Persoalan
"Adakah benar jika hari raya jatuh pada hari Jumaat, sesiapa yang telah menunaikan solat hari raya tidak wajib lagi menunaikan solat Jumaat?"
Jawapan
Dalil-dalil
Dalam persoalan ini terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW.
Pertama: Hadis Zaid bin Arqam
عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ، فَقَالَ: «مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ»
Muawiyah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam r.a.: "Pernahkah engkau menyaksikan bersama Rasulullah SAW dua hari raya (hari raya dan Jumaat) berhimpun pada satu hari?" Jawabnya: "Ya." Kata Muawiyah: "Bagaimana Baginda melakukannya?" Kata Zaid: "Baginda menunaikan solat hari raya, kemudian memberikan rukhsah (keringanan) dalam solat Jumaat dengan bersabda: Sesiapa yang mahu solat (Jumaat), hendaklah dia solat." [HR Abu Dawud, no. 1070; an-Nasa'i, no. 1591; Ibn Majah, no. 1310 dan Ahmad. Dinilai sahih oleh ramai ulama, antaranya al-Hakim dan al-Albani]
Kedua: Hadis Abu Hurairah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ أَنَّهُ قَالَ: «قَدِ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ»
Sabda Nabi SAW: "Telah berhimpun pada hari kamu ini dua hari raya. Sesiapa yang mahu, memadailah baginya (solat hari raya) daripada solat Jumaat; adapun kami akan tetap mendirikan solat Jumaat." [HR Abu Dawud, no. 1073 dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh adz-Dzahabi; al-Albani juga menyatakannya sahih]
Ketiga: Hadis Abdullah bin Abbas
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ أَنَّهُ قَالَ: «اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ إِنْ شَاءَ اللَّهُ»
Sabda Nabi SAW: "Telah berhimpun dua hari raya pada hari kamu ini. Sesiapa yang mahu, memadailah baginya (solat hari raya) daripada solat Jumaat; adapun kami akan tetap mendirikan solat Jumaat, insya-Allah." [HR Ibn Majah, no. 1311]
Keempat: Hadis Abdullah bin Umar
عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَصَلَّى بِالنَّاسِ ثُمَّ قَالَ: «مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا، وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ»
Katanya: "Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Rasulullah SAW. Baginda menunaikan solat hari raya bersama orang ramai, kemudian bersabda: Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, datanglah; dan sesiapa yang mahu tidak hadir, tidak mengapa." [HR Ibn Majah, no. 1312. Sanadnya lemah, tetapi dinilai sahih li ghairihi oleh al-Albani kerana disokong oleh riwayat-riwayat di atas]
Perbahasan
Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada Aidilfitri mahupun Aidiladha.
Pertama, solat Jumaat tidak gugur daripada penduduk kota (ahl al-balad) yang di tempat mereka memang didirikan solat Jumaat. Bagi orang yang datang dari kampung yang jauh atau pedalaman (ahl al-qura/al-bawadi) yang di tempat mereka tidak didirikan solat Jumaat, gugur kewajipan solat Jumaat mereka. Jadi mereka, iaitu orang yang datang dari kampung yang jauh, boleh terus pulang setelah solat hari raya tanpa menunggu solat Jumaat.
Inilah pendapat Imam asy-Syafie. Ini juga pendapat Uthman r.a., Umar bin Abdul Aziz dan jumhur ulama.
Secara dasarnya, Imam asy-Syafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya, iaitu ke atas penduduk kota (yang mempunyai kemudahan masjid). Bagi penduduk desa atau kampung pedalaman yang berkunjung ke kota khusus untuk solat hari raya (dan solat Jumaat) dan di tempat mereka tidak didirikan solat Jumaat, mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat. [al-Majmu', 4/320]
Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, sama ada oleh penduduk kota yang didirikan solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung. Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikan solat hari raya.
Ketiga, tidak wajib solat Jumaat, sama ada bagi orang yang datang dari kampung mahupun orang bandar yang dekat dengan tempat solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zohor, kecuali imam (wajib ke atasnya mendirikan Jumaat). Demikian pendapat Imam Ahmad.
Keempat, Zohor dan Jumaat sama-sama gugur kewajipannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya tidak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat 'Atha' bin Abi Rabah. Dikatakan ini juga pendapat Ibn az-Zubair dan Ali r.a.
Dalil mazhab jumhur (kebanyakan ulama):
- Umum ayat al-Quran: "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." [Surah al-Jumu'ah: 9]
- Demikian juga hadis-hadis yang menyuruh supaya menunaikan solat Jumaat.
- Solat Jumaat dan solat hari raya adalah dua solat yang berasingan, maka salah satunya tidak gugur dengan melakukan yang lain, sama seperti solat hari raya dan Zohor.
- Sayyidina Uthman r.a. dalam khutbah hari raya yang jatuh pada hari Jumaat berkata kepada penduduk 'Awali (kampung-kampung di pinggir Madinah): "Sesiapa yang mahu menunggu solat Jumaat, bolehlah menunggu; dan sesiapa yang ingin pulang, aku telah mengizinkannya." [HR al-Bukhari]
قَالَ أَبُو عُبَيْدٍ: ثُمَّ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ فَكَانَ ذَلِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَصَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدِ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ الْعَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ. [رواه البخاري، رقم 5572، باب ما يؤكل من لحوم الأضاحي وما يتزود منها]
Dalil mazhab Hanafi: berpegang dengan kewajipan asal fardu solat Jumaat.
Dalil mazhab Hanbali: hadis-hadis di atas.
Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa jumhur berpegang kepada dalil umum, manakala Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah berpegang kepada dalil yang khusus.
Perincian hukumnya (menurut pendapat mazhab Hanbali) adalah seperti berikut:
Hukum pertama: jika seseorang telah menunaikan solat hari raya yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat, gugurlah kewajipan atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak.
Hukum kedua: bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunatkan untuk tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya ialah hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: "Innā mujammi'ūn" (Sesungguhnya kami akan tetap mendirikan Jumaat). Ini menunjukkan bahawa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhsah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, Baginda sendiri tetap mengerjakan solat Jumaat.
Hukum ketiga: jika orang yang telah menunaikan solat hari raya itu memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, dia wajib melaksanakan solat Zohor; tidak boleh meninggalkan Zohor.
Hukum keempat: mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya wajib menunaikan solat Jumaat; tidak dibenarkan baginya meninggalkan solat Jumaat.
Kesimpulan
Pendapat jumhur yang membezakan antara warga bandar dengan orang yang jauh dari tempat solat Jumaat didirikan wajar diambil kira, kerana ulama telah meletakkan suatu kaedah: "Keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama adalah lebih afdal." Oleh itu, bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid, hendaklah tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut; dan bagi sesiapa yang mempunyai masyaqqah (kesusahan) untuk kembali semula ke tempat solat Jumaat, memadailah dengan melakukan solat Zohor.
Demikian juga realiti (waqi') rakyat Malaysia yang secara rasminya berpegang dengan mazhab asy-Syafie: kefarduan Jumaat tidak gugur sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Keizinan yang diberi oleh Imam asy-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah bertujuan untuk tidak membebankan mereka, kerana mereka terpaksa keluar dua kali ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan; kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid dan masjid pun tidaklah jauh dari rumah.
Satu lagi yang perlu diperhatikan: masyarakat yang tidak mengetahui hukum dan dalil dalam masalah ini akan memandang serong dan pelik jika ada sekumpulan lelaki yang tidak pergi menunaikan solat Jumaat. Ini akan menimbulkan kecelaruan dan salah faham.
Pengalaman ana berada di Tanah Haram, yang secara rasmi berpegang dengan mazhab Hanbali: dua Masjid Haram tetap mendirikan solat Jumaat, adapun sebahagian masjid lain di sekitarnya (yang masyarakatnya sudah biasa dengan hukum itu) mendirikan solat Zohor berjemaah seperti biasa. Wallahu a'lam.
Rujukan
- An-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, 4/319–321, cet. Dar al-'Ulum, Mesir.
- Ibn Qudamah, al-Mughni, 3/242, cet. ke-5, 1426H, Dar 'Alam al-Kutub, Riyadh.
Akhukum, Abu Anas Madani. Pondok Sungai Durian, 29 Ramadan 1431H / 8 September 2010.
Rujukan
10 sumber-
Sunan Abi Dawud, no. 1070.
Sunnah.com -
Sunan an-Nasa'i, no. 1591.
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, no. 1310.
Sunnah.com -
Sunan Abi Dawud, no. 1073.
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, no. 1311.
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, no. 1312.
Sunnah.com -
Sahih al-Bukhari, no. 5572.
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Jumu'ah (62): 9.
Quran.com -
An-Nawawi, al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab, 4/319–321.
-
Ibn Qudamah, al-Mughni, 3/242 (cet. Dar 'Alam al-Kutub).
