Tulisan: Ahmad Iqram Mohd Noor. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: catatan Seminar Sosiobudaya Antara Kaum anjuran PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, 17 Ogos 2013.
Pendahuluan
"Pada 17 Ogos 2013, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kelantan telah mengadakan Seminar Sosiobudaya Antara Kaum peringkat negeri di Dewan Balai Islam, Lundang. Seminar ini dibentangkan oleh dua ahli panel daripada kaum Cina, iaitu Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong dan Dr. Hj. Ann Wan Seng.
Untuk menyebarluaskan manfaat daripada perbincangan ini, ana meminta Akhi Ahmad Iqram Mohd Noor membuat catatan dan ulasan kepada seminar ini, jazahullahu khairan." – Abu Anas Madani
Perkongsian
Seminar ini sangat bertepatan dibincangkan dalam kerangka masyarakat berbilang kaum supaya dapat mewujudkan nilai toleransi yang tinggi dan menghapuskan sifat rasis perkauman dalam masyarakat. Sudut pandang Islam juga tidak berhenti setakat itu; Islam juga menganjurkan umatnya untuk keluar berdakwah. Tugas utama yang perlu difahami ialah peranan kita untuk menyampaikan Islam kepada mereka yang bukan Islam. Maka dapatlah kita fahami bahawa tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim ialah menyampaikan dakwah dan seruan Islam kepada seluruh masyarakat di luar sana mengikut kemampuan masing-masing. Daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'As r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat." [HR al-Bukhari, no. 3461]
Dengan kata lain, seruan ini dinamakan dakwah. Pada asasnya, pengertian umum dakwah ialah panggilan, seruan atau ajakan. Maksud ajakan di sini ialah menyeru manusia mengakui kebesaran Allah Yang Maha Kuasa serta perlunya manusia hidup berlandaskan peraturan yang ditetapkan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
Walaupun kewajipan dakwah sangat jelas bagi kita, namun terdapat segelintir umat Islam yang langsung tidak berdakwah. Kejahilan telah membelenggu pemikiran mereka sehingga mereka menganggap bahawa solat dan puasa itu wajib, tetapi dakwah tidak wajib ke atas mereka. Sebahagian yang lain pula benar-benar menjaga solat mereka, tetapi tidak pernah menjaga dakwah mereka. Mereka solat secara tawaduk dan konsisten, tetapi tidak pernah berdakwah secara konsisten.
Mereka menganggap dakwah hanyalah aktiviti "sambilan" yang hanya dilakukan apabila perlu dan jika ada ruang kelapangan. Apabila sibuk dengan urusan dunia, dakwah ditinggalkan, walaupun mereka mungkin tidak pernah meninggalkan solat dalam kesibukan mereka. Ada sebahagian yang lain memberikan alasan "tidak cukup ilmu" untuk berdakwah. Anehnya, dalam masa yang sama mereka tidak pula berusaha untuk menuntut ilmu, walaupun menuntut ilmu itu jelas diwajibkan oleh agama Islam. Apabila diajak mempelajari ilmu Islam ataupun berdakwah, pelbagai alasan diberikan, sedangkan dalam masa yang sama mereka boleh menghabiskan masa di gelanggang futsal setiap minggu, menonton TV berjam-jam sehari, bermain golf sepanjang hari, melancong dan sebagainya. Mereka boleh pula menuntut pelbagai ilmu lain dengan amat mendalam, tetapi tidak ilmu Islam. Malah sebahagian mereka sanggup menghabiskan umur bermati-matian untuk cemerlang dalam ilmu ekonomi dan keusahawanan, berusaha mencapai kegemilangan dalam mempelajari dan melaksanakan undang-undang kufur, serta ingin menjadi terkenal dan terbilang dalam menerapkan sistem pemerintahan yang diwarisi daripada penjajah. Bagi mereka, dakwah merupakan satu "bebanan", bukannya kewajipan! Hal inilah yang perlu ditajdidkan kembali dalam kalangan masyarakat hari ini.
Di Malaysia, gerakan dakwah perlu diutamakan kepada kaum Cina kerana mereka adalah golongan bukan Islam yang dominan di sini. Untuk melaksanakan dakwah khusus kepada orang Cina, seseorang hendaklah memiliki beberapa maklumat asas yang perlu diketahui.
Kaum Cina memiliki pelbagai kepercayaan dan pegangan, akan tetapi kepercayaan mereka perlu dinilai dalam kerangka dasar yang paling autentik dan berautoriti yang diamalkan di Malaysia.
Kepercayaan Kaum Cina
Berdasarkan pembentangan Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong.
Kepercayaan dan pegangan orang Cina boleh dibahagikan kepada dua kategori: pertama, kepercayaan dalam agama; kedua, kepercayaan dalam adat dan budaya. Antaranya dinyatakan di bawah.
a) Kepercayaan dalam agama: kepercayaan kepada dewa-dewi, roh nenek moyang (spiritisme) dan lain-lain
Antara kepercayaan ritual yang terkenal di Kelantan ialah Datuk Kong atau dikenali sebagai Tok Kong. Menurut orang Cina, ia merupakan "local deity" atau "dewa kawasan" bagi sesuatu tempat, paling terkenal dengan panggilan "earth deity" atau "dewa bumi". Apa yang nyata, ia merujuk kepada personaliti yang sama, iaitu Datuk Kong atau dikenali juga sebagai Datuk Keramat. Datuk Kong merupakan dewa berpangkat rendah dalam hierarki dewa-dewi Cina. Kebanyakan Datuk Kong yang disembah ialah orang Melayu yang telah meninggal dunia; malah patung di dalam rumah Datuk Kong juga berciri-cirikan orang Melayu, memakai songkok, berkain samping, berbaju Melayu dan memegang tasbih. Ini kerana mereka mempercayai bahawa roh orang baik-baik dan alim ini, apabila disembah dan diberi sajian, dapat memberikan perlindungan kepada penduduk kampung. Datuk Kong juga dikatakan dapat memberi kekayaan kepada sesiapa yang rajin membaca zikir atau manteranya berulang kali (seperti bertasbih) dan sesiapa yang rajin memuji-muji Datuk Kong akan diluaskan rezekinya, dilepaskan daripada segala bentuk kesulitan dan lain-lainnya. Datuk Kong juga dipercayai akan menunaikan hajat sesiapa sahaja yang berdoa kepadanya. Dalam sesetengah upacara, Datuk Kong akan dipanggil oleh bomoh Cina dengan cara menurun untuk berkomunikasi dengan penganut-penganutnya.
b) Kepercayaan adat: kepercayaan kepada angka
Secara asasnya, masyarakat Cina amat mengambil berat tentang angka kerana bagi mereka angka memiliki elemen positif dan negatif. Hal ini tergolong dalam kategori membawa tuah dan nasib. Mereka mempercayai bahawa setiap angka memiliki maksud tersendiri kecuali angka 1 yang tidak memiliki apa-apa tafsiran. Dalam banyak-banyak angka, satu-satunya angka yang dianggap negatif ialah angka 4. Mereka mempercayai angka 4 membawa sial dan memiliki elemen negatif, kerana 四 (sì, empat) mempunyai bunyi yang hampir sama dengan 死 (sǐ) yang bermaksud mati. Nombor empat telah menjadi nombor malang bagi budaya orang Cina, Jepun, Korea dan Vietnam. Berlainan pula dengan angka 八 (bā, lapan) yang mempunyai bunyi hampir sama dengan 發 (fā) yang membawa maksud kemewahan. Dalam dialek Kantonis pula, lapan disebut "baat" dan bunyinya hampir sama dengan "faat" yang bermakna masa depan yang cerah. Tidak hairanlah jika mereka sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk memiliki angka ini. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga sesetengah kaum Cina yang telah menolak kepercayaan ini dan menganggapnya sebagai kepercayaan karut.
Pantang Larang Kaum Cina
Berdasarkan pembentangan Dr. Hj. Ann Wan Seng.
Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik. Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza mengikut suku kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang diterangkan di bawah merangkumi adat resam masyarakat Cina secara keseluruhannya.
a) Sewaktu mengandung
Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita Cina semasa mengandung dan selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau kematian. Wanita Cina yang mengandung sentiasa diawasi dengan ketat dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka. Dalam masyarakat Cina, ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung, bukannya suami. Masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja; apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suami. Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung. Antaranya, mereka tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan cacat. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang, bertujuan menghindari bayi daripada terkena badi.
Di samping itu, mereka juga digalakkan bekerja bagi memudahkan proses bersalin. Sewaktu mengandung, sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi sebelum lahir juga antara pantang larang dalam masyarakat Cina untuk mengelakkan perasaan kecewa apabila harapan tidak tercapai.
Selain itu, wanita hamil tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut kerana bayi yang lahir kelak dipercayai akan bersifat manja. Dari segi makanan, wanita hamil dilarang sama sekali makan makanan yang "tajam" seperti nanas dan mangga, serta tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi menjadi besar dan menyukarkan ibu untuk bersalin. Untuk menentukan sama ada kandungan itu lelaki atau perempuan, masyarakat Cina melihat bentuk perut wanita hamil, terutama apabila kandungan berusia empat bulan ke atas. Jika perut ibu agak bulat, bayi yang dikandung dipercayai perempuan; sebaliknya lelaki jika perut kelihatan tajam.
b) Kelahiran
Keluarga Cina mempunyai beberapa kepercayaan berkaitan ibu yang baru bersalin. Misalnya, perabot di dalam bilik ibu tidak boleh diubah, terutamanya katil dan memaku dinding rumah tidak dibenarkan sama sekali. Ibu mesti berjaga-jaga supaya tidak terperanjat dengan benda-benda yang tidak baik. Pantang larang ini diamalkan selama kira-kira sebulan selepas bersalin. Orang Cina tidak suka bayi mereka dipuji "berat badannya"; sebaliknya kata-kata pujian seperti "gemuk" atau "gemuk macam babi" dapat diterima. Kelahiran seseorang anak biasanya diraikan apabila bayi berumur sebulan. Saudara-mara dan sahabat handai memberi hadiah yang boleh digunakan oleh bayi, dibungkus dengan kertas merah. Sesetengah keluarga meraikannya sekali lagi apabila anak itu berumur satu tahun.
c) Perkahwinan
Perkahwinan adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan orang Cina dan keluarganya. Ia merupakan peralihan yang banyak mempengaruhi perubahan bagi seseorang lelaki. Pada umumnya, perkahwinan adalah cara yang sah untuk mendapatkan seorang isteri. Institusi ini memberikan kebenaran untuk menyambung zuriat nenek moyangnya serta memulakan zuriat sendiri. Di samping itu, lelaki Cina akan menghadapi banyak tanggungjawab baharu sebagai suami dan kemudiannya sebagai bapa. Dalam masyarakat Cina pada masa dahulu, pertunangan boleh dilakukan apabila kanak-kanak berumur antara 7 dan 14 tahun. Kini seorang perempuan Cina tidak lagi terikat dengan peraturan tradisional itu untuk berkahwin. Pada masa dahulu sesuatu perkahwinan diatur oleh kedua-dua ibu bapa, tetapi keadaan itu telah berubah pada hari ini. Walau bagaimanapun, ibu bapa masih mempunyai kuasa untuk mencampuri hal perkahwinan anak-anak mereka. Walaupun kini perkahwinan tidak diatur oleh ibu bapa, peringkat ramalan nasib masih dijalankan dan ia merupakan peringkat yang sangat penting. Penetapan masa dan tarikh perkahwinan juga penting.
Terdapat tiga upacara yang dijalankan oleh masyarakat Cina di Malaysia semasa sesuatu perkahwinan:
- Perkahwinan sivil, iaitu bakal pengantin perlu berdaftar dahulu sebagai suami isteri yang sah dari segi undang-undang.
- Upacara minum teh. Ia merupakan budaya tradisional Cina di mana pengantin baharu menghidangkan teh kepada ahli keluarga yang lebih tua sebagai tanda perkenalan antara satu sama lain.
- Jamuan makan. Pada jamuan ini semua saudara-mara dan kawan-kawan akan dijemput.
Kebiasaannya, upacara perkahwinan sivil dan upacara minum teh hanya dihadiri oleh saudara-mara terdekat. Perkara yang dianggap mustahak dalam perkahwinan orang Cina ialah mengumumkan perkahwinan itu kepada kawan-kawan dan saudara-mara dengan mengadakan jamuan. Besar kecilnya jamuan ini bergantung kepada kemampuan seseorang. Oleh kerana majlis ini penting, tetamu yang hadir eloklah memakai pakaian yang cantik dan berwarna merah. Sebaik-baiknya dielakkan memakai baju berwarna hitam, biru atau kelabu kerana warna-warna ini biasanya dikaitkan dengan peristiwa sedih dalam masyarakat Cina. Apabila tetamu berjumpa dengan kedua-dua pengantin, mereka haruslah mengucapkan tahniah. Tetamu janganlah menceritakan atau menyebut perkataan-perkataan sedih seperti kematian, sakit, bencana atau hantu apabila bertutur dengan pengantin.
Warna merah di kalangan masyarakat Cina bererti tanda baik dan gembira. Oleh itu, sekiranya tetamu memberi hadiah, eloklah dibungkus dengan kertas berwarna merah.
d) Kematian
Upacara kematian yang melibatkan penziarahan dan penjagaan mayat biasanya berlangsung tiga hingga tujuh hari. Ini untuk membolehkan sanak saudara dan rakan taulan memberi penghormatan terakhir, selain menghadiri upacara pengebumian. Sumbangan wang dalam sampul putih biasanya disampaikan kepada keluarga si mati oleh mereka yang datang menziarahi dan jumlahnya perlu dalam angka ganjil.
Pelawat seharusnya tidak memakai pakaian berwarna-warni sewaktu pergi ke rumah orang mati. Sebaik-baiknya pelawat memakai baju berwarna muram seperti hitam, kelabu dan sebagainya. Apabila seseorang memasuki rumah si mati, dia hendaklah membawa sepasang lilin putih, "duit kertas" dan alat sembahyang yang lain untuk diberikan kepada keluarga si mati yang kurang berada. Sekarang lazimnya pelawat memberikan derma atau menghantar kalungan bunga. Kadangkala sekumpulan sahabat atau sesuatu persatuan menyediakan panji-panji yang ditulis dengan kata-kata pujian kepada si mati.
Dalam kebudayaan Cina, kematian, selain melibatkan perbelanjaan wang yang besar, dianggap sebagai sesuatu yang "kotor dan mencemarkan", malah amat kotor dan mencemarkan sekali. Justeru, terdapat dua pihak yang terpaksa "bergelumang" dengan kekotoran atau pencemaran yang membawa sial ini: pertama, keluarga si mati; kedua, rakan taulan yang menziarah.
Sehubungan dengan kekotoran ini, mayat orang Cina diuruskan dengan penuh berhemat dan teliti. Orang Cina mengambil langkah berhati-hati semasa berhadapan dengan kematian, lebih-lebih lagi dengan mayat si mati. Ramai yang berada jauh daripada mayat dan sesetengahnya tidak mahu melihat mayat dalam keranda dari jarak dekat semasa memberi penghormatan terakhir, kerana takut terkena sial. Seboleh-bolehnya mayat dan keranda tidak disentuh oleh mereka yang menziarahi, kerana sentuhan itu dianggap terlalu berbahaya, apatah lagi untuk mengusungnya pada hari pengebumian.
Ketika meninggalkan rumah si mati, pelawat biasanya diberikan seutas benang merah atau gula-gula berikat benang merah sebagai tanda terima kasih. Warna merah dipercayai membawa nasib baik dan menghalang hantu syaitan yang cuba mengacau. Gula-gula yang diberi itu boleh dimakan.
e) Perayaan
Majlis riang ria yang paling dinantikan oleh orang Cina ialah Tahun Baharu Cina. Ia boleh dikatakan perayaan Cina yang paling penting dan paling meriah, diraikan selama 15 hari pada bulan pertama takwim Cina.
Perayaan Tahun Baharu diadakan dengan jamuan istimewa yang menghimpunkan ahli keluarga pada malam tahun baharu. Perayaan ini diserikan dengan adat orang tua memberi angpau kepada kanak-kanak dan ahli keluarga yang belum berumah tangga. Pemberian angpau melambangkan kegembiraan, selain merupakan semacam restu untuk kehidupan yang makmur serta nasib yang baik sepanjang tahun.
Tarian singa dipersembahkan sempena perayaan ini untuk menghalau kuasa jahat seperti syaitan dan iblis. Ia juga dilihat sebagai mengundang perkara yang baik-baik. Kadangkala tarian singa dikaitkan dengan harapan cuaca sepanjang tahun dipenuhi rahmat dan hujan.
Mercun turut dipasang untuk menghalau kuasa jahat, selain menandakan kemeriahan perayaan Tahun Baharu. Pada Tahun Baharu juga terdapat buah yang sinonim dengan orang Cina, iaitu limau. Menjadi amalan baik bagi tetamu membawa dua atau empat biji limau Mandarin untuk diberikan kepada tuan rumah semasa berkunjung. Pemberian limau itu diibaratkan sebagai pemberian emas, kerana dalam dialek Kantonis sebutan bagi limau menyerupai sebutan bagi emas.
f) Pantang larang makan
Orang Cina amat mementingkan kesihatan dan makanan berkhasiat. Orang tua dilarang memakan kangkung kerana dipercayai boleh menyebabkan sakit sendi. Mereka yang mempunyai luka pada badan tidak dibenarkan memakan udang dan ketam kerana dipercayai menyebabkan luka susah sembuh. Pada Tahun Baharu Cina, ikan yang dimakan tidak boleh putus kerana membawa petanda yang tidak baik. Para nelayan yang makan di atas kapal dilarang membalikkan ikan yang dimakan kerana dipercayai boleh membawa bencana dan kemalangan. Orang Cina tidak digalakkan bercakap semasa makan dan mereka dilarang mengetuk mangkuk dan pinggan dengan penyepit.
Terdapat banyak lagi kepercayaan Cina jika hendak disenaraikan, kerana orang Cina mewarisi kepercayaan daripada nenek moyang mereka. Jadi, tidak sukar untuk memahami keadaan mereka memandangkan kepercayaan ini menyeluruh dalam kalangan masyarakatnya. Hal ini boleh dirujuk dalam buku-buku yang disenaraikan di akhir perbincangan ini atau ditanya kepada orang Cina sendiri.
Setelah mengenal pasti kepercayaan dan pegangan orang Cina, barulah boleh dibuat penilaian kritis dengan memahami kepincangan dalam agama mereka. Sebelum itu, hendaklah diketahui bagaimana kronologi agama Cina terbentuk.
Mengenal Pasti Masalah dalam Agama yang Dianuti oleh Orang Cina
- Majoriti orang Cina bukan Islam di Malaysia ialah penganut agama Buddha (Mahayana). Dalam falsafah Buddha terdapat beberapa kepincangan dasar; salah satunya, falsafah Buddha tidak memiliki penjelasan tentang konsep ketuhanan dan penciptaan. Namun sebelum itu perlulah dikenali konsep agama yang dianuti oleh orang Cina. Hal ini boleh dilihat dalam sejarah China, iaitu kronologi pencantuman tiga ajaran Cina: Konfusianisme, Taoisme dan Buddha. Hal ini dinamakan sinkretisme, iaitu penyatuan aliran-aliran yang berbeza. Orang Cina menganggap ketiga-tiga ajaran itu saling mengisi antara satu sama lain; yang satu menyempurnakan kekurangan yang lain. Mereka yang hendak mengatur alam realiti akan merujuk kepada Konfusius. Mereka yang mencari kehidupan yang romantik dan perhubungan dengan alam ghaib akan merujuk kepada Taoisme. Manakala mereka yang menempuh jalan ke akhirat akan merujuk kepada Buddha. Pada hakikatnya memang tidak ada pertentangan atau pertembungan antara ketiga-tiga ajaran ini, kerana masing-masing seolah-olah berjalan mengikut lajurnya sendiri dan tidak memasuki lajur yang lain. Bagi mereka, ketiga-tiga ajaran itu mempunyai satu tujuan, iaitu memberi kebahagiaan kepada manusia.
- Orang Cina sangat fleksibel dan dalam masa yang sama memiliki pegangan yang kukuh terhadap falsafah mereka. Jika diteliti sejarah perkembangan agama Buddha, pengasasnya ialah Siddhartha Gautama Buddha yang lahir di wilayah Kapilavastu, di utara India berhampiran sempadan Nepal. Gautama Buddha pada awalnya seorang penganut agama Hindu yang membawa pembaharuan dalam agamanya. Setelah itu dia dipulaukan oleh golongan Brahmin kerana didakwa membawa ajaran menyimpang. Jelas di sini bahawa Gautama Buddha adalah orang India dan latar pemikirannya ialah Hinduisme. Persoalannya, bagaimanakah orang Cina menerima agama Buddha sedangkan sejarah awal Buddha tidak ada kaitan dengan China? Sejarah menyatakan bahawa ajaran Buddha mula memasuki China sekitar abad pertama Masihi pada zaman Dinasti Han. Kemudian pada tahun 399 M, seorang sami Cina bernama Fa Hsien (Faxian) mengembara ke India untuk mendapatkan kitab-kitab Buddha. Ini jelas menunjukkan bahawa orang Cina sangat fleksibel sehingga dapat menyesuaikan ajaran Buddha yang asalnya dari India dengan budaya Cina.
- Agama Buddha memiliki kitab suci yang dinamakan Tripitaka yang bermakna "tiga bakul". Kitab ini ditulis dalam bahasa Pali, iaitu bahasa yang mempunyai kaitan rapat dengan bahasa Sanskrit. "Tripitaka", yang dalam bahasa Pali disebut Tipitaka, ialah gabungan tiga himpunan tulisan penting: Vinaya Pitaka, Sutta Pitaka dan Abhidhamma Pitaka, yang memuatkan ajaran-ajaran tentang pelbagai cabang doktrin Buddha. Kitab agama Buddha ini sukar diperoleh, jadi tidak hairanlah ramai penganut agama Buddha tidak memilikinya. Ada juga segelintir penganut Buddha yang langsung tidak mengenali kitab-kitab ini. Tafsiran kandungan kitab ini juga tidak banyak dinyatakan dalam buku-buku terbitan kuil. Ini jelas menunjukkan bahawa amalan orang Cina yang beragama Buddha tidak bergantung terus kepada kitab agama mereka; mereka lebih terikat dengan budaya orang dahulu.
- Tentang agama anutan orang Cina ini, ia masih diperdebatkan oleh sarjana perbandingan agama dan ahli falsafah. Terdapat dua isu. Pertama, ramai sarjana menyatakan bahawa Buddha bukanlah suatu agama tetapi sekadar falsafah; ada juga dakwaan bahawa Konfusianisme dan Taoisme tidak lebih daripada kepercayaan orang Cina dan bukan agama. Kedua, terdapat tafsiran bahawa gabungan ketiga-tiga ajaran Cina ini (sinkretisme Konfusianisme, Taoisme dan Buddha) tidak sepatutnya dinamakan agama Buddha seperti yang dilabelkan oleh kebanyakan sarjana, kerana ini seolah-olah mengetepikan sistem Konfusianisme dan Taoisme dalam kepercayaan Cina, sedangkan pengaruh kedua-duanya tidak kurang hebat dalam masyarakat Cina. Ada cadangan supaya fahaman sinkretis ketiga-tiga ajaran ini dinamakan semula.
Kesimpulan
Perbincangan tentang "kepincangan" di atas bukanlah bertujuan mengkritik agama Buddha, tetapi untuk memberi ruang perbincangan secara akademik kepada mereka yang mengkaji agama Buddha dan budaya Cina. Dapat disimpulkan bahawa orang Cina lebih mementingkan budaya daripada agama.
Sebab itulah dalam berdakwah kepada orang Cina, adalah penting untuk mendalami budaya dan adat mereka, lebih-lebih lagi jika boleh berbahasa Mandarin. Mereka bersifat fleksibel dan mudah didekati. Antara kaedah paling mesra yang sering diamalkan oleh para pendakwah ialah menjemput mereka ke restoran untuk menikmati hidangan sambil berdialog dan beramah mesra. Pengetahuan dan pemahaman yang dijelaskan secara ringkas di atas sudah tentu banyak membantu kita melakukan penyesuaian budaya dengan lebih baik, khususnya dalam bentuk empati budaya (memahami sesuatu kaum) serta relativiti budaya (memahami bahawa sesuatu budaya tidak sama dengan yang lain).
Intipati perbincangan ini diambil daripada dua kertas kerja: pertama, kertas kerja Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong (Felo Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM) bertajuk Sosiobudaya Masyarakat Cina: Satu Analisis; kedua, kertas kerja Dr. Ann Wan Seng (Setiausaha Agung Kehormat MACMA Malaysia dan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM) bertajuk Pantang Larang Masyarakat Cina.
Catatan: Ahmad Iqram Mohd Noor, pendakwah dan pengkaji perbandingan agama, siswa Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).
Bacaan Lanjut
Perbincangan tentang kepercayaan orang Cina, termasuk hal-hal spiritual, sangat luas. Antara rujukan yang boleh disemak:
- Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd Zin (1993), Dakwah al-Quran kepada Orang Bukan Islam: Suatu Kajian Khusus terhadap Dakwah di Kalangan Masyarakat Cina Wilayah Persekutuan, Tesis Ph.D, Universiti Malaya, hlm. 174–216.
- Frena Bloomfield (1989), The Book of Chinese Beliefs, Ballantine Books, Amerika Syarikat.
- Victor Purcell, terj. Nik Hasnaa Nik Mahmood (1997), Orang-orang Cina di Tanah Melayu, Penerbit Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
- Ann Wan Seng (1996), Kepercayaan Orang Cina, Fajar Bakti, Shah Alam, Selangor.
- Lillian Too, terj. Clara Herlina Kardjo (1995), Feng Shui, PT Elex Media Komputindo, Jakarta, Indonesia.
- E.T.C. Werner, terj. Johan Japardi (2008), Mitos dan Legenda China, PT Gramedia Pustaka Utama, Jakarta, Indonesia.
Catatan Tambahan
Catatan Akhi Zulkifli (anak Kota Bharu yang bertugas di Sandakan) yang menyertai seminar:
Kebudayaan Cina:
- Setia pada negara, taat pada ibu bapa dan melindungi keluarga.
- Kerajinan dan kesungguhan.
- Pemujaan dewa dan nenek moyang.
- Aspek-aspek di atas bersifat humanisme, iaitu berkisar tentang persoalan manusia dan masyarakat.
Aspek kelahiran:
- Pantang larang sebulan untuk ibu bersalin berehat.
- Apabila anak berumur sebulan, diadakan jamuan makan serta pemberian angpau (sampul merah) atau hadiah berbalut kertas merah, merah jambu atau kuning.
- Sambutan hari lahir genap 60 tahun sebagai tanda kejayaan; dijamu mi yang panjang sebagai lambang usia yang panjang; angpau dengan jumlah wang genap.
- Merah ialah warna berkat dan darah kehidupan, dipercayai menangkis kuasa jahat.
Perayaan: Perayaan Tahun Baharu Cina selama 15 hari, dengan jamuan dan aktiviti bersosial, termasuk jamuan berkumpul semula ahli keluarga pada malam ambang tahun baharu.
Catatan Ustaz Abdul Qadir Alnali: YB Dato' Nik Mohd Amar (Timbalan Menteri Besar Kelantan) dalam ucapan perasmian menyebut bahawa Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong (pembentang kertas Sosiobudaya Masyarakat Cina: Satu Analisis) adalah pejuang bahasa kebangsaan. Profesor pernah menegur pengurus pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors, kerana menggunakan bahasa Inggeris.
Kata AAM: Ambo sokong teguran tu. Mace la org Kelate ni tak dak bahasa.
Dibaca oleh Abu Anas Madani. Pondok Sungai Durian, 11 Syawal 1434H / 18 Ogos 2013.
Bacaan berkaitan
Rujukan
4 sumber-
Sahih al-Bukhari, no. 3461.
Sunnah.com -
Ann Wan Seng (1996), Kepercayaan Orang Cina, Fajar Bakti.
-
Encyclopaedia Britannica, 'Faxian'.
britannica.com -
Encyclopaedia Britannica, 'Buddhism in China'.
britannica.com
