Ketegasan Sultan Ulama dalam Menangani Amar Makruf dan Nahi Mungkar
Sejarah berulang kembali; peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu berlaku juga pada zaman sekarang. Sikap dan pendirian ulama silam menjadi penantian dan harapan umat terhadap ulama hari ini. Umat telah melalui beberapa krisis yang sentiasa berulang, maka kita perlu kembali mengingati dan mengenang peristiwa-peristiwa yang lalu, semoga ia menjadi pengajaran dan iktibar.
Kata Dr. Jamil al-Misri rahimahullah: "Orang yang bijak ialah mereka yang sentiasa mengingati sejarah silam serta bersedia untuk menghadapi cabaran yang akan datang."
Apabila membincangkan tentang amar makruf dan nahi mungkar, kita akan teringat suatu sejarah yang berlaku pada kurun ketujuh Hijrah, iaitu ketegasan dan keberanian seorang ulama yang bangun menentang kemungkaran secara terang-terangan, sepertimana yang dilakukan oleh seorang sahabat Nabi SAW, Abu Sa'id al-Khudri r.a., terhadap Marwan bin al-Hakam, gabenor Madinah pada waktu itu. Peristiwa ini berlaku pada suatu hari raya. Apabila Marwan hendak naik mimbar untuk menyampaikan khutbah hari raya sebelum solat, Abu Sa'id al-Khudri segera menarik bajunya serta mengingatkan bahawa sunnahnya khutbah adalah selepas solat. Marwan menjawab: "Apa yang engkau ketahui itu telah ditinggalkan." [HR al-Bukhari, no. 956 dan Muslim, no. 889]
Dalam lipatan sejarah umat ini, telah lahir seorang ulama di Damsyik, Syria, bernama 'Abd al-'Aziz bin 'Abd as-Salam as-Sulami ad-Dimasyqi al-Misri asy-Syafi'i, dikenali dengan panggilan al-'Izz atau 'Izz ad-Din bin 'Abd as-Salam. Beliau digelar Sultan Ulama dan Penjual Raja-raja. Beliau dilahirkan pada tahun 577H dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 660H.
Peristiwa dan Ketegasan
Berikut adalah beberapa peristiwa yang menunjukkan ketegasan dan keberanian al-'Izz dalam menentang kemungkaran.
Di Damsyik
Sewaktu di Damsyik, berlaku perbalahan antara pemerintah Damsyik, ash-Shalih Isma'il, dengan pemerintah Mesir, Najmuddin Ayyub. Apabila ash-Shalih Isma'il berasa gentar dengan ancaman Ayyub, beliau membuat pakatan dengan tentera Salib untuk membantunya menentang saudaranya Ayyub, dengan menyerahkan beberapa kota dan kawasan kepada tentera Salib. Peristiwa ini berlaku pada tahun 638H. Malah beliau juga membenarkan tentera Salib memasuki Damsyik dan membeli senjata untuk memerangi orang Islam.
Setelah berita ini sampai kepada al-'Izz yang merupakan khatib dan mufti Damsyik pada waktu itu, beliau terus mengeluarkan fatwa haram menjual senjata kepada mereka. Beliau kemudian menaiki mimbar Masjid al-Umawi mengecam tindakan ash-Shalih tersebut sebagai suatu pengkhianatan besar terhadap umat Islam. Beliau tidak lagi berdoa untuk sultan dalam khutbahnya, sebaliknya berdoa dengan doa yang menunjukkan bahawa beliau telah menarik kembali baiahnya (taat setianya). Pada masa itu ash-Shalih Isma'il berada di luar Damsyik. Apabila berita ini sampai kepadanya, dia terus mengeluarkan arahan memecat al-'Izz daripada jawatan khatib dan mufti Damsyik serta mengarahkan supaya al-'Izz ditahan. Beliau menerima perlucutan jawatannya itu dengan tenang dan sedia berkorban demi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.
Setelah dibebaskan daripada tahanan, al-'Izz mengambil keputusan keluar dari Damsyik menuju ke Baitulmaqdis, Palestin. Kemudian tiba pula ash-Shalih Isma'il bersama tentera Salib dalam perjalanan menuju ke Mesir. Ketika berada di Baitulmaqdis, dia menghantar seorang wakil untuk bertemu al-'Izz serta memujuknya agar datang menghadap sultan dan mencium tangannya; sekiranya beliau berbuat demikian, jawatan asalnya akan dikembalikan. Al-'Izz dengan tegas menjawab: "Wahai si miskin! Aku tidak reda dia mencium tanganku, bagaimana pula aku sanggup mencium tangannya?" Utusan itu menjawab: "Jika tuan tidak menerima cadangan ini, tuan akan ditahan kembali." Al-'Izz menjawab: "Buatlah apa yang kamu suka."
Lalu al-'Izz pun ditahan kembali dan dikurung di dalam sebuah khemah yang berhampiran dengan khemah sultan dan ketua tentera Salib. Pada waktu malam terdengarlah suara al-'Izz mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan zikir. Ketika itu ash-Shalih Isma'il memberitahu ketua tentera Salib bahawa inilah ulama yang ditahan kerana enggan bekerjasama dengannya. "Dia ditahan demi kepentingan kamu," katanya dengan bangga. Ketua tentera Salib itu sebaliknya menjawab: "Kalaulah ulama ini dalam agama kami, kami akan basuh kakinya dan minum air basuhan itu." Selepas itu datanglah tentera Ayyub dari Mesir lalu mengalahkan tentera ash-Shalih Isma'il dan sekutunya tentera Salib. Akhirnya al-'Izz dibebaskan dan dibawa ke Mesir.
Di Mesir
Kedatangan beliau ke Mesir pada tahun 639H disambut oleh Sultan Najmuddin Ayyub dengan penuh penghormatan. Namun di Mesir, al-'Izz berhadapan pula dengan kemungkaran-kemungkaran yang mesti ditentang dan dihapuskan. Najmuddin Ayyub seorang yang sangat garang dan tidak banyak bercakap dengan pegawai-pegawainya kecuali sekadar menjawab pertanyaan. Untuk memperkukuh pemerintahannya, Najmuddin Ayyub telah membeli ramai hamba berbangsa Turki (Mamluk) dan memberi mereka latihan ketenteraan. Sebahagian daripada mereka mendapat kepercayaan Ayyub sehingga dilantik memegang jawatan ketua tentera dan ada juga yang dilantik sebagai Naib Sultan. Al-'Izz pula dilantik menjadi kadi dan khatib di Mesir.
Ketika melaksanakan tugasnya, al-'Izz mendapati wujud beberapa kepincangan dalam pemerintahan; antaranya, beberapa orang umara (pemimpin) masih lagi berstatus hamba yang menjadi milik Baitulmal kaum Muslimin. Menurut hukum syarak, pelantikan mereka ke jawatan-jawatan tersebut tidak sah dan tindakan mereka (dalam urusan yang memerlukan kemerdekaan) terbatal. Antara mereka ialah Naib Sultan sendiri. Al-'Izz lalu memaklumkan kepada mereka kedudukan mereka di sisi syarak dan mengambil tindakan membekukan segala urusan mereka.
Keputusan tersebut menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan umara yang masih berstatus hamba itu. Mereka mengadakan pertemuan dengan Syeikh al-'Izz untuk mendapatkan kerjasama dan penjelasan tentang masa depan dan kedudukan mereka. Tetapi al-'Izz tegas dengan keputusannya bahawa mereka hendaklah dijual secara lelongan terbuka, kemudian dibebaskan mengikut hukum syarak.
Keputusan hukum syarak tersebut bukan sahaja ditolak dan ditentang, bahkan al-'Izz diberi layanan kasar oleh Sultan Mesir sendiri. Oleh kerana itu, al-'Izz membuat keputusan meninggalkan negeri yang enggan melaksanakan syariat Allah itu. Keputusan tersebut dilaksanakan serta-merta. Dengan dua ekor keldai, seekor untuk isteri dan barang-barangnya dan seekor lagi untuk tunggangannya, keluarlah al-'Izz dari Kaherah. Setelah berita al-'Izz keluar dari Kaherah diketahui umum, orang ramai dari segenap lapisan masyarakat mengambil keputusan untuk keluar bersama-sama al-'Izz dari negeri tersebut, sebagai tanda penentangan terhadap pemerintah yang enggan melaksanakan syariat Allah.
Di sinilah bermulanya detik penting. Sultan telah dinasihati oleh seorang penasihat yang jujur dengan kata-kata: "Selamatkanlah kerajaanmu! Jika tidak, ia akan binasa dengan pemergian syeikh itu." Mendengar nasihat itu, sultan bergegas menunggang kuda mendapatkan al-'Izz untuk memujuk dan melembutkan hatinya supaya kembali semula ke Kaherah. Beliau bersetuju dengan permintaan sultan itu dengan syarat semua pegawai kanan kerajaan yang berstatus hamba itu hendaklah dijual secara lelongan terbuka. Kembalilah al-'Izz bersama pengikutnya. Benarlah, kebenaran dan keadilan mengalahkan kebatilan dan kezaliman.
Setelah al-'Izz kembali ke Kaherah dengan syarat tersebut, Naib Sultan cuba campur tangan dalam keputusan yang telah dibuat. Mula-mula dia cuba memujuk al-'Izz; setelah tidak berjaya, dia beralih kepada ugutan dan akhir sekali cuba membunuh al-'Izz. Setelah semua cara yang digunakan menemui kegagalan, akhirnya semua pegawai kanan kerajaan yang berstatus hamba, termasuk Naib Sultan sendiri, terpaksa tunduk kepada keputusan yang dibuat dan menerima hukum syarak.
Al-'Izz mengiklankan jualan secara lelongan terbuka kepada semua rakyat. Beliau memanggil pegawai-pegawai kanan kerajaan tersebut seorang demi seorang dan menaikkan harganya sedikit demi sedikit sehingga mencapai harga yang paling tinggi yang tidak mampu lagi dibeli oleh orang perseorangan. Lalu sultan membeli mereka dengan wangnya sendiri. Kemudian hamba-hamba tersebut dibebaskan dan jawatan-jawatan mereka yang telah dibekukan dikembalikan semula. Akhirnya mereka bertugas seperti biasa. Daripada peristiwa inilah asy-Syeikh al-'Izz rahimahullah dikenali sebagai "Penjual Raja-raja". Masyhurlah kisah ini ke seluruh dunia.
Penutup
Pendirian unggul yang jarang disaksikan oleh alam ini telah menjadi satu catatan sejarah. Suara kebenaran kembali berkumandang, ulama dimartabatkan, syariat Allah dilaksanakan, kebatilan dikalahkan dan kekuasaan serta kebendaan hancur berkecai dan tersungkur di hadapan kekuasaan Allah dan hukum-hukum-Nya. Al-'Izz telah mengamalkan tuntutan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jihad yang paling afdal ialah mengucapkan kalimah yang benar di hadapan pemerintah yang zalim." [HR Ibn Majah, no. 4011; Shahih Ibn Majah, no. 3240]
Kembalilah al-'Izz ke rumahnya dalam jagaan dan pemeliharaan Allah sambil membaca firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mempertahankan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap orang yang khianat lagi kufur." [Surah al-Hajj: 38] Beliau juga membaca firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah berkuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." [Surah Yusuf: 21]
Demikianlah ketegasan seorang ulama yang telah melaksanakan amanah yang dipikulnya. Memang umat ini telah diberi gelaran khaira ummah oleh Allah kerana tugas mereka mengajak manusia ke jalan yang benar, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, (kerana) kamu menyuruh kepada yang makruf, mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah." [Surah Ali 'Imran: 110]
Umat sentiasa menanti tindakan ulama apabila berlakunya kemungkaran dan mereka akan bersama para ulama tersebut. Tetapi apabila ulama lesu dalam menangani masalah umat, maka berleluasalah segala bentuk maksiat dan kemungkaran. Di sini dapat diperhatikan betapa pentingnya kesatuan ulama (wahdat al-'ulama'). Apabila seorang daripada kalangan ulama menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah atau sesiapa sahaja, ulama yang lain hendaklah memberi sokongan sebagaimana yang berlaku kepada al-'Izz, bukannya mengeluarkan fatwa lain yang bercanggah sebagaimana yang berlaku kepada umat sekarang.
Contohnya, apabila seorang ulama mengajar kaum wanita supaya menutup aurat dan tidak bertabarruj, sepatutnya semua ulama menyokongnya, bukannya mengeluarkan kenyataan kononnya ajaran tersebut menyekat hak individu dan sebagainya atau membuat tafsiran yang mengelirukan umat dengan berselindung di sebalik slogan "kesederhanaan Islam". Secebis peristiwa di atas adalah contoh ketegasan ulama umat yang menjadi obor dan panduan di jalan dakwah.
Sesungguhnya amat benar firman Allah yang bermaksud: "Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang telah gugur (syahid) dan ada pula yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)." [Surah al-Ahzab: 23]
Akhukum fil Islam, Abu Anas Madani. Al-Madinah al-Munawwarah.
Rujukan
8 sumber-
Sahih al-Bukhari, no. 956.
Sunnah.com -
Sahih Muslim, no. 889.
Sunnah.com -
Sunan Ibn Majah, no. 4011.
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah al-Hajj (22): 38.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Yusuf (12): 21.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Ali 'Imran (3): 110.
Quran.com -
Al-Quran, Surah al-Ahzab (33): 23.
Quran.com -
Taj ad-Din as-Subki, Thabaqat asy-Syafi'iyyah al-Kubra, biografi al-'Izz bin 'Abd as-Salam.
