, harta akan jadi sumber kebaikan, bukan kerosakan.

Penutup

Kisah Amru bin al-‘As mengingatkan kita bahawa kejayaan sebenar bukan diukur dengan banyaknya harta, tetapi dengan ikhlasnya hati.

Namun, jika harta itu sampai ke tangan kita, gunakanlah ia untuk manfaat umat, seperti sabda Nabi SAW:

“Sebaik-baik harta yang baik (halal) ialah yang berada di tangan orang yang soleh.” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)

Rujukan

3 sumber
  1. Al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad, Kitab Husn al-Khuluq, no. 299 (riwayat 'Amr bin al-'As r.a.).

    Sunnah.com
  2. Ad-Durar as-Saniyyah, al-Mausu'ah al-Hadithiyyah: «Ni'ma al-mal as-salih li al-mar' as-salih» — dinilai sahih oleh al-Albani (Sahih al-Adab al-Mufrad, no. 229); isnad sahih menurut Ibn Baz; riwayat Ahmad no. 17763 dan Ibn Hibban no. 3210.

    ad-Durar as-Saniyyah
  3. Mishkat al-Masabih, no. 3756.

    Sunnah.com

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Tazkirah Tawaduk Sesama Mukmin, Tegas Mempertahankan Islam & Melayani Semua Dengan Baik 8 Jun 2026 Tazkirah Nasihat Kepada Pengguna Jalan Raya: Hormati Hak Pemandu Lain 29 Mac 2026 Tazkirah Muhasabah KPI Amalan Akhir Ramadhan: Ceria Dengan Ibadat @ Terabai? 9 Mac 2026 Tazkirah BAZAR Ramadhan Atau BAZIR Ramadhan? 26 Feb 2026