Tulisan: Shahmuzir (catatan syarahan Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili), terjemahan Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Disunting dan diulas oleh Dato’ Dr. Abu Anas Madani. Sumber asal: blog Shahmuzir, muzir.wordpress.com.
Pendahuluan
Alhamdulillah, pada 14 Mei 2011 Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili telah sudi menyampaikan syarahan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Syarahan bertajuk “Sumpah & Qazaf” itu bermula tepat jam 2.30 petang dan berakhir pada jam 4.00 petang. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri telah dijemput bersama dalam majlis tersebut sebagai penterjemah syarahan.

Hakikat Ujian Kepada Orang yang Beriman
Sebelum memulakan syarahannya, Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili memohon kepada ALLAH Ta‘ala agar kita semua diberikan kefahaman dalam agama, ditambahkan ilmu agama, diberi keberkatan dan dijauhkan daripada segala kejahatan.
Beliau mengingatkan para hadirin bahawa kehidupan di dunia ini penuh dengan bermacam-macam ujian. Ujian-ujian itu mungkin datang disebabkan oleh diri sendiri atau boleh juga disebabkan oleh perbuatan orang lain.
ALLAH ‘Azza wa Jalla telah menjadikan dunia sebagai tempat ujian dan fitnah bagi sekalian manusia. Sheikh Dr. Wahbah memetik firman ALLAH daripada surah al-Baqarah, ayat 155 hingga 157:
{وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ}
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,”
{الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ}
“(iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un’.”
{أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ}
“Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [al-Baqarah: 155–157]
Dalam menuju keredaan ALLAH, manusia akan sentiasa diuji. Itulah sunnatullah hidup di dunia ini. Sheikh Dr. Wahbah menasihatkan agar seorang Muslim janganlah terlalu bersedih dan gundah-gulana dengan ujian ini, kerana melalui ujian-ujian inilah seseorang akan memperoleh pahala yang banyak, imannya akan bertambah dan darjatnya akan ditinggikan di sisi ALLAH Ta‘ala.
Melalui ujian-ujian ini juga dapat dibezakan siapakah dalam kalangan hamba-hamba-NYA yang beriman, yang bertakwa, yang munafik dan yang fasik.
Beliau seterusnya mengingatkan bahawa ujian dan fitnah yang menimpa setiap manusia berlaku dengan keizinan ALLAH. Di dalamnya terdapat banyak hikmah yang manusia tidak ketahui.
Datangnya ujian dan fitnah tidak akan merobohkan keimanan seseorang yang kuat imannya, kerana kekuatan imannya seumpama teguhnya sebuah bukit yang tidak dapat digugat. Justeru, keimanan yang teguh adalah aset utama seorang mukmin dalam berhadapan dengan ujian dan fitnah.
Sama ada ujian itu datang dalam bentuk kecil atau besar, sama ada dipenjara, dicerca dan sebagainya, kebaikan tetap akan berlaku kepada orang yang beriman sekiranya dia bersabar dan memahami hakikat sebuah ujian. Hal ini disabdakan oleh Nabi SAW:
“Sungguh menakjubkan keadaan orang yang beriman, kerana segala urusannya baik baginya dan perkara itu tidak berlaku kecuali bagi orang yang beriman. Apabila dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.” [HR Muslim]
Jika kita merenung sejarah yang lalu, kita akan dapati bahawa ujian dan fitnah banyak menimpa orang-orang yang mulia dan utama di sisi agama. Para rasul, nabi, syuhada’, auliya’ dan ulama adalah golongan yang paling banyak menerima ujian dan besar pula fitnah yang menimpa mereka. Ini memberi isyarat kepada kita bahawa semakin tinggi darjat seseorang di sisi ALLAH, semakin hebat ujian yang diterimanya. Akhirnya ia menatijahkan ganjaran yang tiada tolok bandingnya daripada ALLAH ‘Azza wa Jalla kelak.
Untuk memahami hakikat ini, orang-orang yang beriman mestilah tidak berhenti menimba dan mendalami ilmu agama serta berusaha memahaminya. Dengan ilmulah seseorang akan disuburkan dengan sifat takwa, seterusnya dapat memberikan reaksi yang betul menurut kehendak agama terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya. Ketahuilah, orang yang paling takut kepada ALLAH ialah para ulama, iaitu orang-orang yang berilmu dan memahami ilmu agama [lihat Fatir: 28].
Fitnah dan ujian akan sentiasa singgah dalam kehidupan insan. Sama ada suka atau tidak, ia tetap menjadi rencah dalam kehidupan dunia yang sementara ini. Yang menjadi nilaian di sisi ALLAH ialah bagaimana reaksi kita terhadap ujian itu. Sabarkah? Marahkah? Betulkah atau salahkah tindakan kita? Semuanya nanti akan dihisab oleh ALLAH Jalla wa ‘Ala pada Hari Kebangkitan kelak.
Sheikh Dr. Wahbah mengakhiri mukadimah syarahannya dengan mengingatkan para hadirin bahawa bersama setiap kesusahan pasti ada kesenangan daripada ALLAH Subhanahu wa Ta‘ala. Justeru, bersangka baiklah dengan ALLAH dan bersabarlah. ALLAH Ta‘ala bersama orang-orang yang sabar.
Beliau sengaja memulakan syarahan tersebut dengan menyentuh hakikat ujian dan fitnah, serta betapa pentingnya peranan iman dan ilmu dalam hal ini, supaya para hadirin dipasakkan dengan asas yang betul dan tepat menurut kehendak agama ketika berhadapan dengan isu seumpama ini.
Sumpah, Qazaf & Mubahalah
Selepas menyampaikan tentang hakikat fitnah dan ujian serta peranan iman dan ilmu untuk berhadapan dengannya, beliau seterusnya memberikan tiga contoh peristiwa untuk menerangkan tajuk yang diberi, iaitu:
- Tuduhan zina yang dilemparkan kepada Sayyidatina ‘A’isyah radhiAllahu ‘anha oleh ketua munafiqin, ‘Abdullah bin Ubay bin Salul.
- Tuduhan zina oleh seorang suami terhadap isterinya.
- Mubahalah antara orang Kristian Najran dengan Nabi Muhammad SAW.
Tuduhan Zina (Qazaf)
Dalam peristiwa pertama, iaitu tuduhan zina terhadap Sayyidatina ‘A’isyah radhiAllahu ‘anha oleh ‘Abdullah bin Ubay bin Salul, Sheikh menerangkan bahawa ALLAH telah menurunkan ayat-ayat dalam surah an-Nur (ayat 11 hingga 20) berkenaan peristiwa ini dan al-Quran menetapkan bahawa mana-mana tuduhan zina terhadap orang lain yang terpelihara kehormatannya mestilah dikemukakan dengan empat orang saksi [an-Nur: 4 dan 13].
Jika pihak yang menuduh tidak dapat mengemukakan empat saksi, maka dia dikira sebagai pendusta di sisi ALLAH Subhanahu wa Ta‘ala [an-Nur: 13]. Nas secara qat‘i telah mensyaratkan empat saksi dalam tuduhan zina seperti ini dan ia mesti dipatuhi.
Adapun penggunaan teknologi moden seperti telefon bimbit, video dan sebagainya, ia tidak boleh diterima sebagai bukti dan saksi dalam penghakiman syarak bagi isu seperti ini. Pihak yang menuduh wajib mengemukakan empat saksi. Kegagalan mengemukakan empat saksi menyebabkan si penuduh dikenakan hukuman 80 kali sebatan, dikira fasik dan penyaksiannya tidak diterima selama-lamanya [an-Nur: 4].
Mula‘anah atau Li‘an
Dalam contoh kedua, iaitu peristiwa seorang suami menuduh isterinya berzina: walaupun secara asasnya seseorang mesti mengemukakan empat saksi apabila menuduh orang lain berzina, dalam hal ini si suami dibenarkan bermula‘anah tanpa mengemukakan empat saksi.
Dalam kaedah mula‘anah sebagaimana firman ALLAH dalam surah an-Nur, ayat 6 hingga 9, si suami bersumpah dengan nama ALLAH sebanyak empat kali bahawa tuduhannya adalah benar. Pada sumpah kelima, si suami menyatakan bahawa laknat ALLAH akan menimpanya jika dia berdusta.
Jika si isteri yang dituduh itu menolak tuduhan suaminya, dia pula bersumpah dengan nama ALLAH sebanyak empat kali bahawa tuduhan suaminya itu tidak benar. Pada sumpah kelima, si isteri menyatakan bahawa kemurkaan ALLAH akan menimpanya sekiranya suaminya itu benar.
Apabila masing-masing tidak mahu mengaku salah dan saling melaknat, qadi akan memisahkan mereka berdua. Mereka bukan lagi suami isteri dan mereka tidak boleh rujuk atau berkahwin semula selama-lamanya.
Mubahalah
Sheikh Wahbah menerangkan bahawa pada zaman Rasulullah SAW, terdapat satu golongan Kristian dari Najran yang berusaha menimbulkan rasa syak dalam kalangan umat ISLAM. Mereka tidak mahu menerima dakwah dan hujah Nabi SAW. Mereka mendakwa bahawa Isa ‘alaihissalam mempunyai sifat ketuhanan dan menyatakan bahawa merekalah golongan yang benar, lalu tetap berdegil dengan pendapat mereka.
ALLAH Subhanahu wa Ta‘ala menyuruh Nabi Muhammad SAW bermubahalah, iaitu saling memohon laknat antara pihak Nabi dan golongan Kristian Najran itu. Hal ini diceritakan dalam surah Ali ‘Imran, ayat 61. Selepas berfikir panjang dan atas nasihat ketua mereka, ajakan bermubahalah itu mereka elakkan. Mereka bimbang jika Nabi Muhammad SAW benar-benar Rasul, maka akibat mubahalah itu mereka, keluarga dan keturunan mereka akan ditimpa bala bencana.
Walaupun mubahalah di atas berkaitan akidah, menurut Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili mubahalah juga boleh dilakukan dalam hal selain akidah. Mubahalah dibenarkan sekiranya pihak yang berselisih tetap berdegil dengan hujah masing-masing.
Jika ingin bermubahalah, kedua-dua pihak mestilah dalam kalangan orang yang adil dan tidak fasik. Penyaksian orang yang fasik tidak diterima dalam ISLAM kerana mereka menyeleweng daripada ajaran ISLAM.
Penyaksian hanya boleh dilakukan oleh orang yang adil. Tiga ciri orang yang adil yang dinyatakan oleh Sheikh Wahbah ialah:
- Tidak melakukan dosa besar.
- Tidak berterusan melakukan dosa kecil.
- Tidak melakukan perkara-perkara yang menjatuhkan maruahnya.
Sekiranya kedua-dua pihak yang ingin bermubahalah adalah adil, thiqah, taat kepada suruhan ALLAH Ta‘ala, meninggalkan dosa-dosa dan sentiasa menjaga maruahnya, maka layaklah mereka bermubahalah. Sekiranya tidak setara, maka tidak perlulah bermubahalah.
Isu Video Seks dan DNA
Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili ditanya sama ada video boleh dijadikan bahan bukti pendakwaan perlakuan seks. Beliau menjawab bahawa teknologi terkini seperti video tidak boleh digunakan, malah tertolak, kerana banyak unsur penipuan boleh dimasukkan ke dalamnya.
Ditanya tentang DNA pula, beliau mengatakan bahawa bilangan pakar DNA di seluruh dunia sangat terbatas dan terlalu kecil, malah mereka ini tidak boleh dipercayai. Menurut beliau lagi, Majma‘ Fiqh telah membuat keputusan bahawa kaedah DNA tidak diterima sebagai pembuktian penghakiman.
(Nota penyunting: Keputusan Majma‘ al-Fiqh al-Islami, Rabitah al-‘Alam al-Islami, sesi ke-16 (Makkah, 2002) membenarkan penggunaan cap jari genetik (DNA) dengan syarat-syarat tertentu dalam isu penetapan nasab yang dipertikaikan, tetapi tidak boleh digunakan untuk menafikan nasab yang sabit secara syarak atau sebagai pengganti li‘an dan tidak digunakan untuk mensabitkan hukuman hudud.)
Tambahan pula, pakar-pakar perundangan dan hakim di seluruh dunia pun tidak menerima kaedah DNA sebagai bukti utama; ia hanyalah sekadar perkara kecil dalam proses penghakiman. Jadi, adakah kita hendak menerima kaedah ini tanpa merujuk kepada nas-nas syarak?
Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili kecewa dengan isu video seks yang tersebar di negara umat ISLAM. Apabila ditanya tentang isu video seks yang diwar-warkan oleh media ketika itu dan dikaitkan dengan seorang tokoh politik, beliau dengan tegas menyatakan: “Ini adalah syariat syaitan! Adakah kamu mahukan syariat ALLAH atau syariat syaitan?! Jangan sekali-kali. Bahkan syariat syaitan ini patut kita letakkan di bawah kaki kita sahaja (pijak)!”
Beliau berasa sedih dan kecewa dengan situasi ini, lalu mengajak semua umat ISLAM merujuk kepada al-Quran dan tidak mempercayai isu yang digembar-gemburkan tersebut.
Sebagai penyelesaian, hendaklah dilakukan islah dengan kaedah terbaik, iaitu merujuk kepada al-Quran. Usaha mengislahkan manusia agar kembali kepada ALLAH mestilah dilakukan secara berterusan. Memahami nas-nas al-Quran sesuai dengan kehendak syarak adalah faktor penting untuk menjayakan usaha islah ini.
Beliau seterusnya mengajak umat ISLAM mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di sekeliling kita seperti gempa bumi, tsunami dan banjir besar. Dengan melihat dan merenung hikmah kejadian ini, iman dan takwa kita kepada ALLAH akan bertambah kuat. Iman yang benar dan kuat ibarat bukit yang kukuh, yang tidak dapat dikalahkan. Masalah umat ISLAM hari ini ialah iman mereka tidak penuh, tidak kuat dan hanya separuh-separuh sahaja sifatnya. Iman yang benar dan kuat ialah iman yang sentiasa bertambah dengan ketaatan.
Semoga kata-kata dan nasihat Sheikh Wahbah az-Zuhaili ini dapat diambil iktibar oleh kita semua. (Sheikh Dr. Wahbah az-Zuhaili telah wafat pada 8 Ogos 2015, rahimahullah.)
Penutup
[Catatan Shahmuzir: Tulisan ini berdasarkan apa yang sempat saya catat daripada terjemahan oleh Dr. Zulkifli al-Bakri dalam majlis tersebut. Mohon maaf jika ada kelemahan dan kesilapan dalam catatan ini. Mudah-mudahan catatan ini memberikan manfaat kepada diri saya dan tuan/puan yang sudi membacanya.] Wallahu Ta‘ala a‘lam…
Bacaan berkaitan: Peringatan: Jauhi Tuduhan Qazaf Tanpa Bukti · Ulasan Buku: Al-Bida‘ al-Munkarah (Dr. Wahbah az-Zuhaili)
Rujukan
8 sumber-
Al-Quran, Surah al-Baqarah (2): 155–157.
Quran.com -
Sahih Muslim, no. 2999 (riwayat Suhaib r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah Fatir (35): 28.
Quran.com -
Al-Quran, Surah an-Nur (24): 4, 11–20.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 4750 (hadis al-ifk, riwayat ‘Aisyah r.a.).
Sunnah.com -
Al-Quran, Surah an-Nur (24): 6–9.
Quran.com -
Al-Quran, Surah Ali ‘Imran (3): 61.
Quran.com -
Sahih al-Bukhari, no. 4380 (riwayat Huzaifah r.a.).
Sunnah.com
