Langkau ke kandungan
Logo Abu Anas Madani

Pasang aplikasi di iPhone atau iPad

  1. Dalam Safari, ketik butang Kongsi di bar bawah (atau atas).
  2. Tatal ke bawah dan pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Ketik Tambah (Add). Ikon laman akan muncul di skrin utama seperti aplikasi.
Sirah & Tokoh

Al-Syeikh Al-Qadhi ‘Atiyyah bin Muhammad Salim

Dato’ Dr. Abu Anas Madani 1 Ogos 1999 · 18 min bacaan
Simpan Kongsi WhatsApp
Saiz tulisanSaiz

بسم الله الرحمن الرحيم

Al-Syeikh al-Qadhi ‘Atiyyah bin Muhammad Salim (1346–1420H / 1927–1999M)

رحمه الله تعالى رحمة واسعة، وأسكنه فسيح جناته

Catatan muridnya: Abu Anas Madani (Abdul Basit bin Abdul Rahman)

Pengenalan

Sedang kami menikmati pelbagai hidangan dan buah-buahan bersama keluarga di kampung halaman pada cuti musim panas 1420H (1999M), tiba-tiba sampai berita yang sangat mengejutkan, satu perkhabaran yang amat mendukacitakan, bukan sahaja bagi kami pelajar-pelajar Malaysia di Universiti Islam Madinah, tetapi bagi seluruh masyarakat Islam di dunia. Iaitu khabar kewafatan seorang tuan guru yang disayangi dan diminati ramai, yang telah menyebarkan ilmunya di Masjid Nabawi selama hampir empat puluh tahun. Halaqah ilmunya menjadi penyeri kepada masjid yang mulia itu. Kebanyakan jemaah yang datang ke Masjid Nabawi akan turut mendengar kuliahnya yang menarik, bahkan masa yang diperuntukkan antara Maghrib dengan Isyak dirasakan begitu sebentar, bagai beberapa minit sahaja.

Beliau ialah guru kami al-‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh al-Qadhi ‘Atiyyah bin Muhammad bin Salim, yang telah dijemput kembali bertemu Penciptanya pada hari Isnin, 6 Rabiulakhir 1420H, bersamaan 19 Julai 1999M dalam usia 74 tahun (mengikut kiraan hijrah), setelah menanggung beberapa penyakit yang menimpanya dengan penuh kesabaran dan sering kali keluar masuk hospital. Kembalilah guru kami setelah mencurahkan seluruh tenaga dan usianya untuk menyebarkan ilmu di bumi Rasulullah SAW yang berkat ini. Beliau meninggalkan sepuluh orang anak, lelaki dan perempuan.

Jenazahnya disolatkan di Masjid Nabawi selepas solat Asar pada hari tersebut, diiringi oleh ribuan muslimin dan dikebumikan di Perkuburan Baqi‘ berdekatan dengan makam Imam Dar al-Hijrah, Malik bin Anas. Sesuailah dengan jasa dan khidmatnya dalam menyebarkan ilmu Imam Malik melalui kitabnya al-Muwatta’ yang dipelajari dan diajarnya selama berpuluh-puluh tahun di Masjid Nabawi.

Jarak yang memisahkan kedua-dua makam itu hanyalah dua buah kubur dan satu kubur daripada makam Sayyidina Ibrahim bin Rasulullah SAW. Menurut cerita orang yang hadir pada petang tersebut (Dr. Mustafa al-Qudhah dan lainnya): “Sewaktu jenazahnya dibawa ke Perkuburan Baqi‘, panas matahari musim panas cukup terasa, tiba-tiba datang awan mendung meneduhkan kami yang berada di Baqi‘.” Semoga Allah SWT mencurahkan limpahan rahmat dan maghfirah-Nya ke atas rohnya, amin.

Ana mula mengenali Syeikh pada tahun 1988M/1409H, iaitu tahun pertama datang belajar di UIM, tetapi belum mula ‘menadah’ (mengikuti kelasnya) lagi kerana masih mencari siapakah guru yang sesuai. Akhirnya pada tahun kedua di UIM ana mula mengikuti kuliah Syeikh yang pada masa itu mengajar kitab al-Muwatta’. Selain belajar di masjid, ana juga sempat belajar di rumahnya dan mengikuti beberapa program yang diatur oleh Nadi al-Madinah al-Munawwarah al-Adabi.

Syeikh rahimahullah dilahirkan pada tahun 1346H bersamaan tahun 1927M di kampung al-Mahdiyyah, wilayah al-Syarqiyyah, Mesir.

Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya, belajar di sekolah ibtida’iyyah (rendah) di sana selama lima tahun. Pada tahun 1364H, iaitu sewaktu berumur 18 tahun, beliau berhijrah ke al-Madinah al-Munawwarah dan bekerja dengan al-Mabarrah al-Misriyyah al-Sihhiyyah. Di bumi berkat ini beliau memulakan pengajian dalam bidang agama secara mendalam di Masjid Nabawi dan di rumah-rumah para syeikh, lalu bertukar daripada seorang pekerja kepada seorang talib al-‘ilm. Sewaktu mula-mula tiba di Madinah, beliau dapati di Masjid Nabawi pada masa itu terdapat 15 halaqah ilmu. Akhirnya halaqah Syeikh Abdul Rahman al-Afriqi dirasakan paling sesuai dengannya sebagai pelajar baharu. Beliau lalu meminta izin daripada Syeikh untuk belajar dengannya, maka bermulalah sejarah pembelajarannya di Masjid Nabawi.

Guru-guru

Antara guru-gurunya ialah:

  1. Fadhilat al-Syeikh ‘Abdul Rahman al-Afriqi rahimahullah. Antara kitab yang dipelajarinya ialah al-Muwatta’, Nail al-Autar, Subul al-Salam, Riyadh al-Salihin dan al-Baiquniyyah. Beliau sempat bersamanya sehingga tahun 1370H.
  2. Fadhilat al-Syeikh Hammad bin Muhammad al-Ansari rahimahullah: belajar kitab al-Rahbiyyah fi al-Fara’idh dan al-Ajurrumiyyah fi al-Nahw.
  3. Fadhilat al-Syeikh Muhammad bin Turki rahimahullah: belajar kitab Sahih al-Bukhari dan Syarh Muntaha al-Iradat (fiqah Hanbali).
  4. Fadhilat al-Syeikh Muhammad ‘Ali al-Harakan rahimahullah: belajar kitab Sahih al-Bukhari.
  5. Fadhilat al-Syeikh ‘Ammar al-Jaza’iri rahimahullah: belajar kitab Sunan Abi Dawud.
  6. Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti, di awal kedatangannya ke Madinah. Beliau sempat menghadiri kuliah tafsirnya di masjid dan belajar nahu, mantik serta usul fiqh di rumahnya.
  7. Fadhilat al-Syeikh al-‘Arnus dan Syeikh Ahmad Yasin al-Khiyari: belajar tajwid.
  8. Dan juga Syeikh Muhammad Zaki.

Pada tahun 1370H, Ma‘had ‘Ilmi dan Kulliyyah Syariah dibuka di Riyadh (kini Universiti Imam Muhammad bin Sa‘ud). Al-Malik ‘Abdul ‘Aziz menarik ramai masyayikh dari Masjid Nabawi ke Riyadh sebagai tenaga pengajar, termasuklah Syeikh al-Afriqi dan al-Syinqiti. Beliau telah meminta jasa baik Syeikh al-Afriqi agar menyampaikan permohonannya untuk menyambung pelajaran ke ma‘had yang baharu itu dan beliau memberi jaminan kepada Syeikh bahawa sekiranya diterima, beliau akan meninggalkan pekerjaannya di Madinah.

Setelah diterima, beliau berpindah pula ke Riyadh untuk memasuki Ma‘had ‘Ilmi al-Thanawi. Sewaktu tiba di ma‘had, hanya tinggal sebulan lagi dari tarikh peperiksaan penggal pertama. Beliau telah berjumpa dengan mudir ma‘had memohon untuk terus masuk ke tahun tiga dan akan mengambil sekali gus peperiksaan untuk tahun satu dan dua. Akhirnya beliau berjaya dalam peperiksaan tersebut dengan menjadi salah seorang daripada lima pelajar terbaik. Beliau kemudiannya terus memasuki Kulliyyah Syariah dan Kulliyyah al-Lughah al-‘Arabiyyah secara serentak dan dapat menamatkan kedua-dua kulliyyah tersebut pada tahun yang sama.

Semasa di Riyadh, beliau mula berhubung dengan ulama tempatan dan juga ulama besar yang datang dari Mesir, antaranya Fadhilat al-Syeikh ‘Abdul Razzaq ‘Afifi, Samahat al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz, Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Rasyid dan Syeikh ‘Abdul Razzaq Hamzah rahimahumullah. Pada masa yang sama, beliau juga mula berhubung rapat dengan Fadhilat al-Walid al-Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Jakani al-Syinqiti rahimahullah, bukan sahaja sebagai seorang murid dengan guru, tetapi telah menganggapnya sebagai bapanya. Beliau mendapat bimbingan dan didikan yang berterusan dalam halaqah ilmu, bukan sahaja di rumah bahkan semasa rehlah dan musafir. Sewaktu di Riyadh beliau tinggal serumah dengan Syeikh dan sempat mengerjakan haji bersama-sama selama empat tahun berturut-turut.

Beliau telah bersama Syeikh selama 22 tahun, semenjak kedatangannya pada tahun 1371H sehingga ke akhir hayat Syeikh, iaitu pada waktu Duha hari Khamis 17 Zulhijjah 1393H di Makkah selepas menunaikan fardu haji. Almarhum disolatkan di Masjidil Haram selepas solat Zohor dan dikebumikan di Perkuburan Ma‘la. Selepas kewafatan Syeikh pun, beliau masih menggunakan sebutan “Waliduna al-Syeikh…” yang bererti “Bapa kami…” setiap kali menyebut nama Syeikh, sama ada dalam ceramah atau kuliah yang disampaikan. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat yang sangat luas ke atas mereka berdua, amin. Beliau direzekikan Allah SWT dapat bersama-sama dengan Syeikh di Riyadh dan di Madinah, ketika rehlah haji selama beberapa tahun dan juga dalam rehlah ke benua Afrika yang bermula di Sudan dan berakhir di Mauritania, yang memakan masa selama tiga bulan.

Jawatan dan kerjaya

Sepanjang hidupnya Syeikh ‘Atiyyah telah diberikan beberapa tanggungjawab besar yang mesti dilaksanakan:

  1. Sebelum tamat belajar di Riyadh, iaitu semasa di tahun dua kuliah, berlaku kekurangan guru, maka pihak kuliah memilih pelajar yang cemerlang sebagai guru. Beliau telah ditugaskan sebagai guru di Ma‘had ‘Ilmi di al-Ahsa’ selama empat tahun.
  2. Selepas menamatkan pengajiannya di kulliyyah, beliau dilantik pula sebagai pensyarah di Ma‘had Thanawi Riyadh.
  3. Kemudian beliau bertukar sebagai pensyarah di Kulliyyah Syariah dan Lughah dalam subjek Bulugh al-Maram, al-Adab fi Sadr al-Islam dan ‘Ilm al-Wadh‘ (bahasa).
  4. Pada tahun 1381H ditubuhkan sebuah majlis khas (ad hoc) bagi penubuhan atau pembukaan Universiti Islam Madinah (UIM). Sekali lagi Syeikh dipindahkan ke Madinah dengan arahan Samahat al-Mufti Muhammad bin Ibrahim rahimahullah. Beliau bersama-sama dengan Fadhilat al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz sebagai Pengerusi Majlis yang dianggotai oleh Syeikh ‘Abdul Razzaq ‘Afifi, Syeikh Manna‘ Khalil al-Qattan dan Syeikh Muhammad al-‘Abudi. Tempatnya ialah di al-Sultanah dan kemasukan pelajar adalah 80% dari luar Saudi dan 20% dari Arab Saudi. Pada awal pengajian di Ma‘had Thanawi dan Kulliyyah Syariah terdapat seramai 250 orang pelajar.
  5. Di UIM beliau ditugaskan sebagai Dekan Hal Ehwal Akademik (Syu’un al-Ta‘lim) di samping mengajar subjek fiqah melalui kitab Bidayat al-Mujtahid yang dipilih sebagai muqarrar (teks wajib) kerana ia dianggap kitab terbaik untuk subjek fiqh muqaran dan subjek usul fiqh ketika Syeikh Muhammad al-Amin uzur.
  6. Pensyarah jemputan di al-Ma‘had al-‘Ali li al-Da‘wah, Madinah dan juga di bahagian Dirasat ‘Ulya (pascasiswazah) UIM.
  7. Akhirnya pada tahun 1384H, sekali lagi Samahat al-Mufti Muhammad bin Ibrahim rahimahullah, yang juga selaku Ketua Hakim (Ketua Qadhi), mengarahkan agar Syeikh dipindahkan dari UIM ke bidang kehakiman sebagai qadhi. Beliau kekal dengan jawatan tersebut dengan beberapa kenaikan pangkat sampai ke peringkat Qadhi Tamyiz (hakim mahkamah rayuan) sehingga tamat tempoh perkhidmatan (bersara) pada 1 Jamadilawal 1414H.

Mengajar di Masjid Nabawi

Setelah tertubuhnya UIM, diletakkan satu kerusi khas untuk masyayikh UIM menyampaikan kuliah di Masjid Nabawi. Tempat tersebut dikenali dengan nama ‘Kerusi Jami‘ah’. Letaknya di tengah-tengah masjid, iaitu antara dua kawasan terbuka yang sekarang ini diteduhi dengan payung. Kerusi tersebut pada mulanya diduduki oleh Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti secara bergilir dengan Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz rahimahullah yang pada ketika itu Naib Rektor UIM. Oleh kerana Syeikh al-Amin selalu uzur, tempatnya diganti oleh Syeikh ‘Abdul Qadir Syaibah al-Hamd, manakala Syeikh Ibn Baz pula sentiasa sibuk dengan tugas yang dipikulnya, maka beliau mengarahkan Syeikh ‘Atiyyah menggantikan tempatnya. Syeikh ‘Abdul Qadir kemudiannya berpindah ke Riyadh, maka tinggallah Syeikh ‘Atiyyah seorang. Tetapi dua tiga tahun terakhir ini, Syeikh ‘Abdul Qadir kembali semula menyampaikan kuliahnya secara bergilir dengan Syeikh ‘Atiyyah.

Menurut cerita Syeikh tentang pengalamannya mengajar di Masjid Nabawi, pada asalnya beliau tidak mahu mengambil tempat tersebut, maklumlah kerusi itu asalnya diduduki oleh masyayikh kibar (ulama besar), tetapi Samahat al-Syeikh Ibn Baz tetap bertegas agar beliau menerimanya. Dengan berkat jasa beliau itu, akhirnya Syeikh ‘Atiyyah kekal di tempat itu sehingga ke akhir hayatnya, bermula pada awal tahun 80-an hijrah (hampir 40 tahun). Bahkan setiap kuliah yang disampaikannya mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Hadirin terdiri daripada penduduk Madinah dari pelbagai lapisan masyarakat, mahasiswa UIM dan juga para penziarah yang datang bersolat di Masjid Nabawi.

Jadual kuliahnya ialah selepas solat Maghrib sehingga iqamah solat Isyak setiap malam Sabtu, Ahad dan Isnin. Pada bulan Ramadan pula, setiap hari selepas solat Asar sehingga setengah jam sebelum masuk waktu Maghrib. Kebiasaannya beliau menyampaikan kuliah yang berkait dengan puasa dan Ramadan, tafsir ayat-ayat tentang puasa, beberapa peperangan dan lainnya. Pada musim haji pula, kuliah beliau mengenai manasik haji serta sejarah ma‘alim (tempat-tempat bersejarah) Madinah.

Ada juga beberapa kuliah tambahan selepas solat Isyak untuk beberapa subjek seperti matan al-Rahbiyyah fi al-Fara’idh, matan al-Baiquniyyah fi al-Mustalah, matan al-Waraqat fi al-Usul dan juga ilmu balaghah dan lain-lain.

Kitab yang diajar

Antara kitab yang telah diajar di Masjid Nabawi ialah:

  1. Al-Muwatta’ karya Imam Malik. Sebanyak dua kali khatam. Dirakam dalam 609 kaset (60 minit) dan 402 kaset (90 minit).
  2. Al-Arba‘in al-Nawawiyyah. 75 kaset.
  3. Syarah matan al-Baiquniyyah fi Mustalah al-Hadith. 6 kaset.
  4. Syarah matan al-Rahbiyyah fi al-Fara’idh. 13 kaset.
  5. Syarah matan al-Waraqat fi Usul al-Fiqh. 11 kaset.
  6. Beberapa kuliah tafsir al-Quran: Surah al-Hujurat, permulaan Surah al-Baqarah dan beberapa ayat daripada Surah Ali ‘Imran.
  7. Beberapa kuliah tentang sirah nabawiyyah, peperangan dan tempat-tempat bersejarah di Madinah.
  8. Bulugh al-Maram susunan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani. Inilah kitab terakhir yang diajar oleh Syeikh di Masjid Nabawi. Terdapat 330 kaset.

Perhatian: Semua kuliah yang disampaikan dirakam ke dalam kaset dan CD/VCD dan tersimpan di Maktabah Sautiyyah (Perpustakaan Audio) Masjid Nabawi. Sesiapa yang berminat boleh merujuk kepada maktabah berkenaan, letaknya di pintu masjid bernombor 12. Selain kuliah di masjid, Syeikh juga mengadakan kuliah di rumahnya selepas solat Asar. Beliau mengajar kitab Bulugh al-Maram sebelum mengajarnya di masjid dan kitab al-Muwatta’ setelah tamat di masjid atas permintaan pelajar. Ana sempat menghadiri kuliah al-Muwatta’ di rumahnya, kemudian kuliah tersebut terpaksa dihentikan atas nasihat doktor memandangkan kesihatan Syeikh sering terganggu; memadailah dengan kuliah di masjid sahaja.

Aktiviti lain

Selain mengajar di masjid dan di rumah, Syeikh rahimahullah juga banyak menyertai program-program radio dan televisyen Arab Saudi. Semenjak ditubuhkan rancangan Nida’ al-Islam di radio, kuliah Syeikh sering ke udara dalam rancangan Durus min al-Masjid al-Nabawi secara bergilir dengan Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri hafizahullah dan juga dalam beberapa rancangan khas untuk radio.

Beliau juga banyak menyertai program yang diatur oleh Nadi al-Madinah al-Munawwarah al-Adabi sebagai ahli panel forum dan sebagainya, serta menyertai beberapa muktamar dalam dan luar negara seperti:

  1. Muktamar I‘dad al-Du‘at, di UIM.
  2. Muktamar Mukafahat al-Mukhaddirat (Membanteras Dadah), di UIM.
  3. Muktamar Mukafahat al-Jarimah (Membanteras Jenayah), di Kementerian Dalam Negeri, Riyadh.
  4. Muktamar Ahl al-Hadith, di Islamabad, Pakistan.
  5. Muktamar Fiqh Islami di Malaysia, yang diadakan pada tahun 1384H untuk membincangkan beberapa isu mengenai Islam.
  6. Muktamar al-Da‘wah di Baghdad sewaktu peperangan Iraq–Iran bagi mencari jalan perdamaian antara Iraq dan Iran.
  7. Usbu‘ (Minggu) Syeikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, di Universiti Imam, Riyadh.
  8. Beberapa program yang dianjurkan oleh UIM pada musim thaqafi dan lainnya.

Muktamar Fiqh Islami di Malaysia

Antara agenda yang dibincangkan dalam muktamar di Malaysia itu ialah mengenai riba, sehingga sampai ke peringkat diadakan undian untuk menyokong atau membantah riba diharuskan. Pada waktu itu Syeikh rahimahullah sudah hilang kesabarannya. Beliau bangun meminta izin untuk bercakap, tetapi pengerusi berkata: “Sekarang masa untuk mengundi, bukan untuk bercakap.” Syeikh bertegas dengan permintaannya kerana keputusan untuk mengundi itu salah dari segi peraturan dan bercanggah dengan ilmu; tidak boleh diadakan undian sebelum tamat munaqasyah dengan semasak-masaknya. Akhirnya pengerusi memberi masa selama dua minit sahaja. Maka Syeikh terus menyampaikan ceramah tentang pengharaman riba berdasarkan syarak dan akal yang disimpulkan dalam empat hujah. Selepas itu pihak majlis mengambil keputusan menangguhkan masalah ini tanpa sebarang keputusan dibuat. Alhamdulillah.

Catatan: Muktamar Malaysia ini sering kali disebut oleh Syeikh dalam kuliahnya, juga ketika menjawab soalan yang dikemukakan, khasnya yang berhubung dengan muamalat. Dan apa yang melucukan ialah apabila Syeikh menceritakan pengalamannya melihat orang asli atau ‘orang hutan’ sewaktu dibawa melawat selepas muktamar itu, seolah-olah penduduk Malaysia masih belum bertamadun lagi. Walaupun cerita lama, tetapi setelah diulang semula nampak macam baharu, sehinggakan semua pendengar dalam masjid turut ketawa. Rahimakallah ya Syeikh.

Karya-karya ilmiah

  1. Tatimmah Tafsir (penyempurnaan tafsir) أضواء البيان في إيضاح القرآن بالقرآنkarya Syeikh Muhammad al-Amin, dari awal Surah al-Hasyr hingga akhir Surah al-Nas. Dicetak bersama Adhwa’ al-Bayan.
  2. تسهيل الوصول إلى علم الأصول. Teks usul fiqh di Ma‘had Thanawi UIM, ditulis bersama.
  3. الأدب في صدر الإسلام. Teks di UIM dan Universiti Imam, Riyadh, ditulis bersama.
  4. الرق في الإسلام. Kitab yang ditulis bersama Syeikh Muhammad al-Amin.
  5. السؤال والجواب في آيات الكتاب. Asalnya siri-siri kuliah yang disampaikan di radio, kemudian dicetak dan dijadikan teks di Kulliyyah Tarbiah, Universiti King ‘Abdul ‘Aziz.
  6. وصايا الرسول صلى الله عليه وسلم. Asalnya siri-siri kuliah yang disampaikan di radio, kemudian dicetak dan dijadikan teks di Kulliyyah Tarbiah, Universiti King ‘Abdul ‘Aziz.
  7. في ظل عرش الرحمن. Huraian kepada hadis tentang tujuh golongan yang mendapat naungan pada hari yang tiada naungan selain naungan-Nya.
  8. عمل أهل المدينة. Menjelaskan pegangan Imam Malik terhadap amalan ahli Madinah, sekali gus menolak pendapat Imam Muhammad bin al-Hasan tentang perkara tersebut berdasarkan kitabnya الحجة على أهل المدينة.
  9. موقف الأمة من اختلاف الأئمة. Penjelasan tentang adab khilaf dalam kalangan ulama.
  10. آيات الهداية والاستقامة في كتاب الله. Dua jilid. Asalnya siri-siri rancangan yang disiarkan di radio.
  11. هداية المستفيد من كتاب التمهيد لابن عبد البر. Dua belas (12) jilid. Susunan baharu kitab al-Tamhid mengikut bab fiqah berdasarkan susunan kitab al-Muwatta’, sedangkan asalnya disusun mengikut sanad. Susunan ini dibuat selama dua belas tahun.
  12. الدماء في الإسلام. Kitab lengkap yang membincangkan tentang darah, asalnya, jenisnya dan hukum mengenainya. Inilah kitab terakhir yang dicetak semasa hayat muallif rahimahullah, pada tahun 1419H/1998M. Fikrah untuk menulis mengenainya bermula pada tahun 1375H memandangkan tiada satu kitab atau risalah khusus yang membincangkan tajuk ini, juga disebabkan timbulnya segolongan pelajar ilmu yang berpendapat ‘darah itu suci’, sedangkan pendapat tersebut menyalahi ijmak ulama sepanjang 14 abad yang lalu.
  13. Kumpulan الرسائل المدنية “Risalah-risalah Madinah”, iaitu 16 buah kitab yang ditulis dalam pelbagai tajuk perbincangan:
  14. صلاة التراويح أكثر من ألف عام في مسجد النبي صلى الله عليه وسلم. Kitab ini ditulis untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh sebahagian kumpulan pelajar yang mengatakan: “Solat tarawih lebih daripada lapan rakaat adalah bidaah.”
  15. مع الرسول صلى الله عليه وسلم في رمضان
  16. نكاح المتعة في الإسلام
  17. زكاة الحلي
  18. تعريف عام بعموميات الإسلام (عقائد – عبادات – معاملات)
  19. منهج الإسلام في كيفية المؤاخاة والتحكيم بين المسلمين
  20. أصول الخطابة والإنشاء
  21. معالم على طريق الهجرة
  22. حكمة التشريع في تعدد الزوجات وتحديد النسل
  23. رمضانيات
  24. آداب زيارة المسجد النبوي والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم
  25. مع الرسول صلى الله عليه وسلم في حجة الوداع
  26. الإسراء والمعراج من الكتاب والسنة
  27. سجود التلاوة
  28. مع المرضى
  29. العين والرقية والاستشفاء من القرآن والسنة
  30. أعيان علماء الحرمين من عهد الصحابة إلى اليوم
  31. موسوعة المسجد النبوي

Terdapat banyak lagi makalah yang disiarkan dalam Majalah UIM dan lainnya, juga kertas-kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar dan muktamar. Semoga ia akan dicetak kembali dalam sebuah buku untuk rujukan orang kemudian. [Alhamdulillah, pada tahun 2006 kebanyakan hasil pena Syeikh telah dibukukan dalam bentuk yang menarik, kecuali beberapa kertas kerja yang disiarkan dalam majalah/jurnal UIM yang belum dikumpulkan; semoga ia berada dalam perancangan anak-anak beliau.] Syeikh juga banyak menjadi musyrif (penyelia) kepada tesis-tesis PhD dan MA dan juga menjadi munaqisy (pemeriksa) kepada tesis-tesis yang ditulis.

Pandangan

Antara pandangan dan pendapatnya: Syeikh tidak bersetuju dengan pendapat ahli perundangan untuk mentaqninkan (mengkanunkan) hukum-hukum syariah, iaitu menjadikan undang-undang syariah seperti kanun lain yang disusun mengikut seksyen, seperti Majallat al-Ahkam yang dibuat pada zaman Uthmaniyyah.

Kelebihan

Beliau petah dalam menyampaikan maklumat dengan hujah yang tersusun dan teratur. Penyampaiannya sungguh menyeronokkan sehingga tanpa disedari azan Isyak telah berkumandang. Kadang-kadang diselitkan dengan cerita-cerita lucu untuk menghilangkan rasa jemu atau mengantuk. Penyampaiannya penuh semangat dan dalam tajuk-tajuk tertentu boleh mengalirkan air mata kesedihan. Beliau mempunyai pandangan yang luas, tidak suka menimbulkan perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan dan perselisihan, sangat menjaga adab-adab berkhilaf dan suka berbaik sangka dengan semua pihak. Beliau juga sering memberi mukafa’ah (bantuan) kepada pelajar-pelajar yang iltizam dengan halaqahnya.

Zikrayat dan wasiat

Beliau memulakan rehlah ilmiahnya setelah dewasa, sehingga merasakan telah ‘ketinggalan bas’ (agak terlewat). Jadi terpaksalah beliau menggunakan sepenuh masa, usia dan tenaga untuk sampai ke destinasi bersama penumpang lain. Beliau merasakan satu kerugian masa, hatta waktu rehat untuk makan, tanpa membaca apa-apa maklumat, sehinggakan waktu berjalan menuju ke tempat memperbaharui wuduk pun dirasakan kerugian masa. Kerana itu, sewaktu makan beliau mendengar berita dari radio atau mendengar apa-apa percakapan untuk mengelakkan pembaziran masa tanpa mendapat sebarang maklumat. Pada suatu malam sewaktu berada di Riyadh, selepas solat Isyak, beliau membaca kitab Ibn Jarir al-Tabari rahimahullah. Kerana terlalu asyik dengan apa yang dibaca, tanpa disedari masa berlalu begitu pantas sehinggalah azan Subuh berkumandang.

"أقول لطالب العلم: أن يجعل نصب أعينه ألا يجمع بين طلب العلم وشيء آخر…"

Katanya: “Tujuan saya menyebut cerita ini adalah untuk mengingatkan para pelajar agar menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu dengan tidak mencampuradukkannya dengan urusan lain.”

Beliau juga menceritakan: “Saya terjumpa cerita pelik sewaktu menulis riwayat hidup Imam al-Syafi‘i rahimahullah: Seorang tetamu datang ke rumahnya dan tidur bersamanya. Selepas beberapa waktu, Imam tiba-tiba mengejutkan jariah (hamba)nya agar menyalakan lampu, lalu beliau menulis sesuatu, kemudian disuruhnya jariah memadamkan lampu tersebut. Tidak lama kemudian beliau mengejutkan lagi jariahnya; peristiwa sebegitu berulang sebanyak tiga kali pada malam itu. Setelah itu tetamunya berkata kepada Imam: ‘Tuan telah menyusahkan jariah tuan. Kenapa tuan tidak menyalakan lampu itu sendiri kemudian memadamkannya, biarkanlah jariah tidur sepuasnya.’ Imam menjawab dengan suatu jawapan yang mengkagumkan: ‘Kesusahan menghidupkan lampu boleh menyibukkan hati (fikiran) saya.’ "معاناة السراج تشغل قلبي". Sewaktu membaca ungkapan Imam itu, saya telah meletakkan tangan di dahi memikirkan: Bagaimana keadaan para pelajar sekarang yang sibuk dengan anak, masyarakat dan negaranya, sedangkan televisyen dan radio pula banyak menghabiskan masa mereka. Semua ini bukan bermakna seseorang itu terus belajar tanpa mencari rezeki, kerana Imam Abu Hanifah pun seorang peniaga kain, tetapi zuruf (keadaan) belajar di Saudi ini berbeza dengan tempat lain; kerajaan telah menyediakan semua kemudahan untuk belajar dan memberi peluang seluas-luasnya untuk menimba ilmu. Yang penting: Saya telah keluar dari pengembaraan mencari ilmu dengan natijah yang baik dan tiada dalam kehidupan ini yang lebih lazat dan menyukakan daripada isytighal (menyibukkan diri) dengan mencari ilmu.”

Penutup

عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنهما قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: «إِنَّ اللهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالًا، فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا».

Maksudnya: ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak mengambil ilmu dengan mencabutnya daripada hamba-hamba-Nya, tetapi Dia mengambil ilmu dengan mewafatkan para ulama, sehingga apabila tiada lagi orang alim yang tinggal, orang ramai akan mengangkat orang-orang jahil menjadi ketua. Apabila mereka ditanya (tentang sesuatu perkara atau hukum), mereka berfatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan.” (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab Kaifa Yuqbad al-‘Ilm, no. 100.)

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW telah memberitahu: “Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat ialah diangkat ilmu…” (Riwayat al-Bukhari, no. 80, daripada Anas r.a.)

Dalam masa yang singkat ini umat Islam telah kehilangan beberapa ulama besar, dai, murabbi dan penulis yang banyak meninggalkan hasil karya mereka, antaranya ialah:

  1. Samahat al-Syeikh ‘Abdul ‘Aziz bin ‘Abdullah bin Baz, Mufti Besar Kerajaan Arab Saudi. Dilahirkan di Riyadh pada 12 Zulhijjah 1330H dan meninggal dunia pada hari Khamis 27 Muharam 1420H, bersamaan 13 Mei 1999M.
  2. Fadhilat al-Syeikh ‘Umar bin Muhammad Fullatah. Berasal dari Nigeria. Bekas pensyarah dan Setiausaha Agung (al-Amin al-‘Am) UIM, guru di Masjid Nabawi yang telah menyampaikan kuliah Maghrib selama berpuluh tahun; tempatnya di belakang tempat muazin. Antara pengasas Syu‘bah Dar al-Hadith Madinah. Meninggal dunia pada hari Rabu 29 Zulkaedah 1419H, bersamaan 17 Mac 1999M di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi‘ berdekatan dengan makam Sayyidina Ibrahim.
  3. Fadhilat al-Syeikh Hammad bin Muhammad al-Ansari. Bekas pensyarah UIM, menjadi tempat rujukan pelajar dirasat ‘ulya (pascasiswazah), khasnya dalam bidang makhtutat (manuskrip). Pakar dalam ilmu hadis. Dilahirkan di Tadmakkah, Mali pada tahun 1344H dan meninggal dunia pada 21 Jamadilakhir 1418H bersamaan 22 Oktober 1997M di Madinah dan dikebumikan di Perkuburan Baqi‘.
  4. Fadhilat al-Syeikh ‘Ali bin Mustafa al-Tantawi. Bekas pensyarah di beberapa buah universiti di Damsyik, Baghdad, Riyadh dan Makkah, dai dan penulis terkenal. Pernah memegang jawatan hakim di Damsyik, Syria. Sering ke udara melalui TV Saudi setiap hari Jumaat. Dilahirkan di Damsyik pada tahun 1327H bersamaan 1909M dan meninggal dunia pada malam Sabtu, 4 Rabiulawal 1420H bersamaan 18 Jun 1999M dan dikebumikan di Perkuburan Ma‘la, Makkah.
  5. Fadhilat al-Syeikh Manna‘ Khalil al-Qattan, tokoh pendidik, murabbi dan juga penulis yang terkenal. Dilahirkan di Syansyur, al-Manufiyyah, Mesir pada tahun 1925M bersamaan 1345H. Berhijrah ke Arab Saudi pada tahun 1953M. Pernah bersama-sama dengan jemaah Ikhwan. Pensyarah di beberapa buah IPT di Riyadh. Meninggal dunia pada tahun 1420H/1999M.
  6. Dr. Syeikh Mustafa Ahmad al-Zarqa’, anggota Majma‘ al-Fiqh al-Islami OIC dan Rabitah, juga anggota al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah Kuwait. Dilahirkan di Halab, Syria pada tahun 1904M dan meninggal dunia pada bulan Rabiulawal 1420H bersamaan Julai 1999M di Riyadh.
  7. Fadhilat al-Syeikh ‘Abdul Fattah bin Muhammad Basyir Abu Ghuddah, seorang murabbi dan penulis yang banyak meninggalkan karya ilmiah, lebih 50 buah kitab. Lahir pada bulan Rejab 1336H bersamaan 1917M di Halab (Aleppo), Syria. Meninggal dunia pada hari Ahad 9 Syawal 1417H di Riyadh dan dikebumikan di Perkuburan Baqi‘.
  8. Fadhilat al-Syeikh Muhammad al-Ghazali al-Saqqa, Mesir. Seorang dai dan penulis terkenal.
  9. Fadhilat al-Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi, Mesir. Dai dan juga penulis, terkenal dengan kuliah tafsirnya yang sering ke udara melalui TV Mesir dan juga Arab Saudi. Bekas pensyarah di Universiti Umm al-Qura dan Universiti King ‘Abdul ‘Aziz. Dilahirkan pada 15 April 1911M di Mesir dan meninggal dunia pada 22 Safar 1419H bersamaan 17 Jun 1998M.

Semoga Allah SWT mencurahkan rahmat-Nya yang maha luas serta maghfirah keampunan-Nya kepada mereka dan semua guru kami yang telah mendidik dan mentarbiah kami, juga kedua-dua ibu bapa kami. Amin ya Rabbal ‘alamin.

Rujukan

6 sumber
  1. Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab Kaifa Yuqbad al-‘Ilm, no. 100 (riwayat ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As r.a.).

    Sunnah.com
  2. Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, no. 80 (riwayat Anas r.a.).

    Sunnah.com
  3. Midad: biografi al-Syeikh al-‘Allamah al-Faqih al-Qadhi ‘Atiyyah Muhammad Salim.

    midad.com
  4. Wikipedia bahasa Arab: عطية محمد سالم.

    ar.wikipedia.org
  5. Shamela: Manna‘ bin Khalil al-Qattan (biodata pengarang).

    Maktabah Syamilah
  6. Wikipedia: Hammad al-Ansari.

    en.wikipedia.org

Penulis

Dato’ Dr. Abu Anas Madani

Musyrif Pondok Sungai Durian, Kuala Krai. Ph.D Syariah, Universiti Islam Madinah.

Biodata penuh →

Ada persoalan berkaitan?

Hantar soalan kepada Dr. Abu Anas. Jawapan terpilih disiarkan dalam arkib.

Tanya soalan

Bacaan berkaitan

Sirah & Tokoh Kenali Imam Abu Mansur Al-Maturidi Rahimahullah 25 Nov 2025 Sirah & Tokoh Kenali Imam Ad-Darimi Rahimahullah – Pengumpul Sunnah Nabi ﷺ 25 Nov 2025 Sirah & Tokoh Keislaman ‘Umar RA: Doa Nabi, Dentuman Hidayah & Gelaran al-Fārūq 26 Okt 2025 Sirah & Tokoh Kisah Taubat Ikrimah bin Abu Jahal RA 29 Sep 2025